Sabtu, 10 Julai 2010

Fasi Terjun

4 Julai 2010, selepas Majlis Penutup Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu, sekitar pukul 10 pagi, aku dan Encik Aminuddin Mamat  dipanggil oleh pengarah agar datang berjumpa dengannya. Panggilan itu kerana surat pelantikan aku sebagai fasilitator (fasi) Kursus Penulisan Manuskrip Bahasa Melayu di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan Seri Tualang,  (PLGDP), Temerloh, Pahang, bersama-sama Encik Mohd Asri dari IPG Kampus Razali Ismail.  Manakala Encik Aminuddin dilantik sebagai fasilitator Kursus Kesusasteraan dalam Bahasa Melayu, bersama-sama Encik Hanifah.

Ada 5 kursus dijalankan, iaitu Kursus Penulisan Manuskrip, Kursus Kesusasteraan, Kursus Kompotensi Bahasa Melayu, Kursus Tatabahasa Bahasa Melayu, dan Kursus Pembugaran Bahasa Melayu. Semuanya dijalankan serentak di tempat sama pada masa sama -- 5 Julai 2010 -- 30 Julai 2010. Peserta setiap kursus berbeza dan mereka  terdiri daripada guru-guru dari Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Aku terkejut menerima surat itu  kerana tidak mengetahui langsung tentang pengisiannya. Kataku, sepatutnya mereka panggil aku sebagai peserta kursus untuk jadi fasilitator kursus berkenaan, bukannya terus sebagai fasilitator.

Pengarah menelefon majikan Encik Asri, bertanyakan pemergian Encik Asri ke kurusus itu. Aku menegaskan tidak akan pergi jika Encik Asri tidak bersama sebagai fasilitator. Hal ini kerana aku mendapat maklum bahawa Encik Mohd Asri merupakan salah seorang penggubal proforma kursus. 

Nasib baik beliau dibenar pergi dan bersedia pergi.

Pengarah agak keberatan melepaskan aku pergi. Pertama kerana ketiadaan wang peruntukan bagi perjalanan dan elaun sepanjang aku di Temerloh. Aku sedia maklum bahawa IPG kami sudah kehabisan duit kerana peruntukan yang sedikit. Malah, segala klaim kerja-kerja luar dan perjalanan kami sejak bulan Januari 2010 belum lagi dilunaskan. Kini kami banyak berkorban dan mengorbankan wang sendiri untuk melicinkan urusan kerajaan (tugas rasmi).

Anehnya, PM asyik memberi suntikan kewangan di mana sahaja dan kepada sesiapa sahaja, termasuk suntikan untuk menyiapkan rumah terbengkalai projek pihak swasta.

Kedua, agenda kursus ini agak tergesa-gesa tanpa terlebih dahulu melatih kami sebagai fasilitator. Oleh sebab memikirkan guru-guru sudah mulai bergerak ke tempat  kursus, maka aku bersedia pergi dengan pembelanjaan sendiri. Jika tidak, nama aku dan nama IPG akan busuk.

Sebelum bertolak, aku berusaha mendapatkan maklumat daripada Puan Sakila dan Puan Zaleha kerana mereka terlibat membuat proforma kursus. Malangnya, beliau tidak mampu menolong kerana katanya proforma asal yang digubal telah dipinda 100 % oleh pegawai di BPG yang bernama Fatimah Daud. Mereka hanya tahu perubahan itu setelah melihat proforma yang dihantar ke IPG. 

(Wah, sungguh hebat orang bernama Fatimah Daud! Pandai memandai mengubah sesuka hati proforma yang telah dirancang. Mentang-mentang dia bertugas di ibu pejabat dan ada sedikit kuasa.)

Mahu tidak mahu, aku mencapai apa sahaja bahan simpanan yang aku fikir sesuai. Antaranya, buku Gaya Dewan, fail kursus penyuntingan dan maklumat power point tentang kursus penulisan manuskrip yang aku rancang akan menyampaikannya kepada pensyarah IPG. 

Kami bertolak pada pukul 1.00 tengah hari. Oleh sebab tidak arif jalan laluan, maka perjalanan kami ke PLGDP Seri Tualang, Temerloh, memakan masa lama. Pukul 10 malam barulah kami sampai setelah beberapa kali bertanya arah laluannya.

Asal PLGDP ialah kuarters guru. Disebabkan tidak ramai guru yang tinggal di kuarters itu maka dijadikan PLGDP. Belanja membaikinya sekitar 5 juta. Menurut khabar, sama ada diduduki oleh guru atau tidak, kementerian pelajaran terpaksa membayar sewa bangunan sekitar RM100, 000.00 setahun, selama 20 tahun, kepada pihak pemiliknya. 

Aku terpaksa bekerja lebih dan berjaga malam membuat persiapan untuk diberikan kepada 18 orang peserta Kursus Penulisan Manuskrip Bahasa Melayu. Mereka terdiri daripada guru-guru senior dan baharu. Seorang baharu tamat pengajian KPLI di Sabah. Seorang lagi baharu tamat pengajian Diploma Perguruan dari universiti. Bidang pengajiannya ialah matematik, tetapi ditugaskan mengajar Bahasa Melayu. Seorang guru cemerlang  dari Kelantan bergred 52. Seorang lagi akan pencen pada bulan November 2011. Tidak ada seorang pun yang berpengalaman sebagai penulis.

Berkat niat, usaha dan kerjasama para peserta, acara setiap sesi berjalan lancar. Encik Mohd Asri banyak membantu memberikan input-input yang berguna.  Telah kami beri segala maklumat, bermula daripada mencari bahan hingga urusan penerbitan. Malah, kami perluaskan lagi kepada penghasilan bahan untuk siaran di media cetak. 

Para peserta juga kelihatan gembira dengan pengalaman baharu dan input baharu. Aku tegaskan bahawa kursus ini sangat berguna untuk mereka menjadi pengkaji, penulis mahupun pengurus penerbitan. Kepada guru yang bakal pencen, aku menyarankan agar menjadi penulis atau penerbit selepas pencen nanti. Lazimnya, kursus sebegini akan dikenakan bayaran sebanyak RM500 ke atas untuk satu kepala dalam masa beberapa hari berkursus sahaja. Namun, para peserta diberikan kursus percuma selama sebulan.

Kini mereka berusaha menghasilkan manuskrip lengkap. Peserta lelaki sedang berusaha menyiapkan manuskrip "Bahas Ala Parlimen" dan "Ulasan Komsas." Manakala peserta wanita menghasilkan manuskrip "Skor A Karangan Fakta" dan "Ulasan Komsas." Aku seronok melihat mereka bekerja.

Malangnya, di PLGDP ini sangat sukar mendapat talian internet, Walaupun jaraknya dengan bandar Temerloh sekitar 3 kilometer sahaja. Hanya di tempat-tempat tertentu (berhampiran tingkap) di tingkat paling atas sahaja dapat mencapai talian internet. Itupun sering terputus.

2 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Cikgu, saya cadangkan cikgu terbitkan
sebuah buku tentang peribahasa moden,
rasanya sudah banyak peribahasa
baru yang cikgu ciptakan lewat
blog ini

ke guane cikgu :)

NASSURY IBRAHIM berkata...

Ya, mungkin pada suatu masa nanti, bila terkumpul