Sabtu, 10 Julai 2010

Omar Ong Yoke Lin

Berita Harian, Jumaat 2 Julai 2010, dalam ruangan Belasungkawa bertajuk "Omar Ong Yoke Lin Tokoh Pejuang Kemerdekaan"  menulis intro ceritanya begini: "Ramai yang mengenali Tunku Abdul Rahman Putra sebagai seorang tokoh kemerdekaan tetapi tidak ramai yang mengenali nama lain yang banyak menyumbang terhadap catatan bersejarah itu, terutama dalam pembabitan  dan usaha keras menyatukan bangsa Cina dan Melayu di bawah satu bumbung parti politik." 

Salah seorang yang tidak mengenali dan tidak tahu ada orang bernama Omar Ong Yoke Lin ialah saya. Namanya agak pelik, merangkumi nama Melayu (Omar) dan nama Cina (Ong Yoke Lin). Kalau DS Mohd Najib memperkenalkan konsep 1 Malaysia, konsep itu telah lama wujud pada nama Omar Ong Yoke Lin. mungkin juga konsep 1 Malaysia itu sudah ada dalam diri Omar Ong Yoke Lin.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di IPSI, bidang pengajian saya ialah Sejarah dan Pendidikan Seni. Justeru, banyak ilmu-ilmu Sejarah dan seni saya dalami. Demikian juga ketika mahu menulis sajak 'Lelaki Pertama Yang Membuka Sangkar Derita Kita,' banyak maklumat perihal kemerdekaan saya cari, dan setengah nama-nama tokoh saya catat dalam sajak berkenaan. 

Malangnya, dalam kedua-dua usaha itu, saya tidak pernah terjumpa nama Omar Ong Yoke Lin, apalagi beliau sebagai tokoh dalam perjuangan kemerdekaan. Dan, saya yakin, kalau beliau tidak meninggal, sampai sekarang atau selamanya saya tidak akan kenal dan tidak akan tahu ada manusia bernama Omar Ong Yoke Lin sebagai pejuang kemerdekaan. Inilah yang dikatakan bahawa kematian telah menghidupkan seseorang.

Kalau orang yang pernah sedikit-sedikit menggali sejarah tidak mengenali beliau, apalagi pada mereka yang mengejar Sains semata-mata. Bukan salah saya kerana tidak mengenali beliau, apalagi tidak merakam nama beliau dalam sajak, atau mengenangnya sebagai orang penting dalam sejarah tanah air. 

Dalam satu majlis di salah sebuah sekolah pondok, TG Nik Abdul Aziz pernah menyeru agar generasi baharu mengenang jasa pengasas sekolah berkenaan. Kalau dalam konteks negara, seruan Nik Abd. Aziz itu agar generasi menghargai bekas pejuang tanah air. Namun, bagaimanakah saya atau sesiapa sahaja mahu mengenang jasa seseorang itu, sedangkan ia tidak dikenali.

Masyarakat kita tidak ada daya usaha menghebohkan tokoh-tokoh berjasa, baik tokoh dalam masyarakat kecil mahupun masyarakat besar. Apa yang ada ialah menanam rasa hormat (sesetengahnya dengan paksa) terhadap tokoh hidup atau berjawatan. Setelah mereka meninggalkan jawatan atau meninggal dunia, tiada lagi usaha mengharmati dan rasa kagum terhadap mereka. Malah, lebih banyak kita memburuk-burukkan pemimpin yang tidak berkuasa, atau mereka yang bukan dari isme kita. Justeru, jangan marah kalau generasi tidak mengenali atau mengenangi mereka.

Demikian juga, bagaimanakah saya hendak menghormati sesetengah tokoh pemimpin negara sedangkan dirinya gemar bergaduh, memfitnah dan menindas masyarakat. Kalau saya tidak menghormati Omar Ong Yoke Lin kerana tidak mengenali beliau, saya tidak menghormati sesetengah pemimpin negara kerana saya mengenali beliau.

PEJUANG DAN PENGKHIANAT

Pejuang hidup dalam keranda
pengkhianat hidup dalam kuasa.

5 Jun 2010

2 ulasan:

edolah berkata...

..amat menarik dan bermakna sekali ungkapan ini..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Cari yang sebenar. Kuasa bukan petanda tokoh