Isnin, 1 Mac 2010

Majlis Perundingan Melayu

Penubuhan Majlis Perudingan Melayu (MPM) merupakan satu lagi usaha memperkasakan orang-orang Melayu. Sebelum ini pun telah ada beberapa pertubuhan seperti Sekretariat Melayu, pemikir Melayu, pembela Melayu dan entah apa lagi pertubuhan yang kononnya bertujuan memartabatkan Melayu.

Malangnya, yang terjadi pertubuhan yang ingin memperkasakan Melayu itu sendiri tidak dapat memperkasakan diri, apatah lagi mahu memperkasakan kaum Melayu.

Usaha seperti ini lahir saat orang Melayu dilanda krisis tertentu. Setelah berjaya ditubuhkan, pertubuhan itu pun senyap-sunyi dan sunyi sepi. Orang yang berapi-api saat mahu menubuhkannya bukanlah siapa-siapa melainkan orang yang juga terlibat dalam penubuhan MPM.

Pada saya, kumpulan ini ialah kumpulan orang berdahi luas, botak hingga ke tengah kepala. Orang berdahi luas ialah manusia yang kuat ingatan (memori). Dia ingat segala pengalaman dan pembacaan. Orang yang botak di tengah ialah orang yang pandai. Dia pandai dalam segala pekerjaannya. Maka, orang berdahi luas membotak hingga ke tengah kepala ialah orang seperti formulanya di bawah.

         Dia ingat    +    Dia pandai   =   Dia ingat dia pandai.

Maka, sebab itulah mereka sentiasa ingat bahawa orang Melayu sentiasa tertindas, terbelakang, kian menumpang di rumahnya sendiri. Mereka ingat bahawa orang Melayu dulu sangat hebat dan perkasa. Justeru, kumpulan ini berusaha mencari jalan penyelesaian melonjakkan orang-orang Melayu agar terus maju, bermartabat (k), berkuasa dan sebagainya. Antara caranya ialah menubuhkan pelbagai pertubuhan / persatuan yang tujuannya sangat bagus didengari pada sehari-dua dari tarikh penubuhannya, dan kemudian hilang lenyap. Dia pandai ambil peluang untuk melonjak naik, menubuh dan menggerakkan orang-orang Melayu.

Saya yakin MPM juga tidak akan ke mana-mana. Hal ini kerana mereka yang menubuhkan MPM merupakan orang-orang politik, yang sebahagiannya telah ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri. Orang Melayu ingat Ibrahim Ali, pengamal ilmu alkataki, tidak bertali. Oleh sebab tidak bertali, Ibrahim Ali bebas melompak ke mana saja. Perbuatannya 'mengkhianati' UMNO dan 'mengkhianati Nik Aziz tidak boleh dimaafkan. Orang ingat Khir Toyo sebagai penganjur hadiah penyapu kepada kakitangannya sendiri. Bagaikan orang yang tidak tahu mengenang budi / menjaga air muka orang lain. 

Sebesar manapun pangkat anda, setinggi manapun pemikiran / kelulusan anda, jika anda mendapat penyapu sebagai hadiah, anda tetap orang yang hina.

Apabila membaca nama-nama penaja MPM dan jurucakap dan jurusokongnya, saya tertanya sendirian. Sudah tiadakah orang-orang Melayu yang berfikiran ikhlas, berhati mulia, dan tidak berpolitik untuk membela orang-orang Melayu?
Saya yakin, pejuang politik tetap mempunyai muslihat politiknya apabila melakukan sesuatu. Dan, kita juga perlu ingat bahawa di tangan siapakah yang menyebabkan orang-orang Melayu sekarang mundur dan hina, busuk hingga ke kepala?

Mungkin anda mempunyai pandangan lain yang boleh dikongsi.

2 ulasan:

benuasuluk berkata...

Setuju!Terutamanya perenggan kedua terakhir.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Orang Melayu dan pemimpin Melayu nkini busuk hingga ke kepala. Aduhai malangnya nasib kita.