Masuk hari ini, sudah tiga hari Putih tidak balik. Tidak tahu Putih pergi ke mana. Kata Adik, rakan sebilik Putih, kali terakhir dia lihat Putih pada dua hari lepas. Putih bermain-main dengan kawannya di bawah pohon Jambu Senawar. Adik tidak kenal kawannya itu. Mungkin kawan baharu Putih. Mereka nampak mesra - bergurau-senda dan berkejar-kejaran. Adik hanya memerhati sahaja dari jauh. Adik tidak minat bermain sama.
Sejak itu, kata Adik, Putih tidak pulang ke rumah. Putih tidak ada dalam bilik, seperti kebiasaannya, pada malam hari. Putih tidak pulang makan pagi, tidak pulang makan tengah hari, juga tidak pulang makan malam.
Biasanya, Putih akan datang makan apabila kami sekeluarga makan. Putih akan berlegar-legar di kaki kami, minta makanan. Adik akan cepat-cepat beri Putih makan. Atau, awal-awal lagi Emak sendiri menyediakan makanan untuk Putih. Tapi, sejak tiga hari ini, Putih tidak lagi berlegar-legar di kaki kami. Atau makan bersama kami.
Ke mana perginya Putih?
Mungkin Putih mengikut kawannya itu pulang ke rumahnya. Mungkin Putih rasa gembira tinggal di rumah kawannya itu. Kata Adik lagi, kawan Putih itu tinggal di Rumah Banglo, berhampiran sungai.
Tentulah tinggal di Rumah Banglo lebih selesa berbanding tinggal di Rumah Papan. Makanan di Rumah Banglo juga lebih lazat dan berzat. Di rumah kami, Putih hanya makan ikan bersama nasi sahaja. Tak pernah Putih makan Fishcat sebab kami tidak pernah beli. Kami tidak mampu. Kami makan pun hanya ala kadar sahaja. Apa yang kami makan, itulah yang Putih makan. Tidak lebih dan tidak berkurang.
Sebenarnya Putih bukan asal keluarga kami. Ayah dan ibu ada dua orang anak sahaja. Aku dan Adik. Putih kami jumpa ketika dia sedang merayau-rayau. Masa itu, kami baru sampai dari kampung, pulang berhari raya. Dalam hujan sederhana lebat, kami melihat Putih mengigil kesejukan. Putih berlindung di bawah pohon Jambu Senawar di tepi rumah kami.
Adik yang melihatnya. Adik juga mempelawa Putih masuk. Ibu tidak bantah. Ayah pun tidak marah. Adik lap air di tubuh Putih dengan kain tuala. Kemudian, Adik selimut Putih.
Sejak hari itu, Putih tinggal bersama kami. Putih tidur di bilik Adik. Putih jadi teman setia dan sering bermain dengan Adik. Tapi kini, sudah tiga hari Putih tidak pulang, tidak bermain dengan Adik.
Ke mana perginya Putih?
Aku mencari Putih dan bertanyakan pada jiran, pun tidak ada. Kata jiranku, Mat, dia sudah lama tidak melihat Putih. Biasanya Putih ada juga bertandang dan bermain-main di halaman rumahnya. Tetapi kini, sudah lama Putih tidak datang.
Abang Ripin, suami Makcik Munah, memberitahu, beberapa hari lepas dia ada melihat beberapa orang pegawai Bandar Raya Tok Kah sedang menangkap anjing yang tidak bertuan. “Mungkin juga, Putih ditangkap oleh mereka,” teka Abang Ripin.
“Kucing pun ditangkap jugakah?”
“Tak tahulah. Mungkin juga kerana dianggap mencemarkan bandar.”
Hati aku bertambah sedih dan terasa sangat sedih. Air mata bercucuran tiba-tiba. Aku berlari pulang. Dalam perjalanan, aku disapa oleh Zaki, kawan sekelasku.
Kata Zaki, beberapa hari lepas dia ada terdengar percakapan adiknya, Aminah, memberitahu bahawa ada kucing mati dilanggar kereta.
“Kesian. Kucing itu menggelepar kesakitan, sebelum mati,” kata Zaki,
Sayu hati aku mendengar kata-kata Zaki. Mungkinkah Putih mati kemalangan. Kesian Putih. Sudahlah tidak ada ibu dan ayah, dia sendiri mati kemalangan pula. Siapakah yang mengebumikannya. Atau terbiar begitu sahaja dan dimakan gagak.
Sewaktu melintasi Rumah Banglo, aku ternampak seekor kucing berwarna putih, bermain-main di hujung Rumah Banglo. Aku mengintai, tetapi tidak jelas wajahnya. Aku memanggil nama ‘putih’ beberapa kali, namun, dia tidak menghiraukannya. Aku yakin dia adalah Putih.
Sewaktu mengintai-intai itu, tiba-tiba alam Rumah Banglo berbunyi. Terkejut aku. Aku cepat-cepat cabut, bimbang akan dituduh ingin mencuri.
Sepanjang perjalanan pulang, aku merunggut sendirian. Panas Hati aku mengenangkan Putih: ‘Bagai kacang lupakan kulit,’ kata hatiku. ‘Dasar kucing jalanan.’
Memang hati aku terluka mengenangkan sikap Putih tadi. Dia buat-buat tidak kenal dan tidak menyahut apabila dipanggil. Berbeza sekali dengan sikap Putih sebelum ini: Manja dan segera menyahut apabila dipanggil.
Sewaktu dalam perjalanan pulang, aku merangka-rangka jawapan kepada Adik. Akan aku pujuk Adik agar melupakan Putih. Putih sedang bahagia dengan keluarga baharu. Putih sudah lupa pada kita. Malah, Putih tidak menyahut, walaupun aku memanggil namanya berkali-kali.
Sesampai di halaman, aku lihat, Adik berlari ke arahku, sambil menyebut nama aku: “Abang! Abang!, Abang!”
“Lupakan Putih, dik. Dia ada di Rumah Banglo,” kataku tanpa berlenggah. “Abang dah panggil, tetapi dia buat-buat pekak badak sahaja,” kataku lagi dengan suara memujuk.
“Hah?” terpacut suara Adik. Kesian aku lihat Adik. Wajahnya terpingga-pingga seperti rusa masuk kampung. Mungkin Adik kebinggungan.
“Putih ada di Rumah Banglo,” tegas aku. “Puas abang panggil, tak juga dia datang. Menyahut pun tidak,” bersungguh aku menyakinkan Adik. “Kita lupakan saja Putih. Kita cari kucing lain,” aku pujuk lagi.
Aku lihat Adik masih terpingga-pingga, sebelum bersuara: “Tidak, bang. Tidak,” jawab Adik.
“Betul. Kita lupakan saja Putih.”
‘Bukan, bang,” kata Adik lagi.
“Betul. Abang sendiri yang nampak. Abang sendiri yang panggil. Dia buat-buat lembu kenyang saja,” tegas aku, menyakinkan Adik.
“Putih sudah balik, bang.”
“Hah, Putih sudah balik!” Terkejut aku mendengar kata-kata Adik. Adik pula bersungguh-sungguh menyakinkan aku. Wajahnya ceria.
“Di mana Putih? Cepatnya dia sampai.”
“Putih balik selepas beberapa minit abang keluar mencarinya tadi. Kini, Putih ada dalam rumah. Sedang makan.” Serentak itu juga, Adik menarik tangan aku masuk ke dalam rumah. “Tu dia,” kata Adik.
“Hah, betulkah Putih?”
“Betul,” tegas Adik.
Serentak itu juga, Putih berpaling ke arah aku, ke arah Adik, apabila mendengar namanya disebut.
Pengkalan Chepa, 2 - 9 Oktober 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan