Khamis, 18 Mac 2010

Sial Balik Lewat

Balik lewat dari tempat kerja sudah menjadi kebiasaan aku. Semasa berkhidmat di Pulau Pinang dulu pun, aku sering balik lewat. Aku tidak pernah menunggu masa di hadapan perakam waktu untuk nantinya memecut balik, walaupun ramai yang berbuat demikian.

Aku balik lewat bukan kerana aku mahu balik lewat. Aku balik lewat kerana mahu menyelesaikan kerja-kerja aku seperti membaca buku, membuat persediaan pengajaran berikutnya, menyemak latihan pelajar, menyemak kerja kursus pelajar, kuliah petang, gerko, hadiri aktiviti pelajar dan sebagainya.

Aku balik lewat bukan bermaksud aku memancing hendak menjadi ketua jabatan atau seumpamanya. Dah seronok kerja macam tu. Salah satu sebab aku bertukar (dari PP) kerana ada usaha hendak melantik aku ke jawatan penting dalam premis. Aku dihantar kursus menangani dokumen rahsia negara. Lantas, aku mohon pertolongan rakan untuk bertukar, sebelum dilantik.

Oleh sebab tabiat, hal yang sama juga berlaku setelah aku berkhidmat di Kota Bharu. Memang jadi kelaziman, aku suka beri latihan setiap minggu. Aku beri tugasan sebelum kerja kursus sebenar, sebagai persiapan / panduan untuk menghasilkan kerja kursus sebenar yang terbaik dan dapat gred terbaik. Latihan dan kerja kursus awal itu perlu disemak. Waktu petang (luar waktu pejabat) paling sesuai sebab suasananya lebih damai.

Malangnya, balik lewat boleh mendatangkan sial.

Pada hari selasa 16 Mac 2009 sekitar jam sekitar jam 9.00 - 11.00 pagi, aku menerima telefon daripada rakan sepejabat (JPM), Sakila Dollah, bahawa ada polis ingin berjumpa dan minta aku hadir ke Balai Polis. Kesnya ialah berkenaan kehilangan 2 daripada 3 laptop JPM dan 1 LCD Puan Sakila, pada tahun lepas.  3 kaptop dan LCD itu disimpan dalam peti kabinet besi. Ada dua peti kabinet besi. Salah satu peti kabinet besi terletak dalam bilik Ketua Jabatan. Bilik itu berkunci. (Dalam bilik JPM ada bilik Ketua Jabatan (KJ)). Aku dapat tahu, setelah kejadian itu, bahawa laptop yang tidak diambil itu kurang berfungsi (rosak).

Kecurian disyaki berlaku pada dari malam hari Jumaat hingga malam Ahad. Aku dikatakan balik lewat pada hari Khamis. Kecurian diketahui pada pagi hari Ahad.

Menurut Puan Sakila ada kesan cap jari aku ditemui pada kabinet besi. Sebab itu polis mahu ambil beberapa maklumat daripada aku.

Pagi tadi (Khamis, 18 Mac 2010) Puan Zaleha (baru pulang dari KL) telefon bertanyakan kenapa aku dipanggil polis, tidak orang lain. Aku beritahu, polis jumpa kesan cap jari aku. Dia kehairanan. Katanya, pada pagi sebelum polis datang, beberapa orang pensyarah di JPM pun ada memegang peti besi kabinet berkenaan. Kenapa kesan cap jari mereka tidak ditemui? Entahlah. Aku sendiri, pada pagi itu tidak memegang pada peti berkenaan. Aku masuk ke bilik JPM dan diberitahu ada kecurian. Masa itu, ada Puan Narita dan Puan Sakila. Aku berkata bahawa Puan Narita kena buat laporan polis. Kemudian, aku keluar bilik menjalankan tanggungjawab rasmi aku. Apabila aku masuk kembali, aku diberitahu bahawa polis sudah datang buat siasatan.

Tengah hari tadi (Khamis, 18 Mac 2010)  Encik Ruziman  menelefon aku. Aku pun bertanyakan, adakah dia ada memegang peti kabinet besi itu. Dia menjawab memang ada memegangnya. Malah, beberapa orang pensyarah JPM pun ada memegangnya. Peliknya, tiada pula polis jumpa cap jari mereka.

Petang tadi juga (Khamis, 18 Mac 2010) antara pukul 2.00 - 3.00 petang, aku bertemu dengan Encik Abdullah di Bilik JPM. Aku bertanyakan beliau, pada pagi Ahad, setelah diketahui laptop hilang, apakah kedudukan kerusi dan meja di hadapan bilik KJ berubah daripada kedudukan asal. Beliau menjawab, 'tidak. kedudukannya sama seperti asalnya.' Aku bertanya demikian kerana dikatakan pencuri itu memanjat dinding kapur untuk masuk ke Bilik KJ. Emmm..., seperti ada agenda tersembunyi! Barangkali mencari kambing!

Aku fikir, isu sebenarnya kerana aku sering pulang lewat. Menurut Insp. X, Puan Narita memberitahunya aku balik pukul 7.00 malam pada hari Khamis sebelum minggu / hari kejadian. Aku beritahu, aku tidak pasti dan meminta beliau memeriksa catatan pada mesin perakam waktu di pejabat utama. Kata Insp. X, Puan Narita yang beritahu. Aku akui memang aku sering balik lewat, tetapi tidak setiap hari.

Anehnya, orang yang sering datang ke Bilik JPM pada hari cuti, dan ada kalanya datang pada malam hari, tidak pula polis panggil untuk bertanyakan itu dan bertanyakan ini.
 
Setelah menerima arahan pemberitahuan daripada Puan Sakila, tanpa berlenggah, aku terus bersiap dan pergi. Sekitar 12.30 - 1.00 ptg aku berada di bilik pegawai penyiasat, Insp. X. Antara soalannya, mengapa aku yang pegang kunci bilik?

Untuk maklumat pembaca, keluasan Bilik JPM ialah lebih besar sedikit daripada keluasan bilik darjah. Dalamnya terdapat 16 meja untuk 16 pensyarah JPM, tanpa ada apa-apa sekatan (kecuali Bilik KJ) dan masing-masing masuk melalui satu pintu sahaja. Logiknya, 16 orang itu sepatutnya ada kunci  Bilik JPM. Salah satu peti kabinet besi terletak dalam bilik Ketua Jabatan. Bilik itu berkunci. Hanya KJ memegang kunci biliknya. Jadi, Mengapakah aku (dan pensyarah lain) tidak boleh pegang kunci Bilik JPM kerana itu juga bilik aku (kami)? Walau bagaimanapun, aku tidak ada kunci kedua-dua peti kabinet besi tempat simpan laptop dan Puan Sakila simpan LCD, dan Bilik KJ.

Dan, barang-barang yang ada dalam Bilik JPM adalah untuk kegunaan semua pensyarah JPM. Jadi, mengapakah aku tidak boleh pegang atau terpegang benda itu benda ini kerana aku juga orang yang  bekerja dalamnya dan berhak menggunakannya. Jadi, mana mungkin cap jari aku tidak berada di mana-mana dalam Jabatan Pengajian Melayu. Kalau cap jari aku berada dalam Jabatan Matematik, atau Sains,atau teknologi maklumat, atau mana-mana jabatan yang hilang laptop, itu adalah keanehan dan wajar disiasat.

Seingat aku, aku sudah lama tidak pegang peti kabinet besi, apalagi pada hari Jumaat dan Sabtu sebelumnya. Atau  hari Khamis kerana Bilik KJ dikunci selepas waktu pejabat.

Untuk pengetahuan pembaca, ada beberapa jabatan yang turut hilang laptop. Anehnya, semua bilik jabatan itu tiada kesan pecah masuk. Ertinya, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang ada kunci di semua jabatan, termasuk kunci kabinet besi. Modus operandinya pun sama, tiada kesan pecah masuk tetapi laptop hilang. Hanya laptop. Selepas laptop di JPM hilang, pun masih berlaku kehilangan laptop di jabatan lain. Menurut Insp. X, bilik pelajar di asrama juga dimasuki pencuri. Siapalah pencuri yang menyusahkan semua orang ni.

Setelah semua pintu dimanggakan (kunci) pun masih ada usaha untuk pecah masuk dan merosakkan mangganya. Anehnya, kejadian mangga tidak pula disedari oleh jaga (jaraknya sekitar 200 Meter) dan tidak dijumpai kesan cap jari. Aneh, kan?  

Walaupun sekadar memenuhi prosedur siasatan, hati saya memang terguris kerana mencemarkan nama baik saya.

Kesan daripada peristiwa ini, dan demi kebaikan bersama, saya cadangkan agar pihak pentadbir merancangkan projek secepat mungkin membina bilik khusus untuk setiap pensyarah. Bilik itu hendaklah rapat ke siling. Jangan ada ruang yang boleh dimasuki. Jangan lagi dilonggokkan semua pensyarah dalam satu bilik jabatan, yang mungkin mendatangkan banyak masalah tersembunyi.

Dan, oleh sebab banyak laptop di kebanyakan jabatan hilang, pihak pengurusan boleh anjur aktiviti Solat Hajat, mohon petunjuk dari Allah.Pihak polis boleh mengintip bekas pengawal keselamatan (jaga) sebab ada antaranya dikhabarkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

6 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Sabar.... kebenaran akan terbukti.

abuyon berkata...

salam cikgu,

Saya biasa juga balik lewat, atas
sebab yang sama dengan cikgu, dan
benarlah, ia menjadi satu musibah
pula kepada saya, hari ini

Moga Allah mengampuni saya, dan
sesiapa juga!
_____

Minggu hadapan saya akan hantarkan
sajak saya ke JT. Suratkhabarnya,
bagaimana?

NASSURY IBRAHIM berkata...

Yg tak dapat saya cari jawapan ialah hampir semua jabatan dimasuki tanpa rosak pintu dan yg hilang semua laptop. Ertinya, dia ada kunci semua jabatan, dan mesti orang lama. ada beberapa orang, termasuk jaga yg tahu saki baki laptop yg disembunyikan dan belum sempat dibawa keluar (bukan kakitangan) ditangkap tapi dilepaskan. alasan tiada bukti sedang mereka ditangkap waktu malam dalam kawasan premis. Saya fikir, orang beri nama saya untuk disiasat ada agenda tersembunyi. Sebenarnya ada 1 nama lagi yg diminta jumpa Insp. X. Yg terguris hati, kenapa dikaitkan dgn nama saya.

Tanpa Nama berkata...

sabar lah saudari. saya tahu saudara tak bersalah. dan saya pasti tiada orang dalam jabatan saudara yang dengki. mungkin ada hikmahnya.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tuan Tanpa nama,
Sejak pengawal keselamatan (dan syarikatnya juga) ditukarkan pada awal tahun ini, maka tiada lagi kes tak pecah pintu tetapi dapat masuk dilaporkan berlaku. Anehnya, polis tidak dapat analisis perubahan ini.

Tanpa Nama berkata...

no name.. saya pun kehilangan laptop tp dlm rumah yg disewa seramai 10 org...polis kat area shah alam sangat lmbt menjalankn siasatan....kemungkinan penyewa lama yg duplicate kunci masuk secara curi2 dan mencuri laptop saya...