Sabtu, 30 Januari 2010

PELAJAR IPG BERMASALAH

Salah satu tugas yang dipertanggungjawabkan kepada pensyarah IPG ialah sebagai tutor. Seingat aku di IPG sahaja yang ada jawatan ini. Tidak ada di sekolah dan tidak ada di universiti. Setiap kumpulan pengajian akan diberikan seorang tutor. Kononnya, tutor ini bertanggungjawab menjaga tuteenya, dan sebagai tempat rujukan tutee.

Peliknya, tutor juga boleh saman tutee.

Sejak aku berkhidmat di IPG, aku dengar pelbagai masalah dan sikap pelajar yang tidak sesuai sebagai pelajar IPG. Maka disuruhkan agar tutor selalu mendampingi dan menasihati tutee (sebenarnya, memang telah dilaksanakan tanpa disuruh). Rupa-rupanya (aku baru tahu) hal ini kerana apa-apa kelakuan tutee yang melanggar Akta 174 yang digunapakai di IPG (aku tak tahu akta apa ini - bukan AUKU), akan dipersalahkan pada tutor.

Seorang tutee aku termengandung maka ditanyai aku tentang itu tentang ini seakan-akan hati kecilnya berkata aku tidak pandai menjaga tutee, TIDAK MENASIHATI TUTEE hingga dia t-e-r-m-e-n-g-a-n-d-u-n-g.

Barangkali, lanjutan devian tutee aku itu, maka dianjurkan kursus pemantapan mentor dan aku salah seorang peserta. Dalam satu sesinya ditekankan agar tutor ambil tahu perihal tuteenya, di mana dia tinggal (rumah sewa), dengan siapa dia keluar, kehadiran ke kuliah, masalah dirinya dan sebagainya. Pendek kata, selalu ambil peduli tentang tuteenya. (p/s, ada pensyarah yang sangat peduli kepada pelajarnya hingga sempat menikmati kepedulian itu di ranjang). Oleh sebab terasa 'bengang' aku telah terangkat tangan dan bertanya dengan suara parau, "Apakah setiap salah tutee itu dan apabila tutee keluar dengan mana-mana jantan maka yang salahnya ialah tutor?"

Orang itu tidak menjawab.

Ada peserta menyambung 'suara parau aku' dengan pertanyaan mengapa disekatkan tutee yang ingin bercinta kerana pada usia demikian, memang mereka ghairah dicinta dan mencinta.

Sebelum itu, aku telah bertanya tutee wanita aku yang berbaki seramai 6 orang itu. Siapakah yang tiada buah hati. Semua mengakui bahawa mereka ada buah hati. Soalan sama aku tanya kepada beberapa kumpulan lain. Memang, mereka ada pasangan (termasuk tunang). Sebahagian besar pasangan itu dari alam persekolahan lagi.

Kalau bercinta salah (kerana mungkin akibatnya), maka di sini aku syorkan, BPG hendaklah tambah kriteria untuk masuk IPG ialah tiada pasangan cinta. Kalau BPG tidak mampu mewujudkan syarat itu, jangan pandai-pandai menyalahkan tutor apabila pelajar IPG bercinta dan keluar dengan jantan cinta. Saya tahu pensyarah IPG kurang cerdik dan lebih kuah daripada sudu, janganlah menambahkannya lagi.

Aku juga berasa hairan, mengapa IPG mahu kawal pelajarnya begitu sekali. Tidak ada rasa percaya kepada pelajarnya. Mahu pelajarnya ikut telunjuk yang sebahagian telunjuk itu pula penuh dengan kurap.

Adalah lebih baik bersihkan kurap sendiri sebelum melihat kurap orang. Ada sejarah pelajar IPG terlibat dengan dadah, ditangkap berkhalwat, mencuri, bergaduh, dsb, tidak diambil tindakan sewajar. Ada yang dibuang oleh IPG, tetapi dipaksaterima oleh BPG.

Sepatutnya, mereka dibuang dan tidak diterima lagi. BPG / menteri harus ada rasa percaya terhadap tindakan IPG.  

Alasan kawalan berlebihan terhadap pelajar kerana dikatakan pelajar IPG belum matang. Mereka lepasan SPM. Tanpa mereka sedar bahawa semua pelajar IPG lebih tinggi keputusan SPM daripada pensyarah IPG sendiri, maklumatnya lebih terkedepan dan pelbagai. Dan, pada tahap sama juga, sebahagian mereka berada di IPT tanpa kawalan berlebihan seperti di IPG.

Malah, pelajar IPG dari program KPLI juga tidak kurang dipersalahkan dan dileteri, dan tidak yakin (dipercayai) dengan kemampuan mereka menjaga diri. Sedangkan mereka merupakan bekas mahasiswa universiti, sebahagiannya sudah ada pengalaman kerja dan berkelulusan sarjana. Mengapakah mereka dianggap suka melakukan kesalahan dan tutor perlu bimbing begitu sekali apabila berada di IPG.

Lantaran itu, saya selalu bertanya pada diri saya: Apakah masalah sebenarnya?

Anda yang membaca tulisan ini merupakan bekas atau pelajar mana-mana IPG / maktab perguruan, sila beri maklum balas. Saya mahu tahu suara hati anda, untuk mendapat jawapan pada pertanyaan saya itu.

8 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Bawa bertenang cikgu,jangan risau sangat
kerana ini masalah, masalah
1Malaysia

Inilah masalah pendidikan kita,
kerana soal iman diketepikan
di dalam silibus

Kalau adapun, manis tak rasa
masin tak cukup!

Tanpa Nama berkata...

Tahniah dapat cucu. Itulah bakal pendidik, mengawang tak tentu siapa, nanti ajar anak didiknya pula mengawang ikut dang.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Nassury,
Baru-baru ini (22 Januari 2010) sempat masuk IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka kerana melaksanakan program Bicara Karya Sastera Melaka. Sejak naik taraf IPG (daripada nama MPPM) sungguh pesat 'pembangunan fizikal' di IPG yang bertempat di Durian Daun, Melaka ini.

NASSURY IBRAHIM berkata...

ini IPG paling tua yg masih ada, sya bimbang mentaliti pensyarahnya kot lama juga. Susah nak cakap. Perosak IPG ni pensyarahnya, BPG termasuk hisamudin juga. IPG bukan IPTA dan bukan sekolah

Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi berkata...

Assalamualaikum. Moga tuan sentiasa diberi rahmat oleh-Nya.

Permasalahan yang tuan bangkitkan ini bukanlah sesuatu yang asing lagi di IPGM. Cuma pihak-pihak tertentu sahaja yang cuba menutup rasa malu demi menjaga status dan imej sesebuah institusi.

Saya pernah melibatkan diri sebagai Jawatankuasa Perwakilan Pelajar suatu ketika. Saya tahu banyak permasalahan yang berlaku baik dalaman atau luaran di tempat saya sepanjang terlibat dengan JPP.

Secara terus terang, sesuatu permasalahan akan diheboh-hebohkan dengan menuding jari tanpa mengakui kesilapan. Solusi tidak mahu dicari, setiap masalah yang timbul cuba dibebankan lagi. Belum lagi cerita perihal segelintir pensyarah yang suka mengadu domba dan meraih puji. Politiking tak sudah-sudah.

Pelajar yang cuba proaktif dan merubah situasi pun dikatanya sebagai cuba berlagak pandai. Banyak kali saya kecewa apabila terpaksa melalui situasi sebegini rupa.

Peranan HEP tiada langsung, JPP dibelenggu, projek pembodohan guru pelatih cukup berleluasa. Apabila ada kritikan dan mohon penambahbaikan, guru pelatih tersebut dianggap sebagai penyusah dan pembangkang. Bukankah negara kita demokrasi?

Perihal Akta 174, banyak peraturan yang tidak masuk akal. Satu daripadanya, pelajar tidak dibenarkan untuk menyatakan sokongan dan bantahan dalam apa-apa jua isu atau mana-mana pertubuhan. Maka, tidak perlu sokong 1Malaysia, tidak perlu respon isu Palestin, cuma diam seribu bahasa. Khuatir dikenakan tindakan gila akibat Akta 174. Jangan salahkan guru pelatih jika banyak yang diam daripada meluahkan kebijaksanaannya.

Tanpa Nama berkata...

sbg salah sorang penuntut IPG, saya akui permasalahan ini dan menyokong bahawasanya akta 174 adalah kurang relevan dgn penuntut di IPG, kadang2 akta ini digunakan oleh pensyarah dan juga bhg HEP sbg 'kambing hitam' untuk memerangkap penuntut sdgkn tanggunggjawab mereka adalah mendidik penuntut supaya menjadi guru tetapi disalah guna sbg satu senjata untuk menjatuhkan maruah penuntut IPG dan disiplin penuntut tersebut!

Tanpa Nama berkata...

IPG. hm.. nama sahaja institut. Padahal kualiti pendidikan, kualiti perkhidmatan lebih rendah daripada sekolah menengah. Akta 174 hanya masuk akal bagi mereka yang mengendalikan urusan IPG tanpa pemikiran logik. Adakah logik mendenda pelajar berpuluh-puluh ringgit kerana tidak MEMAKAI kad matrix di leher? pengsan... syabas, peraturan ini akan melahirkan guru-guru tahap antarabangsa. Sesetengah hanya menggunakan pensyarah dan pelajar untuk diri sendiri.

Kesimpulannya, inilah sebab World Bank menyarankan agar IPG ditutup.

Tanpa Nama berkata...

salam tuan..
saya seorang pelajar ipg yg suda semestinya terikat dengan AKTA 174..saya sendiri hairan dengan masalah IPG..kawalan terlalu ketat hingga mengalahkan peraturan sekolah rendah dan sekolah menengah...saya sendiri melihat JPP berfungsi sebagai hanya sebuah biro atas nama JPP sahaja. Bila pihak JPP menyuarakan pendapat, cadangan mereka di tolak atas alasan yang tidak munasabah, contohnya pihak HEP berhak mengubah apa2 peraturan sama ada pljar stju atau tak...menyampah bebenar mendengar kenyataan tu! kemudian mereka menuntut pelajar supaya melahirkan pendapat masing-masing, jangan suka menjadi pak turut. bla bla bla....endingnya bila cadangan dah di berikan oleh pelajar dengan sewenang-wenangnya cadanagan itu di tolak, dengan alasan lain pengarah dah buat kptsan utk x bersetuju. pada pandangan saya semua tu alasan busuk semata-mata kerana pihak ipg ada yang masih berfikir di TAKUK YG LAMA...