Jumaat, 1 Januari 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Sebagaimana tahun-tahun lepas, aku tidak berazam tahun ini. Sebabnya, terlalu banyak sangat yang aku hendak capai. Bimbang tidak tercapai, lebih baik aku tidak berazam. Walau bagaimanapun, usaha tetap seperti biasa, sekadar mampu.

Pada aku, tahun 2009 merupakan adik tahun 1999. Kalau tahun 1999 mempamer kerendahan moral pihak tertentu dalam politikus, pihak keselamatan, kehakiman, perundangan, dan akhbar, tahun 2009 juga sama. Cuma bahangnya tidak setanding bahang tahun 1999. Inilah dikatakan sejarah -- peristiwa sama, cuma yang berbeza ialah watak, latar dan waktu. Daripada peristiwa yang berlaku, kita dapat kenal dengan jelas para pejuang dan para penjarah tanah air.

Memang semuanya mengakui mencintai negara, namun kelakuan dan tindakan jelas menggambarkan sebaliknya.

Pada tahun 2010 pula bakal menghidangkan pelbagai cabaran. Mungkin 'malapetakanya' lebih hebat lagi daripada tahun 2009. Malah, sebahagian 'lumpurnya' datang dari tahun 2009.

Mungkin pada tahun 2010 ini akan ramai pekerja dibuang. Para industri akan cuba mengecilkan kos. Rakyat pula terpaksa berjimat belanja. Akan ramai yang layak diisytiharkan bangkrap. Pihak bank akan berhati-hati menawarkan pinjaman. Pihak along pula akan menadah nyiru menyambut kedatangan pelanggan.

Sekarang ini, pihak kerajaan pun memotong bajet. Sebilangan aktiviti / perancangan tidak dapat diteruskan, atau berlangsung 'di padang' saja. Makanan dan minuman bawa sendiri. Tauke hotel bakal turun padang merayu pelanggan. Ramai yang terpaksa jual rumah jual kereta.

Para peniaga akan 'boleh sakit' kerana banyak projek 'dijimatkan' atau runtuh tidak dapat dibaiki. Jerung rasuah akan berganda, bilis rasuah akan kehilangan 'benua' untuk menyorok.

Walau apapun yang terjadi, usaha membangunkan modal insan dan negara wajib dirancang, disokong dan dilaksanakan.

Itu ramalan saya saja. Anda mungkin ada pandangan lain. Pada tahun 2011 nanti, kita lihat teka siapa yang kena!

KESUSAHAN HIDUP

Hidup sebenarnya tidak
sesusah sangka
pada kepayahan ini
kita disusahkan
sang haloba.

31 Disember 2009

3 ulasan:

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Nassury.
1. Selamat Tahun Baharu 2010. Apa-apapun harga gula sudah naik 20 sen, makanya harga makanan dan minuman pasti @ wajib naik juga tetapi seperti biasa pihak berkuasa menyatakan bahawa masih menanggung subsidi sebanyak 1 bilion!
2. Semalam sudah diposkan 4 naskhah Buletin Jendela Selatan untuk bacaan dan tatapan tuan, semoga dapat memanfaat seadanya bahan buletin berkenaan.
Terima kasih.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Terima kasih banyak-banyak atas maklumat dan bahan tersebut.

pemerintahan DS Najib menaikan harga barang dengan memberi alternatif. Naik minyak Ron 97 dengan cara menyedia minyak alternatif Ron 95.

Mungkin gula alternatif akan ada, seperti orang 'bijaksini' buat air guna gula merah.

ekspresi berkata...

selamat tahun baru