Sebagai rakyat Malaysia, hati saya tersentuh membaca judul berita ini, "GEMBIRA BERKHIDMAT DI MALAYSIA, siaran akhbar Berita harian 4 Februari 2010. Dan, apabila melihat pada visualnya, jelas kegembiraan itu terpancar di wajah mereka. Ada kewacanaan yang cukup kohesi antara judul dengan visual. Walau bagaimanapun, bukan hal ini yang ingin saya royat di sini.
Pada perenggan pertama berita, pengarang mencatatkan, "Lima belia Jepun yang akan bertugas sebagai sukarelawan selama dua tahun di negara ini, tiba di Kelantan semalam untuk tinggal bersama keluarga angkat bagi mendalami bahasa Melayu dan adat masyarakat setempat."
Berita tentang orang asing belajar bahasa Melayu bukan perkara baharu. Dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu di luar negara, hal ini telah terjadi sejak Tanah Melayu belum merdeka lagi. Malah, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Namun, perkembangan itu bukan dari usaha kerajaan memerintah Tanah Melayu / Malaya / Malaysia, melainkan oleh orang asing sendiri. Misalnya, Antonio Peggafetta yang mengembagkan bahasa Melayu di Itali, sejak zaman keagungan Melaka. Dari Itali, bahasa Melayu berkembang ke USSR (Rusia) yang disebarkan oleh Mervert. Daripada Mervert inilah ramai orang-orang Russia yang belajar bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu dan adat budaya Melayu. Malah, mereka mendapat sijil cerdik pun setelah mengkaji bahasa, sastera dan budaya Melayu. Misalnya, V.I. Braginsky yang pernah mengkaji "Evolusi Sajak-Sajak Melayu" untuk tesis P.hDnya. Sehingga kini telah ada dua orang Russia yang datang mengajar kesusasteraan Melayu kepada warganegara Malaysia (orang Melayu) di Malaysia, iaitu Dr. Broris Panickel dan Dr. Victor Pagadaev.
Silalah bertanya pada Dr Victor Pagadaev, kini berkhidmat di Fakulti Linguistik di Universiti Malaya, tentang bidang kajian P.hDnya. Sehingga kini, tidak kurang daripada lapan (8) orang Russia memperoleh P.hD dengan mengkaji kesusasteraan Melayu, seorang peringkat master dan seorang lagi (Mervert) tidak dapat saya kesan bidang kepakarannya. Malah, Dr. Victor Pagadaev sendiri, dalam kata penghantar buku Topeng-Topeng, yang membicarakan sajak-sajak Baha Zain menegaskan bahawa bahasa Melayu paling indah di dunia. Manakala, James T. Collins pula menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.
Pernahkah anda terfikir kerasionalan siaran bahasa Melayu dalam radio di Republik Rakyat China? Siaran ini telah ada sejak sebelum kita merdeka lagi dan hingga kini. Soalnya, siapakah pendengarnya? Untuk apakah siaran itu? Orang Melayu pertama yang dapat saya kesan membantu memperelokkan ujaran bahasa Melayu untuk siaran itu ialah nasionalis Shamsiah Fakeh, sekitar tahun 1940-an/1950-an. Sedangkan sekitar tahun 2000-an barulah kerajaan, secara rasmi, hantar pakar bahasa Melayu bernama Munsyi Habibah membantunya . Kini, sudah ramai rakyat China yang fasih berbahasa Melayu. Demikian juga di korea, Jepun, Thailand dan sebagainya, mempelajari bahasa Melayu mendapat sambutan yang baik.
Yang jelas, nasib bahasa Melayu di luar negara sedang mencacak naik, dipelajari dan dikembangkan oleh rakyat negara mereka. Namun, lain halnya nasib bahasa Melayu dalam negara, yang pada saya umpama hidup segan mati tidak mahu. Pembunuhnya bukan siapa-siapa melainkan orang Melayu sendiri. Malah, ada yang menghina bahasa Melayu dengan mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan bahasa penghantar ilmu Sains dan Matematik. Sedangkan dirinya sendiri memperoleh kejayaan dan rezeki dengan menggunakan bahasa Melayu. Orang seperti ini sepatutnya tidak ada di alam Melayu.
INGAT,
APABILA BAHASA, SASTERA, ADAT DAN BUDAYA BANGSA ITU MATI, MAKA BANGSA ITU AKAN BERANSUR-ANSUR MATI. MAHUKAH BANGSA ANDA MATI?
ADIK BERCAKAP TENTANG BAHASA
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya demikian ayah dan ibu
sesekali hanya tatkala bersama si tukang kebun, kata adik lagi
Adik bercakap tentang bahasa Melayu yang layu di rumah sendiri,
kata adik, kakak dan abang membencinya demikian ayah dan ibu
sesekali hanya tatkala bersama si tukang kebun, kata adik lagi,
dan katanya
"Adapun layu bahasa Melayu di rumahku ini,
kata adik, ayah dan ibulah yang melayukannya!"
26 September 1999
Majalah Akar: Mei - Ogos 2000
2 ulasan:
Mendalam puisi ini. Boleh saya tahu nukilan gerangan siapakah ia..
Sendiri
Catat Ulasan