"Shahidan ajak bertinju! Shahidan ajak bertinju! Sha ...." Jerit budak-budak itu. Beberapa orang menggayakan orang bertinju sambil berlari-lari anak mengelilingi Taman Rakyat.
Pak Mail yang baru meletakkan punggung di kerusi warung, tersentak, mendengar jerit budak-budak itu. "Eh, apa budak-budak tu kata?" ujar Pak Mail kepada entah siapa.
"Shahidan ajak bertinju," sahut Mahmud Warung yang datang mengambil pesanan. "Mahu bertinju," suaranya agak panjang sikit ketika menyebut 'bertinju.'
"Mahu bertinju? Shahidan mana?"
"Laaa... Shahidan mana lagi, Pak Mail. Shahidan Kasim la. Dia ajak bertinju."
"Ajak siapa?"
"Pak Mail tak baca surat khabar ke? Sekarang ni heboh Shahidan Kasim ajak bertinju. Gamaknya nak jadi ahli tinju pula sebab tak dapat jadi Menteri Besar," jelas Mahmud Warung. "Ajak siapa tu ... La ... lupa namanya, siapa ...," sambungnya lagi.
"Shahidan Kasim bekas Menteri Besar Perlis tu? Dia ajak orang bertinju?"
"Aaaa .... Yalah. Shahidan itu la.... Dia ajak orang bertinju dengannya. Apa Pak Mail tak tahu lagi?"
"Is! Isss! Issss ... ! Mujur dia bukan Menteri Besar aku. Kalau tidak malu aku! Malu!" ujar Pak Mail, dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Itulah citra pemimpin kita, Pak Mail," tingkah Wak Jamal yang diam dari tadi. "Dulu tak datang bersidang. Hari ni ajak rakyat bertinju. Esok entah apa pulak?"
"Is! Iisss! Iiisssss!" keluh Pak Mail lagi. Kepalanya masih menggeleng. "Macam itukah pemimpin kita? Macam tadok orang lain!"
"Setakat 'tu saja yang layak. Yang telah ditapis. Yang lain tu, yang tak terpilih, lagi dasyat la gamaknya," jelas Wak Jamal.
"Is! Iiissss! Iiiiisssssssssss! Malu aku. Malu."
"Shahidan ajak bertinju! Shahidan ajak bertinju! Sha ...." Jerit budak-budak itu. Beberapa orang menggayakan orang bertinju sambil berlari-lari anak mengelilingi Taman Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan