Ahad, 17 Januari 2010

CAH KETING

Maksud cah keting ialah mematahkan @ menewaskan lawan.Lazimnya, laras ini digunakan dalam sukan bola sepak. Pemain akan cuba sepak keting lawannya agar keting lawannya itu cedera dan tidak dapat beraksi dengan baik. Keting yang dicahkan itu ialah keting lawan yang handal. Mungkin kerana lawannya itu pandai mengeleceh bola daripada terlepas ke kaki lawan, maka lawan akan cah ketingnya untuk 'ambil' bola. 

Sesuai dengan ciri perlawanan, cah keting juga berlaku dalam politik. Namun cah keting dalam politik adalah metafora bahasa. Bukan keting yang dicahkan, sebaliknya kerjaya politikus berkenaan. Tujuannya agar politikus itu tidak dapat lagi berkhidmat @ berkuasa dan jawatannya itu dapat dirampas.

Lazimnya, cah keting dikaitkan dengan Umno atau partai komponen lain dalam BN. Perkembangan masa, rupa-rupanya, cah keting berlaku dalam partai yang menganggapnya medan perjuangan Islam. Hal ini sangat malang, khususnya kepada penyokongnya.

Kenyataan TG Dato' Nik Aziz bahawa berlaku cah keting dalam Pas, amat mengejutkan. Mengejutkan sebab Pas dikenali sebagai partai Islam. Dalam Islam pula tidak diajar cah keting lebih-lebih lagi terhadap rakan seperjuangan.

Islam tidak menerima perjuangan Robinhood atau Mat Komando. Walaupun motif perjuangannya baik - untuk membantu orang-orang miskin -- namun wang yang digunakan untuk membantu orang miskin itu dicuri. Islam melarang umat-Nya mencuri, walaupun untuk tujuan yang baik. Oleh sebab itu, Islam tidak menerima perjuangan Robinhood atau Mat Komando kerana caranya salah, walaupun tujuannya baik.

Demikian juga -- pada fikiran hamba yang banyak tidak tahu tentang Islam ini --  tujuan, matlamat, niat, cara mahupun kaedah perjuangan dalam partai Islam haruslah diterima @ halal di sisi agama. Cah keting adalah tidak digalakkan, maka saya fikir, ia tidak sesuai dengan partai Islam. Ini bererti, pejuang Pas (tidak semua) adalah tidak ikhlas dan mementingkan diri.

Jika benar ada amalan ala Robinhood @ Mat Komando dalam Pas, adalah malang bagi penyokong Pas. Mereka tertipu di sebalik motto perjuangan. Dan, ini merupakan barah yang bukan sahaja merosakkan Partai Pas, malahan masyarakat juga. Adalah lebih baik kita menjauhkan diri daripada barah yang boleh merosakkan ini.

Satu hal lagi --  selain cah keting -- ialah amalan nepotisme @ kroni. Pas menentang amalan kroni dalam Umno, namun pemimpin Pas sendiri turut mengamalkannya. Kebencian ini turut dilakukan oleh TG Dato' Nik Aziz sendiri apabila melantik menantu sendiri memegang jawatan penting dalam kerajaan sendiri. Dulu memerahani DS (Tun) Abdullah yang melantik menantu, rupanya hal yang sama berlaku terhadap TG Dato' Nik Aziz. Hal ini samalah dengan mengatakan kentuk lawan berbau busuk sedangkan kentuk sendiri pun tidak kalah hebat busuknya.

Kalau menantu DS (Tun) Abdullah menjadi antara sebab kekalahan Umno / BN / dan Abdullah sendiri, hal yang sama juga bakal terjadi terhadap kerajaan Pas Kelantan. Menantu dan anak-anak TG Dato' Nik Aziz menjadi duri dalam daging yang bakal merosakkan nama TG Dato' Nik Aziz dan kerajaan Pas Kelantan. Nampaknya, TG Nik Aziz tidak berupaya menasihati mereka dan mereka pula 'keras kepala' dan 'tunjuk pandai'  dengan menyalahkan orang itu dan orang ini untuk berkuasa. Tidakkah ini juga dinamakan cah keting?

Kalau kemuncak DS (Tun) Dr. Mahathir ialah semasa majlis menyambut 15 tahun beliau sebagai PM, kemuncak DS (Tun) Abdullah ialah apabila Umno / BN menang dengan manjoriti besar dalam pilihan raya tahun 2004, kemuncak TG Dato' Nik Aziz pula ialah pada 8 Mac 2008. 

Kalau anak, menantu dan kalangan pemimpin Pas terus bercah keting, maka tunggulah zaman gelapnya. Kemenangan Pas, Dap dan Keadilan dalam PRU 8 Mac 2008 itu kerana rakyat marah kepada DS (Tun) Abdullah dan Umno / BN. Hal yang sama mungkin akan menimpa partai alternatif, kecuali mereka cepat sedar dan berusaha membaikinya.

Apapun, kita tunggu dan lihat.

4 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Pertama, barangkali bimbang kita juga seperti peribahasa ini - kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Kedua, kita tak payah hairan sangat, kalau cah keting berlaku sebab di zaman Nabi sendiri, sudah ada puak dan juak munafik. Betapalah zaman kita pada hari ini.

Ketiga, saya sudah tempah beberapa buah buku dan sudah buat bayaran [online], jadi sedang menunggu respon cikgu!

NASSURY IBRAHIM berkata...

1.
Walaupun kita berkuasa, jangan biarkan anak menantu bini campur tangan dalam urusan rasmi kerajaan. Jangan sampai jadi kerajaan keluarga kerana ia bakal mengundang padah.

2.
Maaf kerana terlewat hantar. Saya dah pos semalam. Harap diterima hari ini.

Tanpa Nama berkata...

Nampaknya kepimpinan Pas Kelantan akan berakhir. Menantu dan anak TG jadi parasit Pas Kelantan. Kalau terjadi, mereka patut dihukum

NASSURY IBRAHIM berkata...

kerana menantu rosak kerjaya mentua