Jumaat, 25 Oktober 2013

CPD Siri 12/2013

Ucapan Majlis Penutup Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuing Professional Development (CPD)) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) KPM Siri 12/2013 di Best Western Sandakan Hotel & Residence pada 21 - 25 Oktober 2013.

  1. Setelah lima hari empat malam cikgu-cikgu berkursus CPD ini, saya yakin telah banyak maklumat cikgu-cikgu peroleh.
  2. Harapan kami, sebanyak mana maklumat yang cikgu-cikgu peroleh di sini, akan sebanyak itu juga maklumat tersebut sampai ke rumah cikgu, sampai ke sekolah cikgu dan diaplikasikan dalam bilik darjah.
  3. Sebagai guru, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Di tangan kitalah - di tangan saya, di tangan jurulatih, di tangan kauselor, di tangan urus setia dan di tangan cikgu-cikgu - hidup atau mati matlamat PPPM, berjaya atau gagal hasrat PPPM, hasrat kementerian, hasrat negara, dan yang paling utama ialah hasrat masyarakat.
  4. Tanggungjawab kami, para Jurulatih Utama, telah kami sempurnakan dan telah selesai dengan berlangsungnyanya Majlis Penutupan ini. Kini, tanggungjawab seterusnya terletak di minda, di hati dan di tangan cikgu-cikgu sekalian.
  5. Sesungguhnya, kita tidak mampu membina bangunan kerana kita tidak ada ilmu membina bangunan. Namun begitu, kita mempunyai ilmu dan kepakaran membina intelektual manusia, membina modal insan generasi sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan melalui agenda PPPM.
  6. Jika kita dapat 'mengorangkan' manusia, berjaya membina modal insan generasi, bererti usaha kita telah menepati hasrat kerajaan. Sekali gus, kita telah membuat amalan jariah yang ganjaran pahalanya sentiasa membiak dan berterusan sampai kiamat.
  7. Namun, jika di minda kita, di hati kita dan di tangan kita telah menyebabkan manusia menjadi 'bagai bunga kembang tak jadi,' atau modal insan generasi terbantut dan keterbantutan modal insan itu diwarisi dan diwarisi, maka sampai kiamat juga kita akan menerima musibah.
  8. Kejayaan dan keterbantutan modal insan inilah sebenarnya nilai dan harga seseorang guru, sama ada pekerjaan guru itu menjadi mulia, atau sebaliknya.
  9. Justeru, Saya, mewakili Jurulatih Utama CPD dalam siri ini sangat bertuah dan berbesar hati, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPD, JPN dan Kementerian, khususnya kepada urus setia kerana telah menyedia dan menawarkan peluang kepada kami untuk beramal jariah.
  10. Kepada para peserta kursus, kami mohon kemaafan terhadap segala kesilapan tutur kata, ucap contoh, keterlanjuran tingkah-laku, ketidaksempurnaan mengurus sesi dan segala macam ketidaksenangan hati sepanjang cikgu-cikgu berkursus CPD Siri 12/2013 di Sabah ini.
  11. Saya akhiri ucapan penutupan ini dengan dua kerat pantun;
        Di sini padi di sana padi
           Baru bernama sawah dan bendang;                          
        Di sini budi di sana budi, 
           Baru sempurna menjadi orang.
        Dari Balung pergi Sandakan
           Naik teksi warna merah,      
        Ilmu dikandung diamalkan;
           Itu rezeki amalan jariah.

SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.

Khamis, 17 Oktober 2013

Makroton


Makroton 182 jam tanpa henti pada 4 - 11 Oktober 2013. Terima kasih kepada semua, orang di atas orang di bawah orang di kanan orang di kiri orang di dalam dan orang di luar kampus IPGK Tawau. Ini adalah kejayaan kita bersama.




Selasa, 24 September 2013

Bas Berhenti-Henti


Pada tahun 1990-an, terdapat satu iklan tentang keselamatan di jalan raya yang disiarkan di televisyen Malaysia. Iklan itu berbunyi, “Berhati-berhati di jalan raya.” Moral iklan ini adalah sangat baik. Penganjur menyarankan agar pengguna berhati-hati ketika memandu. Namun begitu, iklan yang sangat bervisi ini mendapat kecaman hebat daripada masyarakat, khususnya ahli bahasa. Mengapa? Sebab penggunaan bahasanya sangat memalukan.

Dalam bidang morfologi terdapat satu aspek yang dinamakan kata ganda. Yang dikatakan kata ganda ialah satu proses pengulangan kata dasar. Dalam iklan di atas, kata dasar yang diulangkan ialah ‘hati.’

Maksud ‘hati’ merujuk kepada seketul daging dalam tubuh manusia. Istilah ‘hati’ dalam Islam dikenali sebagai ‘qalbu.’ Hati menjadi pusat moraliti manusia. Kalau hati rosak maka rosaklah seluruh jentera tubuh manusia itu.

Kata ‘hati’ berada dalam golongan kata nama. Apabila kata ‘hati’ digandakan membentuk kata terbitan, ‘hati-hati.’ Perkataan baharu ini berubah status, dari kata nama kepada kata kerja.  

Dalam ilmu bentuk kata, kata ganda mempunyai tiga jenis, iaitu kata ganda penuh, kata ganda separa, dan kata ganda berentak. Dikatakan kata ganda penuh kerana seluruh kata dasar digandakan. Dikatakan kata ganda separa kerana sebahagian daripada kata dasar telah digandakan. Manakala, dikatakan kata ganda berentak kerana kata dasar kedua yang digandakan itu mengikut rentak bunyi tertentu. Tentunya ada kaitan dengan estetika.

Berbalik kepada iklan, kata yang digandakan ialah ‘hati’ menjadikannya ‘hati-hati.’ Kata ‘hati-hati’ menerima imbuhan awalan beR-. Formulanya;

beR-  +  kata dasar  = kata terbitan
(ber- + hati-hati = berhati-hati)

 Oleh sebab dalam iklan itu diucapkan ‘berhati-berhati,’ maka kata ganda tersebut adalah salah. Tidak ada kata ganda ‘berhati-berhati’ dalam bahasa Melayu. Yang ada ialah ‘berhati-hati.’ Kata ini tergolong dalam bentuk kata kerja.

Jika anda melawat Bandar Tawau, anda akan bertemu dengan bas yang dijenamakan sebagai ‘Bas Berhenti-Henti.’ Proses pembentukan kata ‘berhenti-henti’ adalah sama dengan kata ‘berhati-hati.’

‘Berhenti-henti’ merupakan kata kerja. Kata ‘henti’ juga merupakan kata kerja. Apabila kata ‘henti’ digandakan, maka terbentuk kata ‘henti-henti.’ Kata itu boleh menjadi kata kerja dan boleh menjadi kata nama. Ia bergantung pada mesej dalam ayat.

Frasa ‘Bas Berhenti-Henti’ di Bandar Tawau adalah merujuk kepada fungsi (a) perbuatan bas, dan (b) jenama bas. Dikatakan (a) kerana bas itu selalu berhenti sebelum sampai ke destinasi terakhir. Namun, oleh sebab frasa itu dicatat pada badan bas, maka fungsi utama frasa itu adalah merujuk jenama bas. Apabila merujuk kepada jenama, sama ada nama manusia, haiwan, benda, mahupun organisasi, bentuk kata yang sesuai digunakan ialah kata nama. Maka jenama bas itu sepatutnya, ‘Bas Henti-Henti.’

Demikian sedikit catatan berkenaan bentuk kata ganda dan cara menggunakannya dengan betul. Semoga catatan ini memberi manfaat terhadap perlakuan berbahasa kita. Kita sebenarnya sering disesati kebiasaan berbahasa lisan yang kita warisi

Isnin, 23 September 2013

Politik Beradab

Berkata Mohd Afiq Mohd Saleh (Harakah 17 – 20 September 2012), sesiapapun akan marah jika gambarnya dipijak, dihina atau diperlakukan di luar batas adat budaya bangsa. Lebih-lebih lagi, jika dia mempunyai status besar dalam masyarakatnya.
Sebenarnya tidak salah memarahi kerana sifat itu diberikan oleh Tuhan. Namun, menterjemah kemarahan dengan perbuatan hina, sekalipun kebencian itu di pihak yang benar, ia bukan cara positif menyatakan kebencian. Perbuatan itu bukan budaya Melayu, dan jauh sekali daripada ajaran agama Islam.
Walaupun bukan fenomena baharu dalam arena politik Barat, namun kebiasaan itu bukan teladan yang baik untuk diterap dalam jiwa masyarakat Malaysia. Benci terhadap kezaliman adalah wajib, tetapi cara meluahkannya perlu dilaksanakan secara beradab.
Nabi mengajar umatnya agar membalas keburukan dan kezaliman dengan cara berhikmah dan sopan. Dengan cara ini, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah, malahan dapat menjadi saluran dakwah dan menghindarkan daripada  saluran fitnah terhadap agama.
 
Pelakuan manusia menggambarkan adat dan adab budaya bangsanya. Sekali gus mengandungi unsur-unsur dakwah. Jika ditonjolkan amalan negatif, maka agama, bangsa dan negaranya akan dianggap bercitra negatif. Imej dakwahnya akan bertukar menjadi dakyah.
Lebih malang lagi, jika pelakuan hina itu datang daripada pemimpin masyarakat atau negara, atau individu dan partai yang tebal imej agama mahupun imej nasionalisme bangsa. Jika kepemimpinan mereka hilang adat dan adab budaya bangsa dan nilai-nilai agama, maka politiknya itu menjadi pisau kezaliman. Pisaunya itu bakal membunuh agama dan bangsanya.
Alangkah indahnya jika semua politikus membudayakan politik beradat dan beradab. Mereka berjuang, bersaing dan berkempen dalam suasana sihat. Sentiasa merenung ke dalam diri dan membaca kemampuan diri, tanpa mengamalkan politik menerkam dan menyalahkan.
Siasah politik bertujuan membangunkan bangsa dan negara. Kempen politik bertujuan membentangkan usaha-usaha untuk membangunkan bangsa dan negara. Maka, pelakuan beradat dan beradab adalah sangat penting agar negara dapat dibangunkan, dan moral dapat ditingkatkan.
Sungguh memalukan jika perbuatan mengencingi gambar pemimpin berlaku dalam masyarakat kita. Lebih memalukan dan hina, jika perbuatan itu dilakukan oleh golongan yang sudah lanjut usia. Mereka sepatutnya menjadi teladan positif kepada generasi kerana ketuaan mereka itu menjadi lambang kekayaan adat dan adab budaya bangsanya.
Dalam budaya Melayu, perbuatan negatif disosialisasikan melalui kata-kata, “Kau mau jadi apa? Mahu jadi orang atau syaitan?” Dan, dalam masyarakat Cina Baba pula menterjemahkannya sebagai “nang bouti nang, kui bouti kui: nak kata orang bukan orang, nak kata hantu bukan hantu!”
Masyarakat Melayu sangat mementingkan susila. Pelakuan susila melambangkan budi bahasa, dan sekali gus melambangkan adat dan adab. Manusia berbudi dan beradab adalah sebenar-benarnya orang, sebagaimana gambaran dalam pantun di bawah.
             Di sini padi di sana padi,
             Baru bernama sawah dan bendang;
            Di sini budi di sana budi,
            Baru sempurna menjadi orang.
Kesimpulannya, politik beradab adalah politik yang dapat membangunkan bangsa dan negara. Politik yang mendokong adat dan adab bangsa. Jauh lebih penting daripada itu, politik beradab ialah politik yang memartabatkan agama dan bangsanya. Politik yang mesra pengguna tanpa mengira agama, bangsa dan partainya.

Selasa, 13 Ogos 2013

Sajak Pelajar Kemas


Semoga usaha yang sedikit ini akan membuahkan hasil yang lumayan dan berpanjangan. Sajak-sajak oleh guru Kemas di Semporna dan Lahab Datu yang belajar di IPG Kampus Tawau.
UTUSAN BORNEO 11 OGOS 2013

Jumaat, 9 Ogos 2013

Abdulaziz HM

Saya seronok apabila mendapat tahu (melalui FB) bahawa Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) akan menganjurkan seminar tentang tokoh yang berjasa kepada dunia sastera Tanah air. Sepanjang berada di Kelantan, telah beberapa kali saya bercakap kepada kawan-kawan (Abdul Hadi Yusuf, Wadi Leta SA misalnya) agar PPK menganjur satu perbicaraan ilmu tentang tokoh-tokoh yang telah pergi.
 
"Kalau tidak kita menganjurnya, siapa lagi," tegas saya. Yang terbayang dalam kepala saya ialah tidak mahu perginya seseorang bersama-sama jasanya.
 
Saya memahami akan kekangan kewangan untuk menganjurnya, maka saya mengajak menganjurnya secara kecil-kecilan dalam kalangan rakan-rakan. Mungkin dalam kalangan 10 orang peserta. Tempat tiada masalah. Saya boleh memohon daripada pentadbir IPG Kota Bharu.
 
Namun, hasrat ini tidak terlaksana pada masa itu. Mungkin disebabkan masalah-masalah lain maka hasrat itu tidak terlaksanakan.
 
Abdulaziz HM merupakan nama besar dalam kesusasteraan Tanah air. Beliau merupakan pelopor teater mini kata di Malaysia. Perihal teater mini kata banyak diperkatakan sekitar tahun 1970-an dan awal 1980-an. Malangnya, saya tidak pernah terbaca tulisan ilmiah tentang sumbangannya ini.
 
Oleh sebab beliau bergiat dalam teater, beliau telah menubuhkan kumpulan teater yang dikenali sebagai Teater Malini. Melaluinya, beliau berhasil menganjurkan persembahan secara berkala dan spontan. Namun yang lebih penting, melalui Teater Malini, beliau Berjaya melahirkan bakat-bakat pelapis. Misalnya, Othman Ladin Nuawi dan Maarof Seman RS.
 
Othman Ladin Nuawi pula berjaya mengembangkan ilmu teater kepada kanak-kanak. Malah, Othman Ladin Nuawi Berjaya menganjurkan beberapa persembahan teater peringkat nasional. Misalnya, teater Durian Gergasi.
 
Jarang diketahui umum ialah sumbangannya dalam bidang seni suara. Beliau telah memberi nama Kopratasa kepada kumpulan nyanyian dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso. Malah, beberapa buah sajaknya telah diangkat menjadi lagu oleh Kopratasi. Misalnya, sajak 'Akan Datang Akhir Disember Ini.' Sajaknya yang paling mendapat sentuhan, khususnya kepada para isteri, ialah sajak 'Permata.' Malangnya, ramai para wanita/isteri tidak mengetahui bahawa lagu nyanyian Kopratasa itu berasal daripada sajak beliau.
 
Satu-satunya buku sajak yang dihasilkan oleh beliau (yang saya tahu) ialah kumpulan sajak Kopratasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya tertarik dengan kumpulan sajak ini sebagaimana saya tertarik dengan beberapa kumpulan sajak oleh penyair lain. Saya selalu membelinya walaupun sudah ada dalam simpanan. Juga saya sering mengesyorkan kepada para pelajar agar membelinya, jika terjumpa.
 
Abdulaziz HM bukan setakat menulis sajak. Beliau juga mengkritik karya kesusasteraan. Pada pertengahan 1980-an, beliau telah mengkritik kumpulan sajak Pesisir Waktu oleh Latiff Mohidin, dan kumpulan sajak Sihir Hujan oleh Sapardi Djoko Damono. Kedua-duanya disiarkan dalam akhbar Berita Minggu. Saya percaya banyak lagi tulisan kritikan dihasilkannya. Alangkah baiknya jika ada usaha mengumpulkan kritikan-kritikannya itu.
 
Oleh sebab kekaguman saya terhadap karyanya, saya pernah berusaha mengundang dating membuat persembahan di Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sekitar tahun 1988. Beliau bersetuju dan datang meninjau pentas. Malangnya, disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan, usaha saya itu tidak menjadi kenyataan.
 
Sepanjang berkhidmat di Kuala Lumpur, saya sering bertemunya, khususnya dalam beberapa acara di Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur. Selebihnya, saya bertemu beliau beberapa kali di Central Market, berborak-borak sambil minum teh tarik.
 
Semoga usaha yang dilakukan oleh PPK dan DBPWT tidak setakat ini sahaja. Masih ramai penulis-penulis Kelantan yang perlu 'dihidupkan' kembali. Misalnya, Abdullah Tahir, Mustaffa Jusuh, Wan Yusof Hassan, Talib YK, Mat Daud Molly, Khairi Che Teh, dan lain-lain. Elok usaha menghidupkan kembali tokoh-tokoh yang telah pergi itu digerakkan juga oleh badan-badan penulis di peringkat daerah di Kelantan.

Sabtu, 3 Ogos 2013

Peliharalah Bahasa Kamu

Berkata O.T. Dusseck, "...bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupa hakikat itu. Peliharalah bahasa kamu itu; berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu" (The Straits Times, 1935).
 
Ya, seingat aku orang pertama bercakap dalam bahasa Melayu dan didengari seluruh dunia (siaran langsung) ialah Tan Seri Razali Ismail. Beliau berucap ketika mempengerusikan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekitar tahun 1990-an.
 
Othaman Theodore Dusseck lahir di Surrev, England pada 16 November 1886. Datang ke Tanah Melayu pada tahun 1912, berkhidmat sebagai guru pembantu di Sekolah Tinggi Melaka. Dilantik sebagai ketua di Kolej Melayu pada 1914 dan seterusnya sebagai Pengetua di Sultan Idris Training College pada tahun 1922 - 1926. Beliau meninggal pada tahun 1965.

Ahad, 21 Julai 2013

Karya Kreatif Bukan Realiti Kehidupan

Saya tertarik untuk memberi sedikit komentar terhadap tulisan Dr. Asri Zainal Abidin dalam Malaysiakini bertarikh 11 Julai 2013 dengan judul 'Kehidupan Bukan Sebuah Novel.'
 
Beliau mencatatkan;
 
"Pada pandangan saya, kesungguhan untuk memberikan penilaian terhadap rumusan keseluruhan kehidupan bagi sesebuah watak yang diwujudkan dalam novel, cerpen, drama, filem ataupun sebagainya bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat".
 
Kurang pula saya bersetuju dengan pandangan Dr. Asri berkenaan petikan di atas. Terutama frasa 'bukanlah satu kerja yang begitu bermanfaat.' Pandangan beliau itu atas alasan karya kreatif dicipta oleh manusia, bukan gambaran kehidupan sebenar daripada Allah. 
 
Karya kreatif merupakan rekaan yang peristiwanya tidak benar-benar berlaku. Maka tidak boleh disamakan dengan kehidupan sebenar daripada Allah. Peristiwanya tidak boleh dipercayai sebagai benar-benar berlaku. Walau bagaimanapun, ada hukum kausaliti daripada peristiwa tersebut. Jika watak melakukan Peristiwa A akan mendatangkan Akibat A, dan seterusnya, dan sebaliknya. Jika pembaca faham bahawa Peristiwa A akan mendatangkan Akibat A negatif, maka dia hendaklah menteladani dengan mencari jalan ke arah Peristiwa B, yang mungkin Akibat B adalah positif.
 
Yang cuba disampaikan oleh pengarang ialah mesej di sebalik peristiwa imaginasi itu. Tanpa peristiwa imaginasi tidak akan ada mesej teladan dan dakwah melalui karya kreatif tidak menjadi. Amat sukar kepada pengarang hendak memaparkan keikhlasan watak hingga berlaku Peristiwa A. Selagi kerja itu dilakukan oleh manusia secara imaginasi, ia tetap boleh dipertingkaikan akan keikhlasan yang cuba diterapkan pada watak imaginasi. Keikhlasan manusia hanya Allah sahaja yang tahu sebagaimana peristiwa pelacur memberi anjing minum. Jika Nabi tidak memberitahu akan kesan perbuatan pelacur itu (kerana manusia tidak mengetahui keikhlasannya), saya percaya, tiada yang menganggap pelacur itu akan ditempatkan di Syurga Allah.
 
Kalau mencipta kehidupan imaginasi (berkreatif) tidak boleh dilaksanakan oleh pengarang, maka kecillah kebesaran kuasa-Nya yang diberikan kepada manusia. Walau bagaimanapun, saya bersetuju, kalau kisah-kisah tokoh sebenar dikreatifkan. Peristiwa atau dialognya mungkin tidak sama sebagaimana peristiwa dan dialog sebenar. Peristiwa dan dialog dalam karya kreatif itu boleh menjerumuskan kepada fitnah, jika peristiwa dan dialog itu tidak benar-benar tepat.
 
Maka, kesimpulan Dr. Asri itu, "Saya simpulkan dari segi agama bahawa kita boleh menilai peristiwa-peristiwa yang dikhayal dalam sebuah karya sebagai satu andaian peristiwa seperti andaian hukum bagi perkara iftiradi (andaian), namun kita tidak boleh membuat kesimpulan tentang keseluruhan kehidupan yang direka dan dirumuskan oleh seseorang pengkarya. Ini kerana ia hanya rekaan semata sedangkan perjalanan hidup sebenar yang Tuhan takdirkan yang sangat tersendiri dengan segala hikmat dan rahsianya" tidak sepatutnya kerja-kerja manusia dipadankan dengan kerja-kerja Allah.

Dan saya yakin, apapun yang dilakukan oleh manusia pengarang tetap ada manfaat yang boleh dikongsikan oleh manusia lain, walaupun tidak 100 peratus. Misalnya, ramai yang memperoleh ijazah dan seterusnya memegang jawatan tinggi dengan hanya (asalnya) mengkaji karya kreatif.  MAAF DAN AMPUN, ITU PANDANGAN AMBO YANG SERBA KURANG INI.

Ahad, 14 Julai 2013

Bahasa Paling Indah

Berkata Dr Victor Pagadaev, "Terjemahan puisi dipaparkan bersama dengan teks asal supaya pembaca boleh menikmati bunyi bahasa Melayu yang merupakan bahasa yang terindah di dunia".


Bersama Dr Victor Pagadaev, 3 Julai 2013, DBP

Isnin, 13 Mei 2013

Sasterawan Negara Ke-12


Dalam intro kertas kerja saya bertajuk Sinisme Sajak-Sajak Baha Zain, saya mencatatkan, “Jika saudara melihat Baha Zain: cara beliau berjalan, bercakap, senyum, beraksi, malah fizik tubuhnya yang kecil, dan pada hari yang lain saudara diberi sajak tanpa tercatat  nama beliau, dan saudara baru pertama kali membacanya, saya yakin saudara tidak akan mengatakan bahawa sajak tersebut adalah hasil minda dan rasa beliau. Terdapat sangat kontras dan paradok antara Baha Zain di alam realiti dengan Baha Zain dalam sajak. Di alam realiti, Baha Zain seorang yang lemah-lembut, mudah tersenyum dan menyapa. Namun, sajak-sajak Baha Zain sangat sinis, mengejek, memperli, keras, malah berunsur erotik.”
                             
Kertas kerja itu telah disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera tahun 2004, dan kemudian diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sesi 2004-2005. Dalam kertas kerja itu, saya mengisytiharkan bahawa sajak beliau berjudul “Menangguhkan Kebenaran” merupakan sajak terbaik disebabkan kekayaan gaya bahasa dan pemikiran tinggi.

Rabu, 27 Februari 2013

Pengalaman Kreatif Peta Perjalanan

Pengalaman  kreatif

1.
Peta Perjalanan (judul asalnya Sejak Kau Hadir ) merupakan  sebuah manuskrip puisi berunsur Islam dan pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah Sastera (Puisi) Daruliman 3 (ASDI 3)  tahun 1995, anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita). Pertandingan  terbuka kepada seluruh warga nusantara yang menggunakan Bahasa Melayu. Panel telah menerima sebanyak 67 buah manuskrip puisi karya penyair dari Indonesia, Singapura dan Malaysia. Menurut panel hakim, 

Kumpulan Sejak Kau Hadir membawa tema keislaman yang kental dan padat berhubung dengan soal akidah keislaman, pemikiran dan kehidupan. Kesemuanya diungkap secara terkawal dan menarik.

Khamis, 24 Januari 2013

Masa Depan Sajak Malaysia

Isu masa depan sajak di Malaysia dapat ditinjau dari dua aspek. Pertama dari aspek aktivis, dan kedua, dari aspek mutu sajak. Termasuk dalam aspek aktivis ialah penerbit, persatuan, agensi kementerian, kerajaan tempatan dan pihak swasta.

         Dibandingkan dengan dekad 1960-an dan 1970-an, bilangan penulis sajak dekad 2000-an mengalami kemerosotan. Minat masyarakat terhadap sajak dan dunia persajakan menurun. Pandangan ini berasaskan keahlian persatuan penulis dan kesediaan media cetak menyediakan ruangan sastera. Didapati ruangan disediakan semakin terhad. Walaupun penulis sajak tetap lahir dalam dekad 1990-an hingga kini, namun kelahirannya tidak memeriahkan aktiviti pesajakan sebagaimana dekad sebelumnya.

Selasa, 8 Januari 2013

Falsafah Sastera Melayu

Dalam tradisi Barat, falsafah bertujuan menyelesaikan masalah manusia. Dalam tradisi Islam, falsafah bertujuan menemui kewujudan Tuhan. Dalam tradisi Melayu, falsafah bertujuan membentuk seorang orang. Dalam tradisi sastera Melayu, falsafah bertujuan memberi teladan (pengajaran dan peringatan).