Dalam intro kertas kerja saya bertajuk Sinisme
Sajak-Sajak Baha Zain, saya mencatatkan, “Jika
saudara melihat Baha Zain: cara beliau berjalan, bercakap, senyum, beraksi,
malah fizik tubuhnya yang kecil, dan pada hari yang lain saudara diberi sajak
tanpa tercatat nama beliau, dan saudara
baru pertama kali membacanya, saya yakin saudara tidak akan mengatakan bahawa
sajak tersebut adalah hasil minda dan rasa beliau. Terdapat sangat kontras dan
paradok antara Baha Zain di alam realiti dengan Baha Zain dalam sajak. Di alam
realiti, Baha Zain seorang yang lemah-lembut, mudah tersenyum dan menyapa.
Namun, sajak-sajak Baha Zain sangat sinis, mengejek, memperli, keras, malah
berunsur erotik.”
Kertas kerja itu telah disiarkan dalam Majalah
Dewan Sastera tahun 2004, dan kemudian diangkat sebagai pemenang Hadiah Sastera
Perdana Malaysia sesi 2004-2005. Dalam kertas kerja itu, saya mengisytiharkan
bahawa sajak beliau berjudul “Menangguhkan Kebenaran” merupakan sajak terbaik
disebabkan kekayaan gaya bahasa dan pemikiran tinggi.
Memang Baha Zain, yang juga menjadi mentor kepada
kami – para penulis muda tanah air yang bergiat dalam Persatuan Penulis
Nasional Malaysia (PENA) – telah dicalonkan menerima Anugerah Sasterawan Negara
sejak tahun 1990-an lagi.
Disebabkan saingan yang sengit, pada 15 Mac 2013
barulah tokoh penyair dan pemikir ini diisytiharkan sebagai penerima Anugerah
Sasterawan Negara ke-12 oleh Timbalan Perdana Menteri. Penerima terdahulu
terdiri daripada Kamaludin Muhammad (Keris Mas, 1981), Shahnon Ahmad (1982),
Usman Awang (1983), A. Samad Said (1985), Muhammad Abdul Biang (Arena Wati,
1987), Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain
(1996), Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan, 2003), Mohd Anuar Rethwan
(Anwar Ridhwan, 2009), dan Ahmad Kamal Abdullah (Kemala, 2011).
Sikap sinis dan intelektualisme Baha Zain tergambar jelas dalam sajaknya.
Sajak berjudul “69,” misalnya, Baha Zain mengkritik sikap bongkak para pemimpin
dan kepincangan masyarakat. Kemala menganggap sajak siaran majalah Dewan
sastera bulan Disember 1968, menjadi ramalan tepat tercetusnya peristiwa 13
Mei.
Penyair 69
katakan semau-maunya
dengan segala keangkuhan
dengan segala kebesaran
sajak ini bosan air mata
sonder seni sonder bahasa
sonder hukum sonder tradisi
kami petugas revolusi
Sebagai generasi terkemudian, saya anggap citra
masyarakat 1960-an itu adalah seumpama citra masyarakat pasca-PRU12. Mereka
bergerak dan hidup dalam kesombongan masing-masing.
Dalam akhir abad ke-20, Baha Zain anggap para
pemimpin tempatan bak ayam jantan hutan yang “ekornya main tahi” (sajak Si Mata
Hitam) dan “seluruh Malaysia merumahkan orang gila” (sajak Sanatorium Terbesar di Dunia). Jauh sebelum itu, melalui sajak Menangguhkan
Kebenaran, Baha Zain anggap profesor, diplomat dan peguam sebagai kelompok
manusia yang suka berbohong kepada rakan dan keluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan