Pengalaman kreatif
1.
Peta
Perjalanan (judul asalnya Sejak Kau Hadir ) merupakan sebuah
manuskrip puisi berunsur Islam dan pernah memenangi Hadiah Galakan, Anugerah
Sastera (Puisi) Daruliman 3 (ASDI 3)
tahun 1995, anjuran Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).
Pertandingan terbuka kepada seluruh
warga nusantara yang menggunakan Bahasa Melayu. Panel telah menerima sebanyak
67 buah manuskrip puisi karya penyair dari Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Menurut panel hakim,
Kumpulan Sejak Kau Hadir membawa tema keislaman
yang kental dan padat berhubung dengan soal akidah keislaman, pemikiran dan
kehidupan. Kesemuanya diungkap secara terkawal dan menarik.
2.
Saya anggap sajak-sajak dalam kumpulan Peta Perjalanan ini terdiri daripada sajak-sajak ilmu.
Kebanyakan sajak-sajak itu terhasil ketika saya sedang mengikuti kuliah Diploma Falsafah Sains Islam di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam
(ISISn) pada tahun 1992/1993. Saya banyak terpengaruh dan terpesona dengan
ilmu-ilmu yang baharu dipelajari. Saya pada waktu itu mendalami ilmu-ilmu sains Islam hasil
pemikiran Ikwan al-Safa, al-Biruni, Ibn Rusd, al-Ghazali, Seyyed Hossein Nasr,
Zainuddin Sadar dan lain-lain. Saya juga
banyak menalaah buku-buku berkenaan pemikiran falsafah sama ada buku dari
Malaysia mahupun Indonesia (asli dan terjemahan).
Saya memanfaatkan ilmu yang diperoleh dengan cara
mencatat intipati ilmu itu dan menulisnya dalam bentuk puisi. Prosesnya bermula
dengan catatan-catatan ringkas. Dari catatan itu saya olah dan tulis kembali
dalam bentuk kreatif. Pada mulanya saya berbuat demikian sebagai satu langkah
untuk memudahkan saya memahami dan mengingati ilmu yang baharu dipelajari. Cara
itu ternyata berkesan kepada saya. Kaedah ini bersesuaian dengan jiwa saya yang
minat membaca dan menulis sajak.
Kebetulan pada waktu
itu terlintas di hati saya mahu mencari kelainan dalam penghasilan sajak. Saya
mendapat idea melakukan kelainan dengan menghasilkan sajak-sajak yang saya
anggap mempunyai ilmu akademik. Saya mengistilahkan idea saya itu sebagai
sajak-sajak berilmu. Kebetulan kebanyakan sajak yang saya temui terasa
penghasilannya bertolak daripada imaginasi dan pengalaman peribadi penulis
semata-mata. Amat jarang sajak yang saya
temui ditulis berasaskan kepelbagaian disiplin ilmu.
Dari niat awal
menjadikan sajak sebagai teknik pembelajaran kini telah beralih kepada
penghasilan sajak. Saya berusaha mengolah sekreatif mungkin. Hasilnya tercipta
sebahagian daripada sajak-sajak dalam
kumpulan Peta Perjalanan ini.
Dalam kumpulan ini
tidak semua sajak-sajaknya berasaskan ilmu yang saya pelajari dalam bilik
kuliah berkenaan. Terdapat juga sajak-sajak yang saya tulis kemudian yang
berasaskan ilmu dari buku yang saya baca. Terdapat juga sajak-sajak yang
berasaskan imaginasi kerana kumpulan Peta
Perjalanan turut memuatkan sajak-sajak sebelumnya.
3.
Sajak pertama, Islam,
sangat sederhana mesej dan bentuknya. Saya memberi definisi Islam mengikut
kefahaman sendiri. Kita selalu difahamkan bahawa bukti pengislaman seseorang
ialah dengan lafaz dua kalimah syahadat. Ia merupakan pengakuan pertama
keIslaman orang berkenaan. Malah, ia adalah permulaan semiotika keislaman.
Tetapi, adakah dengan pengucapan itu sudah mencukupi dan dapat membuktikan
keislamannya?
Selain perbuatan, Islam juga mementingkan niat. Niat
keIslaman seseorang harus jelas. Pengislamannya bukan kerana paksaan atau kerana dijanjikan akan diberi
harta atau jawatan. Atau, pengislamannya bukan kerana mahu berkahwin dengan
pasangan Islam. Pengislaman mesti atas kerelaan hati dan kesedaran jiwa akan
kebesaran Allah. Maka, niat pengislaman itu mesti kerana Allah, bukan kerana
dipaksa, harta, jawatan atau manusia dan sebagainya.
Namun niat tidak menjamin kekekalan keislaman seseorang.
Seseorang dianggap beragama Islam apabila
hidup dan matinya dalam Islam.
Kematian yang diingini ialah kematian yang berakhir dengan ucapan
kalimah syahadat. Ucapan kalimah syahadat merupakan tanda permulaan dan
pengakhiran keIslaman seseorang. Ia harus bermula kerana Allah dan berakhir
(matlamat) kerana Allah, sebagaimana isi sajak berkenaan.
Bermula dengan syahadat
ke Allah niat
berakhir dengan
syahadat
ke Allah matlamat
Di manakah ilmunya? Bagi saya keilmuan sajak ini kerana
kebenaran isinya yang boleh dibuktikan. Bukti keislaman seseorang kerana
pengucapan syahadatnya. Bukti ketaatan kepada Islam pula ialah apabila
pengkahirannya juga dalam lingkungan syahadat. Demikian juga dengan sajak Cinta Allah yang menggambarkan ‘isi’
keIslaman seseorang sebagaimana disarankan oleh Islam.
Sajak ‘Nombor, Di
Sekolah Syahadah 1, Alam Semesta’ berasaskan kepada pemikiran Ikhwan
al-Safa, sebagaimana terdapat dalam buku Seyyed Hossein Nasr berjudul ‘Pengantar Kosmologi Islam’. Sajak ‘Nombor’ misalnya, sangat jelas membawa
pemikiran Ikhwan al-Safa. Isinya turut diperbincangkan dalam kuliah oleh para
pensyarah.
Ikhwan al-Safa menggunakan nombor untuk mengenali
Pencipta dan kebesaran-Nya. Ini adalah sesuatu yang asing kepada saya. Saya
hanya mengetahui nama Pythagoras dalam ilmu matematik tanpa mengetahui
peranan Ikhwan al-Safa.
Dalam sajak ‘Nombor’
itu saya menggabungkan pendapat Ikhwan al-Safa dengan pendapat Pythagoras. Saya
mencatatkan,
Dia warga Pythagoras
di negeri matematik
tiba-tiba menjadi
kunci kuasa
Ikhwan al-Safa
Dengan ‘kunci
kuasa’ itulah Ikhwan al-Safa mentafsir kebesaran Allah di sebalik alam
tabii sebagaimana termuat dalam buku mereka berjudul ‘Rasa’il’.
Sajak ‘Di Sekolah
Syahadah 2’ boleh dikatakan pragmen yang terdapat dalam buku ‘Manusia dan Islam Jilid 1’ oleh
sekumpulan penulis diketuai Dr. Haron Din. Saya mengambil intipati perbincangan
yang berkaitan ‘ujian’ (halaman 24)
sebagai alat menguatkan kefahaman Tauhid saya.
Panel penulis menyatakan bahawa tanpa ujian maka hidup
kita adalah sama. Tidak ada erti perbezaan warna antara hitam dengan putih,
atau seorang manusia dengan manusia yang lain. Dengan ujian kita dapat memahami
rahsia sesuatu atau fenomena. Misalnya, dengan ujian kita dapat memahami rahsia
perbezaan warna, garisan, putaran alam, manusia, haiwan dan sebagainya.
Kenyataan panel penulis itu termuat dalam rangkap
pertama. Pada rangkap kedua saya mentafsir dan mengembangkan kenyataan mereka.
Dan, kesimpulannya saya jadikan isi sajak pada rangkap ketiga.
Di sekolah syahadah aku
berdiri
pasak iman oleh ujian
pasak Islam oleh
pemahaman
Sajak ‘Kimia’
menggabungkan pemikiran al-Ghazali dan al-Razi dengan pemikiran Jabir (Arab)
dan Tois (China). Kimia yang dicari oleh al-Ghazali dan al-Razi berbeza dengan
Kimia yang dicari oleh Jabir dan Tois. Al-Ghazali dan al-Razi mencari kimia
untuk kebahagiaan jiwa manusia. Ini berbeza dengan kimia yang dicari oleh Jabir
dan Tois yang berusaha dengan pelbagai eksperimen untuk menukarkan pelamban
kepada emas. Ibn Rusd menganggap kimia sebagai ilmu yang disalahgunakan oleh
manusia hingga membawa kebinasaan.
Buku ‘Filsafah Islam’ karangan Dr. Oemar Amin
Hoesin membicarakan pendapat al-Ghazali
tentang falsafah. Pengarang memetik pendapat Fuad yang menganggap al-Ghazali
sebagai ‘pembunuh’ para failosof Islam. Pendapat ini berasaskan pemikiran
al-Ghazali dalam bukunya ‘Tahafut al Falasifah’. Kesan daripada
buku itu melahirkan pelbagai kencaman kepada ahli falsafah dan sekali gus telah
memberi saham kepada kemerosotan
pemikiran ilmu di kalangan umat Islam. Melalui sajak Imam Al-Ghazali, Saya bertanyakan:
Adakah al-Ghazali anti falsafah atau orang yang membahas ‘Tahafut al-Falasifah’ yang tidak memahami pemikiran al-Ghazali?
Atau, gelap hati kami ini
kerana kekenyangan
memakan
bangkai tahafut al
falasifahmu
hidangan terhormat
si rabun ilmu?
Sajak ‘Etika Di
Makmal Minda Saintis Islam’ bertolak daripada pendapat dan pemikiran
Zanuddin Sadar dalam bukunya ‘Hujah
Islam’ terjemahan Abdul Latiff Samian, juga pensyarah saya ketika itu.
Saya merumuskan isi buku yang panjang itu. Ia menggambarkan dan membandingkan
minda saintis Islam dengan minda saintis barat. Saintis Islam bertolak daripada
konsep matlamat tidak menghalalkan cara. Saintis barat pula bertolak daripada konsep matlamat
menghalalkan cara. Wujud perbezaan
konsep kerana berlainan nilai budaya dan pegangan agama, sebagaimana terlihat
dalam petikan sajak di bawah.
Antara matlamat
diri dan sejagat
kami memilih
sejagat
sebab ia
adalah nilai
yang tak
terjangkau
hasrat
Demikian sekilas
bicara tentang proses kelahiran sebahagian sajak-sajak yang termuat dalam
kumpulan Peta Perjalanan. Tidak
mungkin untuk saya membicarakan kesemuanya sebagaimana tidak semua sajak-sajak
dalam kumpulan ini berasaskan sesuatu buku yang dibaca. Sajak, Di Celah-Celah Mazhab, umpamanya, terilham daripada sketsa lukisan mata dalam
majalah Tempo. Oleh sebab pada masa itu saya sedang bergelut dengan kuliah
falsafah yang membicarakan perihal kemunculan pelbagai mazhab pemikir dalam
Islam, maka sketsa lukisan mata itu cepat meresap ke dalam jiwa saya. Saya
merasakan sketsa mata itu adalah saya sendiri yang cuba memahami mazhab yang
manakah lebih benar di kalangan pelbagai mazhab itu.
4.
Sehingga kini saya
masih berpegang kepada dua konsep kreatif yang saya jelaskan di atas, iaitu
mencari kelainan dan menghasilkan sajak-sajak berilmu. Hal ini bukan
bererti saya menolak penghasilan sajak imaginasi. Malah sehingga kini pun saya
masih menghasilkan sajak yang mengaitkan realiti dengan imaginasi. Selamat membaca
dan terpulanglah kepada anda menilaikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan