Isu masa depan sajak di Malaysia dapat
ditinjau dari dua aspek. Pertama dari aspek aktivis, dan kedua, dari aspek mutu
sajak. Termasuk dalam aspek aktivis ialah penerbit, persatuan, agensi kementerian,
kerajaan tempatan dan pihak swasta.
Dibandingkan
dengan dekad 1960-an dan 1970-an, bilangan penulis sajak dekad 2000-an
mengalami kemerosotan. Minat masyarakat terhadap sajak dan dunia persajakan menurun.
Pandangan ini berasaskan keahlian persatuan penulis dan kesediaan media cetak menyediakan
ruangan sastera. Didapati ruangan disediakan semakin terhad. Walaupun penulis
sajak tetap lahir dalam dekad 1990-an hingga kini, namun kelahirannya tidak memeriahkan
aktiviti pesajakan sebagaimana dekad sebelumnya.
Penglibatan ahli-ahli
politik sebagai penulis sajak juga tidak membantu memartabatkan genre sajak di
Malaysia. Mereka sekadar singgah melempiaskan agenda politik tersembunyi.
Walaupun Dr. Mahathir Mohamed menghasilkan sajak tidak kurang daripada lima
buah berbanding Abdullah Ahmad Badawi yang menghasilkan sebuah sajak, namun
Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kumpulan sajak tersendiri. Dalam kalangan ahli
politik yang bersajak, hanya Datuk Seri Abdul Hamid Albar yang bersungguh dan
ikhlas menghasilkan sajak.
Persatuan-persatuan penulis pula
sukar mendapat ahli baharu yang kominted, di samping mengekalkan ahli sedia
ada. Kebanyakan persatuan menjadi batu loncatan para ahli sementara memperoleh
rezeki yang lebih baik. Yang dimaksudkan rezeki itu termasuklah pekerjaan,
gelaran (pangkat), institusi pembelajaran, suami dan isteri. Akibatnya, persatuan
terpaksa menagih keahlian daripada kalangan pelajar sebagai peserta aktiviti
dan juga untuk mencukupkan keperluan melaksanakan mesyuarat agong tahunan.
Dalam dekad 2000-an ini,
ramai daripada kalangan penulis muda tidak menganggotai persatuan. Bilangan
ahli dan bilangan ahli aktif persatuan juga merosot. Mereka bergerak secara bersendirian.
Oleh sebab mereka ikhlas bersajak dan bersungguh pula, maka sajak-sajak mereka
mendapat tempat di media. Namun begitu, menyiarkan karya di media semata-mata
sudah ketinggalan. Setiap penulis dituntut mempunyai koleksi karya bercetak. Malangnya,
penerbitan koleksi karya secara individu masih bermasalah. Kecuali Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) dan kini Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM),
penerbit lain tidak berminat menerbitkan kumpulan sajak. Penerbit besar seperti
Fajar Oxford, Karangkraf, Utusan Melayu gagal membantu penerbitan kumpulan
sajak para penulis.
Kejayaan penulis generasi
baharu bersajak kini banyak dibantu oleh media elektronik seperti internet yang
memberi kebebasan kepada pelayarnya bersajak. Mereka mencipta blog, facebook,
twitter dan sebagainya untuk menyiarkan karya masing-masing. Bilangan mereka
sukar ditentukan.
Memang kemudahan ini dapat
mevariasikan aktiviti sajak, namun saya berpendapat hanya sebilangan sahaja
yang bersungguh dan ikhlas bersajak. Aktiviti persajakan mereka juga bersifat
elit dan dalam komuniti sendiri. Hal ini menyebabkan kehadiran penulis sastera
maya ini tidak banyak membantu graf
perkembangan sajak di Malaysia.
Perlu juga dilihat ialah
latar akademik dan profesion penulis sajak kini. Dibandingkan dengan dekad
1960-an dan 1970-an, ramai penulis sajak sekarang berpendidikan aliran sains
tulen. Hal ini sangat positif. Bakat mereka dicungkil oleh guru-guru, majalah
Dewan Siswa, Tunas Cipta, dan dimantapkan oleh DBP melalui Minggu Penulis
Remaja (MPR). Mereka melanjutkan pelajaran dalam pelbagai disiplin ilmu dan
berkerja dalam pelbagai profesion yang jauh daripada dunia kesusasteraan. Penglibatan
mereka dapat menvariasikan latar penulis
sajak di Malaysia dan memecah dikotomi guru, wartawan, pegawai DBP sebagai
penulis sajak. Walau bagaimanapun, mereka masih gagal menambahkan variasi gaya
persajakan, berbanding dalam genre prosa.
Dari segi penerbitan
kumpulan sajak dan antologi sajak pada masa hadapan tetap membawa permasalahan
yang sama dihadapi dalam dekad terdahulu. DBP masih menjadi organisasi tunggal mesra
sajak kerana sanggup menerbitkan kumpulan dan antologi sajak.
Jika dahulu penulis sajak
terpaksa menerbitkan karya sendiri secara stensilan, penulis kini menerbitkan
karya dalam media maya, di samping mencetak sendiri. jika dahulu penerbit
seperti Utusan Melayu, Forgoes, Media Intelek, Berita Publishing misalnya, banyak
membantu menerbitkan kumpulan atau antologi sajak. Malangnya sikap yang sama
tidak terserlah pada penerbit sekarang. Hanya ITBM yang menampakkan minat dan
mengiringi citra DBP, disemarakkan secara kecil-kecilan oleh Pustaka Nusa,
Citra kurnia dan Pustaka Dewan Puisi. Sesetengah penerbit hanya berminat
menerbitkan kumpulan sajak karya sasterawan negara terpilih sahaja.
Sejak dekad 1990-an didapati
peranan persatuan penulis, agensi kementerian dan badan-badan swasta membantu
genre sajak kian menurun. Program peringkat nasional seperti Sayembara
Deklamasi Sajak Kebangsaan kian terpinggir. Malah, program Pengucapan Puisi
Dunia Kuala Lumpur, Anugerah Puisi Putra atau aktiviti Temu Puisi terus lenyap.
Syukurlah aktiviti Baca Puisi Pena dan Baca Puisi Riong masih bernafas.
Walaupun aktiviti-aktiviti itu bagus kepada penulis, industri kesusasteraan dan
negara, namun saya tidak terkesan aktiviti seumpama itu akan kembali gemilang
pada masa hadapan.
Dari aspek kedua, mutu
sajak, juga menampakan kesamaran masa depan. Keputusan DBP yang ‘mensyaratkan’
setiap kumpulan sajak mesti tidak kurang 100 buah sajak layak diterbitkan, pada
pandangan saya, tidak membantu meningkatkan mutu kumpulan sajak.
Berdasarkan beberapa
kumpulan sajak terbitan DBP ternyata ‘syarat’ demikian telah ‘mengorbankan’
mutu dan pasaran kumpulan sajak berkenaan. Saya fikir, para penerbit tidak
perlu mengejar ketebalan halaman, kecuali kumpulan kompilasi. Hal ini kerana genre
sajak tidak sama dengan prosa. 100 buah sajak dalam sebuah buku akan membawa
100 permasalahan, berbanding dengan kumpulan cerpen dan lebih-lebih lagi novel.
Hal ini amat membebankan penelaah.
Kebebasan menerbitkan
sendiri karya secara bercetak dan di media maya juga tidak membantu
meningkatkan mutu sajak. Tidak salah menerbitkan sendiri, namun lebih baik penulis
berkolaboratif sebelum kumpulan karya itu diterbitkan.
Berdasarkan hujah di atas,
pada pandangan saya, masa depan sajak di Malaysia tidak segagah dekad 1960-an
dan 1970-an. Ada penurunan minat penulis, minat khalayak, akhbar, agensi
kementerian dan swasta. Hanya sedikit kelebihan dari segi latar penulis, namun
amat lemah dari segi memasyarakatkan sajak dan persajakan. Aktiviti bersastera
kian hilang tenaga dan perhatian.
Media dan persatuan penulis
bertanggungjawab mengembalikan aktiviti bersastera dalam masyarakat. Media
boleh membuka semula ruangan untuk penulis berdiskusi, berpolemik dan memberi
pandangan terhadap sesuatu karya. Persatuan dengan bantuan pelbagai agensi di kementerian,
badan sukarela dan pihak swasta dapat menganjurkan pelbagai aktiviti
persembahan, diskusi, sayembara dan sebagainya. Apabila aktiviti sastera dan
budaya rancak akan lahir minat masyarakat dan seterusnya membina masyarakat
berbudaya negara bangsa berdaulat.
1 ulasan:
Saya suka dengan pendapat dan pandangan ini.
Harapan saya, lebih banyak penerbit yang berani menerbitkan kumpulan puisi dan cerpen.
Pujian harus diberikan kepada DBP dan ITBM.
Tahniah, Tuan untuk kumpulan puisi-PETA PERJALANAN. Akan saya dapatkan nanti.
Catat Ulasan