Isnin, 23 September 2013

Politik Beradab

Berkata Mohd Afiq Mohd Saleh (Harakah 17 – 20 September 2012), sesiapapun akan marah jika gambarnya dipijak, dihina atau diperlakukan di luar batas adat budaya bangsa. Lebih-lebih lagi, jika dia mempunyai status besar dalam masyarakatnya.
Sebenarnya tidak salah memarahi kerana sifat itu diberikan oleh Tuhan. Namun, menterjemah kemarahan dengan perbuatan hina, sekalipun kebencian itu di pihak yang benar, ia bukan cara positif menyatakan kebencian. Perbuatan itu bukan budaya Melayu, dan jauh sekali daripada ajaran agama Islam.
Walaupun bukan fenomena baharu dalam arena politik Barat, namun kebiasaan itu bukan teladan yang baik untuk diterap dalam jiwa masyarakat Malaysia. Benci terhadap kezaliman adalah wajib, tetapi cara meluahkannya perlu dilaksanakan secara beradab.
Nabi mengajar umatnya agar membalas keburukan dan kezaliman dengan cara berhikmah dan sopan. Dengan cara ini, bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah, malahan dapat menjadi saluran dakwah dan menghindarkan daripada  saluran fitnah terhadap agama.
 
Pelakuan manusia menggambarkan adat dan adab budaya bangsanya. Sekali gus mengandungi unsur-unsur dakwah. Jika ditonjolkan amalan negatif, maka agama, bangsa dan negaranya akan dianggap bercitra negatif. Imej dakwahnya akan bertukar menjadi dakyah.
Lebih malang lagi, jika pelakuan hina itu datang daripada pemimpin masyarakat atau negara, atau individu dan partai yang tebal imej agama mahupun imej nasionalisme bangsa. Jika kepemimpinan mereka hilang adat dan adab budaya bangsa dan nilai-nilai agama, maka politiknya itu menjadi pisau kezaliman. Pisaunya itu bakal membunuh agama dan bangsanya.
Alangkah indahnya jika semua politikus membudayakan politik beradat dan beradab. Mereka berjuang, bersaing dan berkempen dalam suasana sihat. Sentiasa merenung ke dalam diri dan membaca kemampuan diri, tanpa mengamalkan politik menerkam dan menyalahkan.
Siasah politik bertujuan membangunkan bangsa dan negara. Kempen politik bertujuan membentangkan usaha-usaha untuk membangunkan bangsa dan negara. Maka, pelakuan beradat dan beradab adalah sangat penting agar negara dapat dibangunkan, dan moral dapat ditingkatkan.
Sungguh memalukan jika perbuatan mengencingi gambar pemimpin berlaku dalam masyarakat kita. Lebih memalukan dan hina, jika perbuatan itu dilakukan oleh golongan yang sudah lanjut usia. Mereka sepatutnya menjadi teladan positif kepada generasi kerana ketuaan mereka itu menjadi lambang kekayaan adat dan adab budaya bangsanya.
Dalam budaya Melayu, perbuatan negatif disosialisasikan melalui kata-kata, “Kau mau jadi apa? Mahu jadi orang atau syaitan?” Dan, dalam masyarakat Cina Baba pula menterjemahkannya sebagai “nang bouti nang, kui bouti kui: nak kata orang bukan orang, nak kata hantu bukan hantu!”
Masyarakat Melayu sangat mementingkan susila. Pelakuan susila melambangkan budi bahasa, dan sekali gus melambangkan adat dan adab. Manusia berbudi dan beradab adalah sebenar-benarnya orang, sebagaimana gambaran dalam pantun di bawah.
             Di sini padi di sana padi,
             Baru bernama sawah dan bendang;
            Di sini budi di sana budi,
            Baru sempurna menjadi orang.
Kesimpulannya, politik beradab adalah politik yang dapat membangunkan bangsa dan negara. Politik yang mendokong adat dan adab bangsa. Jauh lebih penting daripada itu, politik beradab ialah politik yang memartabatkan agama dan bangsanya. Politik yang mesra pengguna tanpa mengira agama, bangsa dan partainya.

Tiada ulasan: