Ucapan Majlis Penutup Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuing Professional Development (CPD)) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (Guru) KPM Siri 12/2013 di Best Western Sandakan Hotel & Residence pada 21 - 25 Oktober 2013.
- Setelah lima hari empat malam cikgu-cikgu berkursus CPD ini, saya yakin telah banyak maklumat cikgu-cikgu peroleh.
- Harapan kami, sebanyak mana maklumat yang cikgu-cikgu peroleh di sini, akan sebanyak itu juga maklumat tersebut sampai ke rumah cikgu, sampai ke sekolah cikgu dan diaplikasikan dalam bilik darjah.
- Sebagai guru, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memajukan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Di tangan kitalah - di tangan saya, di tangan jurulatih, di tangan kauselor, di tangan urus setia dan di tangan cikgu-cikgu - hidup atau mati matlamat PPPM, berjaya atau gagal hasrat PPPM, hasrat kementerian, hasrat negara, dan yang paling utama ialah hasrat masyarakat.
- Tanggungjawab kami, para Jurulatih Utama, telah kami sempurnakan dan telah selesai dengan berlangsungnyanya Majlis Penutupan ini. Kini, tanggungjawab seterusnya terletak di minda, di hati dan di tangan cikgu-cikgu sekalian.
- Sesungguhnya, kita tidak mampu membina bangunan kerana kita tidak ada ilmu membina bangunan. Namun begitu, kita mempunyai ilmu dan kepakaran membina intelektual manusia, membina modal insan generasi sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan melalui agenda PPPM.
- Jika kita dapat 'mengorangkan' manusia, berjaya membina modal insan generasi, bererti usaha kita telah menepati hasrat kerajaan. Sekali gus, kita telah membuat amalan jariah yang ganjaran pahalanya sentiasa membiak dan berterusan sampai kiamat.
- Namun, jika di minda kita, di hati kita dan di tangan kita telah menyebabkan manusia menjadi 'bagai bunga kembang tak jadi,' atau modal insan generasi terbantut dan keterbantutan modal insan itu diwarisi dan diwarisi, maka sampai kiamat juga kita akan menerima musibah.
- Kejayaan dan keterbantutan modal insan inilah sebenarnya nilai dan harga seseorang guru, sama ada pekerjaan guru itu menjadi mulia, atau sebaliknya.
- Justeru, Saya, mewakili Jurulatih Utama CPD dalam siri ini sangat bertuah dan berbesar hati, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPD, JPN dan Kementerian, khususnya kepada urus setia kerana telah menyedia dan menawarkan peluang kepada kami untuk beramal jariah.
- Kepada para peserta kursus, kami mohon kemaafan terhadap segala kesilapan tutur kata, ucap contoh, keterlanjuran tingkah-laku, ketidaksempurnaan mengurus sesi dan segala macam ketidaksenangan hati sepanjang cikgu-cikgu berkursus CPD Siri 12/2013 di Sabah ini.
- Saya akhiri ucapan penutupan ini dengan dua kerat pantun;
Di sini padi di sana padi
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sini budi di sana budi,
Baru sempurna menjadi orang.
Dari Balung pergi Sandakan
Naik teksi warna merah,
Ilmu dikandung diamalkan;
Itu rezeki amalan jariah.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
SEKIAN, ASSALAMUALAIKUM WBT.
2 ulasan:
Tahniah kpd yg terlibat. Klau bleh en. Nassury ulas pula tentng TMK.... bleh d jdikn bahan rujuukn. T.ksih.
TMK dlm p&p bm
Catat Ulasan