Pengulas: Imlan Adabi
Menatap puisi-puisi yang terdapat di dalam antologi sulung penulis muda dari Kelantan, Nassury Ibrahim, saya seakan kembali ke dalam diri merenung ke daerah pedalaman yang telah lama dilupakan. Walau di sana terlalu akrab dengan pelbagai pengalaman pahit manis, resah dan geloranya.
Walaupun percubaan awal Nassury Ibrahim masih belum boleh dikatakan berjaya. Namun dia tetap memperlihatkan potensinya untuk menjadi salah seorang calon yang bakal menyerlahkan hasil-hasil karya yang lebih baik di masa depan.
Sesuatu yang saya tidak boleh lupa ketika menghayati puisinya ialah keakraban penulisnya dengan masalah dalaman yang telah tercermin dengan darjah sengsara yang amat besar. Sesekali Nassury mahu menjadi wira yang anti kekalahan, namun percubaannya itu menjadi sia-sia bila dia menyedari kehidupan ini sesungguhnya maha kerdil dan Tuhanlah yang Maha Agung di alam-Nya ini.
"Segunung kebesaran menjadi kecildi satu titik kehidupankecil dari kebesaran abadilemah dari keagungan Ilahidi sini kita akan lebih mengertikuasa yang terpendam"(Kecilpun Terasa di Titik Kehidupan, 9)
Memang begitulah setiap insan yang kembali kepada-Nya menjenguk kebesaran Ilahi, di samping merenung kekerdilan diri tidak mampu melarikan dirinya daripada Kuasa Tertinggi.
Namun begitu sebagai manusia yang biasa yang tidak bisa melarikan dirinya daripada bisik cinta. Nassury dalam beberapa keadaan pernah 'berkunjung ke makam cinta' (halaman 10) untuk menemui hari-hari yang malu terang,pohon-pohon suram dan diam hingga akhirnya terdengar 'hentak kaki begitu pantas dan cepat;
"Hanya itu sahaja dapat kubawatika berkunjung ke makam cintaserta sekelumit ingatanbahawa kita pernah bersama."(Berkunjung ke Makam Cinta, 10)
Ada waktunya perempuan menjadi kekasih yang setia. Ada waktunya pula perempuan bisa menjadi ganja yang melukakan peta hayat seseorang. Namun kekerdilan diri Nassury mengajarnya untuk tabah kerana cinta bukanlah penentu segalanya kerana hidup ini masih lagi dibayangi oleh kuasa tertinggi Sang Khaliq.
Untuk melarikan diri daripada masalah demi masalah yang liat dan liar, dia mengatur langkah ke 'pasar minggu' (halaman 15) untuk kononnya mendapat hiburan. Namun yang ditemuinya juga hanyalah darjah kesakitan manusia abad 20 yang asyik mendengar syarahan;
"Doktor kaki limatentang ubat paling mujarabpenyakit itu penyakit inisedangkan dirinyakurus melidi"(Pasar Minggu, 15)
Memang! Memang dunia hari ini penuh dengan penipuan. Doktor kaki lima menipu pelanggannya dengan pelbagai keramat dan puaka untuk melariskan ubatan jualannya. Dan bagi Nassury, dunia dan pembangunannya juga menipu manusia hingga sanggup melupakan nilai-nilai tradisi, walaupun apa yang dituturkan sebagai pemodenan itu tidak lebih daripada sandiwara golongan establisment sahaja.
"Di belakang hutan di depan sawah padi: rindu kunikahi tenaga mudajalan-jalan becah menghalauanak muda: merumahkan di kotadari menanti sekian janjitak berisi"
(Kampung Tok Kah, 16)
Dalam dirinya mengalami masalah yang tenat. Dia bercermin ke luar diri. Juga keadaan yang serupa. Darjah keputusannya menebal dan semilir yang bertiup tidak memberikan apa-apa ertinya lagi. Namun begitu, sesekali dia masih juga sudi mengucapkan 'dan aku masih rindu' (halaman 17), itupun sekiranya tuah masih berpihak.
"biarlah untuk kali inirindu merakam duniamuyang bukan miliku lagikita bersahabatdalam akrab yang panjang
kiranya tuah berpihakakan kita kembali bercintamenggilap bayangdi cermin kamar persetujuan"
Rindu! Rindu adalah cermin diri Nassury. Nassury setia bersama rindu dan resahnya. Nassury rindu dan rintihnya. Dan cermin ini menggambarkan peribadinya yang utuh dalam kenangan silam, bersama jelmaan hari akan yang belum pasti, bersama harapan demi harapan sehingga akhirnya menghangatkan 'malam konsert' dan 'Pasir Puteh tidak lagi berkasih.'
Demikianlah tanggapan peribadi saya. Cermin dengan segala percubaan, pengaruh dan harapannya. Nassury masih mencari arahnya.
Siaran: Mingguan Bacaria, 16 Disember 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan