Isnin, 28 Jun 2010

Ya, Mereka Sudah Terlebih Gila

Ada macam-macam jenis gila. Ada gila perempuan dinamakan kaki perempuan. Tetapi kaki perempuan tidak sama dengan gila pada perempuan. Ada gila judi. Ada gila memancing. Ada gila bola, dan macam-macam. Gila ini sebenarnya bukan gila, tetapi gila-gila.

Sekarang ini rakyat Malaysia telah dijangkiti satu lagi jenis gila. Ia memang gila tetapi tidaklah sampai ke gila mental. Gila baharu ini ialah gila 1 Malaysia.

Kalau gila perempuan, gila judi, gila bola adalah kerana minat yang amat sangat. Saya percaya, gila pada 1 Malaysia bukan kerana minat untuk menjayakan 1 Malaysia, tetapi kerana ingin membodek PM Mohd Najid yang memperkenalkan 1 Malaysia.

Tentu ada harapan di sebalik gila itu, iaitu berharap PM Mohd Najid akan memberi imbuhan terhadap gilanya itu. 

Ini adalah satu cara untuk cepat naik, yang sebenarnya adalah 'membodohkan' pemimpin kalau tidak betul-betul diperhatikan gilanya itu.

Hari ini seluruh IPG di Malaysia menerima pelajar baharu dari kumpulan KPL-SPM dan KPLI. Sebagaimana pihak lain, pihak IPG / KPM juga tidak mahu ketinggalan mempersembahkan gila pada 1 Malaysianya. Maka itu, para pelajar untuk satu-satu kumpulan pengajian dicampurgaulkan dalam pelbagai etnik dan datang dari pelbagai ceruk.

Gila jenis ini satu usaha yang bagus, untuk mengeratkan perpaduan.

Dalam majlis bertemu dengan keluarga ibu bapa, sekali lagi pihak IPG menunjukkan gilanya pada 1 Malaysia. Caranya, dalam majlis itu digunakan pelbagai bahasa untuk menyampaikan maklumat yang kononnya untuk mesra pelanggan. Bahasa pengantar bukan lagi bahasa Melayu, sebaliknya semua bahasa utama yang ada di Malaysia telah menjadi bahasa pengantar.

Pada saya ini terlebih gila 1 Malaysia dan kita boleh anggap penganjurnya sudah gila mental. 

Dalam undang-undang negara Malaysia telah dinyatakan hanya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan rasmi kerajaan. Bertemu dengan ibu bapa pelajar dalam satu majlis anjuran badan kerajaan merupakan majlis rasmi yang sepatutnya guna bahasa Melayu sepenuhnya.

Di belakang nterdengar runggutan ibu bapa yang berasa pelik dengan majlis rasmi satu badan pendidikan yang bernama IPG.

Yang pasti, mereka bukan lagi gila 1 Malaysia, tetapi sudah gila mental kerana mahu membodek 1 Malaysia. Mereka sanggup melanggar undang-undang negara dan menghina bahasa dan bangsa sendiri.

Ya, mereka sudah terlebih gila

Baling Kata Sembunyi Mulut

Tiba-tiba sahaja, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan 'empat orang pengganas,' atau dikaitkan dengan keganasan. Mereka ialah Dr Asri Zainal Abidin (pendakwah bebas / pensyarah), Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis), Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), dan Shahidan Kassim (bekas MB Perlis). 

Pendedahan mengejutkan itu mendapat kritikan hebat, terutama dari partai pembangkang. Mereka mendakwa kerajaan dan polis sengaja merekakan cerita bagi mengalihkan isu Selain empat tokoh berkenaan dan organisasi mereka, tuduhan itu turut mempalitkan lumpur pada kerajaan dan pemimpin kerajaan, di samping pihak polis sendiri.

juga seakan membukti bahawa 'Islam itu ganas, Melayu itu ganas. Sebab, keempat-empat orang itu beragama Islam, pemimpin Melayu dan orang Melayu.

Anehnya, masing-masing pihak yang mendakwa empat tokoh berkenaan sebagai pengganas atau seumpamanya tidak mengaku mengeluarkan kenyataan tersebut. 

Orang pertama menafikan dirinya mengeluarkan tuduhan ialah Zamihan Mat Zain dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), dan kemudian, diikuti sehari selepasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Zamihan Mat Zain menafikan dan tidak mahu campur dengan pihak satu lagi yang memberi taklimat. Kenyataan beliau seolah-olah mendakwa pihak yang satu lagi' yang mengeluarkan kenyataan bahawa empat tokoh terbabit terlibat dengan fahaman wahabi dan Jemaah Islamiah. Manakala Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa bahawa 'kenyataan yang mengaitkan empat tokoh berkenaan dibuat pihak lain pada sesi taklimat berasingan.'

Dikhabarkan melalui media bahawa ada dua pihak menyampaikan taklimat, iaitu pihak Zamihan Mat Zain (ILIM) dan pihak PDRM. 

Masalahnya, kedua-dua pihak tersebut menafikan dakwaan itu datang daripada mereka. Justeru, masyarakat keliru, dari manakah dakwaan itu datang? 

Dan, mengapakah Datuk Saifuddin Abdullah yang menjadi jurucakap PDRM, sedangkan beliau Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. PDRM terletak di bawah kemeenterian mana dan ke mana pergi menterinya? Atau ada orang 'sedang bergila diri mahu jadi Menteri Dalam Negeri?'

Sebagai rakyat yang tidak hadir dalam sesi taklimat berkenaan, saya jadi keliru. Kemungkinan besar kedua-dua pihak tidak bercakap benar dan ini bersifat munafik. Atau, dakwaan itu datang daripada wartawan yang melaporkan tentangnya.

Nampaknya, kedua-dua pihak sedang membaling kata sembunyi mulut. Mendakwa dan kemudian menafikannya, pada saya, boleh juga dikategorikan sebagai pengganas.

Ahad, 27 Jun 2010

40 Ulama muda

40 orang ulama muda
berbodong-bodong menaiki
perahu bocor

"Kami ingin ke Pulau Firdaus,"
ujar mereka

"Tetapi, perahu itu bocor,"
sahut para mata

"Kami akan tampal dengan 40 tahi mata
seperti Awang menampal perahu raja."
balas mereka

"Tetapi nakhodanya pengganas Allah,"
sahut para mata lagi

"Kerana itulah, perjalanan kami
akan bebas dari lanun puaka," tegas mereka

40 orang ulama muda
belayar mencari Pulau Firdaus
dengan perahu bocor.

26 Jun 2010

Rabu, 23 Jun 2010

Kuliah Kissm Guru J-Qaf

Aku baru habis memberi kuliah kissm kepada calon-calon guru J-Qaf. Tajuk yang diberikan kepada aku ialah Nilai Murni dan Etiket, dan Tonggak 12. Aku harap mereka faham dan mengerti betapa penting kedua-dua tajuk itu untuk diserap ke dalam diri. 

Pada permulaan kuliah, sebagai set induksi, aku kaitkan kerjaya sebagai guru dengan sajak aku, Tukang Sajak.
Sebenarnya aku
tidak akan kaya
anugerahpun
tidak akan tiba
selain sengsara
selain derita

setiap kali aku ingin
melepaskan rasa
setiap kali aku ingin
melepaskan kata
setiap kali selepas
rasa dan kata
aku lepaskan.

1994                  Watan, 16 April 1995
Sajak ini menceritakan tanggungjawab dan tanggungan yang terpaksa kita hadapi terhadap setiap pekerjaan kita. Apa yang kita lakukan tidak akan terputus di situ sahaja.  Kita tetap akan menanggung kesan daripada tingkah-laku dan keputusan yang kita buat.

Demikianlah nasib guru. Segala tutur katanya akan memberi kesan terhadap pelajar. Guru bertanggungjawab terhadap setiap butir percakapannya. Kata-kata guru dan keputusan guru boleh mempengaruhi jiwa pelajar hingga mereka mati. Apa yang bakal dilakukan oleh pelajar itu mempunyai hubung-kait dengan pengajaran kita. Kita terpaksa bertanggungjawab terhadapnya. Tuhan berjanji akan membalas jasa dan nista mengikut darjah butir pertuturan itu. Ringkasnya, kita tidak boleh cuci tangan dan ambil jalan mudah.

Sehubungan itu, ada beberapa pesan aku beri. Aku harap pesanan itu menjadi ingatan. Antaranya;
  • Jangan memberi maklumat salah kerana ia boleh menjadi fitnah, dan fitnah itu boleh membiak, jika murid itu kelak menjadi guru dan (tanpa sedar) menyebarkan maklumat salah kita itu.

  • Jangan menyusahkan guru-guru lain, terutama apabila kita ada kuasa. Umpamanya, apabila dilantik sebagai guru besar atau dilantik sebagai pegawai yang membuat dasar / peraturan. Setiap bebanan terhadap guru akan menimpa pelajar,
  • Ikhlas dan bersungguh dalam bekerja kerana kalau pelajar itu berjaya, kitalah yang menjananya betapa tidak dihargai, dan kalau pelajar itu tiba-tiba tidak minat belajar kerana kita, itu tanda kitalah yang merosakkannya,
  • Jangan merosakkan pelajar kerana rosak kereta boleh diperbaiki, rosak manusia sangat sukar dipulihkan.
  • Guru harus sedar diri bahawa dirinya guru J-Qaf, bukannya guru pendidikan Islam, atau sama dengan guru-guru lain. Guru J-Qaf adalah khusus untuk murid bermasalah dalam pelajaran agama. Maka aku tegaskan bahawa status mereka ialah guru pemulihan. Peranan dan tanggungjawab guru pemulihan berbeza dengan guru-guru biasa.
    Dan, kataku, guru yang paling berjasa dalam hidupku ialah guru-guru di sekolah rendah, bukannya guru di sekolah menengah atau universiti, terutama guru semasa aku darjah satu. Ramai guru aku dulu berstatus guru sementara (bukan terlatih). Dialah yang mengajar aku membaca dan menulis. Kerana pandai membaca dan menulis itulah, aku dapat belajar ke sekolah menengah dan universiti dan bekerja dengan gaji tinggi. Tanpa jasa mereka, mungkin aku seorang petani dan buta huruf. Biarlah orang tidak menghargai kita asalkan kita tidak merosakkan mereka.

    Aku harap, mereka suka dan ikhlas dengan kerjanya itu.

    Ahad, 20 Jun 2010

    Kahwin Artis

    Peribahasa saya, "Kahwin artis" maksudnya kahwin yang mementingkan glamour dan tidak bertahan lama.


    Contoh ayat;
    1. Encik X bercadang mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya secara sederhana kerana tidak mahu dianggap kahwin artis.
    2. Ramai muda-mudi sekarang kahwin artis.
    3. Kerajaan berusaha gigih membendung gejala kahwin artis dalam kalangan generasi muda.

    Awang Judi

    Kerana takut
    dihempap kayu kemiskinan
    Awang Judi pun membina
    rumah kekayaan
    di padang permainan.

    20 Jun 2010

    Penulis Antikalah

    Pengulas: Imlan Adabi

    Menatap puisi-puisi yang terdapat di dalam antologi sulung penulis muda dari Kelantan, Nassury Ibrahim, saya seakan kembali ke dalam diri merenung ke daerah pedalaman yang telah lama dilupakan. Walau di sana terlalu akrab dengan pelbagai pengalaman pahit manis, resah dan geloranya.

    Walaupun percubaan awal Nassury Ibrahim masih belum boleh dikatakan berjaya. Namun dia tetap memperlihatkan potensinya untuk menjadi salah seorang calon yang bakal menyerlahkan hasil-hasil karya yang lebih baik di masa depan.

    Sesuatu yang saya tidak boleh lupa ketika menghayati puisinya ialah keakraban penulisnya dengan masalah dalaman yang telah tercermin dengan darjah sengsara yang amat besar. Sesekali Nassury mahu menjadi wira yang anti kekalahan, namun percubaannya itu menjadi sia-sia bila dia menyedari kehidupan ini sesungguhnya maha kerdil dan Tuhanlah yang Maha Agung di alam-Nya ini.

    "Segunung kebesaran menjadi kecil
    di satu titik kehidupan
    kecil dari kebesaran abadi
    lemah dari keagungan Ilahi
    di sini kita akan lebih mengerti
    kuasa yang terpendam"
      (Kecilpun Terasa di Titik Kehidupan, 9)
    Memang begitulah setiap insan yang kembali kepada-Nya menjenguk kebesaran Ilahi, di samping merenung kekerdilan diri tidak mampu melarikan dirinya daripada Kuasa Tertinggi. 

    Namun begitu sebagai manusia yang biasa yang tidak bisa melarikan dirinya daripada bisik cinta. Nassury dalam beberapa keadaan pernah 'berkunjung ke makam cinta' (halaman 10) untuk menemui hari-hari yang malu terang,pohon-pohon suram dan diam hingga akhirnya terdengar 'hentak kaki begitu pantas dan cepat;

    "Hanya itu sahaja dapat kubawa
    tika berkunjung ke makam cinta
    serta sekelumit ingatan
    bahawa kita pernah bersama."
    (Berkunjung ke Makam Cinta, 10)
    Ada waktunya perempuan menjadi kekasih yang setia. Ada waktunya pula perempuan bisa menjadi ganja yang melukakan peta hayat seseorang. Namun kekerdilan diri Nassury mengajarnya untuk tabah kerana cinta bukanlah penentu segalanya kerana hidup ini masih lagi dibayangi oleh kuasa tertinggi Sang Khaliq.

    Untuk melarikan diri daripada masalah demi masalah yang liat dan liar, dia mengatur langkah ke 'pasar minggu' (halaman 15) untuk kononnya mendapat hiburan. Namun yang ditemuinya juga hanyalah darjah kesakitan manusia abad 20 yang asyik mendengar syarahan;

    "Doktor kaki lima
    tentang ubat paling mujarab
    penyakit itu penyakit ini
    sedangkan dirinya
    kurus melidi"
    (Pasar Minggu, 15)
    Memang! Memang dunia hari ini penuh dengan penipuan. Doktor kaki lima menipu pelanggannya dengan pelbagai keramat dan puaka untuk melariskan ubatan jualannya. Dan bagi Nassury, dunia dan pembangunannya juga menipu manusia hingga sanggup melupakan nilai-nilai tradisi, walaupun apa yang dituturkan sebagai pemodenan itu tidak lebih daripada sandiwara golongan establisment sahaja.

    "Di belakang hutan di depan sawah padi
    : rindu kunikahi tenaga muda
    jalan-jalan becah menghalau
    anak muda: merumahkan di kota
    dari menanti sekian janji
    tak berisi"

    (Kampung Tok Kah, 16)
    Dalam dirinya mengalami masalah yang tenat. Dia bercermin ke luar diri. Juga keadaan yang serupa. Darjah keputusannya menebal dan semilir yang bertiup tidak memberikan apa-apa ertinya lagi. Namun begitu, sesekali dia masih juga sudi mengucapkan 'dan aku masih rindu' (halaman 17), itupun sekiranya tuah masih berpihak.

    "biarlah untuk kali ini
    rindu merakam duniamu
    yang bukan miliku lagi
    kita bersahabat
    dalam akrab yang panjang

    kiranya tuah berpihak
    akan kita kembali bercinta
    menggilap bayang 
    di cermin kamar persetujuan"
    Rindu! Rindu adalah cermin diri Nassury. Nassury setia bersama rindu dan resahnya. Nassury rindu dan rintihnya. Dan cermin ini menggambarkan peribadinya yang utuh dalam kenangan silam, bersama jelmaan hari akan yang belum pasti, bersama harapan demi harapan sehingga akhirnya menghangatkan 'malam konsert' dan 'Pasir Puteh tidak lagi berkasih.'

    Demikianlah tanggapan peribadi saya. Cermin dengan segala percubaan, pengaruh dan harapannya. Nassury masih mencari arahnya.

    Siaran: Mingguan Bacaria, 16 Disember 1987.

    Sabtu, 19 Jun 2010

    Perihal Bahaya Merokok

    Berita Harian pada 1 April 2010 melaporkan kenyataan Prof. Simon Chapman dari Universiti Sydney bahawa terdapat hemoglobin babi dalam penapis rokok. 

    Sebelum ini Majlis Fakta Kebangsaan telah mengharamkan hisab rokok. Nik Abdul Aziz menganggap orang  merokok seumpama lembu. Kementerian Kesihatan pula sudah pelbagai cara memberitahu bahaya merokok, termasuk mengeluarkan poster penyakit bawaan rokok. 

    Kalau demikian, anehnya,  mengapakah rokok masih halal dijual? Saya jangka jawapannya samalah dengan alasan mengeluarkan lesen judi bola.

    JPP Kelantan Memburukkan Imej UMNO Kelantan

    Akhbar Siasah bertarikh 20 - 25 Jun 2010 di bawah artikel bertajuk, "PM Rasmi Kelantan Fiesta 2010 Kerajaan Negeri Boikot" halaman 2 mencatat, "Pegawai JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan - saya) mengatur kehadiran perdana menteri ke restoran itu hanya mahu membayar (makanan yang dipesan di ) meja yang diduduki perdana menteri sahaja tanpa menghiraukan pelanggan lain."

    Pada saya, ini satu tindakan serius yang memburukan imej PM dan imej Umno Kelantan sekaligus. JPP sebagai duta BN di Kelantan sepatutnya bersikap bijak, bukannya ampu.

    Tidak sepatutnya JPP bersikap deskriminasi, sama ada kepada pihak pembangkang mahupun pengiring PM dalam lawatan tersebut yang makan dan minum di restoran tersebut.Perbuatan itu menjadi bualan para pengiring dan boleh menjejaskan lagi sokongan rakyat terhadap BN yang sudah busuk sampai ke usus itu.

    Kalau ada kuasa, saya akan pecat pengarah JPP dan pengawai berkenaan kerana tidak menyokong konsep "Rakyat didahulukan."

    Bayangkan, duit royalti minyak Kelantan yang PM mahu salur melalui JPP sebagai wang ihsan. Agak-agaknya, apabila wang itu berada dalam genggam JPP, kepada siapakah wang itu akan diberikan. Kalau pengiring PM termasuk polis yang makan di meja bersebelahan tidak dibayar, pada saya kemungkinan nasib sama akan terjadi pada wang ihsan. Kalau demikian, ahli-ahli Umno yang kedana diri jangan berharapkan belas kasihan daripada JPP.


    Ah, lebih baik wang ihsan dijadikan wang royalti!

    Rabu, 16 Jun 2010

    Prof. Ahmad Pengalaman: Lewat

    Telah 30 tahun Prof. Ahmad Pengalaman bertugas di IPG. Sudah serata IPG beliau pergi. Dan, sudah serata pelusuk tanah air beliau melawat. Kadangkala pergi menjalankan tugas. Kadangkala pula pergi melawat sambil belajar. Yang banyaknya, Prof. Ahmad pergi melawat menjalankan tugas IPG.

    Dalam 30 tahun itu, apabila dibahagi-bahagikan adalah seperti yang berikut.
    1. 15 tahun sebagai pensyarah biasa. Lima tahun mengajar di Jabatan Sains Sosial. Lapan tahun di Jabatan Ilmu Pendidikan, selebihnya di Jabatan Ilmu Matematik.
    2. Lima tahun sebagai Ketua Jabatan Sains dan Matematik.
    3. 10 tahun sebagai Timbalan Pengarah IPG.

    Dalam 10 tahun sebagai Timbalan Pengarah IPG itu, Prof. Ahmad Pengalaman tunggu dengan sabar untuk menjadi Pengarah IPG. Almaklumlah, kalau dikira-kira kalau dihitung-hitung, dihisab dan dicampur sekalipun, ternyata, Prof. Ahmad Pengalaman paling senior. Yang lain-lain hanya setahun jagung sahaja.

    Malangnya, yang sampai tawaran tetap sebagai timbalan juga. Ditawar pindah ke IPG A pun sebagai timbalan, ke IPG D sebagai timbalan. Satu pun tidak ada sebagai pengarah IPG.

    Itu tak apalah sebab yang Prof. Ahmad Pengalaman tunggu ialah tawaran sebagai Pengarah di IPG tempat beliau bertugas sekarang. Malas berpindah lagi. Lagipun, Prof. Ahmad Pengalaman terasa serasi benar dengan IPG sekarang. Dekat dengan rumah yang baru dibeli lima tahun lepas.

    Maka tunggulah Prof. Ahmad Pengalaman. Dari setahun ke setahun, tak kunjung sampai tawaran. Bukan jawatan Pengarah IPG ini tidak kosong. Memang ada kosong. Tapi yang datang mengisinya orang lain. Semuanya datang dari sekolah atau JPN. Dari pengetua. Dari Ketua Sektor.

    Kecewa juga hati Prof. Ahmad Pengalaman. Namun apakan daya.

    Lebih mengecewakan, ada rakan-rakan telah mendahuluinya. Dua bulan lepas, Encik Rahim ditawarkan sebagai Timbalan Pengarah IPG K. Encik Rahim hanya pensyarah biasa. Tut-tut dapat jadi timbalan pengarah. Tak pernah jadi ketua jabatan. Hairan juga Prof. Ahmad Pengalaman memikirkannya. Beliau tak mencadang pun. Barangkali pengarah yang mencadangkan, fikir Prof. Ahmad Pengalaman.

    Sebulan selepas itu, Encik Z pula ditawar sebagai pensyarah cemerlang di IPG T. Gred Encik Z sama dengannya. Tapi, jawatan Encik Z hanya ketua jabatan sahaja. Tut-tut dapat naik gred, lebih tinggi darinya. Mungkin rezekinya, fikir Prof. Ahmad Pengalaman.

    Memang Prof. Ahmad Pengalaman tunggu-tunggu juga tawaran pensyarah cemerlang kerana grednya lebih tinggi daripada gred beliau sekarang.

    Kalau dapat gred itu bererti Prof. Ahmad Pengalaman akan dilantik sebagai Pengarah IPG. Syukurlah. Tapi, jangan pula dinaikkan gred diturunkan jawatan.

    "Tak mau, aku," kata Prof. Ahmad Pengalaman.

    Prof. Ahmad Perngalaman terkenang rakan-rakan di universiti. Semuanya sudah jadi profesor dan profesor emeritus. Hanya beliau belum lagi. Tapi, beliau percaya. Pengalamannya bertugas dalam pendidikan di IPG lebih bernilai profesor daripada profesor yang ada. Beliau yakin itu yakin sungguh-sungguh.

    Pada suatu hari, dapat juga surat tawaran yang ditunggu-tunggu oleh Prof. Ahmad Pengalaman. Berbunga-bunga hati Prof. Ahmad Pengalaman menerima ucapan tahniah daripada pengarah.

    Perlahan-lahan Prof. Ahmad Pengalaman membuka surat itu. Kandungan surat itu mengarah Prof. Ahmad Pengalaman dinaikkan gred. Beliau dikehendaki melaporkan diri kepada Timbalan Pengarah IPG X.

    "Eh, kenapa timbalan," terkejut hati Prof. Ahmad Pengalaman. Beliau mengamat-amati kandungan surat satu persatu. "Laa ... sebagai Pensyarah Cemerlang. Gred naik pangkat turun," getus hatinya.

    Serentak itu juga, kembang hati Prof. Ahmad Pengalaman jadi kecut. Yang diharapkan dapat jadi pengarah. Yang ditawarkan sebagai pensyarah cemerlang, dan duduk di bawah arahan rakan bekas sejawatan. Terbayang di kepala Prof. Ahmad Pengalaman: Dulu aku mengarahkan orang,  kini bekas rakan sejawatan pula mengarahkan aku.

    Tiba-tiba matanya terpandang tarikh surat di tangan.

    "Eh, tarikh surat ni dikeluarkan dua tahun lepas. Surat baru sampai," terpacut kata-kata Prof. Ahmad Pengalaman.

    "Itulah cara bos kita berkerja, tidak pernah cepat," sampuk Tuan Pengarah di sebelahnya. "Kalau orang kompelin, marah."

    Rabu, 2 Jun 2010

    Jangan Kutuk Israeli


    Jangan kutuk Israel. Jangan kecam Israel pada apa sahaja perbuatannya, dari dahulu hingga sekarang. Israel tetap Israel. Sejuta kutukan anda laungkan. Sejuta kecaman anda maki tidak sedikit pun dihiraukan oleh Israel. Yang jelas, Israel tetap Israel. Tidak ada secebis pun rasa kesal tumbuh dalam diri bangsa Israel. 

    Sejak dahulu hingga sekarang Israel mengganas, membunuh dan membunuh sesiapa sahaja manusia bukan Israel. Kita manusia bukan Israel hanya menunggu giliran dipancung leher oleh Israel. Kalau tidak Israel di tanah Arab, mungkin Israel di tanah sendiri. Sejak dahulu hingga sekarang manusia, dan termasuk Allah, mengecam Israel.  Namun Israel tetap Israel: membunuh dan terus membunuh manusia bukan Israel.

    Marilah kita renungi diri kita dan bangsa kita. Adakah Israel yang kita benci itu memang benar kita benci. Atau, kita berasa benci pada perbuatan bangsa Israel, namun tanpa kita sedar, kita mengamalkan sikap, sifat dan lakuan bangsa Israel. 

    Memang kita tidak membunuh manusia, namun tanpa kita sedar kita membunuh generasi kita. Kita jauhi generasi kita daripada jati diri bangsanya hingga generasi kita tidak tahu asal-usul dirinya, apatalagi mencintai bangsanya. Bangsa yang tidak dicintai oleh bangsanya adalah bangsa yang malang. Bangsa itu menunggu kehancuran. 

    Menafikan martabat bahasa sendiri misalnya, tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin Israel. Namun hakikatnya, penafian terhadap bahasa sendiri dilakukan oleh pemimpim Melayu yang 'sangat berkemanusiaan itu.' Segala identiti bangsa dibiarkan dibawa massa tanpa melekat pada jiwa generasi. Kita lebih suka nyanyian lagu-lagu rock daripada dondang sayang atau irama Melayu. Perhatilah, usaha gigih menanam sikap, sifat dan lakuan yahudi Israel di tv-tv kita.

    Malah pihak keselamatan yang mengaku 'negara Islam' dituduh oleh rakyatnya sendiri sebagai mosad, iaitu sejenis polis Israel yang sangat kejam itu. Betapa aman sekalipun di bukit anda berlindung, kalau imej ini melekat kejap dalam diri anda (kita), apalah gunanya anda membenci Israel, sedangkan Israel yang sebenar berada dalam diri anda, dalam sistem pentadbiran anda. Jauhi daripada sikap, sifat dan lakuan pemerintah Mesir yang melindungi dan menyokong Israel. Kalau demikian, lebih baik anda makan tahi babi kerana perbuatan itu sama haram dengan menyokong / bersekongkol, bersikap, bersifat dan berkelakuan citra Israel itu sendiri.

    Saban bulan kita dihidangkan dengan berita buang bayi. Manusia dianggap tidak bernilai, dan dibuang begitu sahaja di tempat-tempat kotor.  Setengahnya menjadi makanan semut, lalat, tikus dan anjing. 

    Apa bezanya perbuatan kita membunuh bayi dengan perbuatan Israel membunuh manusia Palestin?

    Israel sudah memang Israel. Tuhan sendiri 'selendar' dengan Israel. Nabi yang menjadi utusan Tuhan pun dibunuh oleh Israel, apatalagi manusia kemacar seperti kita. Apakah ada nilainya pada Israel?

    Sudah Tuhan benci Israel. Sudah Tuhan laknat Israel. Sudah Tuhan beritahu bahawa Israel tidak akan menghormati bangsa lain. Darah dan nyawa bangsa lain selain darah dan nyawa bangsa Israel adalah halal bagi Israel mencabutnya dan memperlakukan sewenang-wenangnya. Anehnya, mengapakah kita masih berbaik dengan Israel? Ajak mereka bermain kriket dan memenjarakan sesiapa yang menentang kaki Israel daripada memijak bumi Malaysia. Malah, ada setengahnya berdagang dengan Israel.

    Kita marahi PKM apabila PKM membunuh Henry Gurney, sedangkan Henry Gurney merupakan perancang di belakang kejatuhan Palestin ke tangan Israel dan hilangnya darah dan nyawa Palestin di tangan Israel sehingga kini.  Kita tidak pernah melihat hikmah di sebalik pembunuhan itu. Anehnya, kita memarahi pula mereka yang membunuhnya.

    Pernahkah anda bertanya: Mengapakah Henry Gurney di hantar ke Tanah Melayu (Malaysia) selepas berjaya mengguling kerajaan Arab Palestin? Apakah yang akan terjadi kepada bangsa Melayu dan Tanah Melayu jika Henry Gurney tidak dibunuh dan dapat melaksanakan misinya?

    Bukankah semua ini lagi kejam daripada perbuatan Israel. Israel tidak pernah menanam sikap membenci bangsa sendiri. Segala identiti bangsanya dipertahankan. Namun kita orang-orang Melayu, bukan sahaja gemar bergaduh sesama Melayu, malah menghapuskan generasi Melayu dengan pelbagai cara.

    Justeru, nasihat saya, usah kutuk Isreal dan usah kecam Israel, tetapi bencilah bangsa Israel sebagaimana Tuhan Allah membencinya. Untuk membenci bangsa Israel itu, hapuslah segala sikap, sifat dan lakuan Israel dalam diri masing-masing. Jauhi segala mosad dalam diri kita. Apabila kita berjaya membuang Israel dalam diri kita, barulah kita dapat menundukkan sifat, sikap dan lakuan liar Israel di luar sana.

    Yang penting, kembalilah kepada kekuatan dan cinta bangsa kita sendiri agar tidak menjadi mangsa Israel.

    Selasa, 1 Jun 2010

    Prof. Ahmad Pengalaman

    Suatu hari tersiar dalam akhbar berkenaan rungutan pelajar. Kata pelajar itu, di IPG tidak ada pensyarah pakar kerana Sarjana Pendidikan Kurikulum ditempatkan dan mengajar di Jabatan Pendidikan Jasmani, Sarjana Bahasa Inggeris pula mengajar di Jabatan Ilmu Pendidikan. Justeru, kata pelajar itu, di IPG tiada kepakaran yang mengajar bidang kepakarannya. Hal ini, kata pelajar itu lagi, boleh menjejaskan kualiti pembelajaran dan seterusnya pengiktirafan terhadap ijazah yang akan dikeluarkan. 

    "Justeru, saya berharap pihak pengurusan IPG memperbetulkan sistem pengurusannya demi kebaikan bersama," akhiri tulisan itu.

    Padangan ini disangkal sekeras-kerasnya oleh Encik Ahmad. Sebagai orang nombor satu di IPG, beliau memberitahu bahawa pandangan itu  tidak tepat sama sekali.

    "Saya telah 30 tahun berkhidmat di IPG dan kini berada dalam gred bersamaan profesor madya di universiti," ujar Encik Ahmad. "Bukankah pengalaman itu membuktikan saya lebih pakar daripada pensyarah universiti yang baru 10 tahun mengajar atau baru tamat Ph.D?"

    Kami mendengarnya tanpa berani menyampuk. Hanya mengangguk tanda kami faham kata-katanya. 

    "Oleh itu, saya tidak mahu dengar orang mempertingkaikan kepakaran dan pengurusan saya," tegas Encik Ahmad. "Pengalaman saya lebih Ph.D daripada graduan Ph.D," katanya lagi sebelum mengakhiri ucapannya.

    Sejak itu, kami memanggil beliau 'Prof. Ahmad Pengalaman.'

    Terima Kasih...

    Terima kasih kepada DBP khususnya Encik Mohamad Daud Mohd, dan Encik Jusuh Majid kerana memberi peluang dan ruang kepada saya sebagai pemakalah Wacana Ilmu Kelantan 2010, baru-baru ini.

    Bukan nilai wangnya yang penting, tetapi nilai kepercayaan yang mengatasi segala-galanya, dan nilai itulah yang melonjatkan nama saya dalam bidang sastera.

    Banyak jasa yang ditaburkan oleh rakan-rakan di DBP dalam memajukan hobi saya. Dari awal lagi saya dibantu oleh Mattaib Nordin, Sutung Umar RS (mantan), Zaen Kasturi (Mantan), Puan Fatimah, Dr. Hanafi, Hasni Abas, Mohamad Sahaidan, Amran Daud, Ikram Fadly, Zalila Sharif, Rozninah, Norzeha Kasbi (mantan), ... Semoga Allah membalas jasa kalian.

    Dalam kata penghantar kumpulan sajak Gelodak Rasa (sayangnya penerbitannya dibekukan) saya menegaskan bahawa kejayaan saya ini (dalam segala aspek) bukan kerja saya seorang, melainkan dibantu oleh kawan-kawan, dan termasuk juga mereka yang tidak saya kenali.