Khamis, 27 Mei 2010

Melawat Pos Lebir

Jam 8.30 pagi pada 24 Mei 2010, aku bersama-sama Encik Ibrahim Idris dan Encik Aziz Mahmod bertolak dari IPG ke Pos Lebir, Gua Musang. 

Disebabkan ekonomi IPG tenat, maka kami berkongsi kereta. Rakan-rakan memutuskan menaiki kereta Proton Saga model sulung keluaran 1987 kepunyaan aku. Aku sendiri memandunya.

Separuh perjalanan kami singgah di pekan Guchil, menikmati roti canai.

Jarak perjalanan sejauh 160 KM dari Kota Bharu ke persimpangan di Kampung Sungai Sam. 

Di sini, persimpangan ke kiri menghala ke bukit-bukau, manakala  persimpangan ke kanan menghala ke ladang sawit dan Dabong.

Aku terpaksa parkir kereta di persimpangan Kampung Sungai Sam, bersebelahan kedai makan. 
Selepas sejam menunggu, kami menaiki Hilux menuju  ke Pos Lebir. Jaraknya sejauh 10KM. 

Walaupun dekat, permukaan jalan menguji pemanduan. Jalannya  berlubang, berlopak air, berlurah laluan air dan bercerung.

Hampir satu jam perjalanan, barulah kami sampai ke Pos Lebir. 

Di sini terdapat sebuah kampung bernama Kampung Pasir Linggi. Penduduknya terdiri daripada orang asli suku kaum Bateq. Terdapat sekitar 60 buah rumah. Ada tiga jenis rumah mereka, iaitu rumah batu konkrit, rumah papan dan rumah hayak.

Purata mereka beragama Islam.

Di penghujung Kampung Linggi terdapat Kampung Susu Dara. Penghuninya terdiri daripada orang-orang Melayu.

Masyarakat Kampung Pasir Linggi membina petempatan di sepanjang Sungai Linggi. Pekerjaan asas mereka ialah mencari hasil hutan seperti rotan, kayu gaharu, buah-buahan dan memburu.

Bersebelahan Pos Lebir di bina sekolah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi (Sekepal). Sekolah ini khusus untuk anak-anak orang asli di kawasan ini. Tidak pula aku tahu anak-anak orang Melayu di Kamupung Susu Dara bersekolah.

Di sekolah inilah aku datang dan bermalam sepanjang 24 - 26 Mei 2010. Tujuannya ialah membawa sekumpulan pelajar bakal guru bagi memberi pendedahan tentang hal ehwal kehidupan dan masyarakat di sini.

Termasuk kali ini, sudah dua kali aku melawat dan bermalam di Kampung Pasir Linggi. Hal ini kerana IPG menjalankan projek bagi membantu guru-guru dan murid di sini. Di siekolah ini, kami membina sebuah bilik yang dinamakan Bilik Sumber Pedagogi Peribumi, yang dinaiktarafkan daripada Bilik Kurikulum Asli Penan (KAP) yang kami bina sebelum ini.

Aku sebenarnya sudah beberapa kali menziarahi perkampungan orang asli, khususnya perkampungan di sepanjang Simpang Pulai (Ipoh) hingga ke Pos Brooke. Aku telah melawat SK Pos Raya, SK Pos Brooke, beberapa perkampungan sekitar Lojing dan berhampiran Cameron Highland.

Menurut catatan sejarah, sekolah di Pos Lebir ini mula dibuka sekitar tahun 1970 di bawah pentadbiran Jabatan Orang Asli (kini Jabatan Hal Ehwal Orang Asli). Gurunya terdiri daripada kakitangan Jabatan Orang Asli sendiri. Murid awalnya seramai 70 orang.  Guru Besar pertama bernama Tuan Haji Ab. Ghani bin Che Omar.

Kini, sekolah-sekolah di perkampungan orang asli di seluruh negara telah ditadbir oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru-guru terlatih dihantar dari semasa ke semasa dan diberikan elaun kesusahan.

Bangunan sekolah juga sudah jauh berubah, daripada bangunan papan hingga ke bangunan batu konkrit. 

Pelbagai kemudahan disediakan seperti rumah guru, kantin dan asrama  dengan penyediaan makanan percuma. Peralatan elektrik, mesin fotokopi, makmal komputer, air tangki, surau, bilik sumber juga turut disediakan.

Pada pemerhatian aku, masalah di sekolah-sekolah orang asli ialah kekangan daripada murid. Kesedaran mereka terhadap kepentingan akademik masih ketinggalan. 

Di samping itu, terdapat juga kekangan daripada pihak guru. Ramai guru yang berasa kecewa ditempatkan di sekolah pedalaman, khususnya di perkampungan orang asli.
Sesetengahnya menganggap mereka menjadi 'mangsa' ketidakadilan JPN, perbezaan ideologi politik dan karenah birokrasi. 

Khabarnya, ada guru yang diarahkan ke sekolah pedalaman dapat membatalkan arahan tersebut melalui campur tangan politik. Justeru, mereka datang berkhidmat sebagai transit untuk kembali ke kawasan pilihan / asal.

Memang perit hidup di kawasan pedalaman. Ada kalanya, bekalan elektrik dan air terputus.  Tidak ada aktiviti sosial selain bermain bola.

Walau bagaimanapun, kehidupan di Kampung Pasir Linggi tidak seteruk tempat-tempat lain. Kereta jenis pancuan empat roda masih boleh menjejak tayar hingga ke depan rumah.

Demikian juga dengan kemudahan hiburan. Ramai penduduk Kampung Pasir Linggi mempunyai kemudahan Astro.


Ahad, 23 Mei 2010

Judi Bola Sepak

Menurut Dr. Mahathir Mohamed, Malaysia merupakan negara Islam. Alasan beliau ialah kerana pemimpin Malaysia diterajui oleh orang-orang Islam. Sebahagian besar daripada undang-undang negara juga sepadan dengan tuntutan syariah Islam. Atas alasan itu, maka sah Malaysia negara Islam.

Barangkali, teruja Malaysia sebagai negara Islam, maka Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi perdana menteri selepas Dr. Mahathir, menjenamakan semula Islam sebagai Islam Hadhari. Malangnya, penjenamaan ini telah mengelirukan masyarakat Islam yang sedia Islam itu. Tergambar bahawa seolah-olah Islam Hadhari itu satu agama baharu dan Abdullah Ahmad Badawi sebagai nabi baharu. Setelah ada kritikan sebegini, baharulah dijelaskan bahawa Islam Hadhari itu merupakan pendekatan untuk menguatkan keimanan orang Islam terhadap agamanya. Yang silapnya, pendekatan itu seolah-olah satu jenama baharu.

Walaupun Malaysia diisytiharkan sebagai negara Islam, kegiatan-kegiatan yang bertentangan dengan agama Islam masih berleluasa. Kegiatan penzinaan dan pelacvuran berleluasa sehingga wanita-wanita dari China, Thailand, Indonesia, dan sebagainya dibawa khas untuk berlacur di Malaysia. Mereka anggap negara Islam Malaysia sebagai tempat terbaik menjalankan perniagaan pelacuran. 

Oleh sebab itu, di negara Islam Malaysia wujud pusat-pusat pelacuran. Bagi menghalalkan pusat pelacuran itu, maka kerajaan Islam Malaysia mengeluarkan lesan khusus untuk berlacur. Peniaga yang mempunyai lesen pelacuran akan selamat daripada tindakan undang-undang. Manakala peniaga yang menjalankan kegiatan pelacuran secara haram (tanpa lesen) akan diserbu dan dianggap salah di sisi undang-undang. Hukum, rukun dan larangan Islam akan terbatal dan 'terhalal' jika premis itu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan Islam Malaysia. 

Malaysia memang mempunyai keinginan untuk menjadi negara Islam dan dianggap negara Islam. Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaan dan amalan, pemimpin negara Islam Malaysia tidak bersedia mentaati ajaran Islam sepenuhnya. Maka, sebab itulah wujud pelanggaran terhadap larangan agama Islam oleh pemimpin Islam yang memerintah negara Islam Malaysia.

Selain aspek pelacuran, pelanggaran terbaharu pemimpin Islam di negara Islam Malaysia ialah menghalalkan aktiviti judi bola sepak piala dunia, sebagaimana diumumkan oleh Timbalan Menterinya, Dr. Awang Adek Hussin. Alasan yang diberikan ialah jika tidak diberikan lesen akan tetap terjadi aktiviti judi bola sepak secara haram. . Untuk menghalalkannya, agar tidak salah, maka kerajaan negara Islam Malaysia mengeluarkan lesen. Justeru, sesiapa sahaja yang ingin berjudi tidak perlu lagi berasa takut untuk berjudi kerana judi bolak sepak di Malaysia kini sudah halal. Pemimpin Islam dan pemimpin negara Islam Malaysia bersedia menanggung dosa dan kemurkaan Allah yang dilakukan oleh rakyatnya yang ingin berjudi bolak sepak. 

Ini samalah anggapan bahawa Jesus menanggung dosa-dosa umatnya. Maka umatnya bebas melakukan dosa kerana dosa itu akan pergi kepada Jesus.

Alangkah menariknya alasan pemimpin Islam dan pemimpin negara Islam Malaysia untuk menghalalkan judi bola sepak: Jika tidak diberikan lesen, mereka tetap berjudi. Alasan ini bagi menghalalkan segala kejahatan.

Barangkali, suatu masa nanti, segala kejahatan seperti mencuri, meragut, rompak, pelacuran, penzinaan, pukul orang, bunuh orang, dan segala macam kejahatan yang diharamkan, akan dihalalkan dan diberikan lesen untuk mereka halal beroperasi di negara Islam Malaysia.

Ini adalah peluang terbaik bagi pengedar dadah. Mungkinkah mereka akan memohon lesen mengedar dadah, atas alasan pemimpin Islam kerajaan negara Islam Malaysia berpendapat, jika tidak diberikan lesen, kegiatan larangan akan tetap berlaku dan berlaku secara haram. Daripada berlaku secara haram adalah lebih baik dihalalkan dengan cara memberikan lesen, maka dapat kerajaan negara Islam Malaysia mengutip cukai.

Oh, malangnya pemikiran begini dan lebih malang lagi jika pemikiran begitu datang daripada tokoh penting tanah air yang dianggap model dan lebih-lebih lagi berpendidikan tinggi. Adakah demikian juga pemikiran kerajaan Buddha negara Thailand bagi menghalalkan kegiatan pelacuran di negara mereka?

Soalnya, sanggupkah pemimpin Islam di negara Islam Malaysia menanggung dosa dan azad Allah yang dilakukan oleh penjudi bola sepak kerana menghalalkan kegiatan berjudi bola sepak dalam undang-undang Malaysia.

Rabu, 19 Mei 2010

Adab Semasa di Meja Makan

Lazimnya, selepas sesuatu perayaan akan ada jemputan ke rumah terbuka. Atau, jemputan ke rumah terbuka sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat anugerah atau dinaikkan pangkat. Atau, jemputan ke majlis-majlis jamuan tahunan atau majlis kenduri khawin. Sama ada majlis itu bersifat rasmi atau semi rasmi, adalah penting seseorang menjaga etika ketika meraikannya kerana ia melambangkan personaliti seseorang. Terdapat beberapa panduan tatasusila ketika berada di rumah terbuka, khususnya ketika di meja makan.  


1.        Elakkan membelek peralatan yang disediakan walaupun ia menarik dan mengkagumkan.

2.        Jangan bercakap ketika mulut penuh makanan. Elakkan  daripada menyuap makanan terlalu banyak sehingga sukar menguyah.

3.        Jangan lap camca atau garpu dengan kain napkin melainkan kekotorannya jelas kelihatan. Perbuatan itu dianggap menghina tuan rumah.

4.        Jangan bising ketika makan, guna camca, garpu atau membunyikan hirupan sup.

5.        Jika tersuap makanan panas, teguk air sejuk  perlahan-lahan. Jangan meluahkan makanan dalam mutut kerana ia boleh menyebabkan orang lain hilang selera dan tidak selesa.

6.        Jika tergigit sesuatu yang tidak boleh dimakan, jangan luahkan terus ke pinggan. Secara diam-diam, keluarkan benda itu dan letakkan di tepi makanan dalam pinggan anda.

7.        Elakkan daripada sendawa. Jika tidak sengaja, tutup mulut dengan napkin dan ucapkan perkataan “maaf” kepada tetamu semeja.

8.        Jangan gopoh dan menumpahkan makanan ketika mengambil, menyuap atau menelannya. 

9.        Jangan ambil makanan berlebihan, atau menyebabkan makanan tidak mencukupi atau membazir. Ambil sedikit sahaja makanan dan boleh berulang kali.

10.    Sekiranya  tuan rumah menghulurkan makanan kurang digemari, katakan “terima kasih” tanda anda menolaknya.

11.    Jangan sekali-kali mencungkil gigi, mengorek telinga atau hidung di depan tetamu.

12.    Kacau Kopi atau teh pelahan-lahan dan senyap.

13.    Elakkan menuang minuman panas dalam piring dan menghirupnya.

14.    Jangan merokok di meja makan, melainkan mendapat  persetujuan semua tetamu.

15.    Beri pujian jika makanan sedap dan ucapkan “terima kasih” kepada tuan rumah.

16.    Sekiranya ingin meninggalkan meja sama ada mahu ke tandas atau menerima panggilan, minta diri secara sopan daripada teman semeja.


Panduan menggunakan napkin

17.    Letakkan napkin di atas pangku. Jangan selit napkin pada tali pinggang atau tali leher. Napkin bertujuan mengelakkan makanan daripada terjatuh dan mengotorkan baju anda.

18.    Guna napkin untuk mengesat mulut dan menutup mulut ketika membuang sisa di celah gigi.

19.    Jika kain napkin jatuh, jangan mengambilnya. Minta bantuan daripada pelayan.

20.    Jika meninggalkan tempat duduk sementara waktu, letakkan napkin di atas kerusi. Sekiranya anda meletakkan napkin di atas meja, pelayan akan mengemas tempat duduk anda kerana ia menandakan anda sudah selesai makan dan tidak akan duduk di situ lagi.

21.    Apabila selesai makan, letakkan napkin di atas meja tanpa menggubahnya semula ke bentuk asal.

Selasa, 18 Mei 2010

Emel Daripada Hilmi Rindu

Assalamualaikum whb.,

Sebagaimana yang dijanjikan, semalam saya ada pos buku puisi Bagai Ada Sesuatu kepada sdr. Harap sdr menerimanya dengan selamat esok atau lusa.

Bagaiamanapun, saya tidak sempat menulis apa-apa sewaktu proses pengeposan berlaku. Ini kerana waktunya agak terbatas dan beberapa hal yang perlu saya uruskan dalam masa yang sama -- pada waktu itu. Pohon maaf.

Dalam hubungan ini, saya ucapkan terima kasih atas tulisan sdr terhadap dua kumpulan sajak saya sebelum ini. Saya diberitahu oleh anak saya yang rajin membuka laman web. Sudah agak terlewat juga saya mendapatkannya kerena baharu beberapa bulan ini saya mulai rajin (pandai) membuka laman web.

Tulisan sdr mengenai buku yang jauh dan dekat, bagaimanapun tidak dapat saya kesan untuk simpanan. Pohon apalah kiranya kalau masih tersimpan di dalam laman web sdr, dapat mengeposkannya kepada saya untuk simpanan dan mungkin akan diterbitkan pada masa-masa yang akan datang. Selebihnya saya mengucapkan selamat maju jaya kepada sdr yang begitu aktif sekarang ini. Selamat menulis.

Untuk menghubungi saya boleh menggunakan alamat: mohd.hr.trg@kist.edu

Sekian, terima kasih.

Isnin, 17 Mei 2010

Kiasan Baharu

ORANG MALAS KAYA IMPIAN. Maksudnya, seseorang yang malas berkerja, tetapi asyik berangan-angan sahaja mahu melakukan pekerjaan itu pekerjaan ini, sedangkan satu pun tidak dikerjakannya. Idea ini berdasarkan pemerhatian terhadap mereka yang pandai bercakap tetapi sangat malas sifatnya.

Ahad, 16 Mei 2010

Pisau

Aku dapat idea spontan, lantas aku catat sebagaimana di bawah. Walaupun spontan, idea ini bersangkut-paut juga dengan pengalaman menggunakan pisau di dapur, dan tahu bahawa pisau juga boleh jadi pembunuh. 

Rangka sajak ini sengaja dimuatkan sebagai bahan perbincangan bagi mempertingkatkan mutunya. Saya berharap pembaca dapat berkongsi idea untuk memantapkan sajak ini.


Asal pisau dari besi terpateri
lahir dari mulut api
karat akalnya ditajamkan kikir
menumpang makan di dapur isteri
 
Suatu malam saya bermimpi
si pisau itu merayu dikasihani,
"Tolong berikan aku secebis dagingmu, tuan
aku jemu diberikan sapi dan ikan."
 
Aku terbangun mendengarnya
walaupun sekadar mimpi tak perlu dilayani
permintaan itu berlebih-lebihan dan berbahaya
kepada seluruh isi keluarga di rumah saya.

Mu Oghre Islam ke Oghre Melayu?

Saya dan isteri berkunjung ke sebuah kedai alat ganti kereta di Jalan Kuala Krai. Dari jauh lagi, pemiliknya berbangsa Cina (bukan Islam) mengucapkan, "Assalamualaikum"  kepada kami.

Saya minta beberapa alat ganti yang dikehendaki. Mendengar banyaknya alat ganti kereta diperlukan, Cina itu tidak henti-henti mengucapkan, "Masya Allah, masya Allah, banyaknya."

Setelah dijumlahkan harga, rupa-rupanya duit yang kami bawa tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa mengetepikan beberapa barang. 

"Bakpo toksir pulak. Tadi nak?" tanya Cina itu.

"Tak dang pitis," jawab saya.

"Ambik dulu. Bayar setakat ada, nanti bayarlah," jawab Cina itu.

"Harap ke?" tanya saya.

"Mu oghre Islam ke oghre Melayu?"

"Islam."

"Kalau Islam boleh percaya, tak menipu."

Hari itu,aku bawa balik alat-alat ganti kereta, yang sebahagian sudah dibayar dan sebahagian lagi berhutang."

Apa kaitan dengan gambar di atas?

Maknanya, orang Melayu boleh menghalalkan apa-apa sahaja, termasuk apa yang dilarangkan dalam agamanya, asalkan ia mendatangkan wang. Hal ini berbeza dengan orang Islam. Maka tidak hairanlah kalau Cina pemilik alat ganti kereta itu lebih percaya kepada orang Islam, berbanding orang Melayu.

Awang Adek dan kerajaan Melayu Islam Malaysia telah membuktikannya.

Jumaat, 14 Mei 2010

Anugerah Tokoh Melayu Terbilang

Tahniah kepada Tuan Zainuddin kerana diisytiharkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang. Ini anugerah gelaran tertinggi yang akan dikagumi oleh generasi.

Sesungguhnya, pada abad ini (sehingga tahun 2010) dan abad sebelum ini, tidak ada orang Melayu yang terbilang melainkan Tuan. Tentulah besar jasa Tuan sehingga tidak tertanding melainkan Tuan sahajalah gerangan orang yang terbilang itu. Oh, sungguh besar jasa Tuan dan sungguh terbilang Tuan. Tun Abdullah Badawi yang memperkenalkan slogan Cemerlang, gemilang, terbilang itupun tidak terbilang. Tun Dr Mahathir pun tidak tertanding akan terbilang Tuan.

Cuma fikiran Amba yang nakal ini mencari-cari akan bintang yang membenarkan Tuan terbilang. Malangnya, Amba tidak jumpa di manakah terbilangnya Tuan. Barangkali kerana usia Amba baru setahun jagung, maka tidak terjumpa akan terbilangnya Tuan itu. Oh, sungguh hebat orang yang mencadangkan nama Tuan sebagai penerima sulung anugerah gelaran terbilang itu. Tidak ada lagi orang lain melainkan Tuan sahajalah. Sangatlah Amba kagum pada penganjur dan pencadangnya. Pekerjaan yang baik itu haruslah disokong.

Nama Tuan terkenal dan terbilang dalam kewartawanan Utusan Melayu. Tuan pernah menyaluti diri dengan nama Awang Selamat. Nama saduran itu dimusuhi sebilangan rakyat Malaysia. Namun, saya tidak pernah pula mendengar nama Tuan dianugerahi Anugerah Masaysay, atau Anugerah Rahim Kajai, atau Anugerah Kewartawanan. Aneh, tiba-tiba sahaja Tuan dianugerahi Tokoh Melayu Terbilang. Oh, kagumnya saya pada Tuan. Oh, bijaksininya penganjur anugerah gelaran itu dan pencadang nama Tuan. Siapa, ya?

Cuma Amba berharap, yang dimaksudkan 'terbilang' itu bukan maksud 'terbuang' atau 'TT' (Tidak Terbilang). Dahulu pun pernah Amba dianugerahi pingat 'terbilang' juga, iaitu semasa kami main pondok-pondok. Kami saling memberi pingat. Saya menerima Pingat Pemanjat Paling Terbilang. Yalah, saya dapat panjat pokok pinang dan mengambil anak burung yang bersarang di pelepahnya.

Ahhhh ... janganlah anugerah gelaran kepada Tuan itu diberikan oleh penganjur dan pencadang pondok-pondok kerana ia telah diwarwarkan ke seluruh dunia

Rabu, 12 Mei 2010

Kuda-Kuda Kayu

Dia rasa bangga menunggang kuda-kuda kayu, 
berkeliling kampung diarak anak-anak.
Di satu persimpangan dia berhenti 
dan dengan bangganya dia menjerit;

"Kuda-kuda ini akan kuhadiahkan
kepada si dia pemimpinku
semoga esok tidak lagi Tuhan bertanya:
'Mengapakah bangsamu kau tunggang setianya?'"

12 Mei 2010

Keadilan Untuk Aminul Rashid



DI RUMAH SILOPIA

Keselamatan mitos purba 
di rumah silopia 
umpamanya kata petani ini: 
"harapkan pagar, pagar makan padi." 

10 Januari 1999
Kumpulan Sajak Di Rumah Wiramal,2003: 25

Jumaat, 7 Mei 2010

Gila Si Gabir

Ada orang berkata maksud huruf BPG itu ialah Bahagian Paling Gila. Aku terpingga-pingga tidak memahaminya. Melihat kepinggapinggaan aku itu, seseorang yang lain mencelah. 

"Bukan. Bukan," katanya. "BPG itu Bahagian Paling Gabir" sambungnya. 

"Salah tu. Badan Projek Gila," tegas yang lain. 

'Ahhhh ..., itu hanya gelaran pada tiga huruf itu dan gelaran itu tidak semesti benar.' rungut hatiku.

Anehnya, gelaran itu rasa sepadan pula. 

Menurut Sumber, "orang-orang di sini cerdik. Ada yang berijazah master dan ada yang berijazah doktor. Bentang kertas kerja itu kertas kerja ini, di dalam dan di luar negeri. Menyaran itu dan menyaran ini, sebelum kembali ke pejabat untuk menyusun fail, menulis teks ucapan bos, menalefon hotel, merangka projek itu merangka projek ini. Dan, intai peluang." 

'Memang gila dan gabir kalau demikian itu,' hatiku merunggut. 'Mereka betul-betul gamet yang merosakan minda generasi.'

"Apabila mereka membuat penilaian prestasi," kata Sumber lagi, "Mereka mahu isi markah rakan serendah-rendahnya kerana bimbang kerajinan dan kehebatan rakan akan meninggalkan kegilaan dan kegabiran dirinya. 

Aku teringat pada tingkah protes abang dan kakak BPG. Mereka marah apabila jawatan pengarah diberikan kepada saudara tirinya. Mereka menjerit kesal dan menuduh Ketua Pengarah pilih kasih dan tidak pandai menilai hasil kerja mereka yang gila dan gabir itu.

Seorang PTD mencelah, "Apabila PTD mahu masuk tolong buang semak-samun kegabirannya hingga membengongkan orang lain, dituduhnya PTD mahu rampas jawatan, lalu tidak dibenarkan PTD masuk bertenggek di dahannya."

"Anehnya," sampuk Rakan PTD itu, "Mereka mahu hidup dalam Rumah Dunia, sedang mereka tidak mahu keluar dari Parit dan Longkang." 
Aku fikir benar juga kata PTD itu. Apa salahnya kalau diwujudkan satu jawatan untuk PTD? Namakan saja jawatannya - Timbalan Pengarah Pembangunan, atau Eksekutif IPG. Mungkin gila dia dan bengong orang boleh dipulihkan.

Namun kerja Si Gila yang bangang dan Si Bangang yang  gila itu tidak pernah selesai. Kerja yang dibuatnya, ada-ada sahaja salah, hingga menyusahkan kaki dan tangan dan kepala orang lain. 

Sewaktu di bilik termenung, dia terfikir mahu mengadakan satu program pengajian. Tanpa sempat mencuci, dia terus melompat keluar dan mewarwarkannya. Minta orang datang mengikuti programnya. Malangnya, hingga habis masa program tidak diketahui guru yang patut mengajarnya. 

Maka, diarahkan jurutaip menaip sijil-sijil kehadiran dengan kata-kata mahacemerlang. Peserta program itupun pulang membawa kegilaan dan kegabirannya dengan rasa mahariang.

Satu hobi BPG ialah mengumpul kertas. Menurut sumber, mereka berkerja sambilan menjual kertas. Maka, banyaklah kertas-kertas yang diminta daripada orang berurusan dengannya. Menurut sumber lagi, katanya, kertas itu mahu dibuat tempat duduk agar duduknya lebih tinggi. Duduk tetamu  dibiarkan di atas lantai dan bersesak-sesak. 

'Kalau terlihat anak cimpazi dikatakan anaknya, lantas diambil  dan disusui hingga anak sendiri terbiar dan mati,' ujar seseorang yang lain lagi.

Kegilaan dan kegabiran mereka kini merebak ke seluruh jajahan takluknya. Anehnya, semua badut dijajahan takluk menganggap  semua itu tidak salah.

"Ahhhhh ... rupa-rupanya, mereka semua sudah gila dan gabir seperti gila dan gabir BPG," jerit Si Tanggang.

Khamis, 6 Mei 2010

Majlis Diskusi Karya Sastera Antara Wilayah

Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) menganjurkan majlis di atas sangat dialu-alukan dan semoga terus berpanjangan. Dua wilayah terlibat ialah Wilayah Timur dan Wilayah Utara.

Majlis yang berlangsung pada 2 Mei 2010 bertempat di DBPWT membariskan empat orang ahli panel yang membicarakan empat buah karya oleh empat orang penulis dari kedua-dua wilayah.

Puzi Hadi (Kedah) membicarakan sajak Hilmi Rindu dengan judul "Bagai Ada Sesuatu Daripada Hilmi Rindu;" Wan A. Rafar (Kelantan) "Jamaludin D Menukang Puisi, Menjahit Baju Peribadi Sebuah Pembicaraan 'Selaut Belantara'"; Norhisham Mustaffa (Kelantan) "Dengan Lesen Puitika di Tangan Penyair" membicarakan sajak Rejab F.I; dan, Hasan Baseri Budiman (Kedah) "Melihat Suara-Suara Protes dalam Kumpulan Cerpen 'Apabila Alam Berbicara' Karya Rozais Al-Anamy."

Selain itu, dua kertas kerja iringan disampaikan oleh Osman Ayob berjudul "Asasi - Sorotan Peranan Ketua Satu dan Persoalan Memantapkan Hala Tuju;" dan Abdul Hadi Yusoff ("Persatuan Penulis Kelantan (PPK)).

Saya tertarik dengan hujah dan kritikan panel yang kritis dan kritik. Walaupun pedas kepada penulis, kritikan itu sangat berguna bukan sahaja kepada para penulis, malahan juga khalayak, khususnya calon penulis khasnya dan penulis lain umumnya.

Banyak ilmu dapat ditimba, khususnya bagi memantapkan karya. Panel mendedahkan kelemahan karya untuk diperbaiki dan diambil iktibar.  Bukan sebarangan panel berani berkata benar dan berterus-terang, apalagi terhadap karya penulis veteran. Namun, empat orang panel itu membuktikan kejujuran dan kepakaran mereka. Tahniah. 

Selasa, 4 Mei 2010

Gema

Gema atau nama panjangnya Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan merupakan antara persatuan penulis yang aktif di Kelantan. Gema ditubuhkan  sekitar tahun 1980-an. Antara pengasasnya ialah Zainal Abidin bin Muhamad. Beliau menjadi Ketua 1 sehingga kini.

Gema tidak bernaung di bawah Gapbungan Penulis Nasional (Gapena) sebagaimana Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dan Persatuan Penulis dan Seniman Kelantan (Puspa). Dananya diperoleh daripada badan-badan kebudayaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, dan korporat.


Namun begitu, Gema terus menjana aktiviti. Aktiviti Gema seperti Malam Puisi Ramadhan, sayembara deklamasi puisi misalnya tidak kurang hebat. Malah, Gema pernah menerbitkan kumpulan karya perseorangan ahlinya, yang jarang dapat diusahakan oleh badan-badan penulis lain. Kumpulan sajak Matahari Berdoa karya Rahimidin Zahari misalnya merupakan sumbangan besar Gema kepada kesusasteraan nasional.

Dari segi pembinaan identiti, Gema menjuarai persatuan-persatuan lain di Kelantan. Mereka mempunyai baju korporat tersendiri. Pemimpinnya pula pandai mengurus dana.

Ahli jawatankuasanya seperti Zainal Abidin Muhamad, Ezani Haji Daud, Azmi Taib, Zizie Setapha, Amiruddin Mamat merupakan pengerak yang bertenaga.


Kini Gema berusaha membawa dan mengembangkan ilmu kesusasteraan di sekolah untuk disebarluaskan kepada guru dan pelajar. Usaha ini merupakan peluang keemasan kepada sekolah yang berwatak dan wajar direbuti. Saya fikir, Gema juga boleh berkerjasama dengan persatuan belia, universiti dan IPG menganjurkan pelbagai aktiviti.

Pensyarah Teraniaya: Kita Sama-Sama Teraniaya

Saya merujuk surat Pensyarah Teraniaya yang bertajuk “Kecewa kenaikan pangkat di Institut Pendidikan Guru” siaran Utusan Malaysia pada 21 April 2010. Saya dan kawan-kawan saya juga menerima nasib yang sama seperti nasib Pensyarah Terniaya. Kita dari bakul yang sama.

Menurut maklumat yang kami peroleh, pegawai berkenaan di BPG akan memproses pemangkuann gred pensyarah IPG fasa 3 setelah mereka disahkan kenaikan gred yang mereka peroleh baru-baru ini.

Untuk pengetahuan umum, kenaikan pemangkuan gred pensyarah IPG sebenarnya turut dinikmati oleh semua pegawai di Kementerian Pelajaran, bukan terhad pensyarah IPG sahaja. Malangnya, mereka lebih berminat memproses kenaikan untuk diri sendiri dan  rakan-rakan di kementerian. Semua pegawai yang terlibat dengan pemangkuan yang berada di kementerian sudah selesai. Mereka kini turun ke IPG. Setelah berjaya, mereka terus membekukan pemprosesan fasa 3 yang melibatkan pensyarah IPG sahaja. Tiada pegawai di kementerian yang mengalami keciciran sebagaimana dialami oleh pensyarah IPG. Ini bukti nepotisme dan kronisme.

Menurut sumber lagi, mereka akan proses perjawatan fasa 3 setelah perjawatan mereka disahkan. Dengan cara itu, sekali lagi mereka akan menyusup untuk pergerakan gred kali kedua. Ertinya, mereka akan dapat dua kali peluang daripada satu sistem. Memang tamak beruk kerana perbuatan ini tidak mendukung hasrat dan slogan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Saya harap pihak yang berkenaan cuba membantu agar birokrasi seperti ini tidak berulang kerana ia akan memburukkan imej IPG / BPG sendiri. Memang ada rasa kecewa apabila melihat lembu dimahkotakan.

Aku Budak Mentah


Buku ini merupakan kertas kerja yang aku bentangkan dalam Majlis Wacana Ilmu Kelantan 2010. Tajuknya, "Citra Manusia dalam Kumpulan Sajak Umpama Mutiara Karya Nawawee Mohammad.

Nawawee merupakan antara penyair veteran yang berasal dari Terengganu. Pada tahun 2009, terdapat dua kumpulan sajak Nawawee diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Umpama Mutiara (UM) merupakan kumpulan sajak remaja, manakala Setelah pula kumpulan sajak khusus untuk golongan dewasa.

Aku sengaja memilih Kumpulan Sajak UM untuk dibicarakan dalam majlis itu. Ada beberapa sebab. Pertama, UM nipis berbanding dengan Setelah. Kedua, khalayak wacana ialah para pelajar IPG - KKB. Mereka masih remaja dan belum terdedah sepenuhnya dengan kritikan sastera. 

Pilihan fokus perbincangan, "Citra Manusia" juga adalah sengaja. Aspek ini berkait-rapat dengan sosiologi. Salah satu tajuk kritikan yang dipelajari ialah pendekatan Sosial. Justeru, aku berpendapat, melihat citra manusia adalah bertepatan dengan khalayak.

Ketiga, pelajar IPG belajar empat teori kritikan sastera, iaitu Teori Formalistik, Teori Struktural, Teori Feminisme, dan Teori Sosial.  Setakat ini telah aku tulis dan aplikasi kritikan berkenaan Teori Strukturalisme. Kali ini  aku guna Teori Sosial pula.  Kritikan secara Formalistik dan Feminis akan menyusur. 

Sebenarnya, Teori Sosial ini sangat luas. Ketika membuat tinjauan kembali terhadap sukatan berkenaan pada tahun 2006, aku telah cadang agar Teori Sosial ini ditetapkan secara khusus. Aku cadangkan agar melihat citra manusia kerana aspek lebih sesuai untuk calon guru memahami perwatakan manusia. Malah, aku juga mencadangkan agar Teori Formalistik dengan Teori Struktural dipilih satu sahaja. Selain itu, aku mencadangkan agar mengambil satu teori sastera tempatan, iaitu Teori Takmilah.

Namun, pensyarah kanan menolak semuanya. Katanya, "ajarlah apa sahaja yang berkaitan masyarakat!" Aku membalasnya, "Bagaimana kalau ada yang mengajar Teori Markxis? Teori ini juga termasuk dalam teori sosial.

Alasan mereka menolak teori kritikan sastera tempatan kerana menganggap teorinya belum mantap. Aku balas, "Sampai bila mahu tunggu mantap kalau tidak dikembangkan? Kita patut berbangga dengan teori kritikan sastera janaan kita." 

Namun, dengan kuasa kuda yang ada dan kesetiaan menjujung kepala lembu, mereka menolak mentah-mentah cadangan aku. Maka, sebab itu aku berpendapat Rumah IPG dipenuhi zink berkarat.

Anehnya, mereka yang dianggap kanan dalam IPG sebenarnya tidak membaca karya sastera. Tidak tahupun teori-teori yang disebutkan. Tidak pernah beli majalah Dewan Sastera. Tidak kenal siapa Nassury Ibrahim. Apalagi Salleh Rahamad. Apabila disebut sajak, mereka hanya kenal nama Usman Awang sahaja. Asraf pun mereka kata sasterawan yang menulis sajak. Dan, A. Samad Said dianggap tokoh bahasa. Memang mereka tidak membaca. Apalagi berkarya atau menulis kritikan. 

Namun, Awas! Jangan sesekali bertegang leher dengan mereka. Anda akan kalah. Merekalah raja yang serba tahu, tetapi tidak serba reti. Mereka penceramah hebat di IPG, di sekolah, di BPG, dengan bayaran percuma. Disebabkan sudah lanjut usia, sudah lama berada dalam IPG, dan sudah lama mengajar bahasa dan sastera (walaupun berkhinzir buta), dipuja-dipuji guru-guru selembuan (bekas anak murid), dan kawan-kawan setuaan menganggapnya pakar. Mereka pun perasan habis. Jadi, aku yang baharu di IPG dianggap budak mentah. Cadangan aku dilempar tanpa perlu difikirkan.

Aku harap pensyarah baharu tidak mewarisi karat-karat pensyarah lama, dan tidak menjadi zink berkarat apabila berada di bumbung rumah.


Sabtu, 1 Mei 2010

Bicara Karya PPK - ASASI

Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur menganjurkan Program Bicara Karya PPK - ASASI pada 2 Mei 2010 (Ahad) jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Jalan Abdul Kadir Adabi.

Buku yang akan dibicarakan ialah kumpulan cerpen Apabila Alam Berbicara karya Rozais al-Anamy sebagai mewakili karya penulis PPK, kumpulan puisi Selaut Belantara karya Jamaludin D (Asasi), kumpulan puisi Bagai Ada Sesuatu karya Hilmi Rindu (Pelita), dan kumpulan puisi Di Persada Tanah Tercinta karya Rejab F.I (Perlis).

Semua peminat sastera, pencinta ilmu, calon penulis dan penulis dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Pemimpinku Berkaki Botol!

Akhbar Siasah bilangan 0198 bertarikh 2 - 8 Mei 2010 halaman 3 di bawah tajuk Kaki botol: Zaid saman Utusan Malaysia, antara lain Zaid Ibrahim berkata, "Saya bukan kaki botol. Saya minum tidak lebih daripada apa yang diminum oleh Mahathir dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain."

Wah, rupanya khalifah dan pengasas negara Islam Malaysia, dan presiden (mantan) Persatuan Peguam Muslim pun minum arak juga! Kalau khalifah minum arak, apalagi mereka bukan khalifah. Ketua bahagian / cawangan lebih-lebih lagi gamaknya!

Saya setuju Zaid Ibrahim saman Utusan, bukan kerana mahu memenangkan beliau dalam PRK di Hulu Selangor, tetapi kerana mahu tahu, siapakah lagi 'kaki botol' dalam kalangan pemimpin negara Islam Malaysia.