Ibrahim Ali pandai berpolitik, main politik dan membina tapak politik. Setidak-tidaknya untuk dirinya sendiri. Ibrahim tangkas mencipta peluang dan merebut peluang. Dia berpolitik mati-matian seakan tiada kerja lain selain berpolitik.
Nama Ibrahim berada dalam dua corak. Dia dibenci dan dia juga dirindui. Dia dibenci kerana kegelojohannya. Tanpa segan tanpa malu malah tidak berlapik pun, dia akan berkata apa yang dia ingin kata. Dalam posisi lain, kegelojohan Ibrahim menyebabkan dia terus diperlukan dalam arena politik.
Dr. Mahathir pernah 'memarahi' Ibrahim Ali dan memberi imej yang tidak elok kepada Ibrahim Ali. Namun, akhirnya Dr. Mahathir 'tunduk' kepada Ibrahim Ali apabila memberi jawatan timbalan menteri kepadanya. Malah, pada zaman Dr. Mahathir sebagai PM, Ibrahim Ali pernah mendapat projek besar berjutaan ringgit. Projek itu dalam kawasan Pasir Mas, membina jalan raya dan jambatan. Kalangan penduduk Kelantan memanggilnya projek jalan raya itu sebagai Jambatan Ibrahim Ali.
Apakah yang dikehendaki oleh seorang politikus kalau tidak pangkat dan projek? Ibrahim Ali memperolehinya daripada orang yang pernah 'membencinya' atau 'memarahinya.'
Setelah Umno buang Ibrahim Ali, beliau berbaik-baik dengan Pas dan membina tapak politiknya dalam Pas. Pas juga pernah memarahi dan 'memusuhi' Ibrahim Ali. Dengan kebijakan politik Ibrahim Ali, akhirnya, Nik Aziz sendiri pernah anggap Ibrahim Ali sebagai anak angkat Pas. Seterusnya, Pas menyokong Ibrahim Ali sebagai calon tunggal pembangkang di Pasir Mas. Semua ahli Pas menyokong Ibrahim Ali hingga beliau menang dalam PRU-12.
Apa lagi yang dikehendaki noleh politikus kalau bukan dicalon dan menang dalam pilihan raya?
Kini Ibrahim Ali 'memusuhi' Pas dan sekali lagi Pas mulai membenci Ibrahim Ali. Ibrahim Ali tidak kisah dan beliau pun tidak mengharapkan lagi pada Pas. Kini Ibrahim Ali membina tapak politiknya dengan cara menubuhkan Perkasa.
Pada saya, Perkasa bukan sebuah NGO yang ingin memperjuangkan nasib orang Melayu. Perkasa sebuah pertubuhan yang ingin memperjuangkan karier politik Ibrahim Ali. Sehingga kini, Ibrahim Ali berjaya menjadikan Perkasa sebuah pertubuhan yang mendapat perhatian umum. Malah, Dr. Mahathir pun sokong Perkasa. Ibrahim Ali selesa dengan Perkasa. Tidak mustahil, suatu masa nanti, Perkasa akan jadi sebuah partai politik. Pusat operasinya di Pasir Mas.
Demikian, pada saya, kebijakan politik Ibrahim Ali. Dalam riuh-rendah kebencian terhadapnya, dia masih boleh membina tapak dalam pusat riuh-rendah orang membencinya itu. Dia boleh 'memikat' Dr Mahathir hingga Dr Mahathir melantiknya sebagai timbalan menteri dan beri projek. Dia berjaya pikat Pas hingga Nik Aziz mengizinkan beliau bertanding guna lambang Pas dan menang pilihan raya.
Walaupun karier politik Ibrahim Ali tidak stabil, namun jasanya lebih besar daripada jasa Hishamuddin misalnya. Selain bina jalan dan jambatan di Pasir Mas, Ibrahim Ali adalah individu yang berperanan besar memartabatkan Institut Teknologi Mara (ITM) hingga bergelar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prof. Dr. Ibrahim tidak akan jadi Naib Canselor kalau tidak kerana jasa Ibrahim Ali. Kini, UiTM merupakan universiti terbesar di Malaysia. Malangnya, UiTM tidak pernah mengenang jasa Ibrahim Ali.
Demikian, imej Ibrahim Ali pada persepsi saya. Beliau bersinar dalam lumpur dirinya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan