Rabu, 28 April 2010

YB Ibrahim Ali

Ibrahim Ali pandai berpolitik, main politik dan membina tapak politik. Setidak-tidaknya untuk dirinya sendiri. Ibrahim tangkas mencipta peluang dan merebut peluang. Dia berpolitik mati-matian seakan tiada kerja lain selain berpolitik.

Nama Ibrahim berada dalam dua corak. Dia dibenci dan dia juga dirindui. Dia dibenci kerana kegelojohannya. Tanpa segan tanpa malu malah tidak berlapik pun, dia akan berkata apa yang dia ingin kata. Dalam posisi lain, kegelojohan Ibrahim menyebabkan dia terus diperlukan dalam arena politik.

Dr. Mahathir pernah 'memarahi' Ibrahim Ali dan memberi imej yang tidak elok kepada Ibrahim Ali. Namun, akhirnya Dr. Mahathir 'tunduk' kepada Ibrahim Ali apabila memberi jawatan timbalan menteri kepadanya. Malah, pada zaman Dr. Mahathir sebagai PM, Ibrahim Ali pernah mendapat projek besar berjutaan ringgit. Projek itu dalam kawasan Pasir Mas, membina jalan raya dan jambatan. Kalangan penduduk Kelantan memanggilnya projek jalan raya itu sebagai Jambatan Ibrahim Ali.

Apakah yang dikehendaki oleh seorang politikus kalau tidak pangkat dan projek? Ibrahim Ali memperolehinya daripada orang yang pernah 'membencinya' atau 'memarahinya.'

Setelah Umno buang Ibrahim Ali, beliau berbaik-baik dengan Pas dan membina tapak politiknya dalam Pas. Pas juga pernah memarahi dan 'memusuhi' Ibrahim Ali. Dengan kebijakan politik Ibrahim Ali, akhirnya, Nik Aziz sendiri pernah anggap Ibrahim Ali sebagai anak angkat Pas. Seterusnya, Pas menyokong Ibrahim Ali sebagai calon tunggal pembangkang di Pasir Mas. Semua ahli Pas menyokong Ibrahim Ali hingga beliau menang dalam PRU-12.

Apa lagi yang dikehendaki noleh politikus kalau bukan dicalon dan menang dalam pilihan raya?

Kini Ibrahim Ali 'memusuhi' Pas dan sekali lagi Pas mulai membenci Ibrahim Ali. Ibrahim Ali tidak kisah dan beliau pun tidak mengharapkan lagi pada Pas. Kini Ibrahim Ali membina tapak politiknya dengan cara menubuhkan Perkasa.

Pada saya, Perkasa bukan sebuah NGO yang ingin memperjuangkan nasib orang Melayu. Perkasa sebuah pertubuhan yang ingin memperjuangkan karier politik Ibrahim Ali. Sehingga kini, Ibrahim Ali berjaya menjadikan Perkasa sebuah pertubuhan yang mendapat perhatian umum. Malah, Dr. Mahathir pun sokong Perkasa. Ibrahim Ali selesa dengan Perkasa. Tidak mustahil, suatu masa nanti, Perkasa akan jadi sebuah partai politik. Pusat operasinya di Pasir Mas.

Demikian, pada saya, kebijakan politik Ibrahim Ali. Dalam riuh-rendah kebencian terhadapnya, dia masih boleh membina tapak dalam pusat riuh-rendah orang membencinya itu. Dia boleh 'memikat' Dr Mahathir hingga Dr Mahathir melantiknya sebagai timbalan menteri dan beri projek. Dia berjaya pikat Pas hingga Nik Aziz mengizinkan beliau bertanding guna lambang Pas dan menang pilihan raya. 

Walaupun karier politik Ibrahim Ali tidak stabil, namun jasanya lebih besar daripada jasa Hishamuddin misalnya. Selain bina jalan dan jambatan di Pasir Mas, Ibrahim Ali adalah individu yang berperanan besar memartabatkan Institut Teknologi Mara (ITM) hingga bergelar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prof. Dr. Ibrahim tidak akan jadi Naib Canselor kalau tidak kerana jasa Ibrahim Ali. Kini, UiTM merupakan universiti terbesar di Malaysia. Malangnya, UiTM tidak pernah mengenang jasa Ibrahim Ali.

Demikian, imej Ibrahim Ali pada persepsi saya. Beliau bersinar dalam lumpur dirinya sendiri.

Aku Melayu Kelate

Menurut laporan media, kerajaan membelanjakan sebanyak RM77 juta kepada APCO, sebuah syarikat milik bangsa Yahudi. Yahudi memusuhi Islam. Malaysia pula negara Islam. Malaysia juga tidak mengiktiraf negara haram Yahudi.

Menurut laporan akhbar juga, Kelantan menuntut royalti minyak di perairannya sebanyak RM20 juta / RM40 juta. Namun kerajaan tidak mahu memberinya. Kelantan negeri diperintah partai Islam dan didiami oleh orang Melayu Islam. Walaupun orang Kelantan terkenal sebagai masyarakat paling miskin di Malaysia, namun kerajaan Umno tidak mahu membantunya. Malah, mengejek-ejeknya pula dalam kempen.

Soalnya: Mengapakah kerajaan begitu baik dengan APCO Yahudi dan begitu benci / bengkeng dengan Melayu Kelantan? Dan, mengapakah kerajaan Umno begitu gundah-gulana apabila pengundi Cina tidak mengundi BN dalam PRK Hulu Selangor?

Perlukah aku menjadi 'Cina' atau 'India' untuk mendapat pembelaan dan perhatian kerajaan?

Selasa, 27 April 2010

Laporan Wacana Ilmu Kelantan 2010



Tarikh           : 25 April 2010 (Ahad)
Masa            : 8.30 pagi – 1. 00 tengah hari
Tempat        : Dewan Seminar, IPG Kampus Kota Bharu, Kelantan

1.   UCAPAN ALU-ALUAN
1.1. Puan Narita, Ketua Jabatan Pengajjian Melayu, IPG Kampus Kota Bharu
1.2. Encik Mohd Jusuh Majid, Wakil Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka

2.   PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
  1. Encik Salleh Rahamad- UM (Rindu Berbisik dari perspektif Cultures   Studies)
  1. Encik S.M Zakir- PENA (Di Bawah Unggun Api A. Rahman C.M karya dari sisi pasca Kolonial)
  1. Encik Nassury Ibrahim- IPG KB (Citra Manusia dalam Kumpulan Sajak Umpama Mutiara)

3.   SESI SOAL JAWAB

3.1.   Soalan 1: Abdul Hadi  Yusof dari Persatuan Penulis Kelantan

Mengapa sebelum karya diterbit atau tersiar, pihak tertentu atau pihak pengkritik tidak mengadakan suatu ruang untuk para penulis mendengar pandangan daripada para pengkritik?

Jawapan oleh Encik Mohammad Salleh bin Rahamad-UM

Andai diadakan sesi bedah karya, penulis memilih untuk tidak hadir. Mereka juga kurang mengambil berat terhadap pandangan pihak kedua. Lagipun, penilaian sebelum manuskrip telah dijalankan oleh pihak penerbit terlebih dahulu untuk ditapis. Dari satu sudut, penilaian oleh pihak pengkritik tidak semestinya benar, sama ada dari segi sudut atau teori yang diutarakan oleh pengkritik. Jika mahu pengkritik menilai terlebih dahulu mutu karya penulis, mungkin pihak penulis perlu mengeluarkan sedikit wang khas untuk royalti para penilai. Anggaplah kritikan pengkritik sebagai salah satu anti-thesis

3.2. Soalan 2: En. Ishak bin Ibrahim- JabatanPengajian Melayu,  IPG KB
Dalam pembentangan Encik S.M Zakir, ada menyebut tentang masyarakat majmuk paksaan. Adakah ada terdapat dalam novel atau cerpen bagi ungkapan masyarakat majmuk paksaan tersebut atau ungkapan itu hanya sekadar idea daripada pengarang sendiri?

Jawapan oleh Encik S.M Zakir
Hal ini berkait rapat dengan apa yang disebut oleh Edward Said dan Anialomba sendiri dalam karyanya mereka. Masyarakat hari ini dibawa atau berasal daripada kehendak penjajah bukan kehendak masyarakat asal peribumi sendiri, iaitu Melayu. Pihak penjajah memberi ruang untuk imigran masuk ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu hanya untuk kepentingan politik dan ekonomi mereka semata-mata. Pada zaman itu, penjajah Barat menjadi tuan. Masyarakat peribumi menerima keadaan ini secara terpaksa dan secara tidak langsung wujudlah masyarakat yang tidak stabil dari segi nilai dan budaya. Hal ini disebabkan masyrakat pendatang merupakan bentuk ‘keterpaksaan’ kepada peribumi. Masyarakat Melayu pada masa itu tidak punya apa-apa kekuatan. Namun, setelah Inggeris berundur, masyarakat yang tinggal di Tanah Melayu  terdiri daripada pelbagai kaum dan akhirnya diterima secara terpaksa. Hal ini turut berkait dengan soft recism  dan dasar pecah perintah.

3.3. Pandangan 3: Encik Abdullah –Jabatan Pengajian Melayu,  IPG KB
Sejarah ada menyebut pemerintahan dalam kalangan orang perempuan tidak wujud, tidak seperti yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah. Hal ini merupakan satu pembohongan dalam karya sastera agung Melayu dari pandangan suatu sudut pengkaji sejarah. Namun, apa, bagaimana, siapa yang memerintah tidak dinyatakan?  Mereka yang punya pangkat boleh mendapat sesuatu yang mereka ingini atau sesuatu dalam situasi tertentu.

Siapa pemerintah bergantung pada kuasa yang ada padanya.

Di mana memerintah bermula dari rumah, kuasa di rumah  hingga kesuatu lingkungan lebih besar.

Tidakkah kita sedar sebenarnya Hikayat Hang Tuah boleh ditafsir melalui sudut lain? Kemungkinan apa yang hendak ditafsirkan melalui Hikayat Hang Tuah itu adalah berkenaan sejarah pemerintahan Melayu dahulu telah wujud, apa yang masyarakat hari ini katakan sebagai Queen Control. Hal ini berbahaya jika wujud dalam suasana pemerintahan secara tidak formal. Hal ini juga berkait rapat dengan sejarah Melayu sebenar yang ada mengatakan pada akhir zaman pemerintahan, isteri-isteri raja lebih berkuasa. Hal ini turut boleh dibandingkan dengan pemerintahan masa kini. “Pembohongan melahirkan hakikat”. Situasi Queen Control ini boleh dianalogikan seperti sebuah penjara  dalam sebuah menara yang punya cermin di sekelilingnya. Hal ini membolehkan para pengawal mengawal situasi dengan mudah. Jelas, kemungkinan wujud Queen Control pada zaman pemerintahan dahulu.

Isnin, 26 April 2010

Surat Kepada Muhyiddin, 2

ASSALAMUALAIKUM WBT.
Saya tulis surat ini kerana saya tidak sibuk dan saya percaya tentu YAB juga tidak sibuk kerana kalau sibuk hingga memudaratkan kesihatan, adalah lebih baik kita berhenti daripada perjawatan kita ini dan mencari kerja yang tidak sibuk. namun begitu, mana ada kerja yang tidak sibuk dan membebankan. Orang yang kerja menggoyangkan kaki pun akan berkali-kali berhenti kerana goyang kaki tanpa henti juga menjadi bebanan dan sibuk.

YAB
Ramai rakyat yang takut menulis surat kepada sekalian YAB dan YB kerana bimbang YAB/YB bertindak hingga memudaratkan hidupnya. Saya kira sikap ini menghina YAB/YB kerana menghukum tanpa memberi peluang YAB/YB berkhidmat. Saya fikir YAB tidak sedemikian ini.

YAB
Sekarang heboh pasal sebilangan pensyarah di IPG yang 'dicicirkan' oleh pegawai yang bertanggungjawab di kementerian YAB - Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaupun ini bukan salah YAB kerana YAB telah beri tanggungjawab kepada pihak berkenaan, namun tempiasnya tetap memercik menimpa YAB. Justeru, saya menulis surat ini kepada YAB walaupun saya sedar YAB tidak akan membacanya, apalagi memberi komen.

Tidak berkerjanya pegawai di kementerian YAB bagi menyelesaikan perjawatan sebilangan pensyarah di IPG sama seperti tidak berkerjanya pegawai yang ditugaskan menjaga blog YAB yang tidak dapat saya susuri kini. Tempiasnya tetap menimpa YAB.

Ada kecederungan masalah perjawatan sebilangan pensyarah IPG itu akan terbiar dan tergantung begitu sahaja. Saya berkata demikian kerana masalah berkenaan sepatutnya sudah lama diselesaikan.

Pihak kementerian melalui BPG hanya asyik meminta maklumat baharu pensyarah daripada KUKP di IPG tanpa ada tindakan lanjut. Ada juga cerita saling 'melepaskan dan mencuci tangan' antara BPG dengn IPG induk. BPG menyatakan urusan tersebut kini berada di bawah tanggungjawab IPG induk kerana IPG induk mula ditubuhkan dan akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi. Bagi pihak IPG induk pula mendakwa bahawa mereka tiada kakitangan dan dokumen para pensyarah berkenaan kerana segala dokumen itu berada  di BPG dan diuruskan oleh BPG sebelum ini. Justeru, urusan itu perlu  diteruskan hingga selesai. 

Namun, dengan sikap IPG induk dan BPG itu, siapakah yang mahu menyelesaikannya?

Sebab itu saya mengatakan bahawa masalah ini ada kecederungan terbengkalai daripada penyelesaian, yang akhirnya akan memburukkan nama dan kredibiliti YAB sendiri.

Saya membaca aduan Pensyarah Teraniaya dalam akhbar Utusan Malaysia. Pada saya, memang masalah itu menganiayakan. Tindakan BPG seumpama 'haruan makan anak sendiri,' atau 'menyusu kera di hutan anak sendiri mati kelaparan.' 
Kita tahu BPG tidak ada 'susu' namun ibu bapa yang baik akan berusaha mencari 'susu' untuk semua anaknya, bukan memilih memberi 'susu' kepada anak yang tertentu sahaja.

YAB
Kita terlalu ramai orang yang pandai bercakap dan mahu bercakap, berinspirasi tinggi, namun kita amat sedikit orang yang mahu berkerja dan menjaga kredibiliti majikan, termasuk menterinya. Salah satu cara menjaga kredibiliti majikan dan menterinya ialah dengan cara berlaku adil terhadap anak dan kakitangan sendiri.

Sekian, terima kasih.


Rabu, 21 April 2010

Wacana Ilmu Negeri Kelantan


MAJLIS Wacana Ilmu Negeri Kelantan 2010 akan diadakan di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu (IPGMKKB), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada 25 April ini, jam 9 pagi.

Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Daud Mohamad, berkata wacana anjuran pihaknya dengan kerjasama IPGMKKB itu, akan membicarakan kumpulan puisi Umpama Mutiara karya Nawawi Mohamad; novel Rindu Berbisik (Indah Hairani) dan kumpulan cerpen Di Bawah Unggun Api (A Rahman CM).

“Pembicara pada wacana itu ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Salleh Rahamad; Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman dan Pensyarah IPGMKKB, Maniyamin Ibrahim. “Kami mengharapkan ia dapat meningkatkan apresiasi sastera kebangsaan di kalangan masyarakat melalui penganjuran wacana ilmu berdasarkan teks sastera kreatif yang bermutu tinggi,” katanya pada satu kenyataan, baru-baru ini.

Mohamad Daud berkata, wacana ilmu itu juga diharap dapat meningkatkan kefahaman teori dan kritikan sastera melalui perbincangan karya sastera, sekali gus menghasilkan manuskrip yang menggabungkan hasil kajian berupa penerapan teori terhadap teks sastera dalam pelbagai genre untuk diterbitkan sebagai bahan bacaan dan rujukan.

Maklumat lanjut hubungi Pegawai Perancang Bahasa DBP, Mohd Jusoh Majid di talian 03-21482543 atau e-mel jusoh@dbp.gov.my.
Siaran: Berita Harian: 19 April 2010

Jumaat, 16 April 2010

Skim Cepat Kaya

Seorang kawan mengutip wang pelabur lebih setengah juta untuk melabur dalam skim cepat kaya (SCK). Kawan aku ini cukup yakin bahawa SCKnya itu beroperasi betul. Aku mengatakan bahawa SCKnya itu sama dengan skim Pak Man Telo, cuma SCKnya itu berlindung di sebalik barangan jualan. Dia bermati-matian membantah.

Anehnya, dia sendiri melabur sedikit sahaja, berbanding dengan kawan-kawannya yang lain.

Kini, SCKnya itu telah 'disita' oleh Bank Negara. Namun, dia tidak rasa bersalah terhadap kawan-kawannya yang kehilangan begitu banyak wang. Apabila ditanya, dia tetap menjawab bahawa SCKnya itu tidak ditahan, tetapi masih dalam siasatan. Apabila selesai, wang itu akan dikembalikan. 

Dengan muka sepuluh sen, dia beralih pula ke perniagaan lain. Juga dijual kepada kawan-kawannya yang sama. 

Aku punya pandangan tersendiri dengan SCK. Pada aku, tidak semua SCK itu menipu. Ada beberapa sebab SCK itu dihentikan. Pertama, operasinya ditahan oleh Bank Negara. Bukan kerana SCK itu menipu. Operasinya benar, cuma Bank Negara yang menghalangnya menyebabkan wang dibekukan. 

Kedua, SCK ditipu oleh orang tengah yang mengutip wang. Wang dikutip tidak sampai kepada syarikat, menyebabkan pelabur mengadu dan Bank Negara bertindak. 

Ketiga, ada SCK yang mulai maju akan ditutup segera. Caranya dengan menyembunyikan wang terkumpul, kemudian taukenya sendiri melaporkan kepada Bank Negara untuk bertindak dan menyita syarikatnya. Duit telah dia bawa lari, dan kemudian tubuh SCK baharu. 

Cara ini, khabarnya, sering digunakan oleh syarikat jualan langsung.    

Khamis, 15 April 2010

Selamat Pengantin Baru


Belum terlambat bagi saya mengucapkan selamat penggantin baharu kepada adikku yang mendirikan kehidupan sendiri sekitar tahun 2006. 

Ramai yang seronok dan ingin berkahwin, tanpa mereka sedar dan faham akan tanggungjawab yang terpaksa dipikul. 

Kalau dahulu kita berdapan dengan satu keluarga, kini kita akan berdepan dengan banyak keluarga.


Semuanya perlu dijaga hubungan kekeluargaannya, antara ahli keluarga sendiri, keluarga ibu bapa, keluarga saudara-mara antara kedua belah pihak dan keluarga mentua.

Walau bagaimanapun, baik berkahwin kerana hidup membujang terlalu banyak bahayanya.

Namun, perlulah kita ingat bahawa hidup ini tidak semudah disangkakan. Rasa tidak senikmat dimimpikan.

Hayatilah lagu puisi "Permata" karya Abdulaziz HM nyanyian Kopratasa.

Betapapun, perahu kehidupan perlu diteruskan, menyelinap di celah- celah pohon kesenangan dan belukar kepayahan.

Rabu, 14 April 2010

Fragmen Semasa

Akhbar maya, Malaysiakini, hari ini, melaporkan (a) Kontrak Apco bernilai RM 77 juta setahun, (b) Laporan audit: YBK gadai tanah lebih RM100 juta, (c) MIC cadang Palanivel, Umno pilih Mugilan, dan ....

Berita itu tidak ada apa-apa, cuma aku rasa sedikit terkilan.  Isu (a) , duit disalurkan ke kementerian dipotong-potong sehingga aku terpaksa berkorban. Pergi menjalankan tugas rasmi di luar pejabat, guna duit sendiri tanpa klaim, sebab kasihan kepada kerajaan yang 'kekurangan' duit. Rupa-rupanya duit masuk poket Apco. 

Sering juga terdengar laporan berita di TV dan akhbar, kerajaan memberi bantuan dan suntikan terhadap projek swasta terbengkalai - demi rakyat teraniaya. Bagus, tapi ahhh ... aku teringat simpulan bahasa: Bagai menyusu kera di hutan anak di rumah mati kelaparan.

Isu (b) tanah YBK, mana satu betul - lapar tanah atau lapar duit?  Tipu janji atau tipu duit? Ke mana pergi RM100 juta? Hajiiiiii nonnnnn ... seleweng juga ke?

Isu (c) PRK Hulu Selangor. Eikkkkk ... kata bersatu. Bergaduh juga. Walkie talkie: sssssssssss CALON BEBAS. CALON BEBAS.  SILA MASUK! ssssssssss ....

Jumaat, 9 April 2010

Blog Muhyidin

Beberapa kali saya berusaha masuk ke blog DS Muhyiddin Yassin tetapi tak dapat. Saya masuk melalui suara Malaysia tidak dapat. Masuk melalui My Malaysia pun tidak dapat. Yang tercatat Not Available. Apakah ramai sangat pelawat. Kalau ramai saya mahu tarik diri daripada memasuki agar tidak menyusahkan pelawat lain. Atau, blog DS Muhyiddin sudah terkorban?

Mujurlah blog 1 Malaysia masih boleh dilawati.

Berkorban Sampai Terkorban

Rakyat Malaysia ada dua golongan saja. Pertama, mereka yang bergelar PDRM. Kedua, mereka yang tinggal dan berjenama Felda. Inilah anak emas Malaysia. Yang lain-lain itu anak tiri saja. Termasuk ayah aku - ahli Umno sampai mati. Tidak pernah dapat rezeki seperti orang PDRM atau Felda. Sebaliknya, tanah sekangkang yang ada pun dirampas. Nasib baik telur ayah tidak pecah.

Ayah telah berkorban demi bangsa dan negara hingga dia terkorban.

Aku kata dua golongan itu saja rakyat Malaysia. Merekalah yang dijaga dibantu. Rezeki melimpah-limpah. Kemudahan mencurah-curah. 

Yang lain terlopong-lopong terkebil-kebil mendapat tahu dua orang itu beroleh rezeki.

Sebulan atau dua bulan sekali, pasti ada-ada saja rezeki mereka dapat. Kalau tak dapat duit, mereka dapat kemudahan tertentu. Dapat elaun, dapat sagu hati, dapat bangunan, dapat pangkat, dapat penyelarasan gaji (bukan kenaikan gaji), dapat durian runtuh. Anda perhatilah. Kalau anda boleh senaraikan, lagi baik. Sudah 4 tahun saya memerhatinya.

Bukan dengki, tetapi terasa sangat disisihkan.

Percayakah tuan, gaji + elaun sarjan sekarang (lepasan SRP/PMR) yang mula berkhidmat sekitar 1980-an, gajinya RM4,000K. Semaklah gaji anda berapa.

Penjawat awam bergraduan yang paling bangsat ialah guru. Kalau anda ingin pinjam wang di bank, lazimnya guru akan diberi keistimewaan sikit sebab gaji guru rendah. Malah, gaji guru bukan graduat lebih tinggi daripada gaji guru bergraduat.

Janganlah pula guru bangun tuntut itu tuntut ini. Berkorbanlah sehingga anda terkorban.

Memang terasa penjawat awam disisihkan oleh ayah sendiri. Sesetengahnya, lebih miskin daripada orang asli. sesetengah orang asli ada 3 buah rumah - Rumah hayak, rumah papan dan rumah batu. Namun, ramai penjawat awam terpaksa menyewa rumah. Nak dapat rumah PPRT tidak layak. Nak beli rumah tak mampu.

Ahhh apapun, berkorbanlah demi bangsa dan negara sehingga anda terkorban!

Rabu, 7 April 2010

Evolusi Warna Bunga

Gambar bunga ini diambil pada 6 April 2010 di Pulau Poh, Tasik Kenyir. Aspek yang menarik pada bunga ini ialah perubahan warnanya. Gambar-gambar ini diambil sekitar 8.30 pagi hingga pukul 1.35 petang.

Gambar ini diambil pada pukul 8. 30 pagi. Kelopaknya berwarna putih sepenuhnya.



Sekitar pukul 9.30 pagi, didapati kelopaknya mula berubah ke warna jingga pada bahagian hujung.

Sementara pada bahagian dalam masih banyak berwarna putih.

Gambar ini pula diambil sekitar pukul 11.00 pagi.

Warna jingga pada kelopak nya kian melebar dan semakin terang.

Sekitar pukul 1.35 petang., Warna jingga mulai menguasai sepenuhnya  pada setiap kelopak bunga.

Maaf, saya tidak tahu nama bunga ini. Saya juga tidak pasti, adakah warna jingga ini kekal keesokannya?

Yang jelas, bunga ini menunjukkan keajaiban alam dan kuasa Tuhan.

Hebat bunga hebat lagi Tuhan.

Ahad, 4 April 2010

Antologi Puisi Malaysia & Singapura (From The Window of This Epoch)

Petang tadi, sekitar jam 2.20 petang, aku menerima satu bungkusan. Dalamnya terkandung Antologi Puisi Malaysia & Singapura berjudul Dari Jendela Zaman Ini, diterbitkan Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Arts Council Singapura, tahun 2010.

Antologi ini memuatkan 100 buah puisi yang dihasilkan oleh 73 orang penyair terpilih dan tersohor dari kedua-dua negara. Puisinya diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Terdapat dua buah puisi aku dalam antologi ini, iaitu berjudul 'Tanah Ini Merinduimu (This Land Longs for You),' dan 'Tugu Suara (The Monument of Voice).

Aku sangat berterima kasih kepada sahabat-sahabat, terutama penyair Shamsuddin Othman, yang bersusah payah mengusahakannya, juga kepada penterjemah dan penyelenggara. Semoga jasa anda dirahmati Allah.

Sabtu, 3 April 2010

Balela 1

Dua tiga hari lepas, ada orang bertanya: Mana seronok tinggal di Kelantan dengan Pinang dan Kuala Lumpur. Aku jawab, pengalaman tinggal di Pinang lebih seronok. Pernah aku nyatakan dalam blog ini, bahawa aku tidak seronok tinggal di Kelantan. 

Rupa-rupanya rasa tidak seronok itu adalah petanda bahawa aku menghadapi pelbagai dilema. Harga tanah dan rumah di Kelantan semakin meningkat dan 'gila-gila.' Jenayah di Kelantan tidak kurang hebatnya. Para pemimpin dan rakyat hidup dalam dualisme. Dan, apa yang paling tidak seronok dan cuba aku hindarkan pun sudah tiba. 

Aku dan isteri dipanggil oleh seseorang agar datang bertemunya pada 29 Mac 2010. Orang itu agak susah hendak memberitahu sesuatu. Beberapa kali dia tarik nafas dan mulut seperti berkata sesuatu. Barangkali  dia mencari nafas lega dan kata-kata terbaik.

Saat menerima berita tentangnya, aku tidak terkejut atau marah. Demikian juga isteri. Dia pun tidak terkejut dan marah. Katanya, masa menangis sudah lama berlalu. Aku sendiri telah berkali-kali berusaha menghindarkannya. Ternyata,  aku gagal menjadi orang dan membentuk orang yang baik. 

Setelah mendapat sedikit gambaran, aku pun terus berlalu pergi menyelia praktikum. Tinggal isteri menguruskannya, agar berita itu tidak memburukkan mana-mana pihak.

Keesokannya, 30 Mac 2010, pukul 11. 00 pagi -- 12.00  tengah hari, aku bersemuka dengan 'musuh.' Mereka menerima berita itu seadanya dan bersedia pula bekerjasama menyelesaikannya. Petangya, aku ke rumah Abang Man, bapak saudara,  minta bantuannya menyelesaikan masalah kami. Malamnya, kami ke rumah keluarga 'musuh.' Ternyata kami dan masalah kami diterima dengan baik. 

Mujurlah ada Abang Man. Dialah paling banyak berusaha menyelesaikannya, daripada kami sendiri. Dialah yang mengatur segala-galanya, agar pelan penyelesaian masalah itu berjalan lancar. Aku rasa lega walaupun ada sedikit kegusaran. 

Isteri menelefon saudara-maranya, memberitahu masalah kami. Mereka beri sokongan, walaupun terkejut. Emak saudara dari Kuala Lumpur pun bakal turun. Aku tidak beritahu kepada sesiapa dalam keluarga aku. Aku tidak tahu, bagaimanakah cara terbaik memberitahu mereka.

Aku tidak pasti, apakah masalah ini kemuncak ketidakseronokan aku tinggal di Kelantan. Yang pasti, malam ini aku akan mendirikan sebuah masjid tanpa tiang.

Parlimen

Secara praktis, saya tidak tahu maksud parlimen, apa kegunaan parlimen. Saya pun tidak peduli pada parlimen: tidak pernah kenal lantai dan tandasnya, siling dan biliknya, apalagi dewan tempat orang bersidang. Saya sendiri tidak pernah sampai, kecuali melihatnya dari tepi jalan.

Oleh sebab tidak tahu fungsi sebenar parlimen, maka persepsi saya pada parlimen adalah berdasarkan bacaan terhadap buku Tun Salleh Abbas, laporan akhbar dan visual televisyen. Maka itulah, parlimen pada saya:
  • Dewan kuasa. Di sini orang menunjuk kuasa masing-masing. Kuasa itu diperoleh hasil daripada merayu rakyat agar menyokongnya dalam pilihan raya;
  • Tempat tepuk meja dan booo. Orang yang duduk-duduk di sini lebih gemar tepuk meja daripada tepuk tangan. Cikgu di sekolah ajar murid tepuk tangan, cikgu di parlimen ajar tepuk meja. Cikgu di sekolah melarang murid membunyikan 'booo.' Di parlimen, bunyi 'booo' digalakkan dan itulah bahasa sokongan / bantahan mereka;
  • Parlimen ialah tempat luahan perasaan, dan tempat menceritakan keburukan 'isteri' selepas bercerai. Semasa berkahwin, 'isteri' itulah dipeluk-peluk, dicium-cium. Segala macam bau masam, hapak, kohong, apatah lagi wangi sangat membahagiakan. Tetapi setelah bercerai, bau masam, hapak, kohong itu diwarwarkan ke seluruh dunia. Kononnya, aku sahaja yang wangi;
  • Tempat 'balas dendam,' menyerang lawan dan mencanang agenda peribadi / tersembunyi. Segala rasa tidak puas hati dan kekecewaan diri akan dilontarkan dalam parlimen; dan
  • Parlimen ialah dewan suka rela. Ahli dewan ini boleh datang dan boleh tidak datang. Kalau datang, boleh diam saja menyaksi gelagak kawan-kawan, boleh tidur dan bangun untuk angakt tangan, atau duduk-duduk di lobi atau cafe sambil borak dan minum-minum.
Apakah ini fungsi parlimen? Bilakah pula mereka bincang masalah rakyat, masalah negara? Ah, baik tiada daripada memalukan!