Rabu, 17 Mac 2010

Wang Ehsan atau Wang Royalti?


Kesan daripada entri sebelumnya, ada yang bertanya: Wang daripada rezeki minyak itu layak dipanggil apa? Apakah perbezaan antara Wang Ehsan Minyak (WEM) dengan Wang Royalti Minyak (WRM)?

Sebelum menjawabnya, saya mahu beri penjelasan tentang ehsan. Dalam Kamus Dewan (2005) dan dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (tanpa tahun cetakan) tidak terdapat entri 'ehsan.' Yang ada ialah entri 'ihsan.' Mungkin yang dimaksudkan ehsan itu ialah ihsan. Mungkin tersalah ejaan.

Menurut Kamus Dewan (2005: 560) maksud ihsan ialah (1) beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah SWT yang sentiasa melihatnya; (2) kebaikan, kebajikan, perbuatan yang baik, kemurahan hati; (3) jasa baik, izin. Dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (? : 368) istilah ihsan bermaksud baik, sedekah yang tidak diwajibkan. Berdasarkan maklumat daripada dua sumber tersebut, maka maksud ehsan atau ihsan itu menjurus pada maksud nombor (2) dan nombor (3) dalam Kamus Dewan, dan keseluruhan maksud yang dikemukakan dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia.  

Dalam hal ini, saya berpandangan mudah sahaja. Namanya ditentukan oleh perjanjian antara kerajaan negeri / persekutuan dengan Petronas, dan akta. Kalau perjanjian dan akta catat wang ehsan, maka wang ehsan. Kalau dicatat wang royalti, maka wang royalti. Habis, kenapa berubah panggilan - dahulu panggil wang royalti, kini dipanggil wang ehsan?

Berdasarkan sejarah yang berlaku di Terengganu, perubahan itu disebabkan oleh perubahan kerajaan yang mentadbir negeri. Semasa Umno-BN menjadi kerajaan mentadbir Terengganu, wang rezeki minyak dikenali wang royalti. Setelah Pas menjadi kerajaan mentadbir Terengganu, kerajaan persekutuan mengubahnya kepada wang ehsan. 

Satu lagi faktor yang menyebabkan berlaku perubahan nama ialah faktor arbitrari (sewenang-wenangnya). Menurut Pas, istilah wang royalti memang termaktub dalam perjanjian minyak dengan Petronas. Perjanjian itu diubah sewenang-wenangnya oleh Dr. Mahathir. 

Kalau benar perubahan itu dilakukan secara arbitrari, maka dapatlah dicipta satu simpulan bahasa, iaitu 'Janji Mahathir.' Maksudnya, janji / perjanjian yang boleh diubah sewenang-wenang oleh pihak yang lebih berkuasa. Janji yang akan ditaati jika menguntungkan pihak berkuasa dan akan diengkari jika janji itu merugikan dirinya (pihak berkuasa).

Perbezaan WEM dengan WRM sangat besar. WEM diberikan tanpa nilaian tetap. Bergantung pada belas ehsan pemberinya. Oleh sebab 'ehsan,' maka wang itu boleh diberikan jika pemberinya ada ehsan, dan boleh tidak diberikan jika pemberinya tiada ehsan.

Manakala, jika dianggap royalti, maka pemberian WRM bukan atas dasar ehsan / ihsan. Wang itu mesti diberikan kerana ia adalah hak orang / pihak yang berkenaan. Maksud royalti ialah (1) pengkongsian keuntungan seperti dalam perusahaan lombong, telaga minyak, atau ciptaan jentera, yang dibayar kepada syarikat pengusaha kepada pemilik tanah (kerajaan) atau pencipta jentera; (2) bayaran tertentu yang dibuat oleh penerbit kepada pengarang, penyanyi, dan sebagainya atas setiap naskah karya mereka seperti buku dan piring hitam yang terjual (Kamus Dewan, 2005: 1344 - 1345), wang jasa yang dibayar produser (penerbit) atas karya yang telah dijual ke pasaran (berdasarkan perhitungan prosetase).

Jika janji wang royalti itu tidak ditunaikan, maka pihak yang tidak menunaikannya dianggap berhutang. Demikian juga, jika wang royalti itu diganti sewenang-wenangnya kepada wang ehsan / ihsan, maka ia tetap tidak mengubah hakikat wang royalti. Nilai royaltinya (hutang royalti) tetap tidak berubah walaupun telah berjuta-juta wang ehsan / ihsan diberikan.

3 ulasan:

imlan adabi berkata...

APAPUN ISTILAHNYA... Lebih baik sebut wang haram. Mereka pergunakan kuasa politik untuk tindas Kelantan,... ini wang haram. bukan ehsan atau royalti

NASSURY IBRAHIM berkata...

He! He! He! berantu tu!

abuyon berkata...

salam cikgu,

Wang - ini masalah satu dunia, dari dulu
sampai sekarang, sampa kiamat!