Isnin, 15 Mac 2010

Mencari Kebenaran Kata-Kata

Akhbar Berita Harian pada 15 Mac 2010 melaporkan seorang rakyat Malaysia di Baling terpaksa tinggal di dewan orang ramai akibat kemiskinan hidup. Saya perturunkan berita tersebut sepenuhnya.

Dewan orang ramai jadi rumahSetiausaha JKKKP dakwa hidup susah, tak mampu sewa 


BALING: Akibat tidak mampu lagi menyewa rumah untuk menempatkan keluarganya, setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Memali di sini, terpaksa menjadikan dewan orang ramai kampung itu sebagai rumahnya sejak setahun lalu.


Mohd Fazzeli Ahmad, 38, berkata walaupun tahu tindakannya itu tidak disenangi orang ramai, beliau terpaksa mengetepikan pandangan serong penduduk akibat kesusahan hidup yang menghimpit keluarganya. Katanya, beliau dijanjikan sebuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) oleh pihak tertentu serta sudah menyediakan tapak untuk tujuan itu, tetapi hingga kini janji berkenaan masih belum ditunaikan.


“Saya kecewa kerana ada yang memohon rumah di bawah PPRT selepas saya dah dapat rumah itu, tetapi saya menunggu hampir setahun hingga terpaksa hidup menumpang begini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Selain terpaksa menumpang di dewan itu, seorang anaknya, Nor Aini, 17, yang sepatutnya belajar di Tingkatan Lima tahun ini tidak dapat meneruskan persekolahan sejak 2008 akibat tiada tempat tinggal yang tetap.


Mohd Fazzeli berkata, beliau sangat berharap agar pihak yang pernah berjanji dengannya untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT menunaikan janji kerana beliau sudah menyediakan tapak bagi tujuan itu.


Beliau yang hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap tinggal di dewan itu bersama isterinya, Rohani Jusoh, 34, anak-anaknya Nor Aini, Mohd Zuki, 11 dan Mohd Fahir, 6.


Tinjauan mendapati dewan berkenaan mempunyai sebuah bilik stor yang dijadikan bilik tidur Mohd Faz-zeli dan isterinya manakala tiga anaknya tidur di ruang dalam dewan berkenaan. – Bernama

Membaca berita ini, saya teringat pada kata-kata Dr. Mahathir dan pemimpin Barisan Nasional bahawa partai pembangkang tidak pandai memerintah, dan hidup rakyat akan lebih susah di bawah pemerintahan pembangkang. Berdasarkan berita di atas, di manakah kebenaran kata-kata itu?

Baling terletak di Kedah. Pada PRU - 11, Baling dikuasai oleh UMNO-BN di bawah Dr. Mashitah Ibrahim. Datuk Azeem pernah berkhidmat di Baling, tetapi gagal dalam PRU-12. Kini Baling (kali kedua selepas PRU-10) di bawah PAS.

Dilaporkan bahawa Mohd Fazzeli Ahmad ialah Setiausaha, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP). Ini ialah satu pertubuhan yang baru yang pertama kali saya dengar. Apakah JKKKP ini ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah kawalan Jabatan Pembangunan Persekutuan, atau di bawah Kerajaan Negeri dalam kawalan PAS? 

Yang pasti, penjana JKKKP tidak dapat membantu ahlinya sendiri. Kalau demikian, apakah kita boleh percaya bahawa penjananya boleh membantu orang lain.

Saya sebenarnya berasa sedih dan sangat sedih apabila membaca berita kesusahan hidup dialami oleh masyarakat dari Kedah, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu. Kesedihan itu tidaklah sebesar sedihnya saya apabila membaca berita kesusahan hidup yang dialami oleh masyarakat Kelantan.

Timbulnya kesedihan itu kerana, Kedah terutamanya, pernah mempunyai dua orang pemimpin berjawatan Perdana Menteri - orang yang diberikan kuasa sepenuhnya mentadbir negara Malaysia. 

Jika Perdana Menteri sendiri tidak boleh memajukan dan memartabatkan rakyat, Melayu terutamanya, dari negerinya sendiri, maka apalah gunanya kita berbangga mempunyai pemimpin yang berasal dari negeri kita.

Pada saya, oleh sebab sudah dua orang pemimpin negara berasal dari Kedah, sepatutnya negeri Kedah dan rakyat Kedah (Kubang Pasu terutamanya) menjadi negeri dan rakyat termaju di Malaysia. Namun hakikatnya, negeri Kedah dan rakyat Kedah sama-sama papa dan sama-sama kedana dengan negeri dan rakyat Kelantan, sebuah negeri yang diperintah oleh pembangkang. Maka timbul persoalan: Di manakah lebihnya Umno (BN) di Kedah / Pulau Pinang, dan di manakah kurangnya Pas di Kelantan?

Demikian juga dengan kehidupan masyarakat di Sarawak dan Terengganu. Kedua-dua negeri ini kaya dengan sumber minyak yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain. Oleh sebab itu, pada saya, sepatutnya negeri dan rakyatnya juga bebas daripada kemiskinan. 

Kalau kedua-dua rakyat negeri ini masih semiskin, sepapa dan sekedana dengan negeri dan rakyat Kelantan, maka apalah gunanya kita percaya kata-kata Dr. Mahathir di atas dan rakan-rakannya.

Hal ini bererti, maju dan mundurnya negeri dan diri kita bukan disebabkan oleh partai, tetapi pemimpin partainya.

2 ulasan:

imlan adabi berkata...

Jangan percaya cakap orang politik. Sila rujuk SUTAN BAGINDA

NASSURY IBRAHIM berkata...

Saya dah baca novel tu, seakan-akan kisah tokoh hidup.