Siapakah Henry Gurney sehingga sebilangan ahli sejarawan Malaysia, pihak keselamatan dan pemimpin mengagungkannya? Menurut Che Gu Bard, Henry Gurney ialah warga kelahiran British yang membesar dalam keluarga bangsawan yang percaya bahawa bangsa mereka sahaja yang berdaulat. Semua bangsa lain perlu tunduk kepada kekuasaan bangsawan British.
Sebelum bertugas di Malaysia, Henry Gurney merupakan Ketua Pentadbiran Inggeris di Palestin dari tahun 1946 – 1948. Keganasan beliau yang harus kita ingat ialah menjadi antara perancang yang membawa masuk bangsa Yahudi di seluruh dunia berkumpul di Palestin, khususnya yang berfahaman Zionis. Untuk itu, tanah Palestin dirampas untuk dijadikan tempat perlindungan Yahudi daripada kezaliman Eropah, khususnya Hitler. Dari hanya kawasan perlindungan, 'berkat' usaha gigih Henry Gurney dan dengan kerjasama kerajaan British, Yahudi telah berjaya membentuk negara Zionis Israel lakhanatullah di Palestin. Kini, mereka sedang berusaha memperluaskan wilayah kekuasaan dan menghapuskan orang-orang Islam di Palestin dan tanah Arab.
Menghargai kecekapan beliau memperdaya bangsa Arab Palestin hingga berjaya menubuhkan negara Israel, maka Henry Gurney telah dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948.
Perlantikan beliau ke jawatan nombor satu di Tanah Melayu oleh British dengan harapan dapat memperdaya penduduk Tanah Melayu untuk terus mempertahankan sistem kapitalis dan menolak antiimperialis dengan harapan dapat mematahkan gerakan antipenjajah (kemerdekaan) oleh para pembesar, raja, ulama, wartawan dan guru, di Tanah Melayu.
Untuk itu, sejak September 1948, semua pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap, dipenjara dan dibunuh oleh Henry Gurney dengan pelbagai cara. Mereka juga dicop sebagai pengganas kerana menentang kerajaan. Hal ini menyebabkan ramai pejuang kemerdekaan menentang penjajah dilabel sebagai komunis dan pengganas. Ada antara mereka terpaksa melarikan diri ke hutan dan berjuang sebagai gerila. Bagi memutuskan hubungan masyarakat dengan pejuang, kerajaan British memperkenalkan kampung baru (kem tahanan), sekatan jalan raya dan memusnahkan tanaman penduduk kampung.
Dari 1948 – 1951, British bangga dengan Henry Gurney yang berjaya bukan sahaja mengekang tentangan bersenjata malah berjaya memainkan 'psywar' untuk mengheret sama anak tempatan mempertahankan Kerajaan penjajah British dan memerangi pejuang. Ada guru agama yang menanam sentimen antipenjajah ditangkap dan dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas.
Henry Gurney begitu menikmati zaman kegemilangannya di Tanah Melayu. Dia dipuja dan dikawal umpama 'Presiden Tanah Melayu'. Bergerak ke mana–mana dengan kereta mewah berjenama Rolls Royce. Di atasnya berkibar bendera Union Jack (bendera penjajah).
Pada 7 Okotober 1951, semua kemegahan Henry Gurney musnah apabila beliau mati dengan tembakan dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya. Serangan itu dikatakan diketuai oleh Chin Peng. Isterinya yang turut berada di dalam kereta itu tidak dicederakan.
Barangkali kerana berjaya membunuh Henry Gurney, bekas-bekas tentera begitu marah kepada Chin Ping. Sedang mereka tidak pernah marah kepada Henry Gurney yang membunuh rakyat dan merampas tanah Palestin, mencemar tempat-tempat suci Islam dan membunuh pejuang-pejuang Melayu yang menuntut kemerdekaan. Dan lebih dahsyat lagi, tergamak mereka merai Henry Gurney sebagai hero yang harus diingati sebagaimana usaha mempamerkan papan tanda sebagai mengenang tempat kejadian pembunuhan Henry Gurney. Kata-kata itu sebagaimana di bawah.
Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadi D.J Stapler bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser untuk urusan rasmi dan berehat. Apabila kereta Rolls Royce yang membawa rombongan Gurney itu dengan kibaran bendera 'Union Jack' oleh Konstable Mohd Din sedang mengambil selekoh S di bt. 56 ½, kira – kira 8 batu dari Bukit Fraser tiba – tiba Rolls Royce menjadi sasaran peluru pengganas komunis.
Kata Che Gu Bard, ayat di atas menggambarkan kita tidak pernah belajar untuk menulis sejarah sendiri. Tulisan penjajah merakam sejarahnya kita salin bulat–bulat. Kita bangga dengan kibaran Union Jack. Kita sedih dengan kematian Henry Gurney. Namun, tidak ada sebaris pun rasa sedih pada nasib yang menimpa Konstabel Mohd Din yang menjadi pemandu Henry Gurney. Malang sungguh, ahli sejarah, pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan (polis dan tentera) tidak dapat menilai antara sejarah pejuang dengan sejarah penjajah di Malaysia.
Begitu kuat kesan penjajahan terhadap rakyat Malaysia. Walaupun lebih 50 tahun merdeka, ternyata minda segelintir rakyat Malaysia masih terjajah. Apakah kita perlu menghormati mata rantai penjajah ini? Kedua-duanya, Chin Peng dan Henry Gurney, adalah sama-sama penjenayah kepada bangsa dan negara Melayu.
Lu fikirlah sendiri.
1 ulasan:
ramai yg tidak tahu dan tak mahu ambil tahu
Catat Ulasan