Tengah hari 16 Julai, sebaik aku mahu keluar dari pintu pagar untuk sesi kedua (petang) ke tempat kerja, sebuah kereta Waja berhenti mengejut betul-betul di hadapanku. Nasib baik aku belum pulas minyak motor, kalau tidak aku akan melanggar kereta Waja itu. Dalam hati aku berkata, "Wah, brutalnya orang ini. Siapa mereka? Along atau penculik atau perompak?" Ada tiga orang pemuda dalam kereta itu. Aku diam memerhati dan dalam hati berkata, "Mungkin hari ini aku mendapat bala."
Seorang lelaki keluar menghampiriku dan terus bertanya, "Kimi ada?" Aku tidak faham maksud 'Kimi' terus bertanya, "Apa?" Pertanyaan dan jawapannya terus berulang beberapa kali sehingga aku faham bahawa yang dimaksudkan 'Kimi' itu adalah seseorang yang dicari.
Aku terus menjawab, "Tak ada? Tak ada orang bernama Kimi di sini."
Dia memperkenalkan diri, "Saya polis." sambil mengeluarkan kad kuasa. Aku melihatnya, tetapi dalam hati aku berkata, "Ini mungkin helah nak merompak."
Si Polis itu memberitahu bahawa ada orang pecah rumah di @@@. Tuannya ada kereta Kia Spectra hitam. Aku menjawab, "Ya, kereta Kia Spectra hitam tu saya punya tetapi tiada orang pecah rumah saya."
Dia buat-buat hairan. Aku seratus kali hairan.
Kebetulan jiran berselang beberapa buah rumah berada di depan pintu pagar rumahnya. Saya terus bertanyakan jiran itu. Jiran itu mengiyakan bahawa rumah beliau yang dipecah masuk semalam dan dia yang membuat laporan. Jiran itu mempunyai kereta Kia Sephia warna biji star.
Memang sekitar tempat tinggal aku dan di tempat kerja aku selalu berlaku pecah rumah / pejabat. 90 % jabatan di pejabat aku telah jadi mangsa. Malah, jatan aku sendiri pernah dipecah masuk dan hilang 2 laptop. Ada yang hilang sampai lebih 5 laptop dan aktiviti pecah masuk berlaku setiap bulan, sejak tahun lepas lagi. Semasa masyarakat heboh PRK Manik Urai, ada dua jabatan di pejabatku dipecah masuk dan hilang LCD serta laptop. Dah banyak harta kerajaan hilang begitu saja. Mereka tahu laptop tidak boleh dibawa balik, mesti tinggal di pejabat. Salah kalau dibawa balik, tetapi tidak salah kalau hilang dicuri di pejabat. Orang yang disyaki mencuri pernah ditangkap oleh pengawal semasa cuti pertengahan tahun baru-baru ini. orang itu pun mengaku bahawa dia yang mencuri harta-perdak di pejabatku. Namun, orang itu terpaksa dilepaskan dan tidak boleh didakwa sebab tidak ada laptop 'dalam poket seluarnya' semasa ditangkap. Tak ada barang bukti. Dua minggu selepas itu berlaku lagi pecah jabatan dua malam berturut-turut.
Kalau diikutkan teori, tempat aku kerja memang selamat. Almaklumlah, di setiap penjuru pejabatku adalah tempat tinggal polis dan tentera. Di depan pintu masuk ada Rumah Panglima tentera yang berkawal 24 jam. Sebelah kanan pula Mes pegawai polis. Sebelah kiri pula ada Balai Polis Gerakan Am (dulu bekas kem PPH). 1 KM ke depan sebelah kanan ada balai polis daerah. Setengah KM ke depan sebelah kiri pula ada Balai Polis Daerah lagi (baharu operasi - besar dan lengkap). Pendek kata, pejabatku dan jabatanku berada di tengah-tengah penjaga keselamatan. Pejabatku sendiri pun dikawal oleh pengawal keselamatan upahan. Menurut rakan-rakan, pengawal itu hanya jaga pintu masuk sahaja, bukannya kawasan. Maklumlah, gril pintu masuk mahal.
Siapakah pencuri yang licik itu dan ke manakah pergi polis yang ramai itu? Apakah mereka tidak cekap lagi mengawal keselamatan, hingga pencuri di bibir mata pun tak nampak. Ke manakah barang-barang itu dijual hingga tidak dapat dikesan? Sampai kini belum ada jawapan. Dan, sampai bilakah masalah ini akan terus berlaku?
Nak kata polis sekarang tak cekap tak juga. Sebab bulu anu ai yang gugur bertahun lamanya dapat dicari. Bulu anu ai tu lagi kecil berbanding laptop. Entahlah ... sukar (malah tak akan dapat dicari) air hujan yang jatuh ke sungai atau ke laut kerana air hujan itu juga air laut dan air laut itu juga air hujan. Barangkali begitulah pencuri itu dengan polis. Sama-sama cekap. p/s Pada hari tulisan ini diterbitkan, satu lagi jabatan di pejabatku dipecah masuk. Tahniah kepada pencuri kerana kehebatan anda tidak dapat dikesan oleh polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan