Telah banyak kajian dibuat oleh tokoh-tokoh, organisasi, NGO dan sebagainya yang mencapai lebih 2/3 memihak agar PPSMI dimansuhkan. Hanya kajian PAGE dan tanggapan Tun Dr. Mahathir, segelintir guru bahasa Inggeris dan bekas YB sahaja yang menyokong tanpa sebab yang jelas.
Saya kesal dengan sikap dan tindakan Datuk Sri Dr. Mahathir terhadap PPSMI. Beliau menjadi doktor tersalah ubat dan PAGE pula merupakan penyokong kebutaan matlamat. Dari segi sejarah, pendaulatan terhadap bahasa Inggeris bermula dari rasa kecewa Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed terhadap duta-duta dan pegawai diplomatik Malaysia yang tidak fasih dan tidak petah bersilat lidah di gelanggang bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan khidmat mereka mengikat tali persahabatan dan 'menjual' Malaysia gagal mencapai matlamat. Kehadiran mereka tidak sampai ke jantung hati masyarakat setempat. Maka tidak hairanlah negara Singapura lebih dikenali daripada Malaysia, walaupun Singapura sebesar jari telunjuk, manakala Malaysia segenggam tangan.
Dalam masa sama, berlaku masalah ketidakupayaan pelajar di sekolah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Guru Bahasa Inggeris gagal meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Anehnya, kerana kegagalan itulah kerajaan memberi imbuhan 10 % kepada mereka, manakala guru yang berjaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam subjeknya mendapat putih mata dan tidak dihargai. Rupa-rupanya, kepincangan dan kemerosotan produktiviti adalah penting untuk meningkatkan sumber ekonomi dan opengiktirafan!
Daripada dua permasalahan itu, MT UMNO tahun 2002 di bawah Presiden Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed, dan kabinet (baca karbinet) Malaysia tahun 2002 di bawah Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed cuba mengatasinya dengan cara menginggeriskan segala pembelajaran dan pemerolehan ilmu Sains dan Matematik rakyatnya.
Barangkali inilah etika doktor-doktor Malaysia (baca doktor pencen) merawat pesakit dengan cara memberi ubat kencing manis kepada pesakit darah tinggi.
Tidak ada sesiapa yang menghalang sesiapa yang ingin mengajar dan meningkatkan bahasa Inggeris kepada sesiapa pun rakyat Malaysia. Malah mereka dialu-alukan mengajar bahasa-bahasa lain yang ada di muka bumi kepada rakyat Malaysia.
Yang dikesalkan ialah mengapa dipilih bidang Sains dan Matematik untuk diinggeriskan. Dua subjek ini, dan bahasa Inggeris, memang sudah terkenal menjadi barah orang Melayu. Melalui PPSMI, kelemahan orang Melayu dalam dua subjek itu ditindih pula dengan kelemahan bahasa Inggeris, menjadikan orang Melayu menghadapi dua kali lemah untuk menguasainya.
Pada tahun 1970-an dan 1980-an, sudah terbongkar bahawa ramai (hampir majoriti) mahasiswa-mahasiswa Melayu yang mengambil bidang Sains (kejuruteraan misalnya) di universiti tertentu di Malaysia gagal menghabiskan pengajiannya. Semuanya agara-gara bahasa Inggeris. Nampak kabinet di bawah pimpinan Datuk Sri Dr. Mahathir mohamed tidak belajar daripada sejarah tersebut menyebabkan kita meragui ketulusan hati mereka untuk menolong orang Melayu. Jika diteruskan, projek PPSMI akan mengulangi sejarah hitam orang Melayu. Justeru, adalah wajar YAB Tan Sri Muhyidin memansuhkannya, dan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed dikecam rakyat.
Lagipun, tidak semua pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kefasihan berbahasa Inggeris untuk mencapai tujuan. Ramai perniaga di Thailand yang saya temui tidak tahu berbahasa Inggeris, namun urusan perniagaan tetap berjalan lancar dan Thailand merupakan antara negara yang cemerlang industri pelancongannya. Jauh meninggalkan industri perancongan Malaysia walaupun pelbagai galakan dan iklan dilakukan di luar negara.
Kepada penyokong-penyokong PPSMI, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamed, alihkan sokongan itu dengan cara mencari cara meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain kepada para generasi sebagaimana dikehendaki.
Walaupun kita bimbang para generasi muda tidak petah berbahasa Inggeris, anehnya subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tidak ditawarkan kepada pelajar tingkatan enam, sebagaimana berlaku dalam tahun 1980-an. Dua subjek itu kian terhapus. Ada sekolah tidak menawarkan langsung subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (bawah KPM) kepada pelajar tingkatan enam. Namun, nasib bahasa Inggeris lebih baik kerana ia diselamatkan oleh MUET. Hanya nasib Bahasa Melayu yang masih belum terbela.
Hal ini perlu difikirkan juga kalau benar kita menyayangi bangsa dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan