Jumaat, 5 Jun 2009

YANG JAUH DAN DEKAT: Mengungkap Konsep Penduaan

Antara tema puisi-puisi Hilmi Rindu dalam kumpulan Yang Jauh dan Dekat (YJdD) ialah tema ketuhanan. Tema ini bukan baharu kerana dalam kumpulan puisi pertama beliau, Memetik Gerimis, juga kaya tema ketuhanan. Hal ini sesuai dengan latar masyarakat tempat Hilmi bersosial, latar pendidikan tempat Hilmi mengasah pemikiran, dan latar kerja tempat Hilmi mencari rezeki. Semua latarnya diwarnai cahaya keagamaan.
Puisi terbaik Hilmi, ‘Songkok dan Kasut,’ juga mengungkapkan ketuhanan: Yang murah tidak bererti lemah / hina, dan yang mahal tidak bererti kuat / mulia. Konsep penduaan merupakan antara gaya perpuisian Hilmi. Beliau gemar mengandingkan imej. Imej-imej itu pula bergerak ke arah yang Satu.
Konsep penduaan dalam puisi Hilmi Rindu bukan mutlak. Ia menggambarkan konsep banyak, dan penganding pada yang Satu. Sebaliknya, satu membawa konsep mutlak yang merujuk kepada Tuhan. Hal ini dapat diperhatikan pada puisi berjudul ‘Satu.’
Berjuta wajah pucat dan hening
berjuta wajah basah dan dingin
semua mengharap kepada yang Satu

Konsep penduaannya: pucat dan hening, basah dan dingin. Kedua-dua imejan bergabung dalam satu hasrat dan berharap pada satu kuasa, iaitu kuasa ketuhanan.
Hal demikian juga terdapat dalam puisi ‘Yang Jauh dan Dekat.’ Kita sering tersilau pada yang jauh dan lupa pada yang dekat. Puisi ini menempelak sikap kita yang gemar mengkritik orang berbanding mengkritik diri sendiri. Kata Leo Tostoy, ramai manusia bercita-cita mengubah dunia, tetapi tidak ramai yang berusaha mengubah diri sendiri. Dalam peribahasa Melayu tercatat, “kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuh mata, tidak nampak.” Hilmi mencatatkan
Kita sering renungkan yang jauh
dan lupa yang dekat
sedang yang jauh adalah kelip
Dipadankan dengan realiti kehidupan, kita sering terbabas kerana mengejar sesuatu di luar keupayaan diri. Misalnya, mengejar keduniaan hingga terlupa bekalan akhirat.
Dalam puisi ‘Sedetik Demi Sedetik,’ Hilmi meracit keinginan dengan cara, “kususun makna keinginan.” Hilmi memberi tip mencapai keinginan dengan cara menyusunnya. Susunan itu mesti berdasarkan kriteria tertentu. Misalnya, dari senang ke susah, dari dekat ke jauh atau dari kecil ke besar. Strategi ini berdasarkan kemampuan manusia dan ciri biologinya. Kita boleh mengatur keinginan dan mencapai keinginan setelah kita memahami hakikat kehidupan dan rahmat-Nya.
Puisi terakhir, ‘Orang-Orang yang Sabar dan Berjaya Itu,’ terdiri daripada, “orang yang melupakan nikmat seketika,” orang yang “menipiskan nafsu,” orang yang mengikat kejap pancaindera dan menyukat rasa nista, orang yang “mengkesampingkan mimpi-mimpi kosong,” dan orang yang “mencari pintu sinar.” Inilah antara strategi mencapai keinginan.
Imej keagamaan terakam secara tidak langsung. Judulnya mengingatkan kita pada surah A-Nahl: 126 – 127, Al-Ahzab: 35, dan Ar-Ra’d: 22 yang menyatakan bahawa kesabaran bakal mengundang kejayaan.
Demikian selayang pandang puisi Hilmi Rindu dalam YJdD. Tema ketuhanan terungkap secara langsung (contohnya, puisi ‘Satu’) dan tidak langsung (contohnya, puisi ‘Orang-Orang yang Sabar dan Berjaya Itu’). Semua imej yang dipuisikan adalah sebagai material untuk mencapai yang Satu, dan sekali gus bagi mencapaikan keinginannya. SEKIAN.
NASSURY IBRAHIM

Tiada ulasan: