Sabtu, 30 Mei 2009

Melawat Sekolah dan Perkampungan Orang Asli Kaum Jahai

Ustaz Aziz mengetuai rombongan melawat perkampungan orang asli

Pada 6 Mei 2009 aku bersama rombongan pelajar melawat SK Pasir Linggi, Gua Musang. Ini pertama kali aku ke sana. Muridnya tinggal di asrama dan sekali gus dijadikan sekolah. Sekolah asal sudah tiada, manakala sekolah baharu belum menjelma. Gurunya sekitar 10 orang. Namun sepanjang aku di sana, hanya sekitar empat orang guru sahaja yang ada. Yang lain berkursus, bermesyuarat dan sebagainya.











Garaj kereta dan Makmal Komputer Asrama dan sekali gus bilik kelas

Jarak dari persimpangan jalan Gua Musang – Kuala Krai ke sekolah sekitar 5 KM. Kalau tidak hujan, kereta dapat masuk sampai ke perkarangan sekolah.
Ada kuarters khas untuk guru, ada kantin yang menyediakan makanan percuma dan ada makmal komputer dan set komputer. Pada tempat tertentu dapat capai talian internet. Di sini juga ada seorang pegawai, sepenuh masa, dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. Tidak ada pula pegawai dari Jakim atau seumpamanya, tinggal di kampung ini.

Masyarakat di Kampung Pasir Linggi terdiri daripada suku Jahai. Wajahnya persis seperti kaum Negro di Afrika. Rambut berkerinting halus dan berkulit gelap. Mereka disahkan beragama Islam. Walaupun agak pemalu, mereka bersedia melayani kita.

Sewaktu melawat kampung, aku dapat mengesan bahawa kampung ini telah lama wujud. Pokok kelapa tumbuh tinggi melangit. Mereka tinggal di pinggir Sungai Linggi. Kerjanya seperti kelaziman kerja orang-orang asli di Malaysia: memburu dan mencari hasil hutan. Ada tanaman getah dan serai yang baharu diusahakan. Daripada pemerhatian, nampak benar hidup mereka susah. Ada unsur-unsur hidup mereka dimanipulasi oleh pihak tertentu.

Purata mereka mempunyai tiga buah rumah. Satu rumah konkrit. Mungkin bantuan kerajaan. Bersebelah rumah konkrit ialah rumah diperbuat daripada papan. Dan satu lagi rumah yang diperbuat daripada tumbuhan hutan, dikenali sebagai hayak. Hayak ialah rumah gaya asal mereka. Atap dari daun lakap atau bertam atau seumpamanya. Dinding daripada buluh. Walaupun ada dua rumah, mereka lebih selesa tinggal di hayak. Aku terbayang akan diriku. Gaji beribu-ribu, satu hayak pun tidak ada, usahkan rumah konkrit.

Aku memerhati anak-anak orang asli. Ada sesetengah berwajah seperti orang Melayu. Mereka ada kesedaran untuk belajar. Bersedia menjalani aktiviti pembelajaran. Kita mudah berinteraksi dan sedia menjawab pertanyaan guru, berbeza dengan murid di SK Pos Brooke dan SK Pos Raya. Mereka tidak mahu menjawab apabila ditanya. Ini menyukarkan proses pembelajaran.

Program Hospital Gua Musang - Menjaga Kebersihan Gigi

Disiplin mereka agak mudah dibentuk. Tanpa disuruh (telah dilatih) mereka beratur ketika mendapatkan air di Water Cooler. Pakaiannya pun kemas. Aku fikir generasi orang asli di sini boleh maju, kalau diberikan sokongan.

Tanpa disuruh, mereka beratur mendapatkan minuman

Satu nilai yang sangat bagus dalam masyarakat orang asli ialah ikatan keaslian (kekeluargaan) dalam masyarakatnya sangat kuat. Mereka hidup bersatu padu dan tidak gemar bergaduh. Keuntungan dikongsi bersama dan mereka sangat jujur.

En. Ibrahim (berbaju putih) bersama masyarakat Jahai

Adat budaya mereka yang utama ialah Sewang. Ada pelbagai jenis Sewang. Pada malam terakhir, rombongan kami dipersembahkan acara sewang oleh murid-murid. Mereka menyanyi sambil berjalan berentak mengelilingi bulatan. Aku turut bersewang, walaupun rentak badan dan kaki tidak menepati dan tiada seni.

Murid-murid bersewang Alat muzik daripada buluh. Yang berketayap ialah pegawai JHEOA


2 ulasan:

fazira berkata...

nak tanya...

masyarakat orang asli jahai ni fasih berbahasa melayu ker??

Tanpa Nama berkata...

pembetulan fakta..orang asli kg pasir linggi berketurunan Bateq.