Rabu, 30 Disember 2009

Ibu bapaku


Ini ayah aku. Satu-satunya ayah aku. Aku panggil Paksu, sebab terikut panggilan oleh bapa dan emak sedara. Ayah tiada pelajaran tinggi. Menulis dan membaca pun dia tidak pandai. Namun begitu, kejujurannya sangat tinggi. Aku pernah menulis sajak, gambaran ayahku. Sajak itu berjudul "Ayahku." Ayah lebih pendiam, tak banyak cakap.

Ayah suka senjata api. Khabarnya, ayah pernah tinggal di Barat (Selatan Siam) dan menembak menggunakan pistol baling. Semasa di kampung, ayah masuk Rela dan sering menggunakan senampang rela untuk menembak.

Menurut isteriku, semasa aku titip dia di kampung sebelum  bersalin anak sulung, ayah pernah minta, "ambil benda tu" lalu ke bukit di belakang rumah. Waktu lepas Magrib dan gelap sedang berlabuh. Sekitar pukul 8.00 malam, terdengar dua das tembak. Ayah beritahu dia tembak harimau kumbang yang sering membaham lembu penduduk kampung. Yang menghairankan, bagaimana dia boleh menembak pada waktu malam dan harimau itu pulak berwarna hitam. 

Sewaktu kecil dulu, aku gemar merayau dalam hutan. Aku sering berpegang nasihat ayah. "Minggu ni jangan masuk hutan. Ada harimau," begitu kata ayah. Anehnya, bila ada harimau saja baru ayah larang. 

Ayah sudah meninggal dunia pada tahun 2004. Apabila ketiadaannya, baru terasa aku kehilangan sesuatu yang amat berharga.  



Ini ibuku, Habsah binti Yacob. Seperti ayah, ibu juga buta huruf dan membeber. Selalu memarahi aku dan aku selalu terima ketam tangannya.

Ibu pandai buat nasi pulut, ketupat, nasi dagang, nasi kerabu dan macam-macam kueh. Makanan masakannya sedap dan tahan lama. Waktu muda dulu, ibu selalu anyam tikai mengkuang (gambar kat atas tu proses buat tikar), tapai, tanam padi, pelbagai sayur demi menyekolahkan aku. 

Ibu selalu menceritakan sejarah hidup susah di Kelantan, dan katanya, "Nasib baik hijrah ke Terengganu, ada juga harta."

Ibu juga pernah jadi bahan persajakan aku, sajak itu termuat dalam kumpulan puisi Elipsis terbitan DBP, 2008.


Ini pula nenek aku, sebelah ibu. Namanya Rokiah binti Said. Nenek tidak suka membeber. Nenek telah meninggal di Makkah sewaktu menunaikan fardu haji. Masa tu aku masih belajar di Universiti Malaya.

Kami terima berita kematiannya dengan rasa sedih, terutama ibu. Apakan daya, sebab masa pergi pun nenek sudah tua sangat.

Semoga Allah menerima amalan nenek. amin.

Isnin, 28 Disember 2009

Balela

Pada 27 Disember 2009 pukul 09:40:47 aku menerima SMS daripada Ameer Habib. Katanya, "Dah terima pitis? Kawan terima semalam. Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima." Aku tidak faham maksud Ameer dalam ayat akhirnya. Aku cuba membalas, malangnya kredit tidak ada.

Hari ini, pulang dari HUSM, aku segera ke pejabat. Aku menerima sepucuk surat bersampul URUSAN SERI PADUKA BAGINDA yang dihantar melalui Poslaju berakaun 8800256276 dari Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.


Dalamnya ada sepucuk surat rasmi KPM.MBKM.100-2/1/4(   ), Baucer Bayaran No. 1/o38, sekeping cek Publik Bank bernilai RM1,000, dan dokumen yang bertajuk, "Perjanjian Lesen Penulisan Buku Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Kementerian Pelajaran."

Bayaran itu untuk buku Siri Adaptasi Daripada Sejarah Melayu: Zaman Pra Gemilang - Majapahir Menyerang Singapura.

Baru aku tahu, rupa-rupanya bayaran itu untuk buku kanak-kanak yang aku tulis sekitar dua tahun lepas. Yang menariknya, pada kulit buku itu tercatat juga nama seseorang yang aku syaki berperanan sebagai editor, tetapi catat mencatatnya seolah-olah dia juga pengarang manuskrip itu.

Dicatat dalam dokumen itu bahawa bayaran yang diberikan ialah RM2,000. Bayaran aku terima RM1,000 sahaja. Hal ini bererti 'pengarang tumpang' itu juga memperoleh RM1,000. Satu bayaran yang adil. Hebat! Hebat!

Aku meneliti dan mencari peratus bayaran yang bakal aku terima terhadap manusiakrip itu. Malangnya, tidak terjumpa. Yang aku jumpa ikatan kata-kata dalam fasal PEMBAYARAN nombor "(1) Sebagai balasan bagi hak-hak yang diberi oleh Penulis kepada kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Fasal 1 dan 2 dan tertakluk sentiasa kepada Fasal 4 (2) di atas, Penulis bagi setiap satu judul berhak menerima pembayaran sebanyak RM2,000.00 ...."

Ertinya, aku tidak akan menerima apa-apa bayaran lagi selepas ini, walaupun buku ini akan jadi teks Komsas beberapa tahun, dicetak beberapa ribu naskah lagi, dan bakal diterbit dalam pelbagai bentuk.

Aku teringat runggutan beberapa teman penulis yang 'dikapur' / ditipu oleh penerbit. bukunya laris di pasaran, namun diberitahu bukunya itu tidak laku. Pun aku teringat buku Gaya Bahasa Kiasan yang dua kali dicetak oleh penerbit, namun diisytiharkan 'tidak laku.' Kalau tak laku, buat apa dicetak ulang. Seorang teman penulis lain memberitahu, buku itu dibeli oleh Kementerian Palajaran untuk dibekal ke sekolah.

'Takkan kerajaan beli senaskah sahaja!' bisik hatiku.

Dan, berkenaan buku itu, tak tahulah apa nasib bakal aku terima. Takkan pihak kerajaan pun seperti penerbit swasta juga? Entahlah.

Apabila memikirkan tentang hal sedemikian, baru aku faham maksud SMS Ameer, "Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima."

"Uh, hebat! Hebat!"

Ahad, 27 Disember 2009

MEMO RAKYAT


Kepada kerajaan dan agensi kerajaan yang berkenaan.

Saya menyokong penuh sebarang usaha ke arah merealisasikan sekolah satu aliran di negara ini bagi tujuan mencapai aspirasi 1 Malaysia. Oleh sebab itu, kerajaan melalui menteri dan agensi yang dipertanggungjawabkan perlu tegas dan bertegas agar hajat itu tercapai dan saya boleh mempercayai dan menyokong rancangan seterusnya.

Sekian.

Jumaat, 25 Disember 2009

Tahniah Kepada ATM dan PDRM

Tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berani, siap siaga sentiasa mempertahankan tanah air daripada pencerobohan orang asing. Tahniah juga kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang siap siaga juga menjaga keselamatan barangan dan rakyat. Tahniah juga kepada ahli politik Malaysia yang tidak henti-henti bergaduh. Teruskan. Anda bertiga telah membuktikan bahawa Malaysia sebuah negara tidak selamat. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan hilang dua buah enjin jet tentera Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada berpuluh ribu pendatang tanpa izin berlegar-legar bebas di bumi Malaysia. Kalau Malaysia negara selamat, sudah tentu tidak akan ada acara serbuan memukul membelasah para demostran aman. Kalau Malaysia negara aman damai, para politikusnya tidak akan bergaduh berebut kerusi kuasa.

Berebut kerusi kuasa lebih penting daripada menjaga keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Musuh politik lebih bahaya daripada musuh negara sehingga Raja Petra hendak diburu, sedang penjual enjin jet hanya diminta bersara awal saja.
Pada saya, mereka yang terlibat dengan penjualan enjin jet tentera itu perlu diISAkan, termasuk Ketua Angkatan Tentera Malaysia, dan Ketua Polis Negara. Mereka gagal menjaga keselamatan negara dan menjaga kedaulatan rakyat bermaruah.
Sekali lagi tahniah kepada anda semua. Nasib baik kotel melekat di badan, kalau tidak .... Sajak ini dituju khas kepada penjarah tanah air.
DI RUMAH SILOPIA
Keselamatan mitos purba
di rumah silopia
umpamanya kata petani ini;
Harapkan pagar, pagar makan padi.
10 Januari 1999

Isnin, 21 Disember 2009

Cerpen 'Cahaya Rumah Pusaka'

TERKEJUT saya melihat ramai orang di hadapan rumah pusaka. Di halaman pula ada bas persiaran, ada kereta polis. ‘Wah, ada lawatan pelancong asing!’ kembang hati saya melihatnya.

Memang rumah pusaka sangat tua usianya. Kalau dikira dengan jari memang tidak cukup jari. Kalau dikira dengan ingatan pun tidak cukup ingatan. Demikian pengalaman waris-wara, pun tidak cukup tahu akan usia rumah pusaka.

Untuk bacaan lanjut, sila rujuk Majalah Dewan Budaya, Disember 2009.

Cerpen ini paling banyak aku edit dan paling ramai pengedit. Antaranya Puan Zaharah Nawawi dan peserta Bengkel Cerpen anjuran DBPKL dan PPK tahun 2008. Justeru, aku sangat berterima kasih kepada mereka, terutama Puan Zaharah Nawawi dan Zalila Sharif yang menganjur bengkel berkenaan.

Sabtu, 19 Disember 2009

Cerita Kampung (1)

Setelah sebulan cuti sekolah, baru aku dapat balik ke kampung, menemui ibu. Ayah sudah tiada. Gembira benar ibu dan adik apabila aku balik. Cuma kakak saja, agak balela. Dia memang sudah lama bermasam hati dengan ibu.
Banyaklah hal dikhabarkan oleh ibu akan kampung kami. Antaranya, beberapa minggu lalu, seorang pemimpin muda (UBN) dari Kelantan, khabarnya bernama Siti Khadijah, datang berceramah di kampungku. Kampungku pernah dikenali sebagai anak emas UBN, dan ibuku sendiri merupakan ahli tetap UBN.
Kata ibuku, banyak cerita tentang keburukan kerajaan Pas Kelantan, termasuk Tuan Guru Datuk Nik Aziz, diceritakan oleh Siti Khadijah. Banyak tanah orang Melayu di Kelantan dijual kepada Cina. Kata Siti Khadijah, Pasar Besar Kota Bharu, Nik Aziz tukar nama kepada Pasar Siti Khadijah. Nama itu Nik Aziz ambil sempena namanya.
Khabarnya, orang-orang kampung begitu teruja mendengarnya, dan tidak mahu kampungku diperintah oleh kerajaan Pas lagi.
Pagi tadi, ada dua orang tetamu tidak dikenali datang ke rumahku. Mereka mencari seseorang. Oleh sebab hujan, mereka singgah di rumahku.
Dari tetamu inipun aku banyak dapat cerita. Menurut ceritanya, dia mahu meneroka tanah di hujung kampungku. Setahu aku, sebahagian kawasan yang ingin diteroka itu telah dirintis oleh penduduk kampung. Kini terbiar. Maka aku memberitahu bahawa ada baiknya berbincang dengan Ketua Kampung agar tidak tersalah teroka pada tanah yang telah dirintis. Katanya, dalam pelan Majlis Daerah Dungun, tanah yang ingin diteroka masih tidak berpunya.
Tetamu ini menceritakan tentang kehebatannya 'melawan' peraturan kerajaan dan 'kekebalannya' kerana mempunyai 'orang dalam' (politikus dan bukan politikus) yang boleh membantu. Salah seorang, bekas pemandu YB / Exco UBN Terengganu.
Tidak lupa juga diceritakan perihal kepimpinan Terengganu. Katanya, Datuk Yis kenal dia dan dia kenal sangat Datuk Yis. Ayah Datuk Yis suka sambung ayam dan Datuk Yis sendiri pun suka sambung ayam juga.
Aku bertanya, "Apa sebab Raja tolak Datuk Yis jadi MB?" Jawab tetamu itu kerana ada berlaku satu peristiwa tidak sopan. Semasa pembukaan Pulau Wan Man (Masjid Kristal), mula-mula Datuk Yis jemput Pak Lah datang. Mungkin rasmi pecah tanah kot. Majlis Kali kedua Datuk Yis jemput Najib. Majlis kali ketiga, Datuk Yis jemput Raja. Kebetulan Datuk Yis bertemu Raja (tak tahu pula kat mana) Raja baru lepas menunggang kuda. Raja menolak dan memberitahu dia keletihan. Maka jawab Datuk Yis, kalau letih balik tidur. Raja tak kata apa-apa.
Aku tanya lagi, "Apa sebab Raja pilih Ahmad Said?" Jawab tetamu itu, Ahmad Said tu sepupu bini Raja.
Diceritakan juga bahawa ramai pegawai atas di pejabat tanah Dungun ambil (memiliki) tanah di kawasan yang hendak dimajukan, sebelum kawasan itu dimajukan. Aku beritahu bahawa sebidang tanah ibu dirampas begitu saja oleh Pejabat Daerah Dungun. Ibu pernah minta tolong YB Cikgu Harun untuk mendapatkan geran dan serah surat jual beli tanah kepada YB. Malangnya, bukan geran yang dapat. Sebaliknya, surat amaran mahu saman kerana bina rumah atas tanah kerajaan. Ibu berjumpa dengan pihak bertanggungjawab di Pejabat Daerah Dungun bernama Wan Nik. Wan Nik tengking ibu dan hentak meja memarahi ibu. Kerana malu, ibu terus pulang.
Rupa-rupanya tanah itu terlibat untuk pembinaan sekolah rendah.
Aku beritahu bahawa tanah yang dirampas itu harta pusaka aku. Aku tidak halal, tidak maaf, tidak rela dan tidak apa saja terhadap mereka yang bersubahat merampas tanah itu, lebih-lebih lagi jika ada unsur penipuan.
Diceritakan juga, bekas exco dan YB UBN Terengganu sangat benci pada UBN. YB ini terkenal dan pernah kerja sebagai DO. Juga dipertingkaikan sebab Petronas tidak beri wang royalti kepada Terengganu, dan wang itu banyak melimpah ke negeri lain. Katanya, Kelantan pun layak dapat wang royalti. Dia percaya, Najib akan beri.
Aku tanya tentang kepimpinan DS Najib. Katanya, DS Najib tidak akan bertahan lama dan seluruh negeri di Semenanjung akan jatuh ke tangan pembangkang. Hanya kerusi Malaysia Timur saja kekal. Aku tanya sebab apa? Dia jawab, "Kerajaang skarang zaling, tak bela rakyat starang barah." Aku kata, "Pakcik kata begitu sebab Pakcik orang Pas."
Dia jawab, "Eh, dok. Pakcik parti Umno."
"Bakpo kata gitu? Tak sayang pada Umno?"
"Dah zaling. Biar mampus! Tu, YB ... anak sedara aku. Sombong mampus."
Pulang ke kampung kali ini, banyak maklumat aku peroleh. Entah betul, entah tidak, tak tahulah. Apapun, ia baik untuk direnungi dan diteladani.

Surat Kepada YB Bung Mokhtar Radin

Tahniah kepada YB Bung Mokhtar kerana berkahwin lagi. Dengan siapa Bung berkahwin, itu tidak penting. Berkahwin itu tandanya Bung seorang lelaki. Dan, berkahwin lagi itu juga tandanya Bung masih seorang lelaki. Dan lagi, apabila Bung berkahwin, itu juga tandanya Bung seorang lelaki Islam. Tahniah, kerana Bung, nampaknya, tidak tergolong dalam kumpulan YB simpan perempuan.
Namun, apabila Bung cuba sembunyi perkahwinan, itu tandanya juga Bung bukan lelaki sejati. Walaupun tidak lelaki pin warna. Cara Bung menjawab pertanyaan wartawan (Laporan Berita Harian 18 Disember 2009) -- Ini bukan masa terbaik membuat komen. Saya perlu menjaga hati banyak pihak dan saya tidak mahu melukai sesiapa -- membuktikan bahawa memang Bung sudah berkahwin. Ibu Zizie, Kathy Fauziah, tidak sepatutnya menyembunyikan perkahwinan anaknya.
Apakah sebab Bung mahu sembunyi perkahwinan? Persepsi umum (dan saya juga) tentu mengatakan Bung takut bini.
Kita tahu ramai lelaki yang punya bini lebih lelaki daripada suaminya. Brutal. Dari Pakmat pemimpin di kampung sampai politikus pemimpin di kabinet: ada cerita lelaki takut bini.
Apakah Bung tergolong dalam isme baru kepimpinan politikus masa kini: Lelaki takut bini? Jangan Bung kerana rakyat akan menganggapnya sebagai 'dayus!'
Tentu Bung tidak mahu digelar dayus.
Tahniah kerana YB Bung berkahwin lagi, dan tidak menafikan bahawa Bung berkahwin lagi.

Khamis, 17 Disember 2009

Mohon Kerakyatan Malaysia

Akhbar Sinar Harian pada 15 Disember 2009 melaporkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd Nasir Ibrahim (BN Kuala Nerus) di bawah tajuk, “11,770 rakyat asing mohon kerakyatan Malaysia.”
Katanya, bilangan pemohon dari tahun 2005 – September 2009 ialah sebanyak 3,405 pemohon dari Indonesia, 1,115 (Kemboja), 501 (China), 494 (India), 461 (Filipina), 392 (Thailand) dan lain-lain negara (4,547).
Pemohonan ini adalah berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 15 (1), 15(2), 15A dan Perkara 19(1).
Pemohonan ini akan diproses dalam masa tiga tahun. Status pemohon adalah pelbagai, daripada suri rumah hingga tenaga profesional.
Kriteria yang ditetapkan sebagai layak diterima ialah (a) berkelakuan baik, (b) tidak melanggar undang-undang negara, © mempunyai pengetahuan memadai dalam bahasa Melayu, (d) menumpukan taat setia kepada negara, (e) kepakaran dan sumbangan pemohon, dan (f) ada pertalian keluarga dengan rakyat negara ini.
Yang jelas tiada kriteria wajib (utama) ditetapkan. Sejarah diri, rekod jenayah masa lampau, dan pengetahuan tentang undang-undang Malaysia para pemohon juga tidak diambil kira. Justeru, saya berpendapat bahawa pengganas Tamil Ealam, atau Thasin Sinawarat, atau buruh ladang dari Timur Laste, atau sesiapa sahaja layak menjadi rakyat Malaysia. Justeru, mengapakah pemohonan pejuang PKM, Chin Peng, hendak ditolak.
Demikian juga, syarat yang berkaitan dengan bahasa Melayu adalah sangat longgar. Maka tidak hairanlah, ada warganegara berusia 49 tahun, hidup dalam negara Malaysia yang telah 52 tahun merdeka, orang berkenaan masih tidak tahu berbahasa Melayu. Mungkin dia baru beberapa hari lepas diterima sebagai warganegara Malaysia, dan pengetahuan 'memadai' tentang bahasa Melayu telah 'memadam.'

Jika fenomena begini masih berterusan, maka akan lahir warganegara yang 'cinta di mulut tetapi benci di perut.' Mereka mengutamakan kepentingan diri daripada negara merdeka.

Saya fikir, kriteria di atas perlu disemak kembali agar Malaysia bebas daripada pengganas, dan warganegaranya betul-betul mencintai negara Malaysia. Kini saya dapati, kelakuan dan tindakan para politikus, lebih cenderung 'menjahanamkan kemerdekaan negara' daripada membina Malaysia. Oleh sebab itu, Malaysia menghadapi pelbagai karenah devian daripada orang politik hingga seluruh muka dan badan rakyatnya kecemaran. Hal ini perlu segera dibendung.
Salah satu caranya, saya fikir, kriteria yang dikemukakan oleh Pn. Halimah sebagai syarat menerima lamaran Sasterawan Negara Arena Wati, boleh digunapakai.
Makna Setia
Setelah berkali-kali gerhana
bulan tetap pada malamnya
matahari tetap pada siangnya
rumput masih tumbuh di padang
berkali mati diracuni kemarau
azan masih memanggil solat
betapa janji sudah termeterai
setia itu seperti
cinta Halimah pada negaranya
cinta Arena Wati pada Halimahnya

Selasa, 15 Disember 2009

Sedikit Pandangan Tentang MS ISO, BPG

Pada 9-10 Disember 2009, Bahagian Pendidikan Guru yang menggerakkan IPG mengadakan mesyuarat mengkaji semula pengurusan kualiti MS ISO 9001:2008. Kali pertama BPG terlibat dengan ISO sekitar tahun 2003, jadi pemegang sijil MS ISO 9001: 2000 dan tamat pada 15 Julai 2007.
Teruja dengan kejayaan pertama, pengiktirafan ISO terus diburu oleh BPG, dan kini berusaha pula menjana MS ISO 9001: 2008.
Sebagai orang yang terlibat secara langsung, saya mempunyai pandangan tersendiri. Mungkin pandangan ini bersifat skeptik. Ia merupakan pandangan dan pandangan itu dirumus berdasarkan pandangan hasil temu bual dengan individu lain yang turut terlibat menjana MS ISO. Saya harap pihak berkenaan dengan MS ISO dapat berlapang dada menerima kritikan dan berusaha menilainya. Jika betul, elok diperbaiki, dan jika tidak, dilupakan saja.
Pertama, BPG agak gelojoh untuk mendapatkan sanjungan melalui MS ISO. Pandangan ini berdasarkan semua komponen digazetkan untuk penilaian MS ISO: Bermula daripada pengambilan pelajar hingga pelajar itu bergraduan; dan daripada staf sokongan hingga pengarah. Terangkum dalamnya, antaranya, pengurusan fail, proses pengajaran-pembelajaran, gerko, asrama, kursus staf dan pelajar, BIG, mesyuarat, akademik seperti sukatan, rancangan tahunan / semester, rancangan mingguan, praktikum, kerja kursus, dan sebagainyaq. Setiap komponen itu mempunyai pecahan pula.
Pada pandangan saya, MS ISO patut bermula dengan sistem fail kerana sistem fail inilah yang banyak memberi masalah dalam ISO. Apabila komponen ini berjaya, barulah diperluaskan ke komponen lain. Pada pandangan saya, sehingga kini, sistem fail di sesetengah IPG belum mantap.
Kedua, pihak pengurusan MS ISO BPG tidak bertanggungjawab dan amanah terhadap tugas yang diberikan. Banyak elemen-elemen dalam MS ISO yang dikritik, dibincangkan untuk penambahbaikan tidak dikemaskinikan menyebabkan kesilapannya berulang dalam siri-siri berikutnya. Akibatnya, MS ISO telah membebankan pensyarah kerana melakukan kesilapan berulang.
Ketiga, berkait-rapat dengan yang kedua, pernah CD MS ISO yang dihantar ke IPG, setelah beberapa hari, CD itu ditarik balik. Sedangkan, sebahagian dokumen telah diperbanyak menyebabkan berlaku pembaziran kertas, tenaga, masa, mod dan dakwat.
Keempat, disebabkan kesuntukan masa, ramai pensyarah yang menyiapkan dokumen dan fail MS ISO pada saat-saat akhir. Sering kali juga pihak auditor sengaja mencari dan memperbesarkan kesilapan. Hal ini menyebabkan berlaku penyembunyian fakta sebenar bagi menggelakkan IPG mendapat CAR atau NCR.
Kelima, sebagaimana dinyatakan dalam alasan ketiga, berlaku banyak penggunaan, pembaziran kertas dan dakwat. Pembaziran itu berlaku kerana terdapat dokumen berulang diminta dalam LAM-PT berlainan, dan penarikan CD siri kerana tidak lengkap pengemaskinian.
Keenam, sering juga terjadi, orang yang sama diaudit berulang-kali. Sedangkan, terdapat sebilangan pensyarah tidak pernah diaudit langsung. Hal ini disebabkan auditor merupakan rakan karip, atau pensyarah dipanggil bertugas di luar (disengajakan).
Oleh sebab alasan-alasan di atas, saya amat berharap agar pihak BPG (penjana MS ISO) tidak membebankan pensyarah, dan IPG tidak menjadi pusat penipuan dan pembaziran.
Itu pandangan saya, mungkin anda mempunyai pandangan lain.

Mengenang Tsunami

Aku tulis sajak ini
dengan sayu hati
sedih maha dalam
betapa sayu dan sedihku
tak dapat mengubati
sayu dan sedihmu
aku tulis sajak ini
dengan seberkas insaf
ngeri mencengkam jiwa
pada engkau adalah aku
tak terbendung derita
tak terbendung sengsara
betapa insaf dan ngeriku
tak dapat mengubati
derita dan sengsaramu
aku tulis sajak ini
dengan rasa maha geram
marah membuak-buak
engkau dihancurkan tsunami
dihancurkan pencuri-prncuri
betapa geram dan marahku
tak dapat mengubati
geram dan marahmu
aku tulis sajak ini
dengan seinsaf sedar,
"Ya Allah, Engkau jauhi kami
betapa kecilpun tsunami-Mu
adalah besar bagi kami."
NASSURY IBRAHIM
Kota Bharu, Kelantan
Mingguan Malaysia, 13 Disember 2009

Isnin, 7 Disember 2009

Anugerah Sasterawan Negara (Editor)

Aku tergesa-gesa menyimpan telefon, medengar juruacara berdehem ingin memulakan majlis.

Setelah berbasa-basi dan menyebut nama, kelihatan si tokoh berjalan pelahan-lahan naik ke pentas. Langkahnya amat sopan, persis raja sehari.
Aku terpegum melihat susuk pakainya. Amat menarik. Baju Melayu cengkak musang warna hitam bersamping songket tampuk manggis keemasan dari Terengganu. Songkoknya sedikit senget sebagaimana disengajakan.
Turut mengiring ke pentas dua orang jejaka setahun jagung. Sebagaimana tokoh, dua jejaka itu juga berpakaian sut Melayu cengkak musang, bersamping songket mata lalat. Juga dari Terengganu. Cuma sut Melayunya warna abu.
Anehnya, si pengiring itu turut berdiri di tengah pentas, kebelakang sedikit, di kiri dan di kanan tokoh.
"Gerangan apakah sebab pengiring itu berdiri di belakang si tokoh," kataku kepada rakan di sebelah. "Seperti penerima hadiah lakunya!," kataku lagi tanpa mengharapkan jawapan.
Seorang Ketua Penerbit berjalan masuk dan berdiri di rostrum.
Setelah mengetuk kepala makrofon tiga kali, Ketua Penerbit pun mulai bersuara, "Bla, bla, bla, bla, ..." membaca alkisah si tokoh yang diraikan, pemenang Anugerah Sasterawan Negara.
Kemudian, masuk pula Ketua Unit Penyunting, berdiri menghadap rostrum.
"Bla, bla, bla, bla, bla, bla, bla ...," ujarnya penuh bersemangat. Dan, "Tahniah kepada penerima Anugerah Sasterawan Negara (Editor)," katanya menamatkan ucapan.
"Bila pula ada kategori Anugerah Sasterawan Negara (Editor)? Apa sebabnya?" kepalaku diterjah soalan aneh.
Aku teringat emel daripada seorang novelis tersohor. Katanya, "Beberapa bulan lepas, aku menerima sebuah buku dari sebuah penerbit. Setelah buka sampul, aku rasa amat gembira kerana manuskrip novel aku telah menjelma sebuah buku," tulisnya. "Namun," tulisnya lagi. "Kau tahu? Gembira aku menjunam lenyap setelah terlihat di bawah nama aku tertera satu lagi nama." Ada wajah bukunya disertakan.
"Bila pula novel aku ini karangan bersama?" tulisnya lagi.
Aku menelefon novelis tersohor ini. Basa-basi bertanyakan khabar diri, dan terus ke pemasalahan novelnya.
Katanya, "Aku telefon penerbit, beritahu tentang novel aku itu tertera nama sesat. Mungkin nama itu tersilap cetak," katanya.
"Apa kata penerbit?"
"Nama itu tidak sesat."
"Habis, kenapa tercatat?"
Ujar kawanku itu, "nama itu kepunyaan editor. Dia menangani novel aku. Dia editor, maka namanya perlu juga dicatatkan."
"Laaa ....!" kataku.
"Laaa .... apa?"
"Undang-undang dari mana?" jawabku lagi dan mematikan telefon.
Kepalaku diterjah bayangan, 'Kalau setiap karya A. Samad Said atau Anwar Ridhwan tercatat nama editor sebagai pengarang bersama, wah, kita sudah punya sekurang-kurangnya 20 orang Sasterawan Negara!.'
"Hebat! Hebat!"

Surat Ruslan Mamat, Editor Ruangan Sastera di Mingguan Watan

Kepada Sdr. Nassury Ibrahim
Balai Polis Pasir Puteh
Kelantan.

Salam puisi buat Sdr. Semoga Sdr. sihat selalu.

Terlebih dahulu saya memperkenalkan diri saya. Dan sememangnya Sdr. sudah mengenali saya sebelum ini. Saya, Ruslan Mamat, pengelola Ruangan Sastera di Watan serta Petugas Khas Pesisir.

Sebenarnya saya agak kesuntukan masa untuk menaip surat secara tidak formal semacam ini. Tetapi oleh kerana terpaksa juga untuk memberi sedikit catatan pengetahuan buat Sdr. maka terpaksa saya mencuri sedikit masa kelapangan saya.

Saya ingin menyentuh sedikit tentang sajak-sajak Sdr. Saya dapati Sdr. memang cukup produktif dalam bidang persajakan. Saya amat kagum dengan keinginan yang tinggi untuk menjadi seorang penyair. Maka kerana itulah saya ingin menyentuhnya dalam dalam surat tidak formal ini.

Di Watan, saya tetap menerima sajak-sajak Sdr. tetapi saya juga tidak boleh menyingkirkan hasil karya orang lain. Saya mempunyai sistem sebagaimana dengan akhbar-akhbar lain juga, iaitu menyiarkan atau memberi peluang untuk seseorang penulis tiga atau empat bulan sekali. Maksud saya seseorang penulis baik cerpen atau sajak, akan diberi tempat dalam akhbar Watan antara tiga atau empat bulan sekali. Katakanlah sajak Sdr. telah saya siarkan dalam bulan Ogos, maka sajak yang kemudian pula akan saya siarkan dalam bulan November atau dalam bulan Disember depan. Saya juga tidak akan melupakan penulis-penulis lain yang juga berbakat seperti Sdr.

Dalam pada itu, Sdr. mestilah mengambil keputusan atau bertekad tidak menghantarkan hasil karya yang sama kepada lain-lain penerbitan. Jika Sdr. hantarkan sajak yang sama kepada lain-lain penerbitan dan didapati tersiar dalam dua buah akhbar atau majalah serentak, maka pihak editor akan 'gam' sajak-sajak Sdr. Jika demikian yang berlaku, tentunya Sdr. akan mengalami masa depan yang gelap dalam dunia yang Sdr. impikan. Saya nasihatkan agar Sdr. tidak berbuat demikian. Ttetapi jika sajak tersebut tidak disiarkan dalam tempoh selama tiga atau empat bulan, maka bolehlah Sdr. menghantarkannya kepada lain-lain penerbitan. Itupun setelah tiga atau empat bulan dari tarikh Sdr. hantar kepada mana-mana penerbitan dan ia tidak mendapat tempat.

Melihat kepada perkembangan atau proses penciptaan sajak-sajak Sdr. saya inginlah mencadangkan kepada Sdr. jika ada apa-apa sayembara, bolehlah Sdr. turut serta. Hanya melalui sayembara sahajalah Sdr. boleh naik sebagaimana yang telah dilalui oleh Sdr. Moechtar Awang. Dan jika Sdr. berhajat pula untuk meneruskan pengajian di Universiti Malaya di bawah Rancangan Penulisan Kreatif, Sdr. mestilah sekurang-kurangnya mempunyai 2P dalam STPM. Sdr. boleh menyertainya dengan special kes. Ini juga telah dilalui oleh Sdr. Asmui Mustapha, Setiausaha Pesisir.

Dua buah sajak Sdr. dalam perhatian saya untuk disiarkan nanti, iaitu 'Keris atau Seorang Raja Purba' dan 'Duka Pelaut Timur.' Yang lain, Sdr. bolehlah hantar ke lain-lain penerbitan.

Sekian, takat ini sahaja. Salam puisi dari saya.


tt
Ruslan Mamat

Selasa, 1 Disember 2009

Heboh BTN

Heboh apabila Kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar di bawah institusi kerajaan negeri Selangor mengikuti kursus BTN. Mengapa? Entahlah. Mungkin mereka bimbang BTN akan dimansuhkan dan mereka hilang pekerjaan.
Saya cadangkan kursus BTN hendaklah diperluaskan. Para politikus, setelah menang pilihan raya dan sekali sahaja, dihantar berkursus BTN, terutama mereka yang hendak dilantik sebagai menteri atau exco. Hal ini kerana para politikuslah (bukan semua) yang jadi perosak keharmonian masyarakat, 'penjual bangsa' dan perasuah tegar. Dengan adanya kursus BTN kepada mereka diharapkan dapat mengekang gejala jenayah itu.
Kursus BTN juga hendaklah diwajibkan terhadap mereka yang disabit dengan amalan rasuah, di samping hukuman yang dikenakan. Diharapkan dengan cara ini dapat menyedarkan mereka akan bahaya amalan tersebut.
Juga kepada Mat-Mat Rempit dan peragut, dan Minah Lelong Barang.
Saya pernah mengikuti kursus BTN pada tahun 1987. Pada saya, secara peribadi, kursus BTN ialah tempat penceramah / fasilitator berbohong. Segala pandangan dan perlakuan peserta dianggap salah. Hanya pandangan dan perlakuan fasilitator / penceramah sahaja yang betul. Kesimpulan ini adalah hasil pengalaman mengikuti kembara lasak, ceramah dan ADK sepanjang kursus BTN.
Sebagai contoh, pernah seorang penceramah meminta kami menyenaraikan nama-nama menteri pendidikan. Dengan susah payahnya, kami menyenaraikan nama-nama menteri terlibat. Jawapan kami adalah salah. Menurut penceramah berkenaan, hanya ada seorang saja menteri pendidikan, iaitu Sdr Anwar Ibrahim. Alasannya, nama-nama yang disenaraikan itu ialah menteri pelajaran, bukan menteri pendidikan. Saya yakin, kalau disenaraikan nama Sdr Anwar Ibrahim sahaja, jawapan kami juga akan dianggap salah.
Tamat kursus, kami diberikan sijil penyertaan dalam majlis penutup. Oleh sebab sijil itu tidak ditandatangani (alasannya kerana tidak sempat), maka pihak urus setia minta kami pulangkan. Pihak urus setia berjanji akan mengeposkannya. Malangnya, hingga saat ini, saya tidak menerima sijil berkenaan.
Bukankah itu tandanya kursus BTN tempat fasilitator / penceramah berbohong? Atau memang berbohong / menyalahkan peserta itu ada dalam sukatan kursus BTN dan dihalalkan.
Saya jadi keliru kerana banyak kursus BTN dan seumpama BTN terpaksa diikuti oleh setiap satu batang tubuh manusia. Tamat tingkatan lima, para remaja dikerah mengikuti kursus PLKN. Apabila remaja berkenaan masuk universiti / IPT, mereka dikehendaki mengikuti kursus BTN. Apabila mohon kerja di sektor awam, mereka dikehendaki mengikuti kursus Induksi dan kursus BTN. Bukankah amalan ini membazir.
Kalau BTN kemarut nak anjur kursus, saya fikir kursus BTN patut dijadikan pilihan untuk penjawat awam lulus PTK. Mereka yang tidak mahu berkursus BTN mesti menduduki peperiksaan PTK, dan sebaliknya.
Memang kursus BTN dapat mengeratkan hubungan kaum dan menambahkan semangat. Kursus motivasi pun demikian juga.
Sepanjang berkursus BTN, saya tertarik dengan lirik lagu "Warisan" dan "Penyair dari Gunung." Kedua-duanya karya Datuk Dr Nordin Kardi. Malangnya, saya lupa lirik lagu "Penyair dari Gunung."

Resepsi Pertemuan Penyair Nusantara 3

Tahniah kepada Jawatankuasa Pertemuan Penyair Nusantara 3 dan Pena yang berlangsung pada 20 - 22 November 2009. Sangat besar dan berat pekerjaan tuan puan menggerakkan PPN 3 kerana melibat penulis dari 5 negara -- Malaysia, Thailand, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Tentunya pekerjaan itu berkat usaha lebih para penulis muda yang berkhidmat di bawah bumbung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), dan organisasi sokongan seperti DBP, JKKN dan ITNM, serta para penyair.

PPN3 memperlihatkan wujudnya kerjasama erat kalangan organisasi di atas dan para penulis dari Malaysia dan Nusantara; kesungguhan dan keikhlasan kerja para penulis muda yang pernah dicurigai, didengki dan 'dinyahkan' oleh organisasi penulis tempatan dan tersohor pada suatu masa dulu.
Sebagaimana pernah saya tegas dalam Pengakuan Penyair di Rumah Pena pada suatu masa dahulu, para penulis muda hanya mahu sama-sama menggerakkan kegiatan kesusasteraan negara. Hal ini telah terbukti, apabila kelompok yang sama bergerak di bawah payung Pena, telah berjaya menganjurkan beberapa siri Pertemuan Penulis Muda Nasional dan kini PPN3.
Selain berjaya mengeratkan hubungan antara penulis di lima negara berkenaan, setiap aktiviti dianjurkan itu disusuri penerbitan beberapa buah buku sebagai dokumentasi kekal. Tentunya usaha penerbitan sebegini patut berterusan dan ditingkatkan. Barangkali penerbitan itu boleh ditaja oleh badan-badan swasta.
Ada baiknya juga, untuk siri PPN dan sebagainya nanti, ditambahkan penerbitan kumpulan sajak perseorang penulis muda. Saya berpendapat, setiap penyair (dan genre lain) mesti berusaha menerbitkan kumpulan karya persendirian (sama ada melalui penerbit atau persendirian). Tanpa kumpulan karya perseorangan, penglibatan tuan sebagai penyair akan tenggelam dalam timbunan masa. Akhirnya, penulis (tuan) akan tergolong sebagai penyair tidak dikenali dan tidak memberi apa-apa sumbangan untuk kemajuan sastera negara.
Kita tahu ramai yang menulis, dalam pelbagai genre, tetapi berapa ramaikah yang dikenali kini, karyanya dibaca dan dikaji. Salah satu sebab tidak dikenali ialah kerana tiada karya perseorangan diterbitkan. Sebagai contoh, siapakah yang masih mengenali dan memperkatakan tentang sumbangan Aziz H.M. khususnya dalam bidang teater? Tiada. Sebabnya, tiada dokumentasi (bentuk buku) tentang kegiatan teater Abdul Aziz H.M. Sumbangan Abdul Aziz H.M. dalam bidang teater sangat penting, khususnya teater mini kata. Beliaulah satu-satunya pelopor dan penggerak teater mini kata di Malaysia dekad 1970-an - 1980-an.

Jangan bimbang tentang mutu kerana tidak semua sajak dianggap bermutu itu penting atau sesuai sebagai bahan kajian.

Di samping mengekalkan acara sedia ada, beberapa acara juga boleh dipertingkatkan seperti memperbanyakan perbincangan karya para penulis, khususnya penulis muda; mengadakan lawatan ke tempat-tempat tentu (tempat pelancongan, tempat bersejarah, tokoh, organisasi tertentu atau ke kampung) bagi menambah dan menyebarkan maklumat tentang negara kita kepada para penulis, khususnya penulis luar. Dalam setiap lawatan itu boleh diberikan tugasan seperti mencatat kesan peribadi untuk dijadikan karya. Atau, kita boleh memohon organisasi yang dilawati itu memberi taklimat tentang kegiatan mereka. Mungkin maklumatnya boleh membantu para penulis apabila mereka menghasilkan karya nanti.

Isnin, 23 November 2009

Sasterawan, Sasterawan Negara dan Muzium Negara

Sebelum berangkat pulang setelah menghadiri Pesta Penyair Nusantara Ke-3, pada 22 November 2009, aku dan anak-anak melawat Muzium Negara. Sudah lama aku tidak mengunjunginya. Kali terakhir ialah semasa pameran Yang Dipertuan Agong, sekitar akhir tahun 1990-an. Kunjungan aku kali ini adalah untuk memberi pendedahan maklumat kepada anak-anak.
Kebetulan pula ada pameran tentang kehidupan masyarakat orang asli, di samping pameran sedia ada. Banyak maklumat yang aku peroleh.
Namun, ada satu maklumat yang mengelirukan. Ia boleh memberi tanggapan negatif terhadap seluruh warga Muzium Negara, dan masyarakat penulis juga.
Di tingkat 1 sebelah kiri pintu masuk (barat) terdapat satu sudut pameran yang diberi nama PENULISAN DAN KESEDARAN MELAYU. Antara maklumat yang dicatatkan ialah tentang sumbangan para penulis, termasuk Sasterawan Negara. Hanya beberapa tokoh penulis dan sasterawan negara sahaja yang dipilih dan dimasukkan.
Kita ada ramai sasterawan negara. Negara kita merupakan satu-satunya negara yang memberi anugerah Sasterawan Negara kepada sasterawannya. Hingga saat ini, kita ada 10 orang Sasterawan Negara. Mereka ialah Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A. Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Dr. Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), S. Othman Kelantan (2003) dan terbaharu Dr. Anwar Ridhwan (2009).
Malangnya, maklumat yang dicatatkan tidak lengkap, tidak tepat dan salah. Antara catatan ialah berkenaan Sasterawan Negara. Dicatatkan bahawa Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shaharudin Salleh sebagai Sasterawan Negara. Manakala Za'ba pula dicatat sebagai penulis.
Kita mempunyai Sasterawan Negara seramai 10 orang, sebagaimana nama-nama di atas. Dari senarai itu tidak terakam nama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shaharudin Salleh sebagai Sasterawan Negara. Kedua-dua tokoh itu bukan Sasterawan Negara dan tidak ada sesiapa yang memberi anugerah Sasterawan Negara kepada mereka. Mereka berstatus sasterawan sahaja.
Ada perbezaan antara sasterawan dengan Sasterawan Negara. Sasterawan ialah mereka yang menulis karya-karya kesusasteraan. Mereka ini termasuk sesiapa sahaja yang menulis karya kreatif dan bersungguh-sungguh. Mereka yang berkarya sekadar 'main-main sahaja' sahaja tidak boleh digolongkan sebagai sasterawan, apatah lagi hendak dipanggil Sasterawan Negara. Mereka hanya boleh digolongkan sebagai peminat karya sastera sahaja.
Sasterawan Negara pula merupakan satu gelaran anugerah. Anugerah itu diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada tokoh-tokoh sasterawan yang layak. Tokoh ini semestinya mereka yang terbukti memberi sumbangan besar terhadap kemajuan kesusasteraan negara. Anugerah ini diberikan kepada penulis karya kreatif sahaja. Tidak boleh diberikan kepada wartawan, walaupun wartawan banyak menulis. Ataupun, kepada guru-guru, walaupun guru-guru juga banyak menulis. Mereka tidak menulis karya kreatif.
Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia kini cenderung mendedah dan menggalakkan murid dan pelajar membaca karya sastera popular (pop art), namun para penulisnya bukan Sasterawan Negara. Hal ini kerana karya popular sekadar hiburan semata-mata. Tidak mempunyai idealisme atau aliran yang boleh membina kesusasteraan nasional.
Lazimnya, karya popular tidak bertahan lama. Karya popular akan dibaca dan kemudian dilupakan. Berbeza dengan karya-karya sastera yang beridealisme dan beraliran. Karya ini akan selalu dibaca dan dikaji. Justeru, walaupun penulis karya popular menghasilkan berpuluh-puluh karya popular dan dibaca oleh masyarakat umum, dikagumi oleh Unit Kurikulum di Kementerian Pelajaran Malaysia, karya itu tetap tidak setaraf karya Sasterawan Negara dan penulisnya tidak boleh digelar Sasterawan Negara.
Begitu juga, saya rasa terkilan, apabila nama Za'ba dicatat sebagai penulis. Memang benar Za'ba merupakan penulis, bukan Sasterawan Negara. Za'ba merupakan pengkaji, penulis dan pemikir bahasa Melayu. Malah, para sasterawan, budayawan dan ahli bahasa mengiktiranya sebagai pendeta. Alangkah baiknya kalau nama Za'ba dicatat sebagai "Pendeta Bahasa," bukannya sebagai 'penulis.'
Satu aspek lagi yang ada baiknya saya sentuh ialah penggunaan bahasa. Terdapat beberapa kesalahan asas, seperti catatan tahun ditulis, misalnya, 1990an. Sepatutnya dicatatkan sebagai 1990-an. Ada istilah yang tidak dapat dikesan maksud, iaitu 'dama,' baik untuk maksud umum mahupun untuk maksud dalam konteks ayat yang dicatatkan. Saya tidak dapat perturunkan catatan ayatnya, kerana rekod catatan saya terkena air dan dakwatnya kembang hingga sukar dibaca.
Saya akhiri catatan ini dengan sajak ringkas, di bawah.
ALANGKAH NIKMATNYA KALAU
Kalau memanggil pada namanya
kalau meletak pada tampuknya
kalau menyahut pada kelurnya
kalau menjawab pada tanyanya
kalau melihat pada matanya
kalau mencatat pada sumbernya
kalau mengambil pada haknya
kalau memberi pada ikhlasnya
kalau berbahasa pada bahasanya
alangkah baik alangkah cinta
nikmat sesaat berabad rasa
terhindar dari jarum fitnah
kembang akal pada cita sempurna
kalaulah benar pada benarnya.
23 November 2009

Sabtu, 14 November 2009

Oh, Bai'ah

Maksud bai'ah ialah sumpah setia seseorang terhadap seseorang yang lain atau terhadap kumpulannya. Tujuannya adalah untuk menjaga kepentingan diri antara dua orang berkenaan, atau kumpulannya.
Demang Lebar Daun membuat bai'ah dengan Sang Sapurba apabila dua orang anaknya yang dikahwini Sang Sapurba telah mengalami tulah. Apabila Sang Sapurba ingin berkahwin lagi dengan anaknya, maka Demang Lebar Daun pun membuat bai'ah. Dalam bai;ah itu, kedua-dua meletakkan syarat untuk menjaga kepentingan masing-masing. Demang Lebar Daun mewakili rakyat akan menjaga kepentingan raja dengan cara memberi taat-setia sepenuhnya. Sang Sapurba mewakili raja akan menjaga kepentingan rakyat dengan cara tidak menzaliminya. Berkat bai'ah itu, maka kedua-dua pihak memperoleh kepentingan. Hasilnya, negeri Melaka menjadi aman-damai, terkenal dan menguasai dunia bawah angin.
Itu bai'ah yang terdapat dalam Kitab Sejarah Melayu. Anda akan mengetahui lebih lanjut jika anda membacanya. Dan, anda juga akan mengetahui lebih banyak lagi bai'ah dan kepentingannya jika anda membaca hikayat-hikayat Melayu, khususnya yang berkaitan dengan ketatanegaraan.
Baru-baru ini heboh tentang bai'ah yang dibuat oleh PAS terhadap ahlinya, khususnya yang memenangi PRU-12. Saya tidak pasti, apakah semua YB PAS berbai'ah.
Kalau berdasarkan bai'ah (wa'dah) dalam kitab Sejarah Melayu, bai'ah PAS itu bagus untuk menjaga kepentingan PAS -- mengikat taat-setia YB terhadap partai.
Namun, ada perbezaan antara bai'ah PAS dengan bai'ah Demang Lebar Daun. Bai'ah PAS meletakkan isteri YB sebagai cagarannya, manakala bai'ah Demang Lebar Daun tiada cagaran. Inilah perbezaannya.
Tiada pula orang mengkaji akan sebab bai'ah Demang Lebar Daun tiada cagaran. Dan, tiada pula orang memberitahu bahawa bai'ah PAS itu akan terjamin ketaatsetiaannya. Yang pastinya, barangkali melalui bai'ah itu, memberi sedikit kelegaan kepada isteri YB PAS. Kalau YB PAS melompat partai, bererti YB berkenaan bukan sahaja tidak taat kepada partai, malahan tidak setia kepada isterinya juga.
Orang yang suka melompat-lompat partai ternyata tidak setia. Dalam sejarah politik kita telah terbukti. YB Pasir Mas misalnya, ternyata tidak pernah setia atau setianya tidak bertahan lama pada partai yang dihinggapnya. Beberapa orang YB di Perak juga menjadi contoh dan bukti yang baik ketidaktaatsetiaannya pada partai pilihan. Malah, ada juga yang melompatnya sekejap sahaja -- beberapa hari sahaja.
Di atas saya mengatakan bahawa melalui bai'ah itu memberi sedikit kelegaan kepada isteri YB PAS. Sedikit sahaja sebab bai'ah itu tidak mensyaratkan bahawa YB PAS tidak boleh berpoligami. Barangkali bak berpoligami ini, peranan isteri YB PAS membuat bai'ah dengan suaminya setelah mengetahui suaminya kini bergelar YB.
Setakat ini masih belum ada YB PAS melompat partai. Barangkali masih sayang dan setia pada isterinya. Baguslah. Namun, kita pernah dengar berita bahawa YB PAS berpoligami setelah bergelar YB. Ini bukanlah bermakna YB bukan PAS bersih. Ada kalangan mereka lebih dasyat lagi. Ada sesetengah mereka suka bertenggek atas dada anak orang. Ada sesetengah mereka suka pinjam isteri atau suami orang.
Walau apapun, pada fikiran saya, meletakkan isteri sebagai cagaran bai'ah adalah tidak wajar. Nampak sangat bahawa kaum wanita dalam partai PAS itu seperti barang dagangan. Boleh dijadikan cagaran bai'ah. Wah, Islamiknya!
Kalau isteri sendiri boleh dijadikan cagaran, maka rakyat apatah lagi.

Isnin, 9 November 2009

Kenangan di Batam 1

Sepanduk Kolokium Seni sempena Kenduri Seni Melayu v, pada 21 Disember 2003, di Sembulang Bandar Seri Purnama, Batam, Riau, Indonesia.









Membentang makalah berjudul "Manifestasi Seni Melayu dalam Sastera Kanak-Kanak (kiri) dan menerima cenderahati daripada Sdr Samson Rambah Pasir, diperhatikan Dr Yusmar Yusuf









Mendeklamasi sajak

Selasa, 3 November 2009

JAIS - 'Pengganas' Baru Negara (?)

"Sesiapa saja termasuk Dr Asri atau wakil rakyat yang buat ceramah agama di Selangor tanpa tauliah, kita akan ambil tindakan." Kata-kata ini dilaporkan oleh Salhan K. Ahmad dalam Malaysiakini (BM) dan didakwa kata-kata itu diucapkan oleh Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selagor (JAIS).

Kata-kata itu diucapkan sebagai mengulas dan membela diri terhadap tindakan JAIS menahan bekas Mufti Perlis dalam sebuah premis individu di Taman Ukay.

Alasan penahanan ialah kerana bekas mufti itu berceramah tanpa tauliah.

Saya memang tidak bersetuju dengan tindakan JAIS itu, lebih-lebih lagi berkenaan alasan menahan Dr Asri dan cara penahanannya.

Sudah diketahui umum (barangkali pengarah JAIS dan kakitangannya belum tahu) bahawa Dr Asri merupakan sarjana Islam moden, yang kelulusannya dalam bidang agamaIslam lebih tinggi daripada pengarah dan kakitangan JAIS sendiri, bekas mufti di sebuah negeri di Malaysia, dan mengajar ilmu agama Islam (termasuk kepada bakal-bakal kakitangan MAIS / JAIS sendiri) di sebuah institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Dari segi ilmu agama Islamnya sudah terbukti. Mengapakah tokoh seperti ini masih perlu memohon / diberikan surat tauliah setiap kali dijemput menyampaikan ceramah agama.

Apabila diberikan alasan surat tauliah, maka timbul pertanyaan: Apakah tok-tok guru, tok-tok sami, ustaz, para mubaligh dan ibu bapa di Selangor, yang mengajar agama masing-masing, mempunyai surat tauliah. Kalau JAIS mengatakan masih perlu, maka timbul pertanyaan lain: Mengapakah JAIS memberikan surat tauliah kepada Dr Xavier berceramah kepada orang-orang Islam dalam Masjid Lipat Kajang, Kelang, sedangkan Dr Xavier bukan Islam. Jikalau tiada surat tauliah dikeluarkan, mengapakah JAIS tidak menangkap Dr Xavier dan penganjurnya?

Saya yakin bahawa ustaz-ustaz di sekolah (di Selangor dan luar Selangor) yang mengajar subjek Pengetahuan Agama Islam, Tasauf dan menyampaikan ceramah agama kepada murid-murid, tidak mempunyai surat tauliah. Demikian juga tok-tok guru dan ibu bapa yang mengajar anak-anak penduduk kampung mengaji, atau mengajar anaknya mengaji, juga tidak mempunyai surat tauliah.

Saya juga tidak pernah dengar bahawa tok sami, tok Chai dan mubaligh perlu surat tauliah yang membenarkan mereka mengajar agama masing-masing. Tidak pasti juga, adakah MAIK / JAIK di Kelantan mengeluarkan surat tauliah kepada tok sami dan tok chai di Kelantan.

Kalau surat tauliah mengatasi kelayakan lain, maka JAIS dan atau majlis agama Islam setiap negeri perlu mengeluarkan surat tauliah kepada pihak yang berkenaan, termasuk penceramah agama di media elektronik.

Iktibar daripada peristiwa itu, kerajaan Malaysia perlu mereformasikan organisasi dan undang-undang keagamaan. Satu Majlis Agama Islam Kebangsaan perlu ditubuhkan dan bertanggungjawab mentadbir agama Islam di seluruh negeri. majlis agama Islam yang sedia ada dijadikan Jabatan Agama Islam Negeri .... Undang-undang agama Islam juga perlu dipinda dan diseragamkan untuk semua negeri. Surat tauliah yang dikeluarkan layak dipakai di semua negeri.

Dr Asri menyifatkan cara JAIS / Polis menahannya seolah-olah beliau merupakan penjenayah atau penjenayah besar. Cara JAIS / polis menahan Dr Asri seolah-olah memberitahu kepada umum bahawa JAIS kini merupakan institusi 'penjenayah' baharu berkolar putih, sedang bertapak di Selangor. Langsung tidak menggambar sebuah institusi Islam berasulkan Nabi Muhammad SAW. Tindakan JAIS menggambarkan bahawa Islam merupakan agama ganas, dan dipenuhi dengan pelbagai larangan. JAIS bertanggungjawab terhadap imej negatif Islam akibat tindakannya itu.

Adalah aneh, seorang tokoh agama Islam yang terbukti ilmu keislamanannya, diakui oleh kerajaan Malaysia (negara Islam) dan pernah diiktiraf sebagai mufti, rupa-rupanya masih perlu 'diislamkan' dengan surat tauliah dari JAIS.

Saya rasa malu apabila rakan-rakan bukan Islam bertanyakan tentang peristiwa ini: Mengapakah Dr Asri berceramah kepada orang Islam dalam premis individu ditangkap, sedangkan Dr Xavier yang bukan Islam berceramah kepada orang Islam dalam premis awam (masjid) tidak ditangkap? Dalam kepalanya, dari persepsi saya, seolah-olah tergambar bahawa Islam merupakan agama pelik dan 'melarang" itu dan ini sewenangnya.

Justeru, saya berpendapat bahawa JAIS bukan sebuah institusi Islam yang murni. JAIS tidak mengamalkan ajaran Islam sebenar yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW. Kalau benar telaahan ini, kerajaan perlu bertindak mengislamkan JAIS. Pengarah dan kakitangannya perlu menjalani kursus permurnian akidah Islam.

Puisi Haiku dalam Di Rumah Wiramal

Kumpulan puisi Nassury Ibrahim, Di Rumah Wiramal, terbitan Pernerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd. menghimpunkan 38 puisi pendek, ringkas dan padat karya penyair ini yang memilih bentuk haiku sebagai wadah untuk meluahkan perasaannya.
Keseluruhan puisi dalam kumpulan setebal 39 halaman ini menggunakan kata 'Di Rumah' sebagai judul awalnya dan kecenderungan pengarang itu mendorong pembaca menyelongkar rahsia yang tersembunyi di sebaliknya.
Dalam puisi berbentuk haiku yang pendek dan padat ini, Nassury sempat menerapkan unsur perlambangan dan dapat ditafsir maksud tersirat penyairnya sekiranya pembaca buku ini teliti dan tajam minda.
Siaran: Berita Harian, 8 Januari 2004

Isnin, 2 November 2009

Sajak Shamsudin Othman


SEMBULANG BANDAR SRI PURNAMA

Sewaktu makan malam itu
hanya kami bertiga
aku, Nassury dan Sutardji
laut, pantai dan hujan
kata Sutardji
bayangkan hujan menjadi salji
rusa menjadi kolek
lalu terus memacu kita ke langit
sambil menyanyi lagu walang
Melayu yang kehilangan jiwa
dan yang lainnya bertepuk sorak
Menari kerasukan gembira

Pada malam bercahaya bulan sembilan belas
hanya kami bertiga
aku, laut dan hujan
terus mendesah melawan ombak
sambil mengutip sisa-sisa kata
yang tersembunyi di celah pasir

Sewaktu malam purnama itu
hanya kami bertiga
aku, Sembulang dan rindu
menjadi seniman yang kehilangan bicara.

SHAMSUDIN OTHMAN
Sembulang, Batam, Indonesia
Siaran: Berita Minggu, 25 Januari 2004

Ahad, 1 November 2009

Kenangan di Sungai Mekong


1 Malaysia Mati Pucuk (?)

Saya bersetuju dengan konsep dan atau pelaksanaan sekolah 1 aliran. Sepatutnya sistem ini telah lama diperkenalkan. Saya yakin sistem ini mampu mengekang atau mengecilkan masalah ketidakbersatuan masyarakat pelbagai kaum dan cita rasa di negara ini.
Dan, saya juga yakin bahawa memang rakyat ingin hidup dan menikmati hidup dalam suasana kebersatuan. Yang pastinya, masyarakat yang tidak bersatu-padu ialah mereka yang mengamalkan politik dan idealisme politik kaum tanpa mahu menghormati kaum lain. Golongan ini bukan sahaja tidak bersatu antara kaum, malahan mereka juga tidak ada rasa kesatuan dan kekitaan dalam kelompok kaum dan ideologi politik mereka sendiri. Sebab itu wujud pelbagai parti serpihan, atau seruan EGM.

Saya juga percaya bahawa konsep 1 Malaysia adalah baik untuk dilaksanakan. Namun, sejak akhir-akhir ini, saya mulai ragu usaha melaksana dan merealisasikan konsep 1 Malaysia. Apakah konsep ini benar hendak dilaksanakan dengan senghoti, atau sekadar retorik politik sahaja.

Setakat ini ada dua peristiwa besar yang ibarat keghairahan dan kestiman 1 Malaysia mulai kendur atau terkulai tiba-tiba. Pertama, penubuhan Parti Markal Sakti. Pada saya, nama partai ini tidak mendokong konsep 1 Malaysia. Ia hanya partai 1 kaum atau 1 agama. Dalam situasi sekarang, dalam keghairahan kita bercakap tentang perpaduan, setelah 52 tahun merdeka, dan setelah diperkenalkan konsep 1 Malaysia, sepatutnya partai baru berasaskan 1 kaum tidak perlu wujud. Sebarang penubuhan, apalagi dirasmikan pula oleh Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep 1 Malaysia, akan timbul pertanyaan: Apakah konsep 1 Malaysia ini ikhlas hendak dilaksana dan dicapai?

Demikian juga, saya rasa ragu terhadap sikap kerajaan yang menolak Hindraf. Apakah betul kerajaan menolak Hindraf? Apakah betul Hindraf itu pertubuhan haram, pertubuhan tidak perlu disokong?
Pemuda Umno, dan Wanita Umno sendiri, dalam majlis sambutan ulang tahun Umno ke-63 pada Mei 2009, pernah mengeluarkan kenyataan ingin berdialog dengan pemimpin Hindraf. Kalau para pemimpin negara ingin berdialog dengan pertubuhan yang mereka sendiri mengisytiharkannya sebagai haram, bererti pertubuhan yang diajak berdialog itu diiktiraf dan tidak haram. Sekarang, Perdana Menteri sendiri merasmikan penubuhan partai yang dianggotai oleh para pemimpin dan ahli Hindraf.
Apakah mungkin bahawa kematian Hindraf (?) telah hidup kembali dalam satu pertubuhan baharu? Apakah 'ideologi haram' itu boleh jadi 'ideologi halal' dengan hanya bersalin kulit? Atau, dengan hanya bertukar partai?

Kedua, kestiman 1 Malaysia tiba-tiba terkulai apabila pemimpin MIC dan MCA (Oktober 2009) menolak konsep sekolah 1 aliran. Alasan diberikan ialah untuk 'menghormati' sejarah dan usaha Tun Abdul Razak. Membalas kenyataan itu, Perdana Menteri tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan keghairahan melaksanakan konsep 1 Malaysia, yang diwarwarkan sebelum ini.

Dalam tinjauan Mingguan Malaysia (1 November 2009) mendapati, kelapan-lapan orang pemuda / pemudi dari pelbagai kaum yang ditemui, menyokong kerajaan melaksanakan sekolah 1 aliran demi mencapai perpaduan, sebagaimana diidamkan dalam konsep 1 Malaysia. Dapatlah difahami bahawa rakyat bersetuju konsep sekolah 1 aliran. Yang tidak bersetuju ialah golongan politik kaum. Memang pengamal politik kaum tidak akan bersetuju kerana ketidaksetujuan itu tersembunyi 'nyawa' kerjaya politik dan tembolok besar nafsu mereka. Apabila Perdana Menteri keluar kenyataan kendur atas alasan menghormati pandangan rakyat dua orang itu, maka timbul pertanyaan: Mengapakah kestiman Perdana Menteri tiba-tiba terkulai mendengar suara dua orang partai yang tidak relevan lagi. Sedangkan, di luar partai, ada beribu-ribu rakyat menyokong konsep 1 Malaysia.
Sebenarnya, rakyat sokong kerajaan dan kerajaan tidak perlu bimbang pada anasir subversif, jika ada, walaupun anasir itu berada dalam partai kerajaan sendiri.

Dan, kepada para pemimpin, anda jangan sesekali mempamerkan sikap tidak yakin dan tidak konsisten dengan idea yang diperkenalkan oleh anda sendiri, apalagi setelah rakyat menyahutnya. Kecuali, partai anda tidak mahu sokongan daripada golongan muda.

Khamis, 29 Oktober 2009

Bantulah Keluarga Adik Nurul Aysha Safiya bt Samsulrizal


Ini ialah maklumat yang diemelkan kepada saya. Ia menuntut keperihatinan kita. Sayangnya, saya tidak tahu arah saluran bantuan yang boleh dihulurkan, sama ada alamat atau akaun. Saya terbitkan maklumat asalnya.

"Jika tidak berkemampuan dari segi wang ringgit sekalipun, cukuplah dengan memanjangkan email ini kepada saudara2 yang lain. Semoga usaha kita ini mendapat limpah berkat dari Allah swt. Wassalam!
Setiap satu email yang anda fowardkan akan didermakan $0.01 kepada keluarga adik NURUL. Anak ini memerlukan keperihatinan kita semua.
Assalamualaikum/ Salam sejahtera ,
Penulis sebagai mewakili ahli keluarga adik Nurul Aysha Safiya bt Samsulrizal (4 tahun), merayu kepada sesiapa yang prihatin agar dapat membantu meringankan beban keluarga adik Nurul.

Adik Nurul baru saja selesai menjalani beberapa kali pembedahan penambahan tulang dibahagian leher akibat tulang leher patah (bukan akibat dari sebarang kemalangan atau penderaan tetapi oleh kerana tulang leher yang lembut dan tidak mampu menampung berat kepalanya dan salah satu faktor adalah kanak-kanak istimewa - down sindrom). Beliau kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan yang berharga RM40,000 tidak termasuk kos-kos sampingan (tiub untuk membuang kahak dan air kencing, generator untuk membantu alat penafasan ketika bekalan elektrik terputus).
Memandangkan kos-kos sampingan agak tinggi, diharapkan sumbangan anda serba sedikit dapat membantu meringankan beban keluarga beliau. Jika tidak berkemampuan dari segi wang ringgit sekalipun, cukuplah dengan memanjangkan email ini kepada saudara2 yang lain. Setiap satu email yang anda fowardkan akan didermakan $0.01 kepada keluarga adik NURUL.
Semoga usaha kita ini mendapat limpah berkat dari Allah swt....Wassalam! "

Selasa, 27 Oktober 2009

Oh, Guru!


Satu kali malang menimpa murid, 10 kali malang akan menimpa guru. Aku selalu mengingatkan bakal-bakal guru, "Awak seperti mentimun dengan durian. Bergolek awak luka. Digolek pun awak luka."

Guru jangan ingat bahawa surat kebenaran ditandatangani oleh ibu bapa itu memberi lesen besar untuk bebas daripada tanggungjawab mengawal keselamatan murid. Dan, surat arahan keluar dari PPD / JPN / sekolah itu akan menyelamat anda.

Dalam kes nasib malang tiga orang murid yang hadir kem perkhemahan kerana jambatan gantung di Sungai Kuala Dipang runtuh pada pukul 10. 30 malam. Anda akan disoal - mengapa penganjur (juga guru) membiarkan murid berkumpul di atas jambatan? Ke mana perginya penganjur? Mengapa tiada pemantauan? Ke mana perginya guru pengiring? Mengapa membiarkan muridnya merayau hingga atas jambatan? Aktiviti apa di atas jambatan tersebut? Siapa membenarkan awak bawa murid? Adakah perkhemahan itu mendapat kebenaran? Adakah perkhemahan itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa? Dan, seribu satu pertanyaan akan ditanya.

Anda boleh berseronok, jika tiada malapetaka menimpa. Tetapi, anda akan menghadapi malang jika ada malapetaka menimpa. PPD / JPN / sekolah akan melepaskan tangan. Kepada guru-guru, selamat ambil iktibar.

Saya tahu - guru dan mahaguru di PPD / JPN / IPG / BPG / KPM adalah orang yang suka bersangka, membuat peraturan sendiri dan bercakap bukan atas dasar bukti dan undang-undang, serta suka melebih-lebihkan, dan melarang tanpa hujung dan pangkal. Kepada guru-guru berkenaan, "SELAMAT MALANG." Nanti anda akan tahu sikap majikan anda.

52 Tahun Merdeka, Masih "Mereka-Mereka"

Setelah 52 tahun merdeka, berita siaran TV3 melalui Buletin Utama pada 26 Oktober 2009, terbitan Rohani Ngah, masih menyebut 'mereka-mereka."
Berita di bawah tajuk visual, Menjalani Kehidupan Biasa, iaitu cerita tentang kanak-kanak bekas gerila Tamil Elan, Sri Langka. Pembaca berita, Mohammad Yasin Mansor, dan suara latar telah menyebut dua kali "mereka-mereka" dalam teks berita berkenaan, iaitu merujuk kumpulan kanak-kanak berkenaan.
Dalam bahasa Melayu, istilah mereka adalah merujuk bilangan yang ramai. Justeru, perkataan "mereka" tidak perlu diulang lagi. Cukup sekadar menyebut "mereka" sahaja.
Semoga nanti, setelah 53 tahun merdeka, TV3 bebas daripada kesalahan bahasa. Dan, penerbitnya menjadi orang yang memartabatkan bahasa Melayu.

Sabtu, 24 Oktober 2009

Bidan Terjun

Jumaat, 23 Oktober 2009, sekitar pukul 10. 41 pagi, ketika sedang mendengar ceramah agama di bandar Kota Bharu, aku menerima panggilan daripada Dr Abdul Aziz Haji Mahmood (Abham T.R - Ketua 1 PUSPA). Beliau meminta aku mengulas Antologi Sajak Bisikan 7 terbitan terbaharu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA). Acaranya ialah 24 Oktober 2009 bermula pukul 9.00 pagi.
Aku terkejang sekejap. Dalam fikiran berlegar antara mahu menerima dengan mahu menolak. Aku memberitahu juga bahawa masanya amat singkat. Beliau membalas, hal ini kerana terdesak disebab penceramah asal tidak dapat memberi kata putus kehadirannya untuk datang. Penceramah ini dari Kuala Lumpur.
Memikirkan tentang sahabat, memikirkan tentang sastera, memikirkan tentang majlis yang perlu diselamatkan, maka aku dengan berat hati memberi persetujuan. Maka, sekitar pukul 11.30 pagi, kami bertemu di sebuah gerai. Dr Abdul Aziz datang bersama Zulkifli Mohd Zin (Ketua 2 PUSPA).
Pulang dari sembahyang Jumaat, aku terus menelaah Antologi Sajak Bisikan 7 (ASB7). Membuat catatan analisis yang perlu. Pada mulanya aku ingin memperkatakan perihal "nikmat dan laknat" sebagai penulis. Kemudian tajuk itu berubah kepada "memperkatakan idea." Terakhir, tajuknya berubah lagi kepada "memperkatakan tentang gaya perulangan." Aku terus membuat beberapa catatan tentang gaya perulangan dalam sajak-sajak ASB7.
Aku memutuskan akan memperkatakan tentang gaya disebabkan majlis itu akan berlangsung di Institut Dakwah Islam Perkim (IDIP). Pada tahun lepas, PUSPA melalui Dr Abdul Aziz pernah menjemput aku memberi ceramah kepada pelajar IDIP tentang cara menulis sajak. Dalam ceramah itu aku memilih memperkatakan teknik perulangan sebagai salah satu cara menulis sajak. Justeru, aku fikir, adalah wajar aku memperkatakan perihal yang sama agar pelajar IDIP lebih memahaminya dan terangsang.
Selepas waktu berita jam 9.00 malam, aku mempersiapkan buku-buku rujukan yang perlu dan mendalami catatan serta sajak-sajak yang terlibat. Pukul 10.00 malam, aku mula mengadap komputer. Anak-anak dan isteri sudah tidur kerana siang tadi mereka pergi ke Pantai Bukit Keluang, Besut, kerana ada majlis Hari Keluarga jabatan tempat bapak saudaranya bekerja. Kebetulan aku tidak ikut sama.
Alhamdulillah, mujurlah Tuhan banyak menolong aku. Tidak ada masalah sepanjang aku menaip dan 'bergaduh dengan idea,' cuma sesekali kosentrasi aku terganggu oleh gigitan nyamuk. Tiba-tiba azan Subuh berbunyi menyebabkan aku terpaksa berhenti menaip. Banyak bahagian telah siap, kecuali bahagian penutup dan rujukan.
Pukul 8.30 aku bergerak ke IDIP dan sekitar 10.30, selepas acaran perasmian dan deklamasi sajak, aku mula memberi ceramah. Dan, sekali lagi alhamdulillah, Tuhan menolong aku menyampaikan ceramah dengan lancar.
Di samping pelajar IDIP, ramai juga ahli PUSPA dan penulis Kelantan yang datang. Ada yang aku kenal dan ada yang aku tidak kenal. Antaranya, Norhisham Mustaffa, Nawawee Mohamed, Wadi Leta SA, Abdul Razak @ Rezeki Othman, Mohd Zizee Setapa, Abdul Hadi Muhammad, Abdul Hadi Yusuff, Leo A.W.S, Rossem, Siti Puspa, Rogayah Abas, Darus Ahmad, Wan Said Mohamad, Mazli Husma, Merah Azmi, dan sebagainya, di samping Dr Abdul Aziz Mahmood dan Zulkifli M. Zain sendiri.
Rupa-rupanya, jika kita ikhlas menolong orang, Tuhan juga ikhlas menolong kita. Maka hari ini, satu lagi tulisan aku lahir. Tajuknya, "Gaya Perulangan dalam Sajak: Analisis Sajak-Sajak dalam Antologi Sajak Bisikan 7."