Heboh apabila Kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar di bawah institusi kerajaan negeri Selangor mengikuti kursus BTN. Mengapa? Entahlah. Mungkin mereka bimbang BTN akan dimansuhkan dan mereka hilang pekerjaan.
Saya cadangkan kursus BTN hendaklah diperluaskan. Para politikus, setelah menang pilihan raya dan sekali sahaja, dihantar berkursus BTN, terutama mereka yang hendak dilantik sebagai menteri atau exco. Hal ini kerana para politikuslah (bukan semua) yang jadi perosak keharmonian masyarakat, 'penjual bangsa' dan perasuah tegar. Dengan adanya kursus BTN kepada mereka diharapkan dapat mengekang gejala jenayah itu.
Kursus BTN juga hendaklah diwajibkan terhadap mereka yang disabit dengan amalan rasuah, di samping hukuman yang dikenakan. Diharapkan dengan cara ini dapat menyedarkan mereka akan bahaya amalan tersebut.
Juga kepada Mat-Mat Rempit dan peragut, dan Minah Lelong Barang. Saya pernah mengikuti kursus BTN pada tahun 1987. Pada saya, secara peribadi, kursus BTN ialah tempat penceramah / fasilitator berbohong. Segala pandangan dan perlakuan peserta dianggap salah. Hanya pandangan dan perlakuan fasilitator / penceramah sahaja yang betul. Kesimpulan ini adalah hasil pengalaman mengikuti kembara lasak, ceramah dan ADK sepanjang kursus BTN.
Sebagai contoh, pernah seorang penceramah meminta kami menyenaraikan nama-nama menteri pendidikan. Dengan susah payahnya, kami menyenaraikan nama-nama menteri terlibat. Jawapan kami adalah salah. Menurut penceramah berkenaan, hanya ada seorang saja menteri pendidikan, iaitu Sdr Anwar Ibrahim. Alasannya, nama-nama yang disenaraikan itu ialah menteri pelajaran, bukan menteri pendidikan. Saya yakin, kalau disenaraikan nama Sdr Anwar Ibrahim sahaja, jawapan kami juga akan dianggap salah.
Tamat kursus, kami diberikan sijil penyertaan dalam majlis penutup. Oleh sebab sijil itu tidak ditandatangani (alasannya kerana tidak sempat), maka pihak urus setia minta kami pulangkan. Pihak urus setia berjanji akan mengeposkannya. Malangnya, hingga saat ini, saya tidak menerima sijil berkenaan.
Bukankah itu tandanya kursus BTN tempat fasilitator / penceramah berbohong? Atau memang berbohong / menyalahkan peserta itu ada dalam sukatan kursus BTN dan dihalalkan.
Saya jadi keliru kerana banyak kursus BTN dan seumpama BTN terpaksa diikuti oleh setiap satu batang tubuh manusia. Tamat tingkatan lima, para remaja dikerah mengikuti kursus PLKN. Apabila remaja berkenaan masuk universiti / IPT, mereka dikehendaki mengikuti kursus BTN. Apabila mohon kerja di sektor awam, mereka dikehendaki mengikuti kursus Induksi dan kursus BTN. Bukankah amalan ini membazir.
Kalau BTN kemarut nak anjur kursus, saya fikir kursus BTN patut dijadikan pilihan untuk penjawat awam lulus PTK. Mereka yang tidak mahu berkursus BTN mesti menduduki peperiksaan PTK, dan sebaliknya.
Memang kursus BTN dapat mengeratkan hubungan kaum dan menambahkan semangat. Kursus motivasi pun demikian juga.
Sepanjang berkursus BTN, saya tertarik dengan lirik lagu "Warisan" dan "Penyair dari Gunung." Kedua-duanya karya Datuk Dr Nordin Kardi. Malangnya, saya lupa lirik lagu "Penyair dari Gunung."
3 ulasan:
be, saya ingat sikit jah:
akulah penyair yang turun dari gunung
beratus tahun telah kududuk di situ
beratus-ratus tahun
kiniku turun ke lembah
melihat manusia
kecil miskin lagi hina
hidup mereka melata-lata
tanganmu kugenggam kujulang ke udara
akan kujeritkan bagaikan halilintar
kebebasan abadi
hah itu je saya ingat. Rahman Shaari tahu kot sebab dia hafiz. Saya tak tahu pun ni puisi sapa dulu. Pakat memekak ja nyanyi lagu ni.
akan kita susun perbarisan
menjulang keadilan
milik kita
milik semua
kita hidup
bahagia
tangan kugenggam ..
Kepada Benuasuluk dan Abuyon serta rakan-rakan sewarga yang mencintai negara, mari kita genggam tangan genggam hati agar bangsa tidak tercicir lagi. Terima kasih Sdr Benuasuluk kerana mencatat lirik Penyair dari Gunung.
Catat Ulasan