Ahad, 1 November 2009

1 Malaysia Mati Pucuk (?)

Saya bersetuju dengan konsep dan atau pelaksanaan sekolah 1 aliran. Sepatutnya sistem ini telah lama diperkenalkan. Saya yakin sistem ini mampu mengekang atau mengecilkan masalah ketidakbersatuan masyarakat pelbagai kaum dan cita rasa di negara ini.
Dan, saya juga yakin bahawa memang rakyat ingin hidup dan menikmati hidup dalam suasana kebersatuan. Yang pastinya, masyarakat yang tidak bersatu-padu ialah mereka yang mengamalkan politik dan idealisme politik kaum tanpa mahu menghormati kaum lain. Golongan ini bukan sahaja tidak bersatu antara kaum, malahan mereka juga tidak ada rasa kesatuan dan kekitaan dalam kelompok kaum dan ideologi politik mereka sendiri. Sebab itu wujud pelbagai parti serpihan, atau seruan EGM.

Saya juga percaya bahawa konsep 1 Malaysia adalah baik untuk dilaksanakan. Namun, sejak akhir-akhir ini, saya mulai ragu usaha melaksana dan merealisasikan konsep 1 Malaysia. Apakah konsep ini benar hendak dilaksanakan dengan senghoti, atau sekadar retorik politik sahaja.

Setakat ini ada dua peristiwa besar yang ibarat keghairahan dan kestiman 1 Malaysia mulai kendur atau terkulai tiba-tiba. Pertama, penubuhan Parti Markal Sakti. Pada saya, nama partai ini tidak mendokong konsep 1 Malaysia. Ia hanya partai 1 kaum atau 1 agama. Dalam situasi sekarang, dalam keghairahan kita bercakap tentang perpaduan, setelah 52 tahun merdeka, dan setelah diperkenalkan konsep 1 Malaysia, sepatutnya partai baru berasaskan 1 kaum tidak perlu wujud. Sebarang penubuhan, apalagi dirasmikan pula oleh Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep 1 Malaysia, akan timbul pertanyaan: Apakah konsep 1 Malaysia ini ikhlas hendak dilaksana dan dicapai?

Demikian juga, saya rasa ragu terhadap sikap kerajaan yang menolak Hindraf. Apakah betul kerajaan menolak Hindraf? Apakah betul Hindraf itu pertubuhan haram, pertubuhan tidak perlu disokong?
Pemuda Umno, dan Wanita Umno sendiri, dalam majlis sambutan ulang tahun Umno ke-63 pada Mei 2009, pernah mengeluarkan kenyataan ingin berdialog dengan pemimpin Hindraf. Kalau para pemimpin negara ingin berdialog dengan pertubuhan yang mereka sendiri mengisytiharkannya sebagai haram, bererti pertubuhan yang diajak berdialog itu diiktiraf dan tidak haram. Sekarang, Perdana Menteri sendiri merasmikan penubuhan partai yang dianggotai oleh para pemimpin dan ahli Hindraf.
Apakah mungkin bahawa kematian Hindraf (?) telah hidup kembali dalam satu pertubuhan baharu? Apakah 'ideologi haram' itu boleh jadi 'ideologi halal' dengan hanya bersalin kulit? Atau, dengan hanya bertukar partai?

Kedua, kestiman 1 Malaysia tiba-tiba terkulai apabila pemimpin MIC dan MCA (Oktober 2009) menolak konsep sekolah 1 aliran. Alasan diberikan ialah untuk 'menghormati' sejarah dan usaha Tun Abdul Razak. Membalas kenyataan itu, Perdana Menteri tiba-tiba mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan keghairahan melaksanakan konsep 1 Malaysia, yang diwarwarkan sebelum ini.

Dalam tinjauan Mingguan Malaysia (1 November 2009) mendapati, kelapan-lapan orang pemuda / pemudi dari pelbagai kaum yang ditemui, menyokong kerajaan melaksanakan sekolah 1 aliran demi mencapai perpaduan, sebagaimana diidamkan dalam konsep 1 Malaysia. Dapatlah difahami bahawa rakyat bersetuju konsep sekolah 1 aliran. Yang tidak bersetuju ialah golongan politik kaum. Memang pengamal politik kaum tidak akan bersetuju kerana ketidaksetujuan itu tersembunyi 'nyawa' kerjaya politik dan tembolok besar nafsu mereka. Apabila Perdana Menteri keluar kenyataan kendur atas alasan menghormati pandangan rakyat dua orang itu, maka timbul pertanyaan: Mengapakah kestiman Perdana Menteri tiba-tiba terkulai mendengar suara dua orang partai yang tidak relevan lagi. Sedangkan, di luar partai, ada beribu-ribu rakyat menyokong konsep 1 Malaysia.
Sebenarnya, rakyat sokong kerajaan dan kerajaan tidak perlu bimbang pada anasir subversif, jika ada, walaupun anasir itu berada dalam partai kerajaan sendiri.

Dan, kepada para pemimpin, anda jangan sesekali mempamerkan sikap tidak yakin dan tidak konsisten dengan idea yang diperkenalkan oleh anda sendiri, apalagi setelah rakyat menyahutnya. Kecuali, partai anda tidak mahu sokongan daripada golongan muda.

2 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Salam, sepatutnya sekolah satu aliran sudah lama dilaksanakan.Sepatutnya pemimpin kita bertegas dalam hal ini.

1 Malaysia apa, kalau murid-murid di dalam kelas duduk mengikut kelompok kaum masing-masing?

1 Malaysia apa, kalau murid peralihan dari srjk,tak faham pun Bahasa Melayu yang dituturkan guru?

NASSURY IBRAHIM berkata...

Semasa saya jadi jurulatih PLKN di Kem Siruz, P. Pinang, saya berdepan dengan seorang remaja lelaki. Tubuhnya sihat, tinggi, wajahnya bersih. namun, remaja ini tidak boleh bercakap dalam bahasa kebangsaan. Aneh, setelah 50 tahun merdeka (masa itu) ada warganya yang lahir tahun 1980-an, tidak boleh sepatah haram bertutur dalam bahasa kebangsaan. Mengapakah terjadi begini?