Pada 27 Disember 2009 pukul 09:40:47 aku menerima SMS daripada Ameer Habib. Katanya, "Dah terima pitis? Kawan terima semalam. Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima." Aku tidak faham maksud Ameer dalam ayat akhirnya. Aku cuba membalas, malangnya kredit tidak ada.
Hari ini, pulang dari HUSM, aku segera ke pejabat. Aku menerima sepucuk surat bersampul URUSAN SERI PADUKA BAGINDA yang dihantar melalui Poslaju berakaun 8800256276 dari Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
Dalamnya ada sepucuk surat rasmi KPM.MBKM.100-2/1/4( ), Baucer Bayaran No. 1/o38, sekeping cek Publik Bank bernilai RM1,000, dan dokumen yang bertajuk, "Perjanjian Lesen Penulisan Buku Teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Inggeris Kementerian Pelajaran."
Bayaran itu untuk buku Siri Adaptasi Daripada Sejarah Melayu: Zaman Pra Gemilang - Majapahir Menyerang Singapura.
Baru aku tahu, rupa-rupanya bayaran itu untuk buku kanak-kanak yang aku tulis sekitar dua tahun lepas. Yang menariknya, pada kulit buku itu tercatat juga nama seseorang yang aku syaki berperanan sebagai editor, tetapi catat mencatatnya seolah-olah dia juga pengarang manuskrip itu.
Dicatat dalam dokumen itu bahawa bayaran yang diberikan ialah RM2,000. Bayaran aku terima RM1,000 sahaja. Hal ini bererti 'pengarang tumpang' itu juga memperoleh RM1,000. Satu bayaran yang adil. Hebat! Hebat!
Aku meneliti dan mencari peratus bayaran yang bakal aku terima terhadap manusiakrip itu. Malangnya, tidak terjumpa. Yang aku jumpa ikatan kata-kata dalam fasal PEMBAYARAN nombor "(1) Sebagai balasan bagi hak-hak yang diberi oleh Penulis kepada kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Fasal 1 dan 2 dan tertakluk sentiasa kepada Fasal 4 (2) di atas, Penulis bagi setiap satu judul berhak menerima pembayaran sebanyak RM2,000.00 ...."
Ertinya, aku tidak akan menerima apa-apa bayaran lagi selepas ini, walaupun buku ini akan jadi teks Komsas beberapa tahun, dicetak beberapa ribu naskah lagi, dan bakal diterbit dalam pelbagai bentuk.
Aku teringat runggutan beberapa teman penulis yang 'dikapur' / ditipu oleh penerbit. bukunya laris di pasaran, namun diberitahu bukunya itu tidak laku. Pun aku teringat buku Gaya Bahasa Kiasan yang dua kali dicetak oleh penerbit, namun diisytiharkan 'tidak laku.' Kalau tak laku, buat apa dicetak ulang. Seorang teman penulis lain memberitahu, buku itu dibeli oleh Kementerian Palajaran untuk dibekal ke sekolah.
'Takkan kerajaan beli senaskah sahaja!' bisik hatiku.
Dan, berkenaan buku itu, tak tahulah apa nasib bakal aku terima. Takkan pihak kerajaan pun seperti penerbit swasta juga? Entahlah.
Apabila memikirkan tentang hal sedemikian, baru aku faham maksud SMS Ameer, "Nampaknya redha saja dengan apa yang diterima."
"Uh, hebat! Hebat!"
2 ulasan:
Biasa la kerja cari untung
Ini kerja luar biasa, tuan.
Catat Ulasan