Isnin, 23 November 2009

Sasterawan, Sasterawan Negara dan Muzium Negara

Sebelum berangkat pulang setelah menghadiri Pesta Penyair Nusantara Ke-3, pada 22 November 2009, aku dan anak-anak melawat Muzium Negara. Sudah lama aku tidak mengunjunginya. Kali terakhir ialah semasa pameran Yang Dipertuan Agong, sekitar akhir tahun 1990-an. Kunjungan aku kali ini adalah untuk memberi pendedahan maklumat kepada anak-anak.
Kebetulan pula ada pameran tentang kehidupan masyarakat orang asli, di samping pameran sedia ada. Banyak maklumat yang aku peroleh.
Namun, ada satu maklumat yang mengelirukan. Ia boleh memberi tanggapan negatif terhadap seluruh warga Muzium Negara, dan masyarakat penulis juga.
Di tingkat 1 sebelah kiri pintu masuk (barat) terdapat satu sudut pameran yang diberi nama PENULISAN DAN KESEDARAN MELAYU. Antara maklumat yang dicatatkan ialah tentang sumbangan para penulis, termasuk Sasterawan Negara. Hanya beberapa tokoh penulis dan sasterawan negara sahaja yang dipilih dan dimasukkan.
Kita ada ramai sasterawan negara. Negara kita merupakan satu-satunya negara yang memberi anugerah Sasterawan Negara kepada sasterawannya. Hingga saat ini, kita ada 10 orang Sasterawan Negara. Mereka ialah Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A. Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Dr. Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), S. Othman Kelantan (2003) dan terbaharu Dr. Anwar Ridhwan (2009).
Malangnya, maklumat yang dicatatkan tidak lengkap, tidak tepat dan salah. Antara catatan ialah berkenaan Sasterawan Negara. Dicatatkan bahawa Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shaharudin Salleh sebagai Sasterawan Negara. Manakala Za'ba pula dicatat sebagai penulis.
Kita mempunyai Sasterawan Negara seramai 10 orang, sebagaimana nama-nama di atas. Dari senarai itu tidak terakam nama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Shaharudin Salleh sebagai Sasterawan Negara. Kedua-dua tokoh itu bukan Sasterawan Negara dan tidak ada sesiapa yang memberi anugerah Sasterawan Negara kepada mereka. Mereka berstatus sasterawan sahaja.
Ada perbezaan antara sasterawan dengan Sasterawan Negara. Sasterawan ialah mereka yang menulis karya-karya kesusasteraan. Mereka ini termasuk sesiapa sahaja yang menulis karya kreatif dan bersungguh-sungguh. Mereka yang berkarya sekadar 'main-main sahaja' sahaja tidak boleh digolongkan sebagai sasterawan, apatah lagi hendak dipanggil Sasterawan Negara. Mereka hanya boleh digolongkan sebagai peminat karya sastera sahaja.
Sasterawan Negara pula merupakan satu gelaran anugerah. Anugerah itu diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada tokoh-tokoh sasterawan yang layak. Tokoh ini semestinya mereka yang terbukti memberi sumbangan besar terhadap kemajuan kesusasteraan negara. Anugerah ini diberikan kepada penulis karya kreatif sahaja. Tidak boleh diberikan kepada wartawan, walaupun wartawan banyak menulis. Ataupun, kepada guru-guru, walaupun guru-guru juga banyak menulis. Mereka tidak menulis karya kreatif.
Walaupun Kementerian Pelajaran Malaysia kini cenderung mendedah dan menggalakkan murid dan pelajar membaca karya sastera popular (pop art), namun para penulisnya bukan Sasterawan Negara. Hal ini kerana karya popular sekadar hiburan semata-mata. Tidak mempunyai idealisme atau aliran yang boleh membina kesusasteraan nasional.
Lazimnya, karya popular tidak bertahan lama. Karya popular akan dibaca dan kemudian dilupakan. Berbeza dengan karya-karya sastera yang beridealisme dan beraliran. Karya ini akan selalu dibaca dan dikaji. Justeru, walaupun penulis karya popular menghasilkan berpuluh-puluh karya popular dan dibaca oleh masyarakat umum, dikagumi oleh Unit Kurikulum di Kementerian Pelajaran Malaysia, karya itu tetap tidak setaraf karya Sasterawan Negara dan penulisnya tidak boleh digelar Sasterawan Negara.
Begitu juga, saya rasa terkilan, apabila nama Za'ba dicatat sebagai penulis. Memang benar Za'ba merupakan penulis, bukan Sasterawan Negara. Za'ba merupakan pengkaji, penulis dan pemikir bahasa Melayu. Malah, para sasterawan, budayawan dan ahli bahasa mengiktiranya sebagai pendeta. Alangkah baiknya kalau nama Za'ba dicatat sebagai "Pendeta Bahasa," bukannya sebagai 'penulis.'
Satu aspek lagi yang ada baiknya saya sentuh ialah penggunaan bahasa. Terdapat beberapa kesalahan asas, seperti catatan tahun ditulis, misalnya, 1990an. Sepatutnya dicatatkan sebagai 1990-an. Ada istilah yang tidak dapat dikesan maksud, iaitu 'dama,' baik untuk maksud umum mahupun untuk maksud dalam konteks ayat yang dicatatkan. Saya tidak dapat perturunkan catatan ayatnya, kerana rekod catatan saya terkena air dan dakwatnya kembang hingga sukar dibaca.
Saya akhiri catatan ini dengan sajak ringkas, di bawah.
ALANGKAH NIKMATNYA KALAU
Kalau memanggil pada namanya
kalau meletak pada tampuknya
kalau menyahut pada kelurnya
kalau menjawab pada tanyanya
kalau melihat pada matanya
kalau mencatat pada sumbernya
kalau mengambil pada haknya
kalau memberi pada ikhlasnya
kalau berbahasa pada bahasanya
alangkah baik alangkah cinta
nikmat sesaat berabad rasa
terhindar dari jarum fitnah
kembang akal pada cita sempurna
kalaulah benar pada benarnya.
23 November 2009

4 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Molek benar puisi ini. Elok dijadikan peringatan. Elok kalau dapat diperkenalkan pada anak-anak sekolah.

Saya tertunggu-tunggu catatan mana-mana penulis tentang Pertemuan Penyair Nusantara.Saya tak dapat hadir kerana ada 'hutang paper work' yang belum selesai, dan berat hendak diselesaikan kerana tahu dengan keadaan pengurusan pentadbiran sekolah saya,paper work hanya cantik atas kertas....

NASSURY IBRAHIM berkata...

Terima kasih Pn Rositah.
Itu Sajak spontan, berlegar dalam kepala sejak hari lawatan hingga dicatatkan dalam blog.

Hamir berkata...

Sdra Nassury,

Nampaknya sindrom buat kerja sembrono ini ada di mana-mana. Tapi bila melibatkan muzium, suatu hal yang memalukan. Silap-silap banyak maklumat lain di muzium pun direkod dan dicatat secara rambang. Alangkah!

NASSURY IBRAHIM berkata...

Ada pendapat mengatakan muzium sebagai tempat longgokan "sampah." kalau mereka tak kisah kebenaran dan fakta sahih, maka sahlah muzium sebagai sampah. Yang saya dedah ini maklumat yang saya tahu, mungkin banyak lagi maklumat tak tepat.