Sabtu, 17 November 2012

Pejuang Bahasa

bak Sisipus memikul batu
ke puncak gunung
pejuang bahasa menjulang
mutiara bahasa
ke puncak bangsa

sampai di puncak
batu ditendang Sang Maharaja
demikian mutiara bahasa
bergolek berguling berkecai
ditendang Sang Penguasa

Sisipus tak henti usaha
memikul batu cinta
pejuang tak henti tega
menjulang mutiara bahasa

hanya itulah sahaja
usaha cinta bahasa
selain doa
semoga Sang Penguasa
bukan musuh bangsa.


NASSURY IBRAHIM
31.7.2009

Ahad, 14 Oktober 2012

Majalah Ekonomi Rakyat


 

10 Sajak Di Utusan Borneo, 14 Oktober 2012

 
1. MENANG SORAK
    (Senario Politik Malaysia)
 
Kami bersorak
rai kemenangan
kaki berkinja-kinja
hingga letih badan
mulut berpekik-pekik
hingga suara hilang
 
dan kemudian
kami pun pulang
menggeledah periuk
mencari
rezeki semalam.
 
9 November 2010
 
 
2. PADA PERTEMUAN INI
 
Mesra hati berjabat tangan
pada pertemuan ini
pulang kita seperti
ada sesuatu yang tertinggal.
 
7 Jun 2010
 
 
3. KUASA
 
Kerana memiliki peti dan lidah
maka mulut menjadi raja
memerintah semesta tubuh.
 
18 Mei 2010
 
 
4. LAHIR SAJAK
 
kala sunyi sepi menyakitkan
kala bosan sepi membahagiakan
kala khalwat sepi menemukan
 
Tuhan, ini anakku lahir
kala sepi menikmatkan.
 
25 Februari 2010
 
 
5. DI SIMPANG PERTEMUAN
 
Kita berjabat tangan
kerana bertemu
pulang tanpa saling
mengenali.
 
27 September 2009
 
 
6. ORANG
 
Cantik emas di tangan
cantik bahasa di mulut
cantik tingkah di santun
cantik lagi budi ditabur.
 
2009
 
 
7. CHANG-RAI
 
Daging tak busuk
seharian diasap matahari
 
kerananya berpusu-pusu
pelancong datang membeli
 
dan puteri berlumba-lumba
menjual daging sendiri.
 
19 Disember 2004
 
 
8. KESUSAHAN HIDUP
 
Hidup sebenarnya tidak
sesusah sangka
pada kepayahan ini
kita disusahkan
sang haloba.
 
31 Disember 2009
 
 
9. JARAK
 
Mengukur dengan mata
tidak terasa
betapa penatnya kaki
ketika melangkah.
 
10 Februari 2007
 
 
10. SAJAK KEPADA NASSURY 1
 
Betapa mati langkah betapa senyap jiwa
air kata yang kautinggalkan itu
mengalir biar membasahi kering wajah
betapa saat kaubersunyi diri
di bawah pohonan kemboja.
 
7 November 2008

 

Khamis, 20 September 2012

Lembaran Mastera

Terima kasih kepada editor Lembaran Mastera yang memilih sajak saya untuk keluaran Lembaran Mastera tahun ini yang disisipkan dalam majalah Dewan Sastera (Malaysia), majalah Bahana (Brunei Darussalam) dan majalah Pusat (Indonesia). Semoga kejayaan menembusi Lembaran Mastera ini terus mendorong kejayaan-kejayaan lain.

Rabu, 8 Ogos 2012

Bengkel Penulisan Sajak

Ini merupakan sumbangan kedua aku dalam bidang penulisan di IPGK Tawau. Aku menamakan Bengkel Penulisan Sajak. Aku menganjur, urus setia dan sekali gus fasilitator. Bengkel ini diadakan dalam dua siri. Siri pertama pada 25 Jun 2012, mendedahkan teknik menulis sajak. Teknik yang aku perkenalkan ialah gaya perulangan. Aku memberi masa sekitar tiga minggu untuk peserta menulis sajak. Oleh sebab bulan Ramadhan sudah hampir, maka aku menetapkan mereka menulis berkenaan Ramadhan. Dalam siri kedua pula, pada 22 Julai 2012, ialah praktis, iaitu membedah karya peserta. Kesemua mereka merupakan graduan aliran sains tulen yang mendapat ijazah pertama dari universiti tempatan. Daripada 30 orang peserta, pelajar DPLI (BM) ambilan Januari 2012, 29 orang berjaya menyiapkan sajak. Aku mengedit sajak-sajak mereka dan menaipnya di belakang Sijil Penyertaan masing-masing. Tujuannya supaya sajak itu tidak hilang dan menjadi kenangan mereka. Mereka ialah Ailin Jeilin menghasilkan sajak berjudul Ibuku, Abd. Rashid bin Abdul Razak (Bulan Ramadhan), Dg. Suziana binti Mohd Ghani (Di Kamar Ini), Jumriani Andi Sikandar (Ramadhan Ini), Mariana binti Ibrahim (Ramadhan), Rudiansyah Ahmad (Rinduku Terhenti), Nurdanish_Ikhwan (Ramadhan), Sitti Maimunah binti Imasse (Kerinduanku), Artishah binti Seharing (Ramadhan), Mastura binti Ali (Malam Seribu Satu Malam), Lauraleonny Peter (Kosong), Jaharia binti Amir (Andainya Kau Bisa), Fauziah binti Matjudin (Raya Raya Raya), Arzura Mohamad Arsad (Bulan Ramadhan),Widayani binti Beritta (Aidiftri Muncul Lagi), Noor Baizura Abdul Karim (Hari Yang Mulia), Noor Asyikin Mohd Safri (Hujan), Maslina Muhammad (Ramadhan unutk Semua),  Mazlinah Arabi (Sekali pun Kuingin Lari), Yanti Sapalu (Syukur Ramadhan), Bulan Surang (Pertemuan), Bibiana Ping Tuban (Pentas Alam), Karimah binti Juny (Ramadhan yang Mulia), Sarmili binti Matnor (Kunanti Kutempuhi Ramadhan), Zalmiah Mohd Nee (Tinta Ramadhan), Merliana binti Omar (Muhasabah Ramadhan), Norazney Zanariah (Rasa), Salmiati Sutta (Ramadhan), dan Masnie binti Abdullah (Bulan Ramadhan).

Selasa, 3 Julai 2012

Kelas 1P6, 1991

SMK TAMAN MALURI, KUALA LUMPUR


Mereka murid-muridku yang tidak kukenali lagi. Entahkan hidup atau mati. Entahkan berjaya entah masih mencari. Entah bagaimana nasibnya kini? Kalau ketemu pasti tidak kukenali lagi. Apapun, semoga semuanya berjaya. Aamiin.

Selasa, 19 Jun 2012

Konsep Ruang dan Waktu dalam Hikayat Malim Deman

DALAM karya lipur lara Melayu, konsep ruang dan waktu begitu ketara sekali. Para penglipur lara mengekploitasi sepenuhnya makhluk dan segala isi alam untuk membentuk konsep ruang dan waktu. Kedua-dua konsep itu ditandai bukan sahaja dengan pengisian manusia, malahan juga ditandai dengan pengisian haiwan dan tumbuh-tumbuhan, makhluk halus dan imaginasi pencerita sendiri yang diambil daripada cerita-cerita sejarah, dongeng atau mitos. Semua cerita yang diserap telah diadun dengan kreatif sehingga ceritanya menjadi menarik dan berkesan, sesuai dengan cerita lipur lara yang bersifat advanture. Kekreatifan penglipur lara menyampaikan cerita juga boleh menjadi tali yang mengikat perhatian khalayak agar menonton persembahan yang kadang-kala berlarutan sampai berhari-hari lamanya.

Rabu, 2 Mei 2012

Masalah

Selamat datang masalah
engkau tentu bukan
dari negeri asing

duduklah betapa tidak
membawa kegembiraan
engkau tetap tetamuku

ini aku berdiri mencari
simpul kerumitanku

aku tahu
engkau tidak mungkin datang
tetapi oleh kesilapanku
telah memungkinkanmu

selamat datang masalah
semoga pergimu
aku lelaki dewasa.

1995 - 2010
Utusan Borneo 24 April 2012

Rabu, 25 April 2012

Selera Keindahan

Pengarang yang baik dapat mengolah kata-kata
Kata-kata yang baik dapat menghidupkan cerita
Cerita yang baik dapat menarik cinta pembaca
Pembaca yang baik dapat memetik iktibar peristiwa.

                               24 April 2012



Sabtu, 24 Mac 2012

Pengajian Melayu

Sempena Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) tahun 2012, seramai 69 orang daripada 59 buah negara telah menyertainya. Berlaku peningkatan berbanding tahun lepas seramai 52 negara menyertainya. Angka ini menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa Melayu telah berkembang ke seluruh dunia. Bahasa Melayu bukan lagi dianggap bahasa kampungan atau bertaraf Asia Tenggara sahaja. Bahasa ini berkembang dan kian diminati.

Sehingga kini, menurut Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, terdapat 140 buah institut pengajian tinggi (IPT) di 50 buah negara menawarkan pembelajaran pengajian Melayu.

Sabtu, 10 Mac 2012

Sabtu, 3 Mac 2012

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri Melayu

Bahasa Sapaan: Kata Ganti Diri dalam Konteks Budaya Melayu
Makalah Program Bahasa, Sastera dan Budaya anjuran Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkla University, Thailand pada 28 – 31 Januari 2008 di Prince of Songkla University, Hat Yai.

Mukadimah

Bahasa sapaan dikenali juga dengan nama bahasa panggilan atau panggilan hormat. Ia merupakan sebahagian daripada aspek kesantunan berbahasa. Bahasa sapaan terdapat dalam semua masyarakat, baik masyarakat itu terdiri daripada etnik minoriti (kelompok orang asli misalnya) mahupun etnik majoriti di sesebuah negara. Walaupun terdapat perbezaan bentuk bahasa sapaan antara satu kelompok etnik dengan satu kelompok etnik lain, namun konsep asasnya tetap sama. Bahasa sapaan yang digunakan mesti menggambarkan kesantunan. Seorang adik tidak boleh memanggil abang dengan menggunakan bahasa sapaan yang sama dengan bahasa sapaan yang digunakan terhadap rakan-rakan. Demikian juga bahasa sapaan seseorang anak terhadap ibu, atau murid terhadap guru. Kegagalan menggunakan bahasa sapaan yang betul akan menjejaskan hubungan dan ikatan sosial mereka.

Hubungan Bahasa dengan Budaya Masyarakat

Hubungan bahasa dengan masyarakat adalah saling melengkapi. Bahasa memerlukan masyarakat untuk terus hidup dan masyarakat memerlukan bahasa untuk melicinkan urusan hidupnya. Tanpa pengguna, bahasa akan mati sebagaimana bahasa Sanskrit, atau nazak sebagaimana tulisan Jawi. Daripada hubungan timbal-balik (saling melengkapi) ini akan membentuk satu budaya. Orang Thai mengucapkan sawatdi kha / sawatdi khap  sambil menyusun kedua tapak tangan ke dada dan menundukkan kepala. Orang Melayu mengucapkan selamat datang / Assalamualaikum sambil menghulurkan tangan dan bersalam. Manakala orang Inggeris mengucapkan welcame  sambil mengangkat topi.

Ahad, 8 Januari 2012

Jangan Bunuh Bahasa Anda

Sama ada anda percaya atau tidak, bahasa boleh mati. Bahasa akan mati bersama-sama matinya benda bahasa berkenaan. Dan, bahasa hidup atau akan hidup setelah wujudnya benda berkenaan. Misalnya, ibu bapa akan memberi nama setelah anaknya lahir. Nama anak itu kekal sehingga anak berkenaan meninggal dunia.

Begitulah yang terjadi sekarang ini. Beberapa bahasa telah mati bersama matinya objek berkenaan. Istilah 'mesin taip' telah hilang dan diganti dengan istilah 'komputer.' Sebelum tahun 1990-an, istilah 'komputer' amat jarang digunakan.

Buluh

Di Malaysia terdapat banyak buluh dan tumbuh liar di dalam hutan, sama ada di kawasan berbukit mahupun di kawasan lembah. Jika di negara China, buluh menjadi makanan panda, buluh di Malaysia pula menjadi makanan gajah.

Kegunaan buluh di Malaysia melampaui sebagai makanan haiwan. Ia juga menyerap ke dalam hidup manusia Melayu. Justeru, hubungan buluh dengan masyarakat Melayu sangat erat. Sebahagian hidup orang Melayu diwarnai dengan buluh. 

Gajah

Ini bukan kali pertama aku bertemu dengan gajah ketika memandu kereta. Sepanjang berkhidmat di IPG Kampus Tuanku Bainun, aku sering bertemu dan berselisih dengan gajah liar di tepi jalan raya di sepanjang jalan Lebuh Raya Grik - Jeli.

Gajah dalam 3 keping gambar ini adalah bertuan. Aku rakam gambar ini ketika bertemu dengannya di Jeli. Gambar di sebelah diambil di persimpangan jalan Jeli - Tanah Merah ke Rantau Panjang. 

Sabtu, 7 Januari 2012

Bahasa dalam Penulisan Rencana


Pengenalan
Berdasarkan pengalaman mengajar bahasa, saya berpandangan bahawa yang dikatakan bahasa ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau anggota masyarakat dan digunakan sebagai alat komunikasi mereka. Berdasar definisi ini bererti saya menerima segala lambang sebagai bahasa dalam kategori masing-masing. Tentunya gambar, walaupun mempunyai makna, tidak boleh dianggap sebagai bahasa. Walau bagaimanapun, lambang-lambang jalan raya boleh dianggap sebagai bahasa kerana difahami oleh setiap pengguna jalan raya. Kita boleh menamakannya sebagai bahasa jalan raya atau bahasa lambang jalan raya.  Demikian juga dengan penulisan genre rencana atau biografi. Masing-masing mempunyai identiti dan gaya bahasa tersendiri yang boleh dinamakan sebagai bahasa rencana atau bahasa penulisan rencana, dan bahasa biografi atau bahasa penulisan biografi. Dalam tulisan ini hanya ditumpukan terhadap aspek bahasa dalam penulisan rencana.