Di Malaysia terdapat banyak buluh dan tumbuh liar di dalam hutan, sama ada di kawasan berbukit mahupun di kawasan lembah. Jika di negara China, buluh menjadi makanan panda, buluh di Malaysia pula menjadi makanan gajah.
Kegunaan buluh di Malaysia melampaui sebagai makanan haiwan. Ia juga menyerap ke dalam hidup manusia Melayu. Justeru, hubungan buluh dengan masyarakat Melayu sangat erat. Sebahagian hidup orang Melayu diwarnai dengan buluh.
Tunas-tunas buluh dinamakan rebung. Orang Melayu menjadikan rebung sebagai bahan makanan. Lazimnya, rebung dimasak gulai kuning, dicampurkan dengan ikan bilis atau cengkerang. Orang Melayu percaya bahawa rebung buluh boleh menyembuhkan penyakit batuk.
Buluh yang besar dan tebal dijadikan sebagai meriam mainan pada musim perayaan. Ia dinamakan sebagai meriam buluh. Melalui buluh boleh dijadikan batang taut (sejenis alat menangkap ikan air tawar). Buluh itu dipotong sebesar ibu jadi dan diraut. Bahagian hujung atas diraut lebih lembut dan boleh dibengkokkan sehingga separa bulat.
Melengkapkan binaan dan keperluan rumah, buluh dijadikan sebagai dinding. Sebatang buluh dibelah empat bahagian dan dianyam. Lazimnya, rumah-rumah tradisional Melayu di Kelantan berdindingkan buluh. Selebihnya, buluh dijadikan alat-alat kegunaan harian seperti talam, nyiru, tabung, alat-alat masakan, senjata (panah, buluh runcing), tiang bangsal, pagar rumah, alat-alat perhiasan dan sebagainya.
Buluh juga digunakan sebagai alat bagi membunuh ular. Ular yang dipukul dengan buluh akan cepat lemah dan mati, berbanding dipukul dengan kayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan