Ini bukan kali pertama aku bertemu dengan gajah ketika memandu kereta. Sepanjang berkhidmat di IPG Kampus Tuanku Bainun, aku sering bertemu dan berselisih dengan gajah liar di tepi jalan raya di sepanjang jalan Lebuh Raya Grik - Jeli.
Gajah dalam 3 keping gambar ini adalah bertuan. Aku rakam gambar ini ketika bertemu dengannya di Jeli. Gambar di sebelah diambil di persimpangan jalan Jeli - Tanah Merah ke Rantau Panjang. Dua keping gambar di bawah pula diambil ketika gajah bersama tuannya menyusur jalan Jeli - Tanah Merah. Aku berada dalam kereta Saga berwarna oreng. Tidak berani keluar.
Lihat betapa kecilnya kita dengan gajah. Oleh sebab gajah tidak pernah melihat tubuhnya, maka aku fikir gajah tidak tahu bahawa tubuhnya besar dan berkuasa. Tentulah, kalau kesedaran itu ada pada gajah, manusia tidak akan dapat mengawalnya. Itulah kebesaran Ilahi memberi akal kepada manusia dan tidak memberi akal kepada haiwan.
Dibandingkan gajah dengan kereta pun jauh lebih besar gajah. Kereta boleh menyusur ke bawah perutnya.
Dianalogikan dengan manusia, betapa penting kita mengenali diri kita. Maksud 'kebesaran' pada manusia bukan sahaja pada saiz tubuh. Sejarah bangsa, budaya dan identiti bangsa juga penting kepada sesuatu bangsa. Dengan mengetahui dan mengenali kebesaran bangsanya, akan bertambah kemajuan generasinya, dan akan bertambah besar bangsanya.
Dianalogikan dengan manusia, betapa penting kita mengenali diri kita. Maksud 'kebesaran' pada manusia bukan sahaja pada saiz tubuh. Sejarah bangsa, budaya dan identiti bangsa juga penting kepada sesuatu bangsa. Dengan mengetahui dan mengenali kebesaran bangsanya, akan bertambah kemajuan generasinya, dan akan bertambah besar bangsanya.
Kita sering mengeluh dan menyalahkan generasi yang hilang punca dan tiada identiti. Mereka memuja artis-artis dan budaya orang lain. Sedangkan, kehilangan punca dan identiti generasi itu adalah disebabkan oleh kita sebagai pemimpin mereka. Kita membesar-besarkan budaya orang lain.
Menafikan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kepada generasi juga merupakan contoh usaha pemimpin tertentu 'membuang' kebesaran bangsanya daripada diketahui oleh generasi. Sepatutnya, kita menghebahkannya agar kebesaran yang ada itu menjadi kebanggaan generasi. Jika tidak cukup besar, maka menjadi tanggungjawab generasi menambahbesarkannya. Bukannya, membuang kebesaran yang ada atau menukarkannya dengan yang lain.
Membesar-besarkan identiti bangsa asing dan mengecil-ngecilkan bangsa sendiri sudah menjadi kelaziman di negara kita. kita hanya melihat satu golongan sahaja yang mampu membawa kemajuan dan menafikan kemampuan golongan lain. Ibaratnya, hanya anak-anak guru sahaja yang layak menjadi guru, manakala anak-anak petani atau nelayan tidak layak menjadi guru. Tentunya anggapan ini tidak benar dan anda perlu sedar.
Dalam catatan sejarah, Hang Jebat menderhaka kerana kezaliman raja, bendahara, temenggung dan segala pemimpinnya. Dan, telah ada wa'adah antara pemimpin dengan rakyat: Jika pemimpin adil rakyat setia; jika pemimpin zalim rakyat menderhaka. Menderhaka dalam zaman moden ialah melalui kuasa dalam pilihan raya.
Jika anda bertemu golongan yang mengecilkan bangsanya, anda perlu faham bahawa inilah golongan 'pembunuh' generasi dan bangsa. Inilah golongan penderhaka sebenar. Takkanlah anda ingin bersengkokol dengan golongan seperti ini, kecuali anda juga berhajat hendak membunuh bangsa dan generasi anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan