Ahad, 8 Januari 2012

Jangan Bunuh Bahasa Anda

Sama ada anda percaya atau tidak, bahasa boleh mati. Bahasa akan mati bersama-sama matinya benda bahasa berkenaan. Dan, bahasa hidup atau akan hidup setelah wujudnya benda berkenaan. Misalnya, ibu bapa akan memberi nama setelah anaknya lahir. Nama anak itu kekal sehingga anak berkenaan meninggal dunia.

Begitulah yang terjadi sekarang ini. Beberapa bahasa telah mati bersama matinya objek berkenaan. Istilah 'mesin taip' telah hilang dan diganti dengan istilah 'komputer.' Sebelum tahun 1990-an, istilah 'komputer' amat jarang digunakan.

Demikian juga dengan beberapa istilah atau frasa yang suatu masa dahulu mendominasi kehidupan manusia, kini telah tiada. Beberapa nama alat dalam bidang pertanian Melayu telah lenyap dan tidak lagi dikenali oleh generasi sekarang. Nama-nama alat pertanian seperti ketam padi, gemal, memerung, tajak, sabit, tenggala, relung dan sebagainya tidak lagi digunakan.
Antara musuh bahasa ialah kemajuan. Namun, kita tidak boleh memusuhi kemajuan kerana kemajuan boleh membawa masuk atau mencipta istilah baharu bahasa. Musuh kedua ialah sikap bangsa kepada bahasa berkenaan. Bersikap memusuhi bahasa sendiri adalah patut dielakkan.
Kita boleh menggunakan bahasa bangsa lain dalam kehidupan kita. Bahasa itu digunakan sekadar melestarikan kehidupan. Adalah tidak patut kiranya kita mendaulatkan bahasa asing dan meminggirkan bahasa sendiri.
Apabila Dr. Mahathir dan UMNO-BN membuang hak bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar ilmu dalam bidang sains dan matematik, perbuatan ini adalah salah. Rakyat perlu menyedarkannya agar mereka menggembalikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kepada orang Melayu dan negara Malaysia. Jika mereka berkeras, adalah menjadi hak rakyat untuk tidak memilih golongan pengkhianat ini sebagai pemerintah.
Sehebat manapun kemajuan, bahasa hanya hidup di bibir manusia. Bahasa Melayu hanya hidup di bibir manusia Melayu. Walaupun masyarakat Eropah menutur bahasa Melayu, itu hanya sementara sahaja. Ia bukan ukuran bahawa bahasa Melayu akan hidup selamanya.
Begitu juga dengan tulisan. Jika bahasa lisan hidup di bibir manusia Melayu, tulisan bahasa Melayu hidup di jari manusia Melayu. Selagi ada pengguna akan hiduplah tulisan berkenaan.
Sekarang ini, tulisan yang sedang nazak ialah tulisan Jawi. Orang yang menyebabkan tulisan ini nazak (dan bakal mati) ialah mantan Perdana Menteri pertama, Menteri Pelajaran Malaysia sekitar tahun 1960-an dan kerajaan UMNO-BN.
Sekarang ini sukar ditemui orang yang boleh menulis bahasa Sanskrit. Justeru, tulisan bahasa Sanskrit sudah mati. Demikian tulisan trengkas, amat sukar ditemui. Sehingga tahun 1980-an, tulisan trengkas dan mempelajari tulisan trengkas menjadi 'kegilaan' lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka yang pandai menulis dan membaca tulisan trengkas memberi markah bonus untuk mendapatkan pekerjaan. Maka, kelas mempelajari trengkas (bersama-sama mempelajari menaip) wujud di setiap daerah. Namun kini, kelas mempelajari trengkas dan tulisan trengkas sudah tiada lagi. Tulisan trengkas telah mati.
Nasib malang yang menimpa bahasa Sanskrit boleh berulang terhadap bahasa Melayu. Justeru, menjadi tanggungjawab kita mempertahankan bahasa Melayu agar tidak ghaib daripada bumi Melayu. Cara terbaik mempertahankannya ialah terus menggunakan bahasa Melayu, sama ada secara lisan mahupun tulisan. Cara lain ialah dengan cara 'membunuh' pengkhianat-pengkhianat bahasa. 'Pembunuhan' itu boleh dilaksanakan dengan cara tidak melantik mereka sebagai pemimpin di mana-mana organisasi. Jika tidak, anda akan dianggap dan dicatat sebagai pembunuh bahasa anda sendiri. Tentunya, ia bersangkutan dengan kematian bangsa. Justeru, jangan bunuh bahasa anda.

Tiada ulasan: