Sabtu, 7 Januari 2012

Bahasa dalam Penulisan Rencana


Pengenalan
Berdasarkan pengalaman mengajar bahasa, saya berpandangan bahawa yang dikatakan bahasa ialah satu sistem lambang-lambang yang arbitrari, mempunyai makna yang dipersetujui oleh sesuatu kumpulan atau anggota masyarakat dan digunakan sebagai alat komunikasi mereka. Berdasar definisi ini bererti saya menerima segala lambang sebagai bahasa dalam kategori masing-masing. Tentunya gambar, walaupun mempunyai makna, tidak boleh dianggap sebagai bahasa. Walau bagaimanapun, lambang-lambang jalan raya boleh dianggap sebagai bahasa kerana difahami oleh setiap pengguna jalan raya. Kita boleh menamakannya sebagai bahasa jalan raya atau bahasa lambang jalan raya.  Demikian juga dengan penulisan genre rencana atau biografi. Masing-masing mempunyai identiti dan gaya bahasa tersendiri yang boleh dinamakan sebagai bahasa rencana atau bahasa penulisan rencana, dan bahasa biografi atau bahasa penulisan biografi. Dalam tulisan ini hanya ditumpukan terhadap aspek bahasa dalam penulisan rencana.


Konsep Rencana
Sebelum saya membicarakan aspek bahasa, adalah lebih baik kita memahami maksud rencana. Menurut Mohd. Sidin Ahmad Ishak (1996:96) takrifan terhadap istilah rencana adalah masih umum. Istilah ini seringkali difahami sebagai sama dengan maksud esei dan artikel. Semuanya bersifat deskriptif, mempunyai ciri-ciri yang hampir sama, malahan ciri-ciri media penyiarannya juga adalah sama, iaitu akhbar, majalah, dan buletin.

Disebabkan wujud elemen yang berbeza, maka Mohd. Sidin Ahmad Ishak (1996: 96) menegaskan maksud rencana sebagai satu gubahan karangan bukan cereka yang memberi tumpuan terhadap aspek-aspek khusus sahaja. Kamus Dewan (2005: 1311) pula mencatatkan maksud rencana sebagai cerita, karangan atau kisah. Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (Em Zul Fajri dan Ratu Aprilia Senja, ?: 705) mencatatnya sebagai laporan pemberitaan. Pandangan Safian Hussain et.al. (1988: 282) tentang maksud rencana lebih menjurus kepada esei pendek untuk siaran akhbar dan majalah. Berdasarkan empat maksud rencana di atas didapati pandangan Mohd. Sidin Ahmad Ishak lebih tepat dengan wacana makalah ini. Oleh sebab adanya pengkhususan aspek pembicaraan dan pendek, maka rencana hanya mempunyai satu persoalan. Hal ini berbeza dengan esei atau artikel yang lebih lebar skop pembicaraan dan lebih banyak persoalan dapat dibahaskan. Dan, berbeza pula dengan berita kerana kandungan berita lebih padat, melaporkan, objektif, peristiwa semasa, dan bebas daripada pandangan pengarang. Jika laporannya panjang dan ada analisis maklumat, maka berita itu dinamakan berita rencana atau rencana berita. Oleh sebab sifatnya yang ringkas menyebabkan gaya penulisan rencana tidak bersifat ilmiah atau sekadar semi ilmiah. Tidak perlu nota kaki atau rujukan, walaupun tidak salah jika berbuat demikian.

Sebagaimana esei, rencana juga mempunyai beberapa jenis. Penjenisan rencana berdasarkan tema dan disiplin ilmu yang diperkatakan. Antara jenisnya ialah rencana sukan, rencana ekonomi, rencana sastera, dan sebagainya. Daripada jenis tersebut dapat diperincikan kepada subjenis yang lebih khusus. Misalnya, dalam rencana sastera terdapat rencana kegiatan sastera, rencana kritikan sastera, rencana polemik sastera, rencana ulasan buku sastera, dan sebagainya.  Penjenisan rencana juga dapat dikategori berdasarkan media penyiaran, seperti rencana akhbar, rencana majalah dan rencana blogger.

Setiap  jenis rencana itu mempunyai corak penulisan. Corak penulisannya dipengaruhi oleh tujuan pengarang, gaya pengolahan, serta dasar dan prinsip media penyiaran. Umumnya, terdapat empat corak penulisan, iaitu corak pendedahan, corak penerangan, corak pemujukan, dan corak penghujahan (Rahman Shaari, 1996: 24- 36). Kehadiran sesuatu corak dalam rencana tidak bersifat mutlak. Ada kalanya rencana mempunyai lebih daripada satu corak. Semuanya berpusat kepada pengarang.

Apakah kepentingan mengetahui jenis dan corak rencana? Jawapannya, jenis, corak dan bahasa rencana saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Jenis rencana akan mempengaruhi laras bahasa. Corak rencana pula akan mempengaruhi gaya bahasa. Demikian juga, dengan memahami bahasa akan dapat mengetahui jenis dan corak rencana. Malah, pembaca yang kritis akan dapat meramal nama pengarang dan media penyiaran rencana berkenaan.

Bahasa Tajuk
Setiap rencana mempunyai tajuk. Tajuk rencana membayangkan gambaran umum tentang kandungannya. Pemilihan dan penciptaan tajuk rencana ditentukan sendiri oleh pengarang. Namun begitu, atas sebab-sebab tertentu, editor media berhak mengubahsuaikannya. Sebagaimana manusia ada yang mempunyai nama asal dan ada nama samaran atau nama pena, demikian juga dengan tajuk rencana. Ada tajuk utama (tajuk fokus) dan ada tajuk kecil (tajuk sampingan). Tajuk kecil bertujuan memperjelaskan lagi akan maksud tajuk utama. Perhatikan contoh tajuk-tajuk di bawah.

1.            Dr. Sharifah Hapsah, “Keajaiban daripada pemikiran kreatif Idea genius Dr Muhammad Yunus bantu berjuta-juta rakyat miskin” Berita Harian, 15 Oktober 2011.
2.            Azrul Affandi Sobry, “Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu Asimilasi budaya warnai cara hidup” Berita Harian, 15 Oktober 2011.
3.            Raja Yusoff Ariffin, “LAT Kartunis Kampung Bertaraf Dunia” Dewan Budaya, Fenruari 2009.
4.            Ammy Yasmin, “Pesta Buku: Sejauh manakah kesannya?” Dewan Sastera, Oktober 2011.

Empat contoh bahasa tajuk rencana di atas boleh dinamakan sebagai rencana dwitajuk / dwijudul. Tajuk utamanya ialah “Keajaiban daripada pemikiran kreatif,”Adat Portugis Melaka dipengaruhi Melayu,” “LAT,” dan “Pesta Buku,”  manakala tajuk kecil, yang berfungsi memperjelaskan tajuk utama, ialah “Idea genius Dr Muhammad Yunus bantu berjuta-juta rakyat miskin,” “Asimilasi budaya warnai cara hidup,” “Kartunis Kampung Bertaraf Dunia,” dan “Sejauh manakah kesannya?” Gaya tulisnya adalah pelbagai. Contoh tajuk (1) dan (2) berada dalam satu gaya. Gaya tulis tajuk dalam contoh (3) pula berbeza dengan gaya tulis tajuk dalam contoh (4). Ada gaya tulis tajuk rencana bersamaan dengan gaya tulis tajuk berita. Walau bagaimanapun, gaya tulis tajuk berita lebih pelbagai.
Tidak kurang juga ialah bahasa tajuk tunggal. Gambaran makna atau mesej pada tajuk tunggal adalah lengkap. Perhatikan contoh di bawah.

5.            S. Othman Kelantan, “Pemikiran dalam Karya Sastera” Akar, Mei – Ogos 2000.
6.            Prof. Dr. Idris Zakaria, “Benarkah Al-Quran Kita Itu Palsu?” Dakwah, Mei/Jun 2011.
7.            Sharrul Rizal Hashim, “Menyingkap Rahsia Diri Sasterawan Negara” Jendela Timur, April 2009.

Jika diperhatikan contoh tajuk (1) – (7) di atas, kita dapati ada dua jenis ayat digunakan sebagai tajuk rencana. Pertama, jenis ayat penyata, sebagaimana tajuk (1), (2), (3), (5) dan (7). Kedua, jenis ayat tanya, sebagaimana tajuk (4) dan (6). Dari segi penggolongan kata pula, tajuk rencana terdiri daripada kata nama. Sedikit sahaja kata kerja dan lebih-lebih lagi kata adjektif digunakan sebagai tajuk rencana.

Retorik Bahasa
Satu aspek penting yang mesti diberikan perhatian apabila memilih dan mencipta tajuk rencana ialah retorik bahasa. Maksud retorik ialah seni menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar (Kamus Dewan, 2005:1326). Tajuk rencana yang tidak menarik akan menyebabkan rencana itu tidak mendapat perhatian pembaca. Walaupun isi kandungan rencana itu penting dan bermanfaat, namun tajuknya tidak menarik dan tidak dibaca, maka mesej rencana dan tujuan pengarang tidak tercapai. Justeru, pengarang perlu mahir memanipulasikan bahasa agar tajuk rencana membangkitkan rasa ingin tahu pembaca. Hal ini berkait pula dengan pandangan sudut pengarang terhadap pemasalahan isu yang ditulis. Antara retorik bahasa tajuk dengan pandangan sudut dan kandungan isi rencana mesti berwacana. Perhatikan contoh tajuk (1) – (7) di atas. Tajuknya dapat menjentik rasa ingin tahu pembaca.

Dalam dunia penulisan, tajuk beretorik banyak digunakan dalam bidang sastera, sukan, filem dan sains sosial. Jarang ditemui bahasa retorik dalam bidang sains tulen, ekonomi mahupun perundangan. Hal ini kerana bidang-bidang ilmu bukan sains memerlukan khalayak untuk ‘hidup’ dan berkembang, berbanding dengan bidang sains tulen, manusia yang memerlukan sains untuk ‘hidup’ dan berkembang. Ciri mutlaknya mesti objektif. Tidak ada dwimakna. Jika dikatakan ‘kuning,’ ia merujuk kepada warna. Tidak ada penambahan kata atau frasa pada perkataan ‘kuning’ hingga melahirkan makna lain. Dalam bidang sains sosial, pengarang halal meretorikkan perkataan ‘kuning’ hingga terasa kehebatannya. Perhatikan manipulasi bahasa terhadap perkataan ‘kuning’ di bawah.

8.            Kuning bermaksud warna;
9.            Kuning Diraja bermaksud lambang warna diraja;
10.         Kuning Kunyit bermaksud pakaian sami;
11.         Kuning Bersih bermaksud gerakan menuntut keadilan dalam pilihan raya;
12.         Kuning Pulut bermaksud semangat atau kemenangan;
13.         Budaya Kuning bermaksud budaya negatif;
14.         Gelombang Kuning bermaksud kebangkitan, dll.

Berdasarkan istilah dan frasa ‘kuning’ dari nombor (8) – (14), pengarang boleh memanipulasikan tajuk berita yang selaras dengan pandangan sudut kandungan isi yang ditulis. Sebagai contoh, antara tajuk yang boleh dicipta ialah “Rakyat benci kuning,” “Kuning menyerang jalan raya,” “Antara kuning positif dengan kuning negatif,” dan sebagainya.



Laras Bahasa
Antara penanda bidang atau disiplin ilmu ialah laras bahasa. Hal ini kerana lain bidang ilmu, maka akan lain pula laras bahasa. Pengarang tidak boleh sewenang-wenang menggunakan istilah. Kesilapan menggunakan istilah atau ayat akan menyebabkan makna tersasar.

Dalam bahasa Inggeris, istilah laras dikenali sebagai ‘register.’ Istilah ini dipopularkan oleh Thomas Bertram Reid pada tahun 1956. Sebelum itu, Straumann (1935) pernah mengkaji Newspaper Headlines: A study in linguistic method dan Savory (1967) yang mengkaji The Language of Sciene. Yang dimaksudkan laras ialah ragam bahasa atau variasi bahasa. Ragam penggunaan bahasa adalah berbeza antara satu bidang ilmu dengan satu bidang ilmu lain. Selain itu, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan wujud kepelbagaian laras, seperti situasi, tajuk, persekitaran, status sosial, kerahsiaan isu, genre, geografi, bentuk penyampaian dan sebagainya. Dalam wacana ini memandai khalayak memahami bahawa faktor bidang ilmu sebagai penyebab wujud kepelbagaian ragam bahasa.

S. Nathesan (1995) mengkategorikan tiga aspek membina laras, iaitu (a) aspek Leksis, (b) aspek tatabahasa, dan (c) aspek ketenunan. Leksis bermaksud komponen-komponen bahasa yang membina istilah atau ayat. Ia terdiri daripada kata (kosa kata / pembendaharaan kata), istilah pinjaman dan istilah bukan pinjaman (bahasa). Tatabahasa merujuk aturan bahasa atau sistem bahasa seperti pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat. Manakala ketenunan pula merujuk cara-cara ayat digabungkan.

Untuk memudahkan khalayak memahami akan peripenting laras dan perbezaan makna, saya merakamkan laras bahasa dari sebatang tubuh seorang manusia.  Manusia dikenali dengan pelbagai nama kerana perbezaan status, sifat, lokasi, situasi, bidang ilmu dan sebagainya. Nama manusia bermula dengan istilah “mani” yang merujuk sejenis cecair dari tulang sulbi lelaki, “sperma” (setelah keluar dari sulbi), “zigot” (dalam rahim), “janin” (zigot di luar rahim), “bayi” (setelah dilahirkan), “budak / kanak-kanak” (belum bersekolah), “kanak-kanak tabika” (bersekolah pra), “murid” (bersekolah rendah), “pelajar” (bersekolah menengah), “mahasiswa” (belajar di universiti), “guru pelatih” (belajar di Institut Pendidikan Guru), “pelatih” (belajar di institusi latihan), “remaja” (berusia antara 12 – 21 tahun), dewasa (22 – 55 / 58 tahun), “tua / warga tua / warga emas” (setelah bersara), “mayat” (setelah mati), “hantu” (jika mati hidup kembali), “almarhum / arwah” (merujuk kepada orang yang telah mati, “anak” (status dalam keluarga asas), “isteri / suami” (jika sudah berumah tangga), “ayah / ibu” (mempunyai anak), dan sebagainya. Contoh-contoh di atas tergolong dalam aspek leksis. Penggunaan istilah itu mesti sesuai dengan gambaran objek yang diperkatakan. Demikian juga dalam aspek tatabahasa dan ketenunan. Tidak seperti masyarakat Inggeris, orang Melayu kaya dengan budi bahasa. Nilai-nilai murni dalam budi bahasa akan mempengaruhi bahasa dan gaya berbahasa. Bahasa Inggeris hanya mempunyai istilah “i” dan “me” yang merujuk dirinya, dan “you” yang merujuk pasangannya. Istilah ini digunakan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengira status. Berbeza dengan orang Melayu. Istilah yang merujuk diri ialah “aku,” “saya,” “patik,” “ambo,” “beta,” “kawe,” “kita,” “ogre” dan sebagainya. Setiap istilah itu digunakan terhadap individu yang berbeza, bergantung pada konteks, status sosial, lokasi, situasi dan sebagainya. Hal ini bukan sahaja  tergolong dalam aspek leksis, malahan, apabila dibina ayat, akan  tergolong juga dalam aspek tatabahasa dan aspek ketenunan. Kosa kata, binaan ayat dan cara menyampaikan mesej ketika bercakap dengan kawan adalah berbeza apabila orang berkenaan bercakap dengan ibu bapa, atau majikan, atau raja.

Bahasa Kandungan Berita
1.           Pengenalan
Dalam bidang penulisan, istilah pengenalan dikenali juga sebagai intro atau kepala berita. Pengarang perlu memberi fokus yang lebih apabila menulis pengenalan. Fokus isi mesti menarik dan disampaikan dalam gaya bahasa yang menarik. Unsur-unsur retorik boleh diterapkan. Terdapat beberapa cara menulis pengenalan rencana, seperti (a) berdasarkan gaya bahasa yang digunakan, umpamanya gaya naratif, deskriptif, dan ekspositori; (b) berdasarkan data (kaedah ringkasan, kenyataan mengejutkan, anekdot; (c) fungsional (penegasan memeranjatkan, kesimpulan campur kenyataan umum, dan pendahuluan tidak langsung); dan (d) corak persembahan (kontras keadaan, kontras masa, analogi, penceritaan, penglibatan pembaca, anekdot, kenyataan luar duga, ungkapan dan falsafah).  Walau apapun jenis pengenalan, fungsinya ialah untuk (a) menyediakan persepsi awal pembaca terhadap rencana berkenaan, (b) menarik minat pembaca, dan (c) menyediakan latar belakang kandungan rencana kepada pembaca.

Berdasarkan beberapa contoh penulisan perenggan pengenalan di bawah, perhatikan cara pengarang memanipulasikan bahasa bagi menarik minat khalayak pembaca.

2.            Nor Raudah Hj Siren, “Dakwah kepada orang kurang upaya,” Dakwah Mei/Jun 2011)

Siapa tidak simpati melihat sekumpulan manusia yang serba kekurangan. Hati keluarga mana yang tidak luka melihat darah daging berlainan daripada anak-anak orang lain. Siapa yang tidak hampa dilahirkan tidak sempurna. Semua manusia ingin dilahirkan sempurna sebagaimana sempurnanya kejadian Nabi Yusuf a.s yang menjadi kegilaan dan pujaan sesiapa sahaja yang memandang. Semua akan bertanya, kenapa mereka dilahirkan sedemikian rupa? Adakah ia daripada kesilapan ibu bapa yang melahirkan mereka?

3.            Firdaus Haji Abdullah, “Demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” Dewan Masyarakat Edisi Khas 2008.

“Demokrasi adalah satu cara pemerintahan yang paling buruk,” kata Perdana Menteri British yang terkenal, Sir Winston Churchill, hampir satu abad yang lalu. Namun, katanya lagi dalam nafas yang sama, “Tidak ada sebarang cara lain yang lebih baik daripada itu.”


4.            Zanazanzaly, “Colek juadah lepas terawih,” Qiadah Ramadhan 1430 Hijrah.

Colek, makanan tradisi masyarakat Kelantan yang lazimnya disenaraikan dalam juadah Ramadhan. Meski ia bukan menu utama ketika berbuka, ia menjadi ‘kegilaan’ selepas berterawih. Semacam ada suatu ‘pesta colek.’


5.           Jenis Ayat
Dalam tiga contoh petikan perenggan pengenalan rencana di atas, didapati bahawa ada pelbagai jenis ayat. Dalam contoh (15) terdapat ayat penyata dan ayat tanya, contoh (16) terdapat petikan dialog, manakala contoh (17) ayat penyata. Perbezaan jenis ayat menyebabkan corak ketiga-tiga rencana itu berbeza. Selain itu, terdapat beberapa jenis ayat lagi yang boleh digunakan, seperti ayat seruan, ayat larangan, ayat permintaan dan lain-lain. Semuanya boleh digunakan, termasuk cakap ajuk dan petikan. Yang penting ialah konteks dan kewacanaannya.

Termasuk dalam aspek ayat ialah bentuk ayat, iaitu ayat tunggal dan ayat majmuk. Kedua-dua bentuk ayat ini digunakan dalam rencana, baik dalam pengenalan mahupun kandungan isi. Petikan contoh (15) – (17) jelas menunjukkan penggunaan kedua-dua bentuk ayat berkenaan. Ada yang sekadar ayat tunggal sahaja. Ada ayat tunggal yang mempunyai keterangan. Dan, ada pelbagai jenis ayat majmuk. Ertinya, pengarang bebas menulis menggunakan pelbagai bentuk, pola dan jenis ayat. Berdasarkan rencana dalam majalah Dakwah, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Akar, Qiadah yang dikaji didapati pengarang gemar menggunakan pelbagai jenis dan ragam ayat majmuk. Binaan ayatnya dihubungkan dengan penggunaan tanda koma (,) dan kata relatif ‘yang.’

Satu aspek yang perlu juga diketahui ialah ayat tesis dan ayat topik. Ayat tesis ialah ayat yang menjadi tema bagi keseluruhan rencana. Ia merupakan idea atau maklumat utama rencana dan menjadi asas penulisan. Manakala ayat topik ialah ayat yang menjadi tema dalam sesuatu perenggan. Ia juga menjadi asas penulisan dalam perenggan berkenaan. Ertinya, ayat tesis ialah ayat bagi keseluruhan binaan rencana. Ayat topik pula ialah ayat-ayat bagi menguatkan hujah dalam sesuatu perenggan.

6.            Sistem Pemerengganan
Menurut Mohd. Sidin Ahmad Ishak (1996:122) terdapat lima jenis perenggan, iaitu (a) perenggan pengenalan, (b) perenggan isi, (c) perenggan penutup, (d) perenggan transisi, dan (e) perenggan dialog. Gaya bahasanya sama sebagaimana penerangan dalam perenggan pengenalan. Namun begitu, dalam pemerengganan isi, ayat topik menjadi penentu keberkesanannya.

Sistem pemerengganan rencana majalah berbeza dengan sistem pemerengganan rencana akhbar. Perenggan dalam rencana majalah lebih beragam. Ada perenggan kecil, ada perenggan sederhana dan ada perenggan besar. Bilangan ayatnya antara satu hingga lima ayat seperenggan. Bilangan ayat ini akan bertambah bagi rencana sastera, rencana laporan atau rencana bercorak penghujahan, khususnya rencana yang disiarkan dalam majalah atau jurnal. Hal ini berbeza dengan rencana dalam akhbar. Saiz perenggannya pada peringkat kecil dan sederhana. Bilangan ayat dalam satu perenggan terdiri antara satu ayat (ayat majmuk) hingga tiga ayat sahaja.

7.            Cakap Ajuk (dialog) dan Cakap Pindah
Cakap ajuk atau dialog pada lazimnya banyak digunakan dan menjadi ciri penulisan berita. Gaya ini jarang digunakan dalam penulisan rencana. Jika ada, penggunaannya dalam kapasiti yang sangat sedikit. Cakap ajuk itu pula akan dianalisis atau diberikan komentar. Perenggan dialog ditulis dalam petikan langsung dan tersendiri. Tanda petik “...” mengiringi dialog berkenaan, diikuti penegasan rujukan seperti ‘katanya,’ ‘ujarnya,’ dan seumpamanya.

Rencana banyak menggunakan cakap pindah. Hal ini kerana rencana tidak melaporkan perlakuan sumber. Sebaliknya, rencana menganalisis perlakuan sumber, di samping membahas dan memberi pendapat. Jika ada maklumat yang merujuk sumber, akan ditulis ‘menurut ...,” atau, kadang-kala, dicatat sumber rujukan pada akhir maklumat yang dikemukakan.

8.            Analisis
Beza berita dengan rencana ialah aspek analisis. Berita sekadar melaporkan tanpa membuat analisis dan komentar. Pengarang berita tidak berhak memasukkan pandangannya. Hal ini berbeza dengan rencana. Pengarang boleh memilih sesuatu isu dan memberi pandangan atau menganalisis isu tersebut. Dalam hal ini, pengarang boleh memilih satu daripada empat corak rencana, atau menggabungkan beberapa corak. Telah dinyatakan bahawa tujuan pengarang akan mempengaruhi corak rencana yang dihasilkan. Seterusnya, akan menentukan pemilihan bahasa dan ragam bahasa yang sesuai. Dalam tulisan ini, pembaca disogokkan dengan perkataan “didapati” atau “hal ini” misalnya. Istilah “didapati” menjurus kepada rencana bercorak pendedahan, manakala “hal ini” atau “justeru” mahupun “demikian juga” adalah menjurus kepada rencana bercorak penerangan. 

Wacana
Sebelum saya mengakhiri tulisan ini, ada baiknya saya menyentuh aspek wacana. Wacana ialah berkenaan gambaran pertalian elemen-elemen di dalam dan di luar teks. Dengan adanya pertalian elemen itu akan menghasilkan satu kesatuan teks. Teks yang mempunyai kesatuan elemen dianggap utuh, kuat dan padu. Elemen-elemen teks merangkumi huruf, perkataan, ayat, perenggan, bab, tajuk, idea, rujukan maklumat, malahan merangkumi juga tujuan pengarang, persekitaran dan sebagainya yang memberi kesan terhadap teks. Perkataan atau frasa yang digunakan harus tepat dan menarik, idea disampaikan secara berurutan dan jelas, maklumat dikemukakan ada rujukan dan betul, retoriknya logik dan menyakinkan. Semuanya disampaikan secara bersistem dan berkonteks, dan tidak tersasar daripada tajuk. Sebagai contoh, perhatikan petikan di bawah.
Ali pergi ke pasar. Dia hendak membeli ikan dan setem. Ahmad ialah jirannya. Ahmad ingin ke pasar membeli ikan. Dia dan Ahmad menunggang bas. Setelah membeli ikan dan setem, mereka pun pulang.

Penggunaan bahasa dalam contoh petikan di atas adalah tidak lancar dan tidak berwacana. Demikian juga ideanya. Dikatakan tempat yang ingin dikunjungi ialah pasar, manakala barang yang ingin dibeli ialah ikan dan setem. Setem tidak dijual di pasar. Justeru, antara pasar dengan setem tiada perkaitan atau rujukan. Demikian juga dengan istilah ‘menunggang’ bas. Istilah sepatutnya ialah ‘menaiki’ bas. Manakala, dalam ayat lima, frasa ‘dia dan Ahmad’ lebih tepat menggunakan rujukan ‘mereka.’ ‘Dia’ dalam ayat dua merujuk kepada ‘Ali’ dalam ayat pertama. ‘Dia’ dalam ayat lima merujuk kepada ‘dia’ dalam ayat dua dan ‘Ali’ dalam ayat pertama. Kata nama ‘Ahmad’ dalam ayat lima merujuk kata nama ‘Ahmad’ dalam ayat empat dan ayat tiga. Oleh sebab sudah ada rujukan, maka kata nama ‘dia’ dan ‘Ahmad’ dalam ayat lima boleh digantikan dengan kata ganti nama ‘mereka.’ Kesimpulannya, petikan di atas tidak berwacana. Petikan itu boleh diperbaiki agar ada wacana, misalnya sebagaimana contoh di bawah.

Ali ingin pergi ke pasar. Dia hendak membeli ikan. Jirannya, Ahmad, juga hendak ke pasar membeli ikan. Mereka menaiki bas. Setelah membeli ikan, mereka pun pulang.
Atau,
                        
Ali ingin pergi ke bandar. Dia hendak membeli ikan dan setem. Jirannya, Ahmad, juga hendak ke pasar membeli ikan. Mereka menaiki bas. Setelah membeli ikan dan setem, mereka pun pulang.

Berdasarkan penerangan di atas, dapat dirumuskan bahawa rencana yang berkesan mempunyai ciri-ciri (a) kejelasan idea, (b) kesatuan idea, (c) wujudnya pautan maklumat lama dengan maklumat baharu, (d) kesempurnaan laporan, (e) kebolehbacaan, dan (f) kerapian teks.

Penutup
Bahasa rencana mempunyai pelbagai corak dan pelbagai ragam. Rencana yang berkesan mempunyai bahasa yang dapat menarik minat dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca, di samping menggunakan bahasa secara tepat. Bahasa rencana yang berkesan juga mesti dijalinkan dengan baik, saling berkonteks dan berwacana. Oleh yang demikian, pengarang perlu bijak memilih, memanipulasi dan menggunakan bahasa dalam penulisan rencana. Untuk keperluan itu, pengarang perlu ‘mesra bahasa’ dan tahu menggunakan bahasa pada tempat yang betul.

Rujukan
Awang Sariyan, 2004. Tertib Mengarang Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Sidin Ahmad Ishak, 1996. Ketrampilan Menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Rahman Shaari, 1996. Persediaan Menulis Esei Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

S. Nathesan, 1995. Laras Bahasa Ilmiah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Safian Hussain et. al., 1988. Glosori Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

2 ulasan:

NASSURY IBRAHIM berkata...

Maaf, saya tak faham komen anda. Rasanya, lari tajuk, kot!

Young Blood berkata...

Encik boleh terangkan lebih lanjut mengenai ketenunan dalam laras bahasa? Saya dah rujuk buku tetapi perlukan penjelasan lanjut. Terima kasih.