Selasa, 19 Jun 2012

Konsep Ruang dan Waktu dalam Hikayat Malim Deman

DALAM karya lipur lara Melayu, konsep ruang dan waktu begitu ketara sekali. Para penglipur lara mengekploitasi sepenuhnya makhluk dan segala isi alam untuk membentuk konsep ruang dan waktu. Kedua-dua konsep itu ditandai bukan sahaja dengan pengisian manusia, malahan juga ditandai dengan pengisian haiwan dan tumbuh-tumbuhan, makhluk halus dan imaginasi pencerita sendiri yang diambil daripada cerita-cerita sejarah, dongeng atau mitos. Semua cerita yang diserap telah diadun dengan kreatif sehingga ceritanya menjadi menarik dan berkesan, sesuai dengan cerita lipur lara yang bersifat advanture. Kekreatifan penglipur lara menyampaikan cerita juga boleh menjadi tali yang mengikat perhatian khalayak agar menonton persembahan yang kadang-kala berlarutan sampai berhari-hari lamanya.


MEMAHAMI KONSEP RUANG DAN KONSEP WAKTU

Perkataan konsep diambil dari bahasa Inggeris, concept, yang dapat difahami sebagai pengertian mengenai sesuatu, tanggapan, gagasan atau idea yang terbentuk di dalam fikiran. Konsep menjadi asas dan landasan kepada manusia untuk berfikir dengan lebih lanjut tentang sesuatu perkara agar tidak terkeluar daripada mauduk perbincangan.

          Menurut Kamus Dewan (1994), dari segi falsafah, ruang dianggap sebagai tempat atau rongga yang tidak ada batasnya – tempat segala yang ada. Waktu pula merupakan jarak sesuatu masa yang terdiri daripada rangkaian atau rentetan saat, masa, ukuran masa atau peringkat-peringkat hari. Pengukuran waktu bergantung pada persepsi masyarakat dan persekitarannya.

          Konsep waktu dalam karya lipur lara agak kabur. Konsep waktu diungkapkan melalui gurindam, puisi dan kata-kata berirama. Walaupun unsur-unsur waktu ada diperkenalkan oleh agama Islam seperti nama-nama bulan, hari dan masa, namun masyarakat Melayu lebih banyak bergantug pada alam untuk mengungkapkan waktu. Ketetapan pengukuran waktu bergantug pada peredaran matahari dan haiwan.

          Sebagaimana waktu, konsep ruang dalam masyarakat Melayu juga tidak begitu jelas. Pengukurannya lebih kepada kemampuan panca indera dan tenaga. Namun begitu, konsep ruang dalam karya lipur lara Melayu berkait rapat dengan objek dan watak-watak yang terlibat. Watak-watak seperti putera/puteri, raja, nenek kebayan, jin dan sebagainya melambangkan wujud ruang-ruang yang tersendiri seperti ruang istana (negeri), ruang kayangan dan alam ghaib.

          Cerita lipur lara berlaku dalam ruang natural dan ruang supernatural. Ruang natural seperti ruang bumi berkisarkan pada sesebuah kerajaan atau negeri. Ruang supernatural pula meliputi alam magis seperti ruang kayangan dan alam ghaib yang terletak di atas bumi, di dalam bumi mahupun di dasar laut.

          Kedua-dua konsep, ruang dan waktu, dibentuk dan digambarkan sedemikian rupa untuk mendukung cerita dan perwatakan watak, di samping memperkasakan raja dan kerajaannya.

KONSEP RUANG DI DLAAM HIKAYAT MALIM DEMAN

Menurut Mustafa Mohd. Isa (1987: 114) dalam semua cerita Awang Belangga (tokoh penglipur lara Melayu dari Perlis) terdapat peristiwa-peristiwa yang berlaku, sama ada di dalam ruang supernatural mahupun di dalam alam natural, sebagaimana tergambar di dalam Hikayat Malim Deman (HMD).



a)    Ruang Supernatural

Ruang supernatural dapat difahami melalui penggunaan kuasa atau objek magik. Ruang supernatural melampaui kewarasan akal fikiran manusia. Kewujudannya lewat alam bawah sedar. Contohnya, alam mimpi dan alam imaginasi.

(i)              Ruang Di Alam Mimpi

Ruang di alam mimpi wujud dalam mimpi Malim Deman sebanyak dua kali. Dalam mimpi itu, Malim Deman bertemu dengan Tuan Saiyid Keramat Wali Allah. Mimpi pertama terjadi sewaktu Malim Deman berada di istana ayahandanya, Tuanku Gombang Malim Dewa. Malim Deman didatangi Tuan Saiyid Keramat Wali Allah yang menceritakan perihal Tuan Puteri Bongsu.

          Adapun di antara tuan puteri yang tujuh

          Beradik itu seorang yang teramat elok

          Rupanya mengalahkan sifat sekalian perempuan

          Didalam negeri kayangan:

                              Minum air berbayang-bayang

                              Santapan sirih berkaca-kaca.



                                                                      (halaman 3)



Dan, kata Tuan Saiyid Keramat Wali Allah itu lagi,



          Jikalau diukir, sama panjang;

          Jikalau dibidas, sama besar,

          Jikalau peroman, sama baik;

          Sirih pulang ke ganggangnya,

          Pinang pula ke tampuknya,

          Kuah tumpah ke nasinya,

          Harta pulang ke empunyanya;

orang setumbuk bagai gelang,

          orang sejodoh bagai cincin.

                                                                      (halaman 3)



Mimpi kedua terjadi ketika Malim Deman tidur di celah banir sepohon kayu, iaitu sewaktu dalam perjalanan mencari Tuan Puteri Bongsu. Gambaran ruang di alam mimpi dapat ditemui dalam kata-kata Tuan Saiyid Keramat Wali Allah.

          Ayuhai anakku Tuanku Malim Deman, pergilah

          berjalan ke hulu sungai ini. Maka adalah

          seorang puteri bernama Tuan Puteri Terus Mata,

          anak Raja Jin Islam, ialah yang ada menaruh

          borak kesaktian, pinjamlah oleh anakanda.

                                                                     

(halaman 52)



(ii)             Ruang Di Alam Kayang

Negeri kayangan terletak di atas kayangan jauh dari alam bumi. Negeri kayangan diperintah oleh seorang raja yang kental dengan sifat supernartural. Malim Deman terpaksa menghadapi lautan gelap, lautan api, lautan sejuk, lautan kuning, lautan hijau, lautan masin dan lautan biasa untuk sampai ke negeri di kayangan. Gambran ruang alam di negeri kayangan adalah sama sahaja dengan gambaran alam di ruang bumi. Terdapat seorang raja yang mempunyai tujuh orang puteri dan puteri-puteri itu sering bermain di taman Nenek Kebayan yang terletak di hulu Muar. Selain terpaksa menempuh pelbagai jenis lautan, Malim Deman perlu memakai baju terbang atau menunggang burung borak (halaman 51) untuk sampai ke negeri kayangan. Konsep ruang dapat dilihat daripada gambaran sosio-budaya rakyatnya.



Maka orang besar-besar, rakyat hina-dina, laki-laki perampuan, kecil besar, tua muda semuanya berhimpun masuk mengadap ke dalam kota istana membawa sekalian permainan: joget, wayang-wayang mendora, bangkit menari semuanya, terlalu azmat bunyinya, tambahan pula di gelanggang sabung terlalu gegak gempita sorak tempik sekalian juara.

                                                                               

(halaman 67)





(iii)            Ruang Di Alam Jin

Ruang di alam jin merupakan satu alam tersendiri. Pemerintahnya bernama Si Raja Jin, mempunyai seorang puteri bernama Tuan Puteri Terus Mata. Perjalanan Malim Deman ke istana Si Raja Jin itu digambarkan:



Selang antara beberapa lamanya menempuh huntan rimba yang besar, dengan takdir Allah subhanahu wataala sampailah kepada suatu padang; di tengah padang itu kelihatan suatu mahligai telalu indah-indah perbuatannya.

                                                                               

(halaman 52)



Tuan Puteri Terus Mata telah memintal Malim Deman menjadi pinang muda dan dimasukkan ke dalam cembul gading lalu diselitkan ke dalam sanggunlnya. Tujuannya, agar tidak dapat dikesan oleh ayahanda yang suka makan manusia. Ruang dan segala isi alam jin dapat diperhatikan dalam petikan di bawah.



Maka Si Raja Jin menitah orang besar-besarnya suruh menghimpunkan rakyat tentera:

                    Dipukul tabuh larangan

                    Dititir canang pemanggil

                    Dipalu orang pelaung.

Maka berhimpunlah sekalian rakyat tentera Si Raja Jin, laki-laki dan perempuan, tua dan muda belaka semuanya datang mengadap:

                    Yang capik datang bertongkat,

                    Yang buta datang berpimpin,

Yang pekak leka bertanya,

Yang kecil terambin lintang,

Yang jarak tolak-tolakkan,

Yang pendek tinjau-meninjau,

Yang kurap mengekor angin.

                             

                                        (halaman 81)

Sebenarnya, ruang alam dan istana Si Raja Jin dalam Hikayat Malim Deman tidak terletak di alam kayangan sebagaimana kebiasaan cerita-cerita rakyat. Sebaliknya, istana Si Raja Jin terletak di Hulu Bandar Muar,  iaitu dalam alam ghaib yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Gambaran ruang dan alam pemerintahan Si Raja Jin amat luas meliputi ruang permukaan bumi, ruang udara dan ruang di dalam bumi. Sikap dan sifat rakyat Si Raja Jin digambarkan mempunyai persamaan dengan sikap dan sifat manusia biasa, iaitu ada laki-laki dan perumpuan, ada yang muda dan yang tua. Demikian juga yang capik, buta, pekak, kecil, pendek dan berpenyakit. Malahan, sebagaimana manusia biasa, rakyat Si Raja Jin juga ada yang ingkar pada perintah raja. Keluasan ruang dan sikap rakyat Si Raja Jin dapat difahami dalam petikan berikut.



Maka mana-mana rakyat yang tiada datang, lari ke dalam bumi dan ke atas udara, disuruh oleh Si Raja Jin palu dengan cemeti Nabi Allah Sulaiman itu; semuanya ketakutan datang mengadap Si Raja Jin.

                                                           

(halaman 81)



b. Ruang Natural

Ruang natural dalam Hikayat Malim Deman berlaku dalam ruang alam nyata, iaitu berkaitan dengan latar tempat berlakunya sesuatu peristiwa. Pengarang menggambarkan latar ruang natural secara halus dan indah, penuh dengan pelbagai makhluk dan gambaran alam.



(i)              Kuala Bandara Muar

Kuala Bandar Muar ialah pusat pemerintahan Tuanku Gombang Malim Dewa, iaitu anak kepada Malim Perman dan bapa kepada Malim Deman. Bandar Muar dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat. Penduduknya ramai tidak terkira. Rakyat Bandar Muar hidup mewah kerana terdapat pelbagai kegiatan ekonomi dan perdagangan yang membawa kepada kemakmuran negeri. Pengarang menggambarkan Kuala Bandar Muar sebagai bandar yang permai, makmur dan mewah, sesuai sebagai tempat kelahiran wiranya, Malim Deman.



Maka adapun negeri itu baharu dibuka oleh baginda; adalah seperti gurindam orang dahulu kala:



Awak tua Bandar terbuka,

Emas habis, dagangan mudah,

Kerbau kambing sesak di padang,

Itik angsa tenang kuala

Merpati lindungan langit,

Rengkiang tujuh sejanjar,

Teman dengan sekerat kota,

Emas perak penuh di rumah,

Tangga rumah emas bertuang,

Ibu tangga emas bertitik;

Batuan sawa mengulur,

Penuh sesak hamba sahaya,

Ada yang empat senama.

Ada yang lima senama,

Dilaung di rumah di tanah menyahut,

Dilaung di tanah di rumah menyahut.



(halaman 2)



Bandar Muar terletak di kuala sungai dan telah menjadi sebuah bandar pelaburan yang masyhur. Banyak kapal-kapal dagang singgah berlabuh dan menjalankan kegiatan perdagangan seperti sutera, mastuli, lilin, getah, kesumba, emas dan perak. Kemajuan dalam kegiatan ekonomi menjadikan Bandar Muar sebagai pusat perdagangan.



(ii)             Hulu Bandar Muar.

Hulu Bandar Muar terletak jauh di pedalaman. Hikayat Malim Deman menggambarkan sebagai, “…tempat jin yang banyak; tempat syaitan yang banyak,” dan dipenuhi dengan binatang-binatang buruan seperti gajah, rusa, dan badak (halaman 16). Perjalanan menuju ke Hulu Bandar Muar terpaksa menempuh hutan, bukit dan lembah. Oleh sebab Hulu Bandar Muar terletak jauh, bukan sebarangan makhluk boleh sampai. Ramai pengikut Malim Deman yang mati kerana  diganggu oleh jin dan syaitan. Alam yang luas itu digambarkan semasa perjalanan rombongan Malim Deman.



Masuk hutan keluar hutan,

Masuk padang keluar padang,

Masuk rimba keluar rimba,

Bertemu cangkat didakinya,

Bertemu lurah sama dituruni,

Habis hari berganti hari,

Habis malam berganti malam,

Habis bulan berganti bulan,

Habis tahun berganti tahun,

Bukan ia mencari buruan,

Gajah dijumpa tiada ditembak,

Rusa dijumpa tiada dikejar,

Badak dijumpa tiada dituruti,



(halaman 16)

                                                                                                                                 

(iii)             Kampung Nenek Kebayan

Dalam usaha mencari Tuan Puteri Bongsu, Malim Deman banyak mendapat bantuan daripada Nenek Kebayan. Bahkan, perkahwinan Malim Deman dengan Tuan Puteri Bongsu diuruskan oleh Nenek Kebayan. Ruang alam di sekitar kampung dan rumah Nenek Kebayan ketika kedatangan Malim Deman digambarkan dengan kicauan burung-burung yang pelbagai ragam, seperti burung          merpati, nuri, ketitir, balam dan sebagainya (halaman 19 - 20). Terdapat juga tumbuhan seperti nyiur gading (halaman 50). Kampung Nenek Kebayan terletak di Hulu Bandar Muar.



(iv)             Istana Tuanku Gombang Malim Dewa.

Dalam bab 7 pengarang menggambar dengan jelas mengenai ruang alam istana Tuanku Gombang Malim Dewa. Ruang alam dan pengisian ruang istana dapat dilihat sewaktu persiapan perkahwinan Tuan Puteri Bongsu dengan Malim Deman

Arakian, setelah datang keesokan harinya, maka baginda pun berangkatlah keluar ke balairung seri, bersemayam di atas singgahsana takhta kerajaan dihadapi oleh sekalian menteri, hulubalang, temenggung, laksamana, orang besar-besar sekalian



                                                                      (halaman 37)





Maka terdirilah jogan alam, tunggul panji-panji, merual, payung ubur-ubur berkembangan berarak masuk ke balairung seri. Maka baginda pun mendudukkan anakanda baginda di atas singgahsana dua belas tingkat, dihadapi oleh sekalian jawatannya: sida-sida, bentara, sekalian perkakas kerajaan serta pula inang pengasuh, kanda-mandanya

                                                                                                   

                                                                                (halaman 39)



KONSEP WAKTU DI DALAM ‘HIKAYAT MALIM DEMAN’.

Konsep waktu dalam Hikayat Malim Deman menggambarkan tentang persepsi orang Melayu terhadap waktu. Terdapat konsep waktu yang sebenarnya, iaitu waktu yang dapat diukur dengan menggunakan konsep hari, minggu, bulan dan tahun. Terdapat juga  konsep waktu yang tidak dinyatakan dengan tepat dan memerlukan imaginasi serta pengalaman pembaca/pendengar untuk menganggarkan kadar waktu yang dinyatakan. Bagi memahami konsep waktu dalam Hikayat Malim Deman, kita boleh merujuk kepad (a) waktu abstrak, dan (b) waktu konkrit. Walau bagaimanapun, kedua-dua konsep waktu itu bertindan-tindih.



a)              Waktu Abstrak

Waktu abstrak ialah waktu yang digambarkan melalui ungkapan dan kata-kata runs, iaitu satu susunan kata-kata yang teratur, tersusun indah dan sering diucapkan berulang kali. Pengukuran waktu abstrak berdasarkan anggaran seperti ‘”berapa lama,” “antara barapa lama,” “sekitar” dan lain-lain. Contonya, dalam muka surat pertama pengarang berkata “Inilah warita orang dahulu kala, entahkan beberapa zaman lamanya carita dibawa air yang hilir, angin yang lalu dan burung yang terbang’. Dalam Hikayat Malim Beman, konsep waktu abstrak terdapat dalam beberapa gambaran peristiwa.



(i)              Umur Malim Deman

Umur Malim Deman diukur/dinilai secara perbandingan, iaitu berdasarkan umur tumbuhan. Gambaran umur yang masih mentah itu dapat dirujuk melalui kata-kata bondanya.

Umur setahun jagung,

Darah setampuk pinang,

Besar di bawah pisang goyangan,

Besar di bawah tebu berlengkar.

                                                                      

                                                   (halaman 10)



Kita sukar menilai usia jagung atau darah (?) tumbuh kerana bersifat subjektif. Jagung/pinang yang tumbuh di tanah subur mengalami pembesaran yang berbeza dengan jagung/pinang yang tumbuh di tanah gersang. Walau bagaimanapun, ungkapan di atas menggambarkan bahawa pemikiran Malim Deman masih mentah dan masih muda.



(ii)             Aksi Berhimpun

Gambaran nilai waktu, kepantasan bertindak dan aksi rakyat terhadap pekerjaan raja dapat dilihat apabila Bujang Selamat menitir canang, memikul tabuh dan memalu gong memanggil rakyat berhimpun.



Yang capik datang bertongkat,

Yang buta datang berpimpin,

Yang pekak leka bertanya,

Yang kecil terambin lintang,

Yang jarak tolak-tolakkan,

Yang pendek tinjau-meninjau,

Yang kurap mengekor angin

                                                                                          (halaman 11)



Gambaran nilai waktu dalam aksi berhimpun di atas diulangi dalam peristiwa yang lain, misalnya titah Si Raja Jin yang meminta rakyat tentera berhimpun (halaman 81).

(iii)             Aksi Berperang

Dalam peperangan memerlukan kelicikan dan  kepantasan bertindak. Kepetahan fizikal sangat penting di samping mampu membaca pergerakan lawan. Ketika berperang dengan Raja Mambang Molek digambarkan kepetahan aksi Malim Deman menepis tikaman keris Sepukul Pamur Perak Tiga Biji di hujungnya dengan lompatan yang pantas dan terapung seperti rama-rama. Demikian juga kepetahan Raja Mambang Molek ketika menangkis keris Jalak Jantan Berkerawang Pamur, digambarkan;



Raja Mambang Molek ke udara terlalu cepat tiada sempat dipandang mata, seperti kilat yang maha tangkas rupanya:

Ditikam ke kiri ia ke kanan,

Ditikam ke kanan ia ke kiri,

Ditikam ke hadapan ia ke belakang,

Ditikam ke atas ia menyusup ke bawah,

Ditikam ke bawah ia melompat ke atas.

                                           

(halaman 71)



(iv)            Kehamilan Tuan Puteri Bongsu

Kehamilan Tuan Puteri Bongsu yang selama 12 bulan digambarkan dengan membandingkan dengan burung enggang dan tumbuhan.



Selama enggang mengeram,

Selangkas betik berbuah,

Semasak buah rumbia.

                                            (halaman 43)



Daripada contoh-contoh di atas jelas menunjukkan bahawa waktu abstrak digambarkan melalui fenomena alam, pergerakan manusia dan haiwan yang terdapat di sekitar mereka sebagai menandakan mereka memahami alam dan perkaitannya dengan kehidupan mereka.



b)              Waktu Konkrit

Waktu Konkrit ialah waktu yang lebih jelas digambarkan berdasarkan nombor, hari, minggu, bulan dan waktu-waktu tertentu pada setiap peristiwa yang berlaku di dalam cerita.



(i)              Malim Deman Bersantap

Bagaimana cepatnya Malim Deman bersantap digambarkan berdasarkan nombor: dua, tiga, empat, lima dan enam.



Santap ia santap beradat,

Dua suap tiga sudah,

Keempat basuh tangan,

Kelima kumr-kumur,

Keenam makan sirih,

Kelat jatuh ke rongkongan,

Seri naik ke peroman

                                            (halaman 14)





(ii)             Memulakan Perjalanan

Pemilihan waktu yang sesuai untuk memulakan perjalanan berdasarkan hari dan tarikh serta masa. Waktu yang dianggap baik oleh Malim Deman untuk memulakan perjalanan ialah:

Ahad bersusun dengan Senin,

Pada dua belas haribulan,

Dua belas tapak bayang-bayang.

                                            (halaman 16)



(iii)             Tuan Puteri Bongsu Bersalin

Ketika Tuan Puteri Bongsu bersalin melahirkan Tuanku Malim Dewana, konsep waktu digambarkan dengan jelas, iaitu berdasarkan hari, tarikh, masa dan persekitaran.



Hari Ahad bertimpa Senin,

Dua belas haribulan,

Dua belas tapak bayang-bayang,

Menderau-derau hujan panas,

Sambung-menyambung kilat,

Panah memanah halilintar,

Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.

                                            (halaman 44)





(iv)            Majlis Perkahwinan Malim Deman

Majlis perkahwinan Malim Deman dengan Tuan Puteri Bongsu digambarkan jarak waktu persiapan, dan permulaan persiapan. Namun masa tidak digambar dengan tepat. Hal ini dapat difahami kerana persiapan majlis perkahwinan memakan masa yang lebih panjang.



Maka kepada masa ketika yang baik malam Ahad bersusun Senin bekerjalah tiga bulan lamanya.

                                                                                     (halaman 38)

(v)      Pengembaraan Malim Deman

Lama pengembaraan Malim Deman mencari isterinya, Tuan Puteri Bongsu, dinyatakan berdasarkan hari, bulan dan tahun. Walaupun penyataannya masih bersifat abstrak, namun kita dapat memahami jangka masanya. Gambaran yang sedemikian difikirkan sesuai kerana pencarian itu sendiri tidak menjanjikan jangka masa. Pencarian itu digambarkan sebagaimana berikut.



Habis hari berganti hari,

Habis malam berganti malam,

Habis bulan berganti bulan,

Habis tahun berganti tahun.



                                                                                          (halaman 50)



(vi)              Bertemu dengan Wali Allah

Gambaran waktu dan persekitaran ketika Malim Deman bertemu dengan wali Allah dinyatakan dengan jelas.  Dikatakan bahawa waktu mimpi itu masa saat yang sempurna, iaitu ketika;



Tengah malam sudah terlampau,

Dinihari belum lagi tampak,

Budak-budak dua kali jaga,

Orang muda pulang bertandang,

Orang tua berkalih tidur;

Embun jantan rintik-rintik,

Berbunyi kuang juah ke tengah,

Sering lanting riang di rimba;

Melenguh lembu di padang,

Sambut menguak kerbau di kandang,

Berkokok mendung, merak mengigal,

Fajar sidik menyingsing naik,

Kicak-kicau bunyi murai,

Taptibau melambung tinggi,

Berkuku balam di hujung bendul,

Terdengut puyuh panjang bunyi;

Puntung sejengkal tinggal sejari;

Itulah alamat hari nak siang.



                                                                      (halaman 4)





(v)            Membuat Balai Gambang

Jangka masa membuat Balai Gambang bagi kegunaan Malim Deman dan Tuan Puteri Bongsu berangkat dari Hulu Bandar Ke Kuala Bandar Muar digambarkan secara tepat. Balai itu dapat disiapkan dalam masa tiga hari tiga malam diusahakan oleh 44 orang tukang.



Maka dengan takdir Allah Subhanahu Wataala, sekitika lagi tukang yang empat puluh empat itupun turunlah Bekerja tiga hari tiga malam membuat balai gambang itu…

                                                                                              

                                                                                     (halaman 34)



PENGUKURAN RUANG DAN WAKTU

Pengukuran konsep ruang dan waktu dalam Hikayat Malim Deman terbahagi kepada

dua cara, iaitu secara objektif dan secara subjektif.



a)              Pengukuran Secara Objektif.

Pengukuran secara objektif adalah berdasarkan pada penggunaan angka, masa dan

hari bagi menggambarkan keluasan, sama ada keluasan ruang tempat mahupun ruang

masa.





(i)              Angka

Angka-angka yang sering digunakan untuk mengukur ruang dan waktu ialah angka dua belas (halaman 39), seratus (42), lima (56), dua (42), dan seribu (16). Angka-angka itu dipadanklan dengan tingkat (misalnya, dua belas tingkat), hari, bulan, tahun dan tapak. Misalnya dalam contoh di bawah.



Adapun masanya tuan puteri itu turun bermain ke sini pertama-tama kepada empat belasa hari bulan, yang kedua kepada lima belas hari bulan dan yang ketiga kepada enam belas hari bulan; di dalam tiga hari itu adalah ia sampai ke mari



                                                                      (halaman 22)



Seketika lagi tukang yang empat puluh empat itu pun turunlah bekerja tiga hari tiga malam membuat balai gambang iti.



                                                            (halaman 33 – 34)



(ii)                       Masa dan Hari

Tidak ada masa yang tepat digunakan. Pengukurannya berdasarkan kepada hari siang, malam, petang dan senjakala. Contohnya, kesedihan Malim Deman yang ditinggalkan oleh Tuan Puteri Bonsu digambarkan berlanjutan selama “tujuh hari tujuh malam tiada beradu, tiada santap, leka dengan menagis sahaja”.  Manakala, jauh pengembaraan / perjalanan Malim Deman digambarkan ;



Habis hari berganti hari,

Habis malam berganti malam,

Habis bulan berganti bulan

Habis tahun berganti tahun.

                                                            (halaman 50)



(iii)              Angka dan Hari

Pengukuran ruang dan waktu berdasarkan pada angka dan hari digunakan secara serentak.

Hari Ahad bertipa Senin,

Dua belas haribulan,

Dua belas tapak bayang-bayang,

Menderau-derau hujan panas,

Sambung-menyambung kilat,

Panah memanah halilintar,

Berbunyi sekalian bunyi-bunyian.

                                                                      (halaman 44)





b)              Pengukuran Secara Subjektif

Pengukuran ruang dan waktu secara subjektif digunakan adalah berkaitan dengan tanggapan pemikiran manusia yang tidak dapat mentadbir alam secara objektif. Pengukurannya berdasarkan keupayaan tanaga manusia, haiwan, bunyi-bunyian, status, manusia, simpulan bahasa, susun lapis alam, kata –kata runs dan ungkapan.



(i)    Angka dan Haiwan

Walaupun angka digunakan, namun gambaran sebenar keluasannya tidak dapat dipastikan. Kita tidak tahu seluas mana setiap satu ruang, satu lapis alam dan satu lapis waktu, sebagaimana kita tidak ketahui selama mana keupayaan tenaga haiwan dapat bertahan apabila digunakan. Contohnya,



Tujuh ruang, tujuh pemanah,

Selelah burung terbang,

Selejang kuda berlari.

                                                                      (halaman 9)









(ii)                       Simpulan Bahas

Penggunaan simpulan bahasa terhad untuk mengukur waktu sahaja. Tidak banyak simpulan bahasa yang digunakan. Penggunaannya hanya untuk menggambarkan usia Malaim Deman sahaja.



Umur setahun jagung,

Darah setampuk pinang,

Besar di bawah pisang goyangan,

Besar di bawah tebu berlengkar.

                                                   (halaman 10)





(iii)                      Jangkauan Bunyi-Bunyian

Terdapat juga penggunaan alat muzik untuk mengukur ruang dan waktu, iaitu jankauan bunyi muzik yang dapat kedengaraan. Muzik digunakan sebagai alat komunikasi di antara pihak istana dengan rakyat yang tinggal di merata tempat. hal ini mengammbarkan keluasan ruang kekuasaan raja dan cepatnya komunikasi mereka.



Titir canang pemnggil,

Pukul tabuh larangan,

Palu gong palung.

                                                                      (halaman 11)







(iv)                     Status Manusia

Jawatan dan gelaran yang ada pada rakyat dan golongan pentadbir boleh menggambarakan ruang kekuasaan seseorang raja. Dalam Hikayat Malim Deman terdapat jawatan-jawatan seperti temenggung, laksamana, Orang Kaya Besar, menteri, hulubalang, sida-sida, bentara hingga kepada rakyat hina-dina, kecil besar, tua muda dan lelaki perempuan.

(v)                      Susun Lapis Alam

Susun lapis alam digunakan apabila menggambarkan ruang dan jarak yang jauh di antara istana Raja Jin dengan istana Tuan Puteri Bongsu, dan kampung Nenek Kebayan. Misalnya dalam contoh di bawah.



Ayuhai kakanda, silahlah ambil sirih ini. Jika kakanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan Jika kakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, apabila kakanda menempuh lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuh lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuh lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bisa, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bisa itu.



                                                                      (halaman 58)







(vi)                      Kata-kata Runs

Objek yang digunakan sebagai pengukur dalam kata-kata runs adalah bercampur-aduk. Walau bagaimanapun, kita dapat memahami konsep ruang dan waktu yang digambarkan.



Tempat jin yang banyak,

Tempat syaitan yang banyak,

Masuk hutan keluar hutan,

Masuk padang keluar padang,

Masuk rimba keluar rimba,

Bertemu cangkat didakinya,

Bertemu lurah sama dituruni,

Habis hari berganti hari,

Habis malam berganti malam,

Habis bulan berganti bulan,

Habis tahun berganti tahu.

                                                                                                                        (halaman 16)



(vii)          Haiwan dan Tumbuhan

Pengukuran ruang dan waktu berdasarkan haiwan dan tumbuhan digunakan sewaktu menggambarkan jangka masa kehamilan Tuan Puteri Bongsu.



Selama enggang menggeram,

Selangkas betik berbuah,

Semasak buah rumbia.

                                                  (halaman 43)





NILAI RUANG

Nilai ruang dapat difahami dengan melihat pengisiannya. Dalam Hikayat Malim Deman, manipulasi bahasa berjaya dieksploitasi dengan baik untuk menggambarkan nilai ruang. Antara elemen yang membentuk nilai ruang ialah kapasiti manusia, material dan kuasa magis.



(i)       Berdasarkan Kapasiti Manusia

Terdapat banyak sekali nilai ruang berdasarkan pengisian manusia. Contohnya, dalam halaman 12, episod yang menggambarkan peristiwa Malim Deman ingin keluar mengembara, segala rakyat dari golongan pentadbir hingga kepada bawahan keluar untuk mengucap selamat keberangkatan/mengiring Malim Deman – dari yang capek, yang buta, yang pekak, yang kecil, yang jauh, yang pendek hinggalah kepada yang berpenyakit. Selain mengambarkan wujudnya sebuah kerajaan, peristiwa itu juga mengambarkan keakraban rakyat dengan golongan pemerintah.



(ii)      Berdasarkan Material

Tidak banyak peristiwa dikaitkan antara nilai ruang dengan material, kecuali ketika mengambarkan Kuala Bandar Muar. Tujuannya mungkin untuk menunjukkan kelebihan yang ada pada negeri berkenaan serta mengagung-agungkan golongan pemerintah. Sistem pentadbiran Bandar Muar digambarkan bersistematik -  ada pelbagai jawatan dengan pembahagaian tugas masing – masing. Bandar Muar digambarkan sebuah negeri yang makmur, mewah dengan pelbagai hasil bumi dan ternakan. Mewahnya / kaya Bandar Muar hingga, “emas perak penuh di rumah”, dan “tangga rumah emas bertuang”, sebagaimana digambarkan dalam gurindam di bawah.



Awak tua Bandar terbuka,

Emas habis, dagangan mudah,

Kerbau kambing sesak di padang,

Itik angsa tenang kuala

Merpati lindungan langit,

Rengkiang tujuh sejanjar,

Teman dengan sekerat kota,

Emas perak penuh di rumah,

Tangga rumah emas bertuang,

Ibu tangga rumah emas bertitek;



(halaman 2)





          Begitu juga dengan kegiatan ekonomi perdagangan yang pesat serta kapasiti ruang berdagang yang cukup luas digambarkan dengan berhimpunnya perniaga kain sutera, lilin, mastulin, getah dan sebagainya. Dalam aktiviti diraja seperti majlis perkahwinan misalnya, digambarkan terdapat pelbagai jenis barang makanan. Istana raja digambarkan begitu hebat sekali sebagai penanda kebesarannya.



Tujuh ruang, tujuh pemanah,

Selelah burung terbang,

Salejang kuda berlari.

(halaman 9)





Dalam majlis perkahwinan Tuan Puteri Bungsu dengan Malim Deman digambarkan nilai materialnya.



Sabung tak henti tiga bulan,

Sabung bertunda bulu ayam,

Air didih menganak sungai,

Kerak nasi membusut jantan,

Terung berbuah di gelegar,

Kunyit berhimpang atas para,

Serai beranak atas dapur.



(halaman 38)





(iv)           Berdasarkan Kuasa Magis

Kuasa magis juga berperanan terhadap nilai ruang. Menurut Prof. R. Roolvink, masyarakat Melayu pada zaman lampau mempunyai kesanggupan untuk mencipta dunia fantasi mereka sendiri. hal ini disebabkan oleh pengaruh budaya, kepercayaan India Kuno dan Islam yang kuat. Di halaman 58 digambarkan peristiwa Malim Deman hendak ke kayangan dengan hanya memakan sirih sahaja sudah cukup untuk mengatasi masalah dari pelbagai jenis lautan dengan pelbagai jenis halangan – api, sejuk, gelap dan sebagainya. Contoh lain, di halaman 82, iaitu peristiwa menerbangkan istana pemberian Si Raja Jin kepada Malim Deman dan isterinya untuk dibawa ke Bandar Muar. Ruang jarak perjalanan yang ditempuh ialah tujuh hari tujuh malam baharulah sampai ke Bandar Muar.



(v)            Berdasarkan Bintang

Ruang yang dimaksudkan ialah merujuk saiz watak bintang. Kehebatan burung Borak membawa Maim Deman hingga ke pintu kayangan dan peristiwa Tuan Puteri memberi maka sekawah nasi dan kambing seekor kepada Borak mewujudkan nilai ruang tersendiri. Ruang jarak yang jauh dari bumi ke kayangan dan penerbangan yang tinggi mengatasi awan oleh burung Borak digambarkan seperti berikut.



Hilang disaput awan yang puteh,

Hilang disaput awan yang kuning,

Hilang disaput awan yang biru,

Sakali membawa edar ke kiri,

Dua kali membawa edar ke kanan,

Tiada boleh membawa edar lagi,

Hilang disaput si mega-mega.



(halaman 58 – 59)





KESIMPULAN

Dalam Hikayat Malim Deman, konsep ruang dan waktu merupakan salah satu ciri yang membina ceritanya. Kedua-dua konsep itu berkait-rapat dengan tokoh utamanya, Malim Deman, sama ada pada sifat, tingkah laku mahupun tempat-tempat yang dikunjunginya. Penggambaraan sebegini bersesuaian kerana cerita Hikayat Malim Deman bersifat keperwiraan. Maka gambaran keperwiraan nampak dengan jelas dilebih-lebihkan.

          Selain sebagai gambaran kegiatan sosio budaya, penggunaan konsep ruang dan waktu juga menunjukkan bahawa mereka sudah mempunyai persepsi yang jelas terhadapnya. Nilai dan pengukuran ruang dan waktu yang dikaitkan dengan alam dan fenomenanya menandakan mereka sudah tahu ilmu astronomi, walaupun pada peringkat paling asas. Hal ini menandakan bahawa cerita-cerita lipur lara Melayu bukan untuk hiburan semata-mata, melainkan gambaran seluruh struktur fizikal, kerohaniah dan keintelektualan mereka.

          Pengukuran konsep ruang dang waktu berdasarkan alam dan fenomenanya juga menanda mereka akrab dan tahu menilai alam persekitaran, faham nilai budaya dan mesra dengan pengaruh Hindu dan Islam.



RUJUKAN

Asmah Haji Omar (1986). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

A.H. Idrus (1960). Persuratan Melayu I Prosa. Kuala Lumpur : Qalam.

Kamus Dewan (1987). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Mohd. Isa (1984). Penglipur Lara Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd..

Mustafa Mohd. Isa (1987). Awang Belangga : Pengipur Lara Dari Perlis . Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Taslim (1986). Asas-Asas Pembinaan Epik. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya (1987). Hikayat Malim Deman. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Sulastin Sulrisno (1980). “Hikayat Hang Tuah : Antara Konvensi dan Inovasi” dlm Imej dan Cita-cita.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

V.I. Braginsky (1994). Erti Keindahan dan Keindahan Erti Dalam Kesusteraan Melayu Klasik.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Taslim (1990). “Struktur Ruang dan Konsep Kebangsawanan dalamm Roman Penglipur Lara” dlm. Dewan Sastera,  Julai 1990.                                                                                               














Tiada ulasan: