Ahad, 19 Disember 2010

Tinggi Harap Daripada Usaha

Sebagai tutor kertas bahasa Melayu dan sebagai penyelia projek OUM kertas bahasa Melayu, salah satu tanggungjawab aku ialah memeriksa tugasan mahasiswa. Setiap kali memeriksa, aku sering membebel sendirian. Rasa tidak puas hati dan kecewa jelas. Hal ini kerana mahasiswa sangat berharap dan bergantung harap pada markah tugasan. Mereka tidak bergantung harap pada peperiksaan kerana, berdasarkan pengalaman, keputusan peperiksaan banyak mengecewakan. Sedangkan aku tidak dapat memenuhi harapan mereka secara mutlak.

Bukan aku kedekut markah atau sengaja tidak mahu memberi markah tinggi kepada mereka. Masalahnya, mereka hanya berharap tanpa membuktikan harapan mereka melalui penghasilan tugasan, bahawa mereka ingin markah tinggi.


Aku berkata demikian kerana beberapa sebab. Pertama, terlalu banyak kesalahan tanda baca dan ejaan. Misalnya, mereka tidak menjarakkan setiap perkataan selepas tanda titik (.) atau koma (,). Semasa belajar dahulu, cikgu aku mengingatkan bahawa setiap perkataan selepas tanda koma (,) hendaklah dijarakkan. Demikian juga pada setiap perkataan selepas tanda titik (.). Setiap ayat baru, huruf pertama dalam perkataan pertama mesti ditulis huruf besar. Namun, perbuatan ini tidak menjadi amalan kepada guru-guru sekolah yang menjadi mahasiswa OUM. Tentulah saya berasa pelik kerana mereka merupakan guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu (Malaysia).
 


Kedua, seringkali juga aku terjumpa bahawa hasil tugasan itu disalin (cut and paste) daripada modul, jurnal, buku atau tesis. Sesetengahnya ada membuat ubah suai daripada teks asal. Semalam aku terjumpa kenyataan yang meragukan keasliannya. Pada halaman tertentu dinyatakan bahawa murid dari Sekolah A menjadi sampel kajian, manakala pada halaman lain pula dinyatakan bahawa murid dari Sekolah B menjadi sampel kajian. Adakah mungkin projek yang bakal disiapkan ini dicedok daripada mana-mana projek yang telah siap?


Ketiga, sesetengah jawapannya tidak menjawap fokus soalan. Memang ada yang menulis panjang lebar, namun tulisan yang panjang lebar itu tidak menjawab fokus soalan. Ada kalanya aspek fokus soalan dijawab ringkas, manakala aspek yang tidak dikehendaki dalam soalan ditulis panjang lebar.


Keempat, ada sesetengahnya yang tidak menjawab langsung fokus soalan. Misalnya, soalan bertanyakan aspek kesalahan imbuhan dalam penulisan karangan murid. Jawapan yang diberikan ialah berkenaan kelemahan membaca dan kaedah mengajar.


Kelima, ada juga yang menjawab tugasan dengan hanya menulis dalam bentuk senarai fakta tanpa member penjelasan terhadap fakta berkenaan. Saya bukan sahaja memerlukan ketepatan fakta / isi. Saya juga akan melihat kemantangan berhujah bagi menguatkan fakta yang diberikan. Memberi fakta tanpa membuat penghujahan samalah seperti membeli ikan dan sayur, kemudian membiarkannya di dapur, dan menunggu untuk dimakan.


Keenam, ramai dari kalangan mereka yang tidak membaca. Mereka hanya membaca modul yang dibekalkan. Ada yang menyelesaikan tugasan dengan merujuk sumber dari internet semata-mata. Memang cara ini bagus, namun dengan merujuk internet semata-mata adalah meragui. Amat jarang yang merujuk buku-buku tambahan. Pernah terjadi seorang mahasiswa yang ingin melaksanakan kaedah koperatif dalam kajiannya memberitahu tidak ada bahan rujukan (buku) berkenaan tajuk tersebut.


Aku hairan. Mereka ialah guru. Guru sepatutnya gemar membaca. Apalagi guru yang menjadi mahasiswa. Dan, mereka ialah guru Bahasa Melayu. Bagaimanakah mereka mengajar murid, sedangkan bahasa sendiri banyak salah. Apakah tidak ada rasa bertanggungjawab untuk membaiki diri dan anak didik?

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan,

Seburuk itukah mahasiswa kita? Di tempat tuan saja atau secara umumnya di tempat2 lain juga? Patutlah kalau kerja ofis tak tahu menulis; tapi yang tahu bahasa Inggeris cukup baik tulisannya dalam bahasa Inggeris, teratur dan sedap dibaca. Saya bercakap dari pengalaman. Untuk mengajar balik budak2 kita, saya gunakan masa enam bulan mengajar mereka menulis bahasa Melayu, tiga kali seminggu. Sampai saya puas hati, baru saya suruh buat kerja yang berkaitan dengan penulisan, eg. buat laporan, catatan, minit mesyuarat dll. Seteruk itu. Dan ada juga yang sudah dapat MA. Apa sudah jadi dengan budak2 kita ini? Mereka tak layak diberi tempat di universiti; yang sudah lulus tak layak diberi kerja kalau hampir buta huruf. Macam mana boleh lulus interview? Setakat yang boleh, saya tolong, walaupun dengan hati marah. Terpaksa tanggung. Mari kita bincang perkara ini betul2, supaya anak2 kita di universiti yang akan bekerja betul2 bagus. Kita cari jalan. Boleh, Insya Allah. Boleh. Malaysia boleh, kita selesaikan haru biru ini. Insya Allah ... Terima kasih kerana bawa perkara yang amat penting ini ke pentas perbincangan. Moga2 Allah berkati usaha tuan yang baik itu!! Amin.

abuyon berkata...

Kecilnya 'kurang ajar', besarnya begitulah. Dan yang mengajarnya tentulah cikgu BM!

abuyon berkata...

Kalau dari sekolah ok, sampai ke besar tentu penulisannya ok.

Lagi satu, mereka dipengaruhi oleh gaya penulisan berorientasikan teknologi moden yang pantas hari ini - SMS, merebak pula ke dunia internet - blog dan sekarang, FB!

Muhammad Zuhair Zainal berkata...

Segelintir sahaja yang jujur dengan ilmu.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Terima kasih memberi pandangan.

Catatan itu untuk renungan, terutama kpd para pelajar / mahasiswa - buktikan bahawa anda tidak demikian.

Tanpa Nama berkata...

SAYA RASA BUKAN SEMUA BEGITU. MUNGKIN SEGELINTIR SAHAJA. TAMBAHAN PULA YANG SEGELINTIR INI DAPAT MASUK IPTA/IPTS GUNA KABEL. MERITOKRASI YANG DICANANG HANYA SLOGAN SEMATA-MATA. KALAU OUM TU KERANA FAKTOF KEWANGAN. SEBAB ITULAH SAYA WALAUPUN DITAWARKAN MENGAJAR DI SITU, SAYA TOLAK.

Tanpa Nama berkata...

Satuju Tanpa Nama

Pengajar guna mahasiswa untuk dapat kewangan; mahasiswa guna kewangan untuk dapat markah / ijazah.