Saya setuju peringatan yang disampaikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang meminta pengusaha pusat beli belah berhenti menyuruh jurujual beragama Islam memakai pakaian Santa Claus (Mingguan Malaysia, 26 Disember 2010). Walaupun bertujuan baik, Santa Claus ialah imej agama Kristian dan larang bagi orang Islam menirunya.
Larangan sedemikian terhadap orang Islam bukan sahaja dalam aspek meniru berpakaian, malahan meliputi aspek lain juga. Orang Islam dilarang sama sekali melakukan atau meniru perkara-perkara yang ditegah dalam agamanya. Hal ini termasuklah meminta jurujual beragama Islam menguruskan barang-barang yang diharamkan dalam Islam. Misalnya, menjaga kaunter bagi urusan jual-beli (pembayaran) arak atau daging babi.
Ada baiknya para pengusaha pusat beli-belah menyediakan kaunter khusus untuk urusan pembayaran barangan yang diharamkan dalam Islam, sebagaimana mengasingkan barangan haram dengan barangan halal.
Dalam hal ini, pihak berkuasa agama MESTI selalu memantau, di samping memantau kepatuhan terhadap Sijil Halal.
Sepatutnya, nasihat yang dikeluarkan oleh Tan Sri Harussani Zakaria itu tidak perlu lagi kerana Malaysia telah diisytiharkan 'negara Islam.' Segala kesucian agama terjamin dan masyarakat tidak perlu was-was menggunakan sebarang barangan yang dijual dalam sebuah negara Islam merdeka. Lebih-lebih lagi, semua larangan dan panduan telah diundangundangkan oleh kerajaan persekutuan, dan pemerintahnya juga adalah beragama Islam.
Rakyat rasa pelik dan aneh apabila hal-hal seumpama ini selalu berlaku dan tidak berkesudahan. Rakyat rasa ragu terhadap majlis agama Islam. Rakyat juga rasa ragu terhadap parti yang memerintah negara Malaysia. Apakah mereka tidak menjalankan amanah Allah?
Kalau orang yang diamanahkan mempertahankan dan memartabatkan agama, bangsa dan negara tidak mampu berbuat demikian, apakah wajar mereka kekal di situ?
Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dan perlu dihapuskan. Justeru, permintaan Tan Sri Harussani Zakaria agar semua pihak berwajib dan jabatan-jabatan agama Islam memantau dan mengimbil tindakan sewajarnya bagi membendung perkara mungkar agama itu adalah disokong. Masyarakat juga perlu menyahut dengan cara bertindak mengikut kemampuan masing-masing, asalkan tidak bersalahan dengan hukum-hakam agama dan undang-undang Malaysia.
2 ulasan:
dan di mana pula peranan pemimpin2 pembangkang, yg begitu hebat dlam perjuangan Islam mereka.. ke mana menghilang juak2 yang mendabik dada mengatakan mereka lebih Islam drpd org lain..apakah hal sekecil ini masih perlu mengharap tindakan kerajaan...
Yim, dalam soal agama, sepatutnya tiada parti. Baik kerajaan atau pembangkang, atau orang berkecuali, semuanya mesti bangun tegak agama Allah.
Catat Ulasan