Sabtu, 18 September 2010

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Aku berpendapat, Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September) merupakan dua hari paling penting bagi negara berdaulat Malaysia. Dua hari ini merupakan tanda dan petanda akan sikap pemimpin dan rakyat terhadap negaranya. Walaupun 'seliar' mana pemimpin dan rakyat Malaysia, mereka mesti menghormati dan mencintai makna di sebalik dua hari itu. Jika mereka tidak menghormati atau memberi ruang untuk sesiapa menghormatinya atau menunjukkan rasa cinta terhadapnya, maka orang berkenaan boleh dianggap penjarah negara. Ganasnya melampaui Datuk Peguam.


Oleh sebab itu, aku berpendapat, pada hari itu, sepatutnya juga diisytiharkan hari bebas parti. Sesiapapun tidak dibenar bercakap tentang parti masing-masing. Apalagi, mengadakan ceramah kempen parti. Tidak ada kepuak-puakan, kesuku-sukuan. Yang ada ialah rakyat Malaysia. Tidak ada Melayu, tidak ada Cina, tidak ada India, dan sebagainya. Yang ada ialah rakyat Malaysia. 

Di mana-mana pada hari ini, orang menamakan dirinya 'rakyat Malaysia.' Di mana-mana pada hari ini, rakyat Malaysia meluahkan rasa cintanya, rasa bangganya terhadap Malaysia. Yang tua menceritakan akan perit gentirnya hidup dalam cengkaman penjajah. Pilihlah penjajah yang mana satu: Portugis, Belanda, England, Jepun mahupun Bintang Tiga. Berceritalah akan kekejaman mereka. Berserulah akan pentingnya kemerdekaan, keamanan, keharmonian dan kebersatuan. Tunjuklah rasa bersatu yang diwar-warkan. Duduklah sepentas, atau semajlis, atau semeja dengan puak-puak atau suku-suku lain, sebagai teladan dan ikutan kepada generasi muda yang selalu memerhatikan. 

Namun malangnya, dalam majlis sambutan dua hari itu, kita masih berpuak-puakan, bersuku-sukuan. Puak Umno tidak boleh bersatu dengan puak Perkasa. Puak Barisan Nasional tidak boleh bersatu dengan puak Barisan Pakatan Rakyat. Sedangkan, kedua-dua puak besar itu merupakan rakyat Malaysia. Kedua-dua puak besar itu juga sering kita dengar seruannya agar rakyat sentiasa bersatu. Malangnya, diri sendiri masih kepuakan. 

Apa salahnya, pada dua hari itu, dua puak besar itu melupakan ideologi puak masing-masing. Wakilnya sama-sama berdiri di atas pentas menyambut dan meraikan majlis dua hari besar itu. Bersalam-salaman antara satu sama lain sebagai tanda dan petanda kepada generasi, kepada negara asing, bahawa dalam isu-isu nasional dan kepentingan kenegaraan, mereka bersatu demi negara sesungguhnya. Dengan cara itu, aku fikir, barulah harimau, gajah, singa berasa gerun akan kesepakatan kita mempertahankan kedaulatan negara. Barulah penjarah takut menganjurkan demonstrasi membakar Jalur Gemilang. 

Malangnya, hati kita tidak sepakat memartabatkan kedaulatan negara. Hanya mulut yang melaung-laungkan kesepakatan, sedang hati tidak. Usahkan harimau, singa, gajah tidak gerun kepada kita, babi hutan pun tidak takut. 

Orang yang menguruskan sambutan dua hari itu perlu mengubah sikap. Panggillah wakil semua pemimpin dari pelbagai pertubuhan politik dan bukan politik, sama-sama berdiri di atas pentas meraikan dua hari itu. Di bawahnya, tersenyum pengikut masing-masing. Kalau ada pertunjukan perarakan, berilah peluang kepada parti-parti turun berarak menunjukkan taat dan cintanya kepada negara. 

Setelah 53 tahun Tanah Melayu (Malaysia) merdeka dan dalam sambutan sulung Hari Malaysia, hanya parti pemerintah dari Barisan Nasional sahaja yang bertungkus-lumus menganjur dan meraikan sambutannya. Sedang parti-parti lain bersenang-lenang menikmati usaha sebelah pihak sahaja. Pada aku, hal ini tidak wajar dan tidak adil. Biarlah susah sama-sama susah dan senang sama-sama senang. Dari situ rakyat dapat menilai, pemimpin dan parti mana  yang betul-betul mencintai negaranya.

Kalau tidak, generasi muda kekal dengan anggapan, "1 Malaysia hanya visi individu dan omong kosong sahaja.' 

6 ulasan:

abuyon berkata...

salam cikgu,

Setuju!


*Selamat Hari Raya
Aidilfitri

Nizam Dungun bekas junior kat IPSI berkata...

Pada pandangan saya, sebab itulah kempen kibarkan Jalur Gemilang begitu suram. Apa tidaknya, jika dikibar Jalur Gemilang, pihak parti pemerintah begitu sohor seolah-olah rakyat menyokong parti pemerintah. Jadi, majoriti rakyat enggan menyahut seruan mengibarkan Jalur Gemilang.

NASSURY IBRAHIM berkata...

Ya, tahun ini begitu suram sekali kibar Jalur Gemilang, dan kerajaan pun banyak mencurah rezeki di Sabah dan Sarawak.

Tanpa Nama berkata...

lawak betul penulis blog ni, masih xfaham sejarah, bintang tiga wujud utk menentang penjajah,umno menyokong penjajah.
jalur gemilang ke apa, bendera malaysia, lagu negaraku semua ciplakan itu fakta, jadi mcmana rakyat nak bangga?? rakyat xbodoh skrg.ko bakar ke apa ke kat bendera ni xbermakna pada rakyat, pasal rakyat yg bagus dia tau asal usul/sejarah negara..
lawak betul penulis blog ni,ha.ha.
menulis semua boleh tapi apa yg ko tulis mmg lawak

ahli PAS berkata...

Inilah realitinya rakyat Malaysia..mengaku rakyat tapi rasa sayang pd negara seciput cuma...tapi rasa sayang pada parti melebihi segala..nk kibar jalur gemilang pun masih takut pada BN.....bodoh betul org cam nie..

NASSURY IBRAHIM berkata...

Kepada Tanpa Nama dan Ahli PAS (yang beri komen entri ini) saya simpulkan begini: RUPA-RUPANYA, DALAM SITUASI APAPUN DAN DI MANAPUN, PENGGANAS TIDAK PERNAH WARAS. Dalam Majlis Forum Perdana pada 18 Mac 2011 di KTC, saya lihat orang yang mengaku dirinya PAS / menyokong PAS, berketayap dan serban besar, namun sikapnya langsung tidak rasional dan tidak menggambarkan ajaran agama yang dianutinya. Mungkin dalam ramai peserta itu ada anda berdua. Walaupun tidak memahami mesej, namun tetap mahu bercakap. Kalau betul anda penyokong PAS, saya malu mempunyai 'rakan' seperti ini.