Ahad, 26 September 2010

Dr Lim Swee Tin

Selamat bersara kepada Dr Lim Swee Tin. Selamat menjalani kehidupan baharu, yang pasti akan ditempuhi oleh sesiapa sahaja yang pernah bekerja makan gaji.

Gambar ini saya ambil sewaktu kami di Hatyai pada tahun 2009.

Saya banyak belajar tentang penulisan sajak , sama ada langsung mahupun tidak langsung, daripada Dr Lim. Beliau merupakan antara penggerak aktiviti penulisan sajak, dan sangat akrab dengan Awang Abdullah.


Sajak-sajak Dr Lim merupakan antara model sajak kepada saya. Ungkapan kata-katanya lembut dan bergaya, ada lenggoknya, hingga saya memiliki hampir kesemua kumpulan sajak beliau (yang saya jumpa). 


Pada saya, ada dua fasal sajak-sajak Dr Lim. Pertama, sajak alam kampung, dan kedua sajak alam global. Antara keduanya itu, saya lebih meminati sajak-sajak di alam kampung. Sajaknya tentang sejarah atau Kundasang, malah tentang orang tuanya sangat puitis. Sajak di alam kampung juga banyak filosofis.
Sajak Dr Lim memang kaya dengan nilai kemanusiaan. Ambillah sajak yang manapun akan kita temui nilai kemanusiaannya yang jernih.

Walau bagaimanapun, setelah beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau lebih giat bersajak. Namun, pada saya, sajak-sajaknya itu tidak sehebat sajak-sajaknya di alam kampung. Terlihat banyak sajak-sajak propaganda menyebabkan kepuitisannya terencat. Walau bagaimanapun, pada saya, di Kuala Lumpur, Dr  Lim lebih berjaya dalam genre esei kritikan.

Sebagaimana janji Dr Lim selepas bersara, begitulah harapan saya. Walaupun Dr Lim boleh meletakkan kapur dan marker pen, namun diharapkan Dr Lim tidak meletakkan pen. Diharapkan sajak, cerpen dan esei kritikan akan lahir lebih banyak, lebih puitis, dan lebih kental.
Selamat berjaya Dr Lim, dalam fasal ketiga sebagai manusia.

Tiada ulasan: