Khamis, 16 September 2010

Menunggu Kelahiran Buku

Pada tahun 2010 ini, aku menunggu dengan rasa tidak sabar kelahiran dua buku. Pertama, buku kumpulan sajak, dan kedua, buku kumpulan esei. Kedua-dua manuskrip buku ini aku hantar kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Manuskrip kumpulan sajak telah lama aku hantar. Sekitar tahun 2004 / 2005. Aku menamakannya sebagai Tukang Sajak Menulis Sajak dan Bersajak. Setelah dinilai, sekitar tahun 2007, kumpulan itu dikembalikan, bersama catatan penilai, untuk diperbaiki dan membuat penambahbaikan. Berdasarkan gaya penulisan, aku berpendapat, manuskrip itu dinilai oleh sarjana sastera dalam bidang kritikan, bukan penyair. Aku rasa perempuan dan berkhidmat di USM. Beliau kritis, sesuai sebagai ahli akademik. Beliau tidak setuju dengan judulnya, membuang beberapa sajak dan membaiki beberapa frasa. Maka, aku terpaksa menukarkannya kepada judul baharu, Gelodak Rasa. Namun, subjudulnya masih kekal: Tukang Sajak; Menulis Sajak; dan Dan Bersajak.

Pada sebelum puasa tahun 2010, Gelodak Rasa juga dikembalikan, bersama catatan penilai. Aku tidak pasti, apakah penilainya masih orang yang sama.  Beliau juga tidak bersetuju dengan judul, mohon dibuang empat buah sajak dan membetulkan beberapa ejaan salah. Semuanya telah aku usahakan dengan rasa syukur. Judulnya, aku tukar kepada Di Luar Bingkai Diri. Manakala, subjudulnya juga aku tukar kepada Bersila di Beranda Waktu; Makna Perjalanan; dan Setelah Sekian Tahun Kita Merdeka. Aku kembalikan manuskrip itu kepada penerbit sekitar dua minggu sebelum raya.

Aku menjangkakan manuskrip itu akan jadi buku pada tahun hadapan (2011).

Manuskrip kedua memuatkan kumpulan esei beberapa orang sasterawan tanah air. Ada yang tersohor dan ada yang tidak tersohor. Konsepnya, lebih menepati sastera marginal. Aku harap dengan kelahirannya akan mempelbagaikan warna dan jalur sastera di Malaysia. Aku hantar ke penerbit sekitar tahun 2008. Pada tahun 2009, aku menerima manuskrip itu untuk diperbaiki.

Berdasarkan gaya penulisan dan bentuk tulisan tangan pada manuskrip, aku jangka manuskrip ini dinilai oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar. Kalau betul, aku rasa sangat bangga. Judulnya, Tanggapan Puisi. Aku pilih tanggapan kerana ia bersandarkan pendapat aku. Penilainya juga meluluskan dan layak diterbitkan. Cuma, aku perlu perbetulkan empat kesilapan. Pertama, tukar judul kepada Apresiasi Puisi. Kedua, tukar istilah, daripada istilah 'saya' kepada istilah 'penulis'. Ketiga, masukkan sumber hadis yang dirujuk. Dan, ketiga, membetulkan beberapa kesilapan ejaan. Semuanya telah aku tangani dan menghantarkan kembali pada tahun 2009. Aku jangka akan diterbitkan pada tahun 2010.

Malangnya, sekitar Julai 2010, aku menerima kembali manuskrip itu, dihantar oleh pejabat pusat. Pihak penerbit memaklumkan bahawa manuskrip itu tidak dapat diterbitkan kerana tidak mencapai piawaian. Aku jangka, mungkin kerana ia berkenaan sastera marginal.

Tidak mengapalah. Aku akan menghantarnya ke penerbit lain. 

Dulupun, pihak DBPKL pernah menolak beberapa manuskrip, termasuklah manuskrip sajak yang pernah memenangi Hadiah Sastera Asdi 3, berjudul Peta Perjalanan. Manuskrip Bahasa Kiasan juga ditolak dan akhirnya diterbitkan oleh penerbit Karisma. Manuskrip ini sangat sesuai untuk rujukan pelajar sekolah, dan kini telah mengalami dua kali cetakan. 

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum wbt.,

Kawan tempah sebutir!

Hamir Habeed Mohd

NASSURY IBRAHIM berkata...

Tak tau bila nak tubik, mir

abuyon berkata...

salam cikgu,

Aduh, sampai begitu sekali
payahnya ..

Tak cuba PTS atau yang
lainnya ke cikgu

NASSURY IBRAHIM berkata...

Abuyon,
Itu antara cabaran penulis. Biasalah tu. Kita tak boleh kecewa. Dah kumpul sajak ke dan hantar ke DBP?

abuyon berkata...

aduh, malu saya atas
soalan cikgu

Layak ke sajak saya untuk
dihantar ke mana-mana