Selasa, 30 Mac 2010

Pengajian Gender

Saya bersetuju dengan cadangan Dr. Muhammad Khir Toyo dalam blognya agar nama Pendidikan Seks ditukar kepada Pengajian Gender. Hal ini sepatutnya telah lama disedari oleh Kementerian Pelajaran sendiri, agar sesuai dengan adab dan budaya orang Melayu. 

Pertukaran nama itu perlu juga dikembangkan kandungannya kerana Pengajian Gender bukan sahaja berkenaan perihal seks, malahan kesihatan, penampilan, sikap, pemikiran, keselamatan dan sebagainya. Belajar mengenal alat kelamin dan aktiviti kekelaminannya merupakan sebahagian daripada Pengajian Gender / atau Pendidikan Seks itu sendiri.

Namun begitu, saya tidak bersetuju dengan pandangan beliau yang mengatakan, "Melihat gejala sosial hari ini termasuk seks di luar perkahwinan, seks bebas, peningkatan pembawa HIV dan penghidap AIDS, seks bawah umur dan jenayah seksual seperti rogol, cabul dan liwat menunjukkan ada kepentingan dan keperluan mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah." 

Masalah di atas perlu diatasi dengan tindakan lain, bukannya memperkenalkan pendidikan seks atau Pengajian Gender. Kita perlu mengengkang masalah di atas dengan tindakan lain, tindakan yang lebih memuliakan agama, adat dan budaya bangsa. Jangan jauhi generasi daripada susila bangsa.  Adat dan budaya orang putih tidak menghalang mereka bercium di khalayak ramai, namun perbuatan itu bukan amalan adat budaya kita. Jangan biarkan generasi kita tidak berasa malu bercium di khalayak ramai. Inilah bibit-bibit awal timbulnya masalah di atas. 

Demikian juga, cadangan membina bank bayi terbuang juga tidak relevan kerana boleh menggalakkan lagi aktiviti laknat itu. Walau bagaimanapun, pusat pemulihan perlu ada.

Timbulnya masalah di atas adalah berpunca beberapa sebab. Antaranya, minda dan kelakuan politikus. Ahli politikus sekarang banyak menjahanamkan generasi, agama, bangsa dan negara. Politikus sekarang lebih banyak hipokrit, penting diri, suka buat fitnah, menindas, dan sebagainya. 

Ahad, 28 Mac 2010

Senduduk

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berguna lagi;
Bila dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.

Pokok senduduk ini banyak terdapat di pinggir hutan dan kawasan kampung. Warna bunganya unggu muda, manakala buahnya berwarna unggu tua. Buahnya yang telah masak boleh dimakan. Daunnya pula boleh digunakan untuk menahan darah di tempat luka. Caranya, ambil beberapa helai daun dan gosok hingga hancur (hampir berair), kemudian ditampalkan di tempat kulit yang luka.

Pokok senduduk juga boleh ditanam sebagai hiasan lanskap di halaman rumah.

Kayu Babi

Pokok Pulau ini terdapat di Pulau Poh, Tasik Kenyir. Pokok ini telah digunakan oleh babi hutan untuk menggaru gatal belakangnya dan sebagai penanda laluan. 

Warna kuning pada batang pokok itu adalah lumpur kesan gosokan badannya. 

Berdasarkan kesan yang kelihatan, saya percaya, pokok ini telah lama menjadi mangsa babi.

Semasa kami berkhemah di Pulau Poh, selalu datang seekor babi melintas di tepi kawasan pagar khemah. Mujurlah babi seekor ini tidak mengganggu aktiviti kami.

Kren


Alat kren ini digunakan untuk mengheret kabel bot / kapal. 

Di Tasik Kenyir, alat kren ini digunakan untuk mengikat dan mengawal rakit jeti.

Jumaat, 26 Mac 2010

Orang Lain Dapat Makan Nangka, Orang Lain yang Terkena Getah!

Keratan akhbar di atas diambil dari Utusan Malaysia, 24 Mac 2010. Tajuk penuhnya, "6,000 Kakitangan Awam Buat Kerja Pentadbiran Polis." Mereka dari pelbagai kementerian. Menteri Dalam Negeri, DS Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata hanya pegawai polis berpangkat Deputi Supritenden (DSP) ke atas sahaja akan melaksanakan urusan pentadbiran dan pengurusan. Semua pegawai lain turun ke padang, bergerak dan menyelinap dalam masyarakat.

Baru-baru ini, mereka diumumkan menerima penyelarasan gaji (bukan naik gaji) yang sangat luar biasa. Hari ini diumumkan pula bahawa sebahagian tugas mereka diserahkan kepada 6,000 kakitangan awam. Berdasarkan maklumat di atas, serahan itu bukan bermakna PDRM kekurangan anggota, tetapi anggota bawahan tidak dibenarkan menjalankan tugas pentadbiran.

Maklumat ini menarik difikirkan. Pertama, apakah polis mahu 'merayau' sahaja; kedua, apakah anggota polis hanya mahu gaji, tetapi tidak mahu bebanan kerja?' dan ketiga, mungkin polis tidak cekap menguruskan hal-hal pentadbiran.

Kebetulan, saya bertemu dengan seorang anggota polis di gerai makan. Saya bertanya laporan akhbar yang menggambarkan seolah-olah anggota polis mahu duit tetapi tidak mahu kerja. Dia memberitahu bahawa langkah itu (menyerahkan urusan pentadbiran kepada bukan polis) akan dapat menyelamatkan banyak duit kerajaan. Hal ini kerana banyak 'penipuan'  berlaku dalam pengurusan harta polis (kerajaan). Katanya, sebagaimana harta  yang hilang di bawah jagaan tentera, demikian juga harta kerajaan boleh hilang / terseleweng di bawah jagaan anggota. Demi menyelamat dan menjimat dana kerajaan, maka wajar urusan pentadbiran di Balai Polis diuruskan oleh kakitangan awam.

Jawapan itu menepati telahan nombor tiga di atas. Ertinya, harta di bawah jagaan polis sekalipun tidak semestinya selamat. 

Adalah diakui bahawa orang (termasuk bayi), haiwan, tumbuhan, tanah, pasir, dan segala warga Malaysia tidak selamat. Rakyatnya dikelilingi para penjenayah, sama ada penjenayah transit, penjenayah tempatan mahupun penjenayah dari negara jiran. Penjenayah itu bukan sahaja berstatus pengganggur, malahan meliputi anak, ibu, bapa, guru, polis, tentera, pengarah, eksekutif, penguam, doktor, hakim, kadi, ustaz, ahli politik, menteri dan kerabat diraja. Paling tinggi kejahatan dibimbing, dimodel, dibenar oleh ahli politikus.

Akhbar melaporkan terdapat beratus ribu 'penjenayah / penjahat' tanpa izin bergerak bebas dalam masyarakat. Anehnya, bagaimana mereka boleh masuk dan bergerak bebas dalam masyarakat, hingga menakutkan penduduk jati? Mereka juga sering melakukan jenayah, dan bergerak bebas.

Kita rasa bosan membaca laporan akhbar tentang isu-isu politik dan tindakan pantas polis terhadap isu politik, namun sangat lembab mengesan penjenayah sebenar dalam masyarakat, atau menyiasat mereka yang tidak bersalah.

Dalam masyarakat Melayu terdapat peribahasa yang berbunyi, "Bagai melepaskan anjing tersempit."  Dikatakan bahawa seseorang yang melepaskan anjing tersempit akan digigit oleh anjing berkenaan. Hal ini kerana anjing itu tidak mendapat orang yang bertanggungjawab menyebabkan dirinya tersempit. Sebagai jalan pintas, barangkali, dan untuk melepaskan kemarahan dan kesakitannya, anjing itu akan menggigit orang yang berada di tempat dirinya tersempit. Barangkali anjing itu bersangkaan, orang itulah yang bertanggungjawab kerana dia berada di tempat perangkap yang menyebabkan dirinya tersempit. Anjing itu cuba menyelesaikan isu (kejadian tersempit dirinya) terhadap sesiapa sahaja, termasuk terhadap orang yang menolongnya dan orang yang tidak bersalah. Apakah gelaran penjahat jenis ini?

Kita percaya, peribahasa di atas tiada kaitan dengan polis, dan begitulah harapan kita: Tinggi gaji tinggilah akal, tinggi minda dan moralnya.

Sabtu, 20 Mac 2010

Lidah


Menurut sumber yang boleh dipercayai, telah dikhabarkan oleh Para Pakar bahawa menyebut 'PPSMI' berulang kali  itu bukan ubat  melembut lidah anak-anak bercakap bahasa Inggeris. Namun, Para Bapa, Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf tetap mempertahankannya.

“Mana boleh tidak! Inilah penawar yang kita jumpai,” jerkah Pengarah Celik Huruf kepada wartawan dalam sidang akhbarnya.

Dikhabarkan juga bahawa sebarang usaha mempertahankannya dianggap bebal dan membebalkan.  Namun, Para Bapa, Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf mempertahankannya. Malah, mereka memaksa sesiapa sahaja menyebut “PPSMI, PPSMI, PPSMI” berulang kali di mana-mana sahaja.

 “Inilah ubat paling mujarab bagi melembutkan lidah,” tegas  Pengarah Celik Huruf.

Kata-kata Pengarah Celik Huruf itu akan lebih nyaring jika ada Menteri Perdana di hadapannya. Dia mengucapkannya dengan suara bergetar sambil mata menjeling ke arah Menteri Perdana.

“Mengucapkannya dianggap berhikmah kerana ternyata telah beberapa orang memperoleh faedah daripadanya,” bersungguh Pengarah Celik Huruf mengiyakannya.

Menurut Para Meja Bulat, telah dua orang Pengarah Celik Huruf memperoleh usia lanjut dari ucapan itu. Khabarnya,  Che Mat Rafik memperoleh usia lanjut hasil ucapannya berkali-kali saat ia diambang kematian. Kini, Che Mat Rafik kembali bernyawa seperti sebelum saat sampai usia nazaknya.

Peristiwa menimpa Che Mat Rafik berulang pada Che Mat Siput. Dia juga memperoleh usia lanjut saat mengucapkan “PPSMI, PPSMI, PPSMI” saat di ambang nazak. Dia juga kembali sihat tiba-tiba. Kini, Che Mat Siput bergembira mengelilingi dunia.

Teruja dengan nasib menimpa Che Mat Rafik dan Che Mat Siput, maka Che Mat Doom pun ikut mengucapkannya tidak henti-henti. Tidak cukup ucapan, Che Mat Doom menulis kata-kata PPSMI, PPSMI, PPSMI di serata penjuru bilik dan khabarnya sedang menempah baju batik khusus bercorak PPSMI.

“Latahnya pun menyebut PPSMI,” kata sumber yang rapat dengannya.

Dan, sejak itu juga, Para Bapa dan Para Ibu, Para Menteri dan Pengarah Celik Huruf di Negara Mamakadiaq tidak henti-henti mengucapkannya kerana mereka tidak tahu bilakah saat di ambang kematian menjelang. Mereka percaya menjelang saat kematian nanti akan datang hikmah secara tiba-tiba, berkat menyebut 'PPSMI' berulang kali.

“Hikmah memanjangkan usia dengan segala nikmat kehikmahannya,” begitu bersungguh mereka sepakat mengatakannya.

Kini, ungkapan itu dipaksa pula kepada Para Pencari Celik Huruf. Sesiapa yang engkar mengucapkannya akan dipotong lidah. Maka ramailah Para Pencari Celik Huruf dipotong lidahnya kerana engkar menurut perintah.

“Inilah penderhaka bangsa dan negara!” tiba-tiba menjerit salah seorang Pencari Celik Huruf dalam satu Perhimpunan Rapat Setia, anjuran Kementerian Celik Huruf.

Budak itu lantas diarahkan polis menangkapnya.

“Inilah penderhaka bangsa dan negara!” tiba-tiba menjerit pula yang lain dan disambut oleh kawan-kawanya, dan kawan-kawannya, dan kawan-kawannya, dan ....

Tanpa berlenggah, lidah budak-budak, dan budak-budak, dan budak-budak  itupun terus dipotong. Dipotong dan dipotong sehingga habis semua lidah budak-budak di Negara Mamakadiaq dipotong.

Kini, semua rakyat di Negara Mamakadiaq tidak boleh berkata-kata. Kalau anda ingin melawat negaranya, eloklah anda belajar bahasa jari

Pengkalan Chepa, 5 Mei 2009

Khamis, 18 Mac 2010

Sial Balik Lewat

Balik lewat dari tempat kerja sudah menjadi kebiasaan aku. Semasa berkhidmat di Pulau Pinang dulu pun, aku sering balik lewat. Aku tidak pernah menunggu masa di hadapan perakam waktu untuk nantinya memecut balik, walaupun ramai yang berbuat demikian.

Aku balik lewat bukan kerana aku mahu balik lewat. Aku balik lewat kerana mahu menyelesaikan kerja-kerja aku seperti membaca buku, membuat persediaan pengajaran berikutnya, menyemak latihan pelajar, menyemak kerja kursus pelajar, kuliah petang, gerko, hadiri aktiviti pelajar dan sebagainya.

Aku balik lewat bukan bermaksud aku memancing hendak menjadi ketua jabatan atau seumpamanya. Dah seronok kerja macam tu. Salah satu sebab aku bertukar (dari PP) kerana ada usaha hendak melantik aku ke jawatan penting dalam premis. Aku dihantar kursus menangani dokumen rahsia negara. Lantas, aku mohon pertolongan rakan untuk bertukar, sebelum dilantik.

Oleh sebab tabiat, hal yang sama juga berlaku setelah aku berkhidmat di Kota Bharu. Memang jadi kelaziman, aku suka beri latihan setiap minggu. Aku beri tugasan sebelum kerja kursus sebenar, sebagai persiapan / panduan untuk menghasilkan kerja kursus sebenar yang terbaik dan dapat gred terbaik. Latihan dan kerja kursus awal itu perlu disemak. Waktu petang (luar waktu pejabat) paling sesuai sebab suasananya lebih damai.

Malangnya, balik lewat boleh mendatangkan sial.

Pada hari selasa 16 Mac 2009 sekitar jam sekitar jam 9.00 - 11.00 pagi, aku menerima telefon daripada rakan sepejabat (JPM), Sakila Dollah, bahawa ada polis ingin berjumpa dan minta aku hadir ke Balai Polis. Kesnya ialah berkenaan kehilangan 2 daripada 3 laptop JPM dan 1 LCD Puan Sakila, pada tahun lepas.  3 kaptop dan LCD itu disimpan dalam peti kabinet besi. Ada dua peti kabinet besi. Salah satu peti kabinet besi terletak dalam bilik Ketua Jabatan. Bilik itu berkunci. (Dalam bilik JPM ada bilik Ketua Jabatan (KJ)). Aku dapat tahu, setelah kejadian itu, bahawa laptop yang tidak diambil itu kurang berfungsi (rosak).

Kecurian disyaki berlaku pada dari malam hari Jumaat hingga malam Ahad. Aku dikatakan balik lewat pada hari Khamis. Kecurian diketahui pada pagi hari Ahad.

Menurut Puan Sakila ada kesan cap jari aku ditemui pada kabinet besi. Sebab itu polis mahu ambil beberapa maklumat daripada aku.

Pagi tadi (Khamis, 18 Mac 2010) Puan Zaleha (baru pulang dari KL) telefon bertanyakan kenapa aku dipanggil polis, tidak orang lain. Aku beritahu, polis jumpa kesan cap jari aku. Dia kehairanan. Katanya, pada pagi sebelum polis datang, beberapa orang pensyarah di JPM pun ada memegang peti besi kabinet berkenaan. Kenapa kesan cap jari mereka tidak ditemui? Entahlah. Aku sendiri, pada pagi itu tidak memegang pada peti berkenaan. Aku masuk ke bilik JPM dan diberitahu ada kecurian. Masa itu, ada Puan Narita dan Puan Sakila. Aku berkata bahawa Puan Narita kena buat laporan polis. Kemudian, aku keluar bilik menjalankan tanggungjawab rasmi aku. Apabila aku masuk kembali, aku diberitahu bahawa polis sudah datang buat siasatan.

Tengah hari tadi (Khamis, 18 Mac 2010)  Encik Ruziman  menelefon aku. Aku pun bertanyakan, adakah dia ada memegang peti kabinet besi itu. Dia menjawab memang ada memegangnya. Malah, beberapa orang pensyarah JPM pun ada memegangnya. Peliknya, tiada pula polis jumpa cap jari mereka.

Petang tadi juga (Khamis, 18 Mac 2010) antara pukul 2.00 - 3.00 petang, aku bertemu dengan Encik Abdullah di Bilik JPM. Aku bertanyakan beliau, pada pagi Ahad, setelah diketahui laptop hilang, apakah kedudukan kerusi dan meja di hadapan bilik KJ berubah daripada kedudukan asal. Beliau menjawab, 'tidak. kedudukannya sama seperti asalnya.' Aku bertanya demikian kerana dikatakan pencuri itu memanjat dinding kapur untuk masuk ke Bilik KJ. Emmm..., seperti ada agenda tersembunyi! Barangkali mencari kambing!

Aku fikir, isu sebenarnya kerana aku sering pulang lewat. Menurut Insp. X, Puan Narita memberitahunya aku balik pukul 7.00 malam pada hari Khamis sebelum minggu / hari kejadian. Aku beritahu, aku tidak pasti dan meminta beliau memeriksa catatan pada mesin perakam waktu di pejabat utama. Kata Insp. X, Puan Narita yang beritahu. Aku akui memang aku sering balik lewat, tetapi tidak setiap hari.

Anehnya, orang yang sering datang ke Bilik JPM pada hari cuti, dan ada kalanya datang pada malam hari, tidak pula polis panggil untuk bertanyakan itu dan bertanyakan ini.
 
Setelah menerima arahan pemberitahuan daripada Puan Sakila, tanpa berlenggah, aku terus bersiap dan pergi. Sekitar 12.30 - 1.00 ptg aku berada di bilik pegawai penyiasat, Insp. X. Antara soalannya, mengapa aku yang pegang kunci bilik?

Untuk maklumat pembaca, keluasan Bilik JPM ialah lebih besar sedikit daripada keluasan bilik darjah. Dalamnya terdapat 16 meja untuk 16 pensyarah JPM, tanpa ada apa-apa sekatan (kecuali Bilik KJ) dan masing-masing masuk melalui satu pintu sahaja. Logiknya, 16 orang itu sepatutnya ada kunci  Bilik JPM. Salah satu peti kabinet besi terletak dalam bilik Ketua Jabatan. Bilik itu berkunci. Hanya KJ memegang kunci biliknya. Jadi, Mengapakah aku (dan pensyarah lain) tidak boleh pegang kunci Bilik JPM kerana itu juga bilik aku (kami)? Walau bagaimanapun, aku tidak ada kunci kedua-dua peti kabinet besi tempat simpan laptop dan Puan Sakila simpan LCD, dan Bilik KJ.

Dan, barang-barang yang ada dalam Bilik JPM adalah untuk kegunaan semua pensyarah JPM. Jadi, mengapakah aku tidak boleh pegang atau terpegang benda itu benda ini kerana aku juga orang yang  bekerja dalamnya dan berhak menggunakannya. Jadi, mana mungkin cap jari aku tidak berada di mana-mana dalam Jabatan Pengajian Melayu. Kalau cap jari aku berada dalam Jabatan Matematik, atau Sains,atau teknologi maklumat, atau mana-mana jabatan yang hilang laptop, itu adalah keanehan dan wajar disiasat.

Seingat aku, aku sudah lama tidak pegang peti kabinet besi, apalagi pada hari Jumaat dan Sabtu sebelumnya. Atau  hari Khamis kerana Bilik KJ dikunci selepas waktu pejabat.

Untuk pengetahuan pembaca, ada beberapa jabatan yang turut hilang laptop. Anehnya, semua bilik jabatan itu tiada kesan pecah masuk. Ertinya, perbuatan itu dilakukan oleh orang yang ada kunci di semua jabatan, termasuk kunci kabinet besi. Modus operandinya pun sama, tiada kesan pecah masuk tetapi laptop hilang. Hanya laptop. Selepas laptop di JPM hilang, pun masih berlaku kehilangan laptop di jabatan lain. Menurut Insp. X, bilik pelajar di asrama juga dimasuki pencuri. Siapalah pencuri yang menyusahkan semua orang ni.

Setelah semua pintu dimanggakan (kunci) pun masih ada usaha untuk pecah masuk dan merosakkan mangganya. Anehnya, kejadian mangga tidak pula disedari oleh jaga (jaraknya sekitar 200 Meter) dan tidak dijumpai kesan cap jari. Aneh, kan?  

Walaupun sekadar memenuhi prosedur siasatan, hati saya memang terguris kerana mencemarkan nama baik saya.

Kesan daripada peristiwa ini, dan demi kebaikan bersama, saya cadangkan agar pihak pentadbir merancangkan projek secepat mungkin membina bilik khusus untuk setiap pensyarah. Bilik itu hendaklah rapat ke siling. Jangan ada ruang yang boleh dimasuki. Jangan lagi dilonggokkan semua pensyarah dalam satu bilik jabatan, yang mungkin mendatangkan banyak masalah tersembunyi.

Dan, oleh sebab banyak laptop di kebanyakan jabatan hilang, pihak pengurusan boleh anjur aktiviti Solat Hajat, mohon petunjuk dari Allah.Pihak polis boleh mengintip bekas pengawal keselamatan (jaga) sebab ada antaranya dikhabarkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Rabu, 17 Mac 2010

Wang Ehsan atau Wang Royalti?


Kesan daripada entri sebelumnya, ada yang bertanya: Wang daripada rezeki minyak itu layak dipanggil apa? Apakah perbezaan antara Wang Ehsan Minyak (WEM) dengan Wang Royalti Minyak (WRM)?

Sebelum menjawabnya, saya mahu beri penjelasan tentang ehsan. Dalam Kamus Dewan (2005) dan dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (tanpa tahun cetakan) tidak terdapat entri 'ehsan.' Yang ada ialah entri 'ihsan.' Mungkin yang dimaksudkan ehsan itu ialah ihsan. Mungkin tersalah ejaan.

Menurut Kamus Dewan (2005: 560) maksud ihsan ialah (1) beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah SWT yang sentiasa melihatnya; (2) kebaikan, kebajikan, perbuatan yang baik, kemurahan hati; (3) jasa baik, izin. Dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia (? : 368) istilah ihsan bermaksud baik, sedekah yang tidak diwajibkan. Berdasarkan maklumat daripada dua sumber tersebut, maka maksud ehsan atau ihsan itu menjurus pada maksud nombor (2) dan nombor (3) dalam Kamus Dewan, dan keseluruhan maksud yang dikemukakan dalam Kamus Lengkap Bahasa Indonesia.  

Dalam hal ini, saya berpandangan mudah sahaja. Namanya ditentukan oleh perjanjian antara kerajaan negeri / persekutuan dengan Petronas, dan akta. Kalau perjanjian dan akta catat wang ehsan, maka wang ehsan. Kalau dicatat wang royalti, maka wang royalti. Habis, kenapa berubah panggilan - dahulu panggil wang royalti, kini dipanggil wang ehsan?

Berdasarkan sejarah yang berlaku di Terengganu, perubahan itu disebabkan oleh perubahan kerajaan yang mentadbir negeri. Semasa Umno-BN menjadi kerajaan mentadbir Terengganu, wang rezeki minyak dikenali wang royalti. Setelah Pas menjadi kerajaan mentadbir Terengganu, kerajaan persekutuan mengubahnya kepada wang ehsan. 

Satu lagi faktor yang menyebabkan berlaku perubahan nama ialah faktor arbitrari (sewenang-wenangnya). Menurut Pas, istilah wang royalti memang termaktub dalam perjanjian minyak dengan Petronas. Perjanjian itu diubah sewenang-wenangnya oleh Dr. Mahathir. 

Kalau benar perubahan itu dilakukan secara arbitrari, maka dapatlah dicipta satu simpulan bahasa, iaitu 'Janji Mahathir.' Maksudnya, janji / perjanjian yang boleh diubah sewenang-wenang oleh pihak yang lebih berkuasa. Janji yang akan ditaati jika menguntungkan pihak berkuasa dan akan diengkari jika janji itu merugikan dirinya (pihak berkuasa).

Perbezaan WEM dengan WRM sangat besar. WEM diberikan tanpa nilaian tetap. Bergantung pada belas ehsan pemberinya. Oleh sebab 'ehsan,' maka wang itu boleh diberikan jika pemberinya ada ehsan, dan boleh tidak diberikan jika pemberinya tiada ehsan.

Manakala, jika dianggap royalti, maka pemberian WRM bukan atas dasar ehsan / ihsan. Wang itu mesti diberikan kerana ia adalah hak orang / pihak yang berkenaan. Maksud royalti ialah (1) pengkongsian keuntungan seperti dalam perusahaan lombong, telaga minyak, atau ciptaan jentera, yang dibayar kepada syarikat pengusaha kepada pemilik tanah (kerajaan) atau pencipta jentera; (2) bayaran tertentu yang dibuat oleh penerbit kepada pengarang, penyanyi, dan sebagainya atas setiap naskah karya mereka seperti buku dan piring hitam yang terjual (Kamus Dewan, 2005: 1344 - 1345), wang jasa yang dibayar produser (penerbit) atas karya yang telah dijual ke pasaran (berdasarkan perhitungan prosetase).

Jika janji wang royalti itu tidak ditunaikan, maka pihak yang tidak menunaikannya dianggap berhutang. Demikian juga, jika wang royalti itu diganti sewenang-wenangnya kepada wang ehsan / ihsan, maka ia tetap tidak mengubah hakikat wang royalti. Nilai royaltinya (hutang royalti) tetap tidak berubah walaupun telah berjuta-juta wang ehsan / ihsan diberikan.

Selasa, 16 Mac 2010

Kalah Datuk Dr. Awang Adek

Dia ahli korporat berjaya. Belajar pun tinggi sampai luar negara dan pemilik Ph.D. Dari segi kepandaian dan bijak tidak boleh ditakwil-takwil. Dia pernah jadi orang besar dalam syarikat swasta.

Dia juga berkecimpung dalam politik. Pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan. Dia pernah bertanding sebagai AP Bachok tahun 2008. Malangnya, dia tidak menang. Menurut cerita kedai kopi, kekalahannya bukan kerana ahli Pas / PKR. Kekalahannya kerana dia 'dikencing' oleh juak-juaknya sendiri. 

Sayang! Orang (kumpulan penyokong) berbaik dengan dia bukan kerana mahu melantiknya sebagai pemimpin, tetapi kerana mahu 'mencuri' wang yang dia ada. Malang, dia berbaik dengan orang tidak baik.

Dia diwarwarkan bakal jadi MB Kelantan oleh rakan yang tidak diterima jadi MB.

Pada aku, memang dia ada ketokohan jadi pemimpin. Dan, pada aku, rakyat menolaknya disebabkan beberapa hal. Pertama, dia menjadi calon Umno, sedangkan imej Umno sangat buruk di Kelantan. Kalau dia jadi calon Pas atau PKR, kemungkinan besar dia boleh menang. Kedua, dia berbaik dengan Anuar Musa, sedangkan kawannya itu dianggap 'menderhakai' Sultan Kelantan. Kawannya itu pernah menolak Tuanku Ismail Petra sebagai As-Sultan Kelantan dengan cara menabalkan orang lain bagi menggantikan As-Sultan Kelantan. Rakyat Kelantan sangat memandang tinggi pada sultan mereka. Menghina sultan bererti menghina rakyat. 

Ketiga, namanya AWANG ADEK. Bagi orang Kelantan, 'awang' ialah bahasa panggilan pada budak-budak yang masih hingusan. Panggilan itu juga pada budak-budak tidak dikenali. Yang pentingnya, Awang ialah bahasa panggilan yang merujuk pada budak. 

Demikian juga ADEK. Yang dimaksudkan Adik dalam persepsi masyarakat Kelantan ialah kanak-kanak, atau orang paling bongsu dalam keluarga. Imej adik juga dianggap belum matang. Bukankah gabungan imej Awang dan Adek (adik) menunjukkan imej berganda budak-budak. Orang yang belum matang dan tidak matang lagi. Mana boleh orang yang belum matang hendak dilantik sebagai pemimpin kepada orang-orang yang telah matang? Kecuali, dia berbaik-baik dan selalu belanja minum orang kampung. 

Itulah, pada saya, antara sebab masyarakat Bachok menolak Awang Adek dalam PRU-12. Masyarakat Bachok terdiri daripada keluarga nelayan dan petani. Dan, sepanjangjadi Timbalan Menteri Kewangan, tidak nampak perubahan berlaku di Bachok, kecuali tapak UMK yang sangat lembab pembangunannya.

Kini, ada satu faktor lagi yang akan menyebabkan rakyat Kelantan menolak Awang Adek, kalau dia masih bertanding dalam PRU-13. Faktor itu ialah tindakannya menolak pembayaran Wang Royalti Minyak. Dia hanya bersetuju menerima wang ehsan saja, sedangkan wang ehsan lebih kecil nilainya daripada Wang Royalti Minyak. Ertinya, dia bersetuju agar jangan beri banyak wang kepada rakyat Kelantan! Aneh, sedangkan dia mahu jadi AP Kelantan.

Menurut Husam Musa, Kerajaan Persekutuan telah lama memunggah minyak Kelantan, tetapi tidak tahu dibawa ikut mana. Khabarnya, telaga minyak yang paling dekat ialah dengan pantai Bachok. Sehingga kini tidak ada satu pangkalan pun tempat mendarat minyak di Bachok. Ertinya, rezeki dari minyak berhampiran pantai Bachok tidak dapat dinikmati oleh orang-orang Bachok sendiri. Oh, alangkah malangnya orang Bachok!

Wang ehsan disalurkan melalui JPP, dan khabarnya, pembelanjaan wang itu tidak diaudit. Di Terengganu, sebahagian wang ehsan diberikan secara tunai kepada mereka yang layak menerimanya sahaja (orang miskin terpilih).  Mungkinkah di Kelantan pun demikian juga?

Wang Royalti Minyak pula disalurkan melalui Kerajaan Kelantan dan bakal digunakan oleh Kerajaan Pas Kelantan untuk membangunkan Kelantan. Wang ini akan diaudit.

Apapun, terpulang kepada Datuk Dr. Awang Adek untuk menerima atau menolak pandangan ini. Ini hanya pandangan saja. Yang elok boleh diterima, yang tidak elok ditolakkan saja.

Yang penting, Datuk mesti ingat: Kawan tidak semestinya sahabat, lawan tidak semestinya musuh. Kawan sejati ialah diri sendiri. Saya sangat suka kalau Datuk Dr Awang membaca entri ini dan beri komen.
 

Isnin, 15 Mac 2010

Pemimpin Kerajaan Perpaduan

Tahun 2009 merupakan tahun heboh bagi membentuk kerajaan perpaduan , khususnya di negeri Perak. Dalam sejarah, Perak merupakan antara beberapa negeri di Malaya yang mengundang penjajah Inggeris datang menyelesaikan perbalahan keluarga diraja. Sebagai ganjaran, Inggeris diterima sebagai residen di Perak.

Dalam tahun 2009, peristiwa yang sama atau hampir sama berulang sehingga mahkamah menjadi tempat rujukan dan keputusan. Seterusnya berkumandang cadangan membina kerajaan perpaduan. Yang tidak dibincangkan ialah pemimpinnya. 

Dua orang tokoh di atas memang dikenali. Yang seorang mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Manakala, yang seorang lagi memperkenalkan Islam Hadhari. Tidak dapat dipastikan, apakah pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam itu berlandas ciri-ciri keislaman pada segala aspek pentadbiran, undang-undang dan pelaksanaannya. Manakala, apakah Islam Hadhari itu merupakan agama baharu atau penjenamaan semula terhadap agama Islam yang sedia ada.

Walau apapun, mereka layak menjadi pemimpin kerajaan perpaduan. Padanan blazer / bush jaket sebagai mewakili Umno dengan serban sebagai mewakili Pas adalah sepadan sangat. Gaya mereka pun nampak segak, beriman dan baik untuk semua. 

Cuma, yang dibimbangi ialah apakah gaya segak, beriman dan baik itu bakal dinikmati semua orang? Hal ini sukar dijawab, sebagaimana sukar dipercayai bahawa Awang Adek dan Mustaffa Mohamed merupakan rakyat Kelantan yang menghalang duit hasil minyak menjadi duit royalti untuk dinikmati semua rakyat Kelantan. 

Mencari Kebenaran Kata-Kata

Akhbar Berita Harian pada 15 Mac 2010 melaporkan seorang rakyat Malaysia di Baling terpaksa tinggal di dewan orang ramai akibat kemiskinan hidup. Saya perturunkan berita tersebut sepenuhnya.

Dewan orang ramai jadi rumahSetiausaha JKKKP dakwa hidup susah, tak mampu sewa 


BALING: Akibat tidak mampu lagi menyewa rumah untuk menempatkan keluarganya, setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Memali di sini, terpaksa menjadikan dewan orang ramai kampung itu sebagai rumahnya sejak setahun lalu.


Mohd Fazzeli Ahmad, 38, berkata walaupun tahu tindakannya itu tidak disenangi orang ramai, beliau terpaksa mengetepikan pandangan serong penduduk akibat kesusahan hidup yang menghimpit keluarganya. Katanya, beliau dijanjikan sebuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) oleh pihak tertentu serta sudah menyediakan tapak untuk tujuan itu, tetapi hingga kini janji berkenaan masih belum ditunaikan.


“Saya kecewa kerana ada yang memohon rumah di bawah PPRT selepas saya dah dapat rumah itu, tetapi saya menunggu hampir setahun hingga terpaksa hidup menumpang begini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Selain terpaksa menumpang di dewan itu, seorang anaknya, Nor Aini, 17, yang sepatutnya belajar di Tingkatan Lima tahun ini tidak dapat meneruskan persekolahan sejak 2008 akibat tiada tempat tinggal yang tetap.


Mohd Fazzeli berkata, beliau sangat berharap agar pihak yang pernah berjanji dengannya untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT menunaikan janji kerana beliau sudah menyediakan tapak bagi tujuan itu.


Beliau yang hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap tinggal di dewan itu bersama isterinya, Rohani Jusoh, 34, anak-anaknya Nor Aini, Mohd Zuki, 11 dan Mohd Fahir, 6.


Tinjauan mendapati dewan berkenaan mempunyai sebuah bilik stor yang dijadikan bilik tidur Mohd Faz-zeli dan isterinya manakala tiga anaknya tidur di ruang dalam dewan berkenaan. – Bernama

Membaca berita ini, saya teringat pada kata-kata Dr. Mahathir dan pemimpin Barisan Nasional bahawa partai pembangkang tidak pandai memerintah, dan hidup rakyat akan lebih susah di bawah pemerintahan pembangkang. Berdasarkan berita di atas, di manakah kebenaran kata-kata itu?

Baling terletak di Kedah. Pada PRU - 11, Baling dikuasai oleh UMNO-BN di bawah Dr. Mashitah Ibrahim. Datuk Azeem pernah berkhidmat di Baling, tetapi gagal dalam PRU-12. Kini Baling (kali kedua selepas PRU-10) di bawah PAS.

Dilaporkan bahawa Mohd Fazzeli Ahmad ialah Setiausaha, Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP). Ini ialah satu pertubuhan yang baru yang pertama kali saya dengar. Apakah JKKKP ini ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dan diletakkan di bawah kawalan Jabatan Pembangunan Persekutuan, atau di bawah Kerajaan Negeri dalam kawalan PAS? 

Yang pasti, penjana JKKKP tidak dapat membantu ahlinya sendiri. Kalau demikian, apakah kita boleh percaya bahawa penjananya boleh membantu orang lain.

Saya sebenarnya berasa sedih dan sangat sedih apabila membaca berita kesusahan hidup dialami oleh masyarakat dari Kedah, Pulau Pinang, Sarawak dan Terengganu. Kesedihan itu tidaklah sebesar sedihnya saya apabila membaca berita kesusahan hidup yang dialami oleh masyarakat Kelantan.

Timbulnya kesedihan itu kerana, Kedah terutamanya, pernah mempunyai dua orang pemimpin berjawatan Perdana Menteri - orang yang diberikan kuasa sepenuhnya mentadbir negara Malaysia. 

Jika Perdana Menteri sendiri tidak boleh memajukan dan memartabatkan rakyat, Melayu terutamanya, dari negerinya sendiri, maka apalah gunanya kita berbangga mempunyai pemimpin yang berasal dari negeri kita.

Pada saya, oleh sebab sudah dua orang pemimpin negara berasal dari Kedah, sepatutnya negeri Kedah dan rakyat Kedah (Kubang Pasu terutamanya) menjadi negeri dan rakyat termaju di Malaysia. Namun hakikatnya, negeri Kedah dan rakyat Kedah sama-sama papa dan sama-sama kedana dengan negeri dan rakyat Kelantan, sebuah negeri yang diperintah oleh pembangkang. Maka timbul persoalan: Di manakah lebihnya Umno (BN) di Kedah / Pulau Pinang, dan di manakah kurangnya Pas di Kelantan?

Demikian juga dengan kehidupan masyarakat di Sarawak dan Terengganu. Kedua-dua negeri ini kaya dengan sumber minyak yang tidak dimiliki oleh negeri-negeri lain. Oleh sebab itu, pada saya, sepatutnya negeri dan rakyatnya juga bebas daripada kemiskinan. 

Kalau kedua-dua rakyat negeri ini masih semiskin, sepapa dan sekedana dengan negeri dan rakyat Kelantan, maka apalah gunanya kita percaya kata-kata Dr. Mahathir di atas dan rakan-rakannya.

Hal ini bererti, maju dan mundurnya negeri dan diri kita bukan disebabkan oleh partai, tetapi pemimpin partainya.

Ahad, 14 Mac 2010

Kembang Bunga

Kembang bunga akan
layu dan akhirnya mati
di tangkai masa
namun wanginya tetap
harum dan mekar
di tanah jasa.

27 September 2009
Jendela Timur Disember 2009

Rabu, 10 Mac 2010

PUTIH

Masuk hari ini, sudah tiga hari Putih tidak balik. Tidak tahu Putih pergi ke mana. Kata Adik, rakan sebilik Putih, kali terakhir dia lihat Putih pada dua hari lepas. Putih bermain-main dengan kawannya di bawah pohon Jambu Senawar. Adik tidak kenal kawannya itu. Mungkin kawan baharu Putih. Mereka nampak mesra - bergurau-senda dan berkejar-kejaran. Adik hanya memerhati sahaja dari jauh. Adik tidak minat bermain sama.

Sejak itu, kata Adik, Putih tidak pulang ke rumah. Putih tidak ada dalam bilik, seperti kebiasaannya, pada malam hari. Putih tidak pulang makan pagi, tidak pulang makan tengah hari, juga tidak pulang makan malam.

Biasanya, Putih akan datang makan apabila kami sekeluarga makan. Putih akan berlegar-legar di kaki kami, minta makanan. Adik akan cepat-cepat beri Putih makan. Atau, awal-awal lagi Emak sendiri menyediakan makanan untuk Putih. Tapi, sejak tiga hari ini, Putih tidak lagi berlegar-legar di kaki kami. Atau makan bersama kami.

Ke mana perginya Putih?

Mungkin Putih mengikut kawannya itu pulang ke rumahnya. Mungkin Putih rasa gembira tinggal di rumah kawannya itu. Kata Adik lagi, kawan Putih itu tinggal di Rumah Banglo, berhampiran sungai.

Tentulah tinggal di Rumah Banglo lebih selesa berbanding tinggal di Rumah Papan. Makanan di Rumah Banglo juga lebih lazat dan berzat. Di rumah kami, Putih hanya makan ikan bersama nasi sahaja. Tak pernah Putih makan Fishcat sebab kami tidak pernah beli. Kami tidak mampu. Kami makan pun hanya ala kadar sahaja. Apa yang kami makan, itulah yang Putih makan. Tidak lebih dan tidak berkurang.

Sebenarnya Putih bukan asal keluarga kami. Ayah dan ibu ada dua orang anak sahaja. Aku dan Adik. Putih kami jumpa ketika dia sedang merayau-rayau. Masa itu, kami baru sampai dari kampung, pulang berhari raya. Dalam hujan sederhana lebat, kami melihat Putih mengigil kesejukan. Putih berlindung di bawah pohon Jambu Senawar di tepi rumah kami.

Adik yang melihatnya. Adik juga mempelawa Putih masuk. Ibu tidak bantah. Ayah pun tidak marah. Adik lap air di tubuh Putih dengan kain tuala. Kemudian, Adik selimut Putih.

Sejak hari itu, Putih tinggal bersama kami. Putih tidur di bilik Adik. Putih jadi teman setia dan sering bermain dengan Adik. Tapi kini, sudah tiga hari Putih tidak pulang, tidak bermain dengan Adik.

Ke mana perginya Putih?

Aku mencari Putih dan bertanyakan pada jiran, pun tidak ada. Kata jiranku, Mat, dia sudah lama tidak melihat Putih. Biasanya Putih ada juga bertandang dan bermain-main di halaman rumahnya. Tetapi kini, sudah lama Putih tidak datang.

Abang Ripin, suami Makcik Munah, memberitahu, beberapa hari lepas dia ada melihat beberapa orang pegawai Bandar Raya Tok Kah sedang menangkap anjing yang tidak bertuan. “Mungkin juga, Putih ditangkap oleh mereka,” teka Abang Ripin.

“Kucing pun ditangkap jugakah?”

“Tak tahulah. Mungkin juga kerana dianggap mencemarkan bandar.”

Hati aku bertambah sedih dan terasa sangat sedih. Air mata bercucuran tiba-tiba. Aku berlari pulang. Dalam perjalanan, aku disapa oleh Zaki, kawan sekelasku.

Kata Zaki, beberapa hari lepas dia ada terdengar percakapan adiknya, Aminah, memberitahu bahawa ada kucing mati dilanggar kereta.

“Kesian. Kucing itu menggelepar kesakitan, sebelum mati,” kata Zaki,

Sayu hati aku mendengar kata-kata Zaki. Mungkinkah Putih mati kemalangan. Kesian Putih. Sudahlah tidak ada ibu dan ayah, dia sendiri mati kemalangan pula. Siapakah yang mengebumikannya. Atau terbiar begitu sahaja dan dimakan gagak.

Sewaktu melintasi Rumah Banglo, aku ternampak seekor kucing berwarna putih, bermain-main di hujung Rumah Banglo. Aku mengintai, tetapi tidak jelas wajahnya. Aku memanggil nama ‘putih’ beberapa kali, namun, dia tidak menghiraukannya. Aku yakin dia adalah Putih.

Sewaktu mengintai-intai itu, tiba-tiba alam Rumah Banglo berbunyi. Terkejut aku. Aku cepat-cepat cabut, bimbang akan dituduh ingin mencuri.

Sepanjang perjalanan pulang, aku merunggut sendirian. Panas Hati aku mengenangkan Putih: ‘Bagai kacang lupakan kulit,’ kata hatiku. ‘Dasar kucing jalanan.’

Memang hati aku terluka mengenangkan sikap Putih tadi. Dia buat-buat tidak kenal dan tidak menyahut apabila dipanggil. Berbeza sekali dengan sikap Putih sebelum ini: Manja dan segera menyahut apabila dipanggil.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, aku merangka-rangka jawapan kepada Adik. Akan aku pujuk Adik agar melupakan Putih. Putih sedang bahagia dengan keluarga baharu. Putih sudah lupa pada kita. Malah, Putih tidak menyahut, walaupun aku memanggil namanya berkali-kali.

Sesampai di halaman, aku lihat, Adik berlari ke arahku, sambil menyebut nama aku: “Abang! Abang!, Abang!”

“Lupakan Putih, dik. Dia ada di Rumah Banglo,” kataku tanpa berlenggah. “Abang dah panggil, tetapi dia buat-buat pekak badak sahaja,” kataku lagi dengan suara memujuk.

“Hah?” terpacut suara Adik. Kesian aku lihat Adik. Wajahnya terpingga-pingga seperti rusa masuk kampung. Mungkin Adik kebinggungan.

“Putih ada di Rumah Banglo,” tegas aku. “Puas abang panggil, tak juga dia datang. Menyahut pun tidak,” bersungguh aku menyakinkan Adik. “Kita lupakan saja Putih. Kita cari kucing lain,” aku pujuk lagi.

Aku lihat Adik masih terpingga-pingga, sebelum bersuara: “Tidak, bang. Tidak,” jawab Adik.

“Betul. Kita lupakan saja Putih.”

‘Bukan, bang,” kata Adik lagi.

“Betul. Abang sendiri yang nampak. Abang sendiri yang panggil. Dia buat-buat lembu kenyang saja,” tegas aku, menyakinkan Adik.

“Putih sudah balik, bang.”

“Hah, Putih sudah balik!” Terkejut aku mendengar kata-kata Adik. Adik pula bersungguh-sungguh menyakinkan aku. Wajahnya ceria.

“Di mana Putih? Cepatnya dia sampai.”

“Putih balik selepas beberapa minit abang keluar mencarinya tadi. Kini, Putih ada dalam rumah. Sedang makan.” Serentak itu juga, Adik menarik tangan aku masuk ke dalam rumah. “Tu dia,” kata Adik.

“Hah, betulkah Putih?”

“Betul,” tegas Adik.

Serentak itu juga, Putih berpaling ke arah aku, ke arah Adik, apabila mendengar namanya disebut.

Pengkalan Chepa, 2 - 9 Oktober 2009

MENAIP DAN MENGHANTAR KARYA

Entri ini untuk calon penulis yang berhajat mengirim karya ke mana-mana media massa. Ada dua perkara, iaitu karya (difokuskan sajak), dan surat lampiran.

(a) Menaip sajak

Beberapa panduan wajar diikuti ketika menaip karya, iaitu 
  1. Guna kertas A4 warna putih;
  2. Taip sebelah muka sahaja, guna komputer atau mesin taip;
  3. Tulis tajuk sajak dan bold
  4. Langkau sebaris antara tajuk dengan rangkap, rangkap dengan rangkap, dan rangkap dengan nama penulis;
  5. Langkau 1.5 antara baris dengan baris seterusnya;
  6. Manuskrip hendaklah bersih dan guna huruf senang dibaca;
  7. Saiz huruf 12;
  8. Jangan tulis apa-apa keterangan, kononnya memberitahu maksud sajak;
  9. Karya bebas daripada ciplak, plagiat dan kepunyaan orang lain;
  10. Jangan hantar karya sama ke dua / lebih penerbitan.

(b) Surat Iringan

Bagi menaip surat iringan, beberapa kriteria berikut boleh diikuti.
  1. Taip surat secara kemas dan ringkas;
  2. Jangan menceritakan isi sajak dalam surat;
  3. Jangan lupa tandatangan surat;
  4. Tulis nama lengkap, KP, telefon, emel;
  5. Boleh tulis biodata ringkas anda. Kalau tiada pun tiada masalah.
 

Rabu, 3 Mac 2010

Aku Pejuang!

Berkata Syed Husin Ali, "Ada anggapan kononnya parti mendapat khidmat Salehudin secara percuma. Saya ingin merakamkan yang sebenar, iaitu Salehudin bersetuju dibayar RM9,000 sebulan, walaupun asalnya beliau meminta US3,000 sebulan. Bayaran ini dibuat bukan oleh parti tetapi oleh salah seorang penyokong.

"Saya memang tahu selama beliau berkhidmat dengan baik, sikap Salehudin terhadap parti, terutama pimpinannya, sering turun naik. Akan tetapi kemarahan beliau memuncak apabila "permohonannya" untuk menjadi CEO Syarikat Perangsang, yang membawa gaji lebih dari RM50,000 sebulan, ditolak tidak lama sebelum beliau meletakkan jawatan."


Isnin, 1 Mac 2010

Majlis Perundingan Melayu

Penubuhan Majlis Perudingan Melayu (MPM) merupakan satu lagi usaha memperkasakan orang-orang Melayu. Sebelum ini pun telah ada beberapa pertubuhan seperti Sekretariat Melayu, pemikir Melayu, pembela Melayu dan entah apa lagi pertubuhan yang kononnya bertujuan memartabatkan Melayu.

Malangnya, yang terjadi pertubuhan yang ingin memperkasakan Melayu itu sendiri tidak dapat memperkasakan diri, apatah lagi mahu memperkasakan kaum Melayu.

Usaha seperti ini lahir saat orang Melayu dilanda krisis tertentu. Setelah berjaya ditubuhkan, pertubuhan itu pun senyap-sunyi dan sunyi sepi. Orang yang berapi-api saat mahu menubuhkannya bukanlah siapa-siapa melainkan orang yang juga terlibat dalam penubuhan MPM.

Pada saya, kumpulan ini ialah kumpulan orang berdahi luas, botak hingga ke tengah kepala. Orang berdahi luas ialah manusia yang kuat ingatan (memori). Dia ingat segala pengalaman dan pembacaan. Orang yang botak di tengah ialah orang yang pandai. Dia pandai dalam segala pekerjaannya. Maka, orang berdahi luas membotak hingga ke tengah kepala ialah orang seperti formulanya di bawah.

         Dia ingat    +    Dia pandai   =   Dia ingat dia pandai.

Maka, sebab itulah mereka sentiasa ingat bahawa orang Melayu sentiasa tertindas, terbelakang, kian menumpang di rumahnya sendiri. Mereka ingat bahawa orang Melayu dulu sangat hebat dan perkasa. Justeru, kumpulan ini berusaha mencari jalan penyelesaian melonjakkan orang-orang Melayu agar terus maju, bermartabat (k), berkuasa dan sebagainya. Antara caranya ialah menubuhkan pelbagai pertubuhan / persatuan yang tujuannya sangat bagus didengari pada sehari-dua dari tarikh penubuhannya, dan kemudian hilang lenyap. Dia pandai ambil peluang untuk melonjak naik, menubuh dan menggerakkan orang-orang Melayu.

Saya yakin MPM juga tidak akan ke mana-mana. Hal ini kerana mereka yang menubuhkan MPM merupakan orang-orang politik, yang sebahagiannya telah ditolak oleh orang-orang Melayu sendiri. Orang Melayu ingat Ibrahim Ali, pengamal ilmu alkataki, tidak bertali. Oleh sebab tidak bertali, Ibrahim Ali bebas melompak ke mana saja. Perbuatannya 'mengkhianati' UMNO dan 'mengkhianati Nik Aziz tidak boleh dimaafkan. Orang ingat Khir Toyo sebagai penganjur hadiah penyapu kepada kakitangannya sendiri. Bagaikan orang yang tidak tahu mengenang budi / menjaga air muka orang lain. 

Sebesar manapun pangkat anda, setinggi manapun pemikiran / kelulusan anda, jika anda mendapat penyapu sebagai hadiah, anda tetap orang yang hina.

Apabila membaca nama-nama penaja MPM dan jurucakap dan jurusokongnya, saya tertanya sendirian. Sudah tiadakah orang-orang Melayu yang berfikiran ikhlas, berhati mulia, dan tidak berpolitik untuk membela orang-orang Melayu?
Saya yakin, pejuang politik tetap mempunyai muslihat politiknya apabila melakukan sesuatu. Dan, kita juga perlu ingat bahawa di tangan siapakah yang menyebabkan orang-orang Melayu sekarang mundur dan hina, busuk hingga ke kepala?

Mungkin anda mempunyai pandangan lain yang boleh dikongsi.