Rabu, 30 Disember 2009

Ibu bapaku


Ini ayah aku. Satu-satunya ayah aku. Aku panggil Paksu, sebab terikut panggilan oleh bapa dan emak sedara. Ayah tiada pelajaran tinggi. Menulis dan membaca pun dia tidak pandai. Namun begitu, kejujurannya sangat tinggi. Aku pernah menulis sajak, gambaran ayahku. Sajak itu berjudul "Ayahku." Ayah lebih pendiam, tak banyak cakap.

Ayah suka senjata api. Khabarnya, ayah pernah tinggal di Barat (Selatan Siam) dan menembak menggunakan pistol baling. Semasa di kampung, ayah masuk Rela dan sering menggunakan senampang rela untuk menembak.

Menurut isteriku, semasa aku titip dia di kampung sebelum  bersalin anak sulung, ayah pernah minta, "ambil benda tu" lalu ke bukit di belakang rumah. Waktu lepas Magrib dan gelap sedang berlabuh. Sekitar pukul 8.00 malam, terdengar dua das tembak. Ayah beritahu dia tembak harimau kumbang yang sering membaham lembu penduduk kampung. Yang menghairankan, bagaimana dia boleh menembak pada waktu malam dan harimau itu pulak berwarna hitam. 

Sewaktu kecil dulu, aku gemar merayau dalam hutan. Aku sering berpegang nasihat ayah. "Minggu ni jangan masuk hutan. Ada harimau," begitu kata ayah. Anehnya, bila ada harimau saja baru ayah larang. 

Ayah sudah meninggal dunia pada tahun 2004. Apabila ketiadaannya, baru terasa aku kehilangan sesuatu yang amat berharga.  



Ini ibuku, Habsah binti Yacob. Seperti ayah, ibu juga buta huruf dan membeber. Selalu memarahi aku dan aku selalu terima ketam tangannya.

Ibu pandai buat nasi pulut, ketupat, nasi dagang, nasi kerabu dan macam-macam kueh. Makanan masakannya sedap dan tahan lama. Waktu muda dulu, ibu selalu anyam tikai mengkuang (gambar kat atas tu proses buat tikar), tapai, tanam padi, pelbagai sayur demi menyekolahkan aku. 

Ibu selalu menceritakan sejarah hidup susah di Kelantan, dan katanya, "Nasib baik hijrah ke Terengganu, ada juga harta."

Ibu juga pernah jadi bahan persajakan aku, sajak itu termuat dalam kumpulan puisi Elipsis terbitan DBP, 2008.


Ini pula nenek aku, sebelah ibu. Namanya Rokiah binti Said. Nenek tidak suka membeber. Nenek telah meninggal di Makkah sewaktu menunaikan fardu haji. Masa tu aku masih belajar di Universiti Malaya.

Kami terima berita kematiannya dengan rasa sedih, terutama ibu. Apakan daya, sebab masa pergi pun nenek sudah tua sangat.

Semoga Allah menerima amalan nenek. amin.

4 ulasan:

Rositah Ibrahim berkata...

Ibu bapa generasi terdahulu bekerja keras, berhabis-habisan, semata-mata hendak menyekolahkan anak-anak.
Ibu bapa generasi kini 'berjuang' habis-habisan membantah sekolah meminta bayaran untuk itu-ini (bukan semua la...), dahlah buku percuma, yuran dimansuhkan,dan daftar peperiksaan tak perlu keluar wang.

Rositah Ibrahim berkata...

Saya teringat dalam suatu mesyuarat PIBG, seorang ibu menyarankan agar sekolah mengadakan kelas tambahan atas sebab "We've been spending so much money to send our children to the learning centre, and hope the school can lessen our burden by providing the extra classes."
Memetik katanya lagi,"We can give some token to the teachers."
Kata saya dalam hati, rumah kau harga suku juta, mungkin juga setengah juta. Kereta ratusan ribu ringgit. Tapi untuk pendidikan anak-anak cukup berkira.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan,
Teringat arwah ayah, ayah sering juga sebut pasal 'Rodat' ketika kecil-kecil dahulu.
Nasi dagang ibu tuan selalu buat itu nasi dagang Terengganu atau nasi dagang Kelantan?
Nasi dagang Terengganu amat payah hendak dapat di Johor ini... Baca entri tuan ini tiba-tiba teringin sangat hendak makan nasi dagang Terengganu.

nassury berkata...

Pn. Razita, ada ibu (kauselor terkenal, pensyarah U lagi) minta sekolah buat kelas tambahan masa cuti sebab tak dapat jaga anak / tinggal anak di rumah sebab dia bekerja.

Tn Rusdi. Ibu buat nasi dagang Kelantan. Tapi sekarang tak sedap dah. Ketupat ibu buat pun tak bergetah lagi, bentuknya macam biasa kita jumpa kat pasar. Saya fikir sebab tenaganya tak kuah lagi untuk uli pulut.