Selasa, 20 Oktober 2009

Tawar PR kepada Bekas Rakyat Malaysia

Akhbar Sinar Harian bertarikh 20 Oktober 2009 di halaman N3 menyiarkan syor Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, agar kerajaan Malaysia memberikan taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada lebih 200,000 orang warganegara Amerika Syarikat.
Mereka merupakan bekas warganegara Malaysia yang kini menjadi warganegara Amerika Syarikat, dan berkhidmat dalam bidang profesional.
Alasan yang diberikan ialah dengan pemberian PR itu akan mewujudkan rangkaian ekonomi kukuh antara kedua-dua negara. Maksudnya, pemberian PR itu atas perkiraan ekonomi. Alasan ini secara tidak langsung memberitahu bahawa hubungan ekonomi Malaysia - Amerika Syarikat, selama ini, tidak kukuh.
Saya tidak tahu pandangan orang lain. Pada fikiran saya, memberi PR kepada bekas warganegara Malaysia adalah tidak wajar dan syor itu tidak perlu dilayan. Atau, permohonan itu perlu dilihat bersama dengan sejarah alasan mereka menolak menjadi warganegara Malaysia. Kecualilah, mereka yang menjadi mangsa culik atau pelarian perang atau suaka politik.
Saya mengatakan bahawa syor itu tidak perlu dilayan kerana syor itu sendiri merupakan penghinaan terhadap warga setia Malaysia dan undang-undang negara. Adalah tidak adil, atas alasan ekonomi seseorang itu menukarkan PR negara asalnya, dan atas alasan sama pula ingin kembali meraih PR negara asal tersebut. Dan, tidak adil kepada mereka yang setia menjadi warganegara Malaysia, walaupun diri atau negara dalam keadaan susah dan menderita.
Saya tidak tahu sebab sebenar 200,000 orang itu memohon menjadi warganegara Amerika. Namun perbuatan individu yang sanggup menukarkan PR, atas alasan ekonomi, adalah petanda bahawa mereka tidak setia kepada negara asal.
Jika benar mereka sayang negara Malaysia, mereka tidak akan menukarkan PR, bak kata pepatah, "hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri; lebih baik di negara sendiri."
Lebih terhina apabila syor itu datang daripada duta yang bertaraf menteri, dan atas perkiraan material. Apakah syor itu memberitahu kepada rakyat bahawa kita boleh 'menjual' negara atau menukarkan negara / kesetiaan dengan material?
Pada saya, perbuatan menukarkan kesetiaan dengan material adalah satu sikap yang berbahaya kepada keselamatan negara.
Saya bersetuju dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, bahawa bekas warganegara Malaysia yang ingin kembali sebagai warganegara Malaysia akan dilayan sebagaimana permohonan warga asing. Dan, saya juga berharap pemberian PR kepada mana-mana individu dikaji dengan teliti.
Dan, jangan pula ada menteri atau sesiapa sahaja yang berniaga PR.

5 ulasan:

Sham al-Johori berkata...

Bapak, menteri itu memang dari dulu dah gila. Anehnya, orang nombor satu negara pun dah jadi dua kali gila.

sahrunizam abdul talib berkata...

Itu tandanya yang buat cadangan tupun kurang rasa setia pada negara.

dahrie berkata...

setuju dgn tuan...

NASSURY IBRAHIM berkata...

Apakah itu maksudnya 1 Malaysia. Sama-sama jual Malaysia? Altantuya! Altantuya!

rafihasanan berkata...

Agak-agaknyalah tuan, siapakah penjual PR. Rakyat atau pemimpin?