“EH, BUKANKAH itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri bagi mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang. Pak Kaduk.”
“Apa yang dia buat tu?”
Setelah tiga hari bersembunyi daripada buruan polis kerana mencopek kupu-kupu malam, dan merasai diri tidak selamat lagi kerana wajahnya tersiar dalam visual televisyen, Pak Kaduk bercadang melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia. Dia memberi alasan kepada isterinya mahu mencari kerja kerana ramai yang pulang dari Malaysia jadi jutawan.
“Aku juga mahu jadi jutawan, bu,” Isterinya tidak berkata apa-apa.
Hasil bantuan seorang Tekong Malam, dengan bayaran Rp2 juta, Pak Kaduk berjaya menjejakkan kaki di tanah emas Malaysia. Melalui petunjuk seorang teman, dia menemui Bung Karim di Chow Kit dan 'melaporkan' tujuan kedatangannya. Bung Karim menasihati agar dia tidak terlalu mempercayai seseorang dan berhati-hati ketika berada di tempat awam.
“Di sini,” Bung Karim menunjukkan jari telunjuknya ke bawah. “Pak Kaduk dianggap pendatang haram.”
“Apa itu, Bung?”
“Pendatang tanpa izin.”
“Oooo …. Aku kemari mahu cari kerja, Bung. Mahu kerja,” bersungguh-sungguh dia menyakinkan tujuan kedatangannya.
“Ah, itu gampang saja!” Bung Karim membetulkan sila. “Di sini kita tidak usah cari kerja. Di sini kita bikin kerja,” nasihat Bung Karim, pemegang kad pengenalan merah.
“Kerjanya apa, Bung?”
“Apa-apa saja, asal lumayan.”
Maka dijelaskan oleh Bung Karim akan kerja yang sesuai dan hasilnya lumayan. Kata Bung Karim, Pak Kaduk patut jadi dukun.
“Masakan!” Terkejut Pak Kaduk mendengarnya.
“Jadi dukun tak perlu modal besar, Pak. Asal saja pandai bercakap dan diyakini. Pak Kaduk akan dapat wang lumayan dan bisa hidup senang,”
“Aku tidak tahu ilmu pedukunan. Masakan aku bisa jadi dukun! Ah … main-main aje Bung Karim. Aku berkata benar,” jelas rasa kecewa di mukanya.
“Betul, Pak, betul. Kerja ini tak perlu modal besar. Untungnya lumayan.”
Bung Karim memujuk agar Pak Kaduk sanggup menjadi dukun merawat tenaga dalam lelaki. Bung Karim memberi beberapa tip untuk berjaya, termasuk berjanji menyediakan modal awal, tempat tinggal dan peralatan niaga.
“Sebagai balasnya, bapak mesti bayar tiga kali ganda daripada modal aku beri,” sambil mengangkat tiga batang jarinya. “Kalau bersetuju, aku akan bantu perniagaan bapak.”
Setelah berfikir sejenak, Pak Kaduk pun menyatakan persetujuannya. Maka Bung Karim menelefon rakan-rakan agar menghantar segera segala jenis kayu-kayuan: Tongkat Ali, Perdu Bumi, Bangkawali, Jarum Emas, rempah-ratus, halia, kunyit dan segala macam. Bahan-bahan itu dimesin dan dimasak bersama minyak nyor. Sisa kayu-kayuan itu dibuat majun.
Berbekalkan minyak nyor dan majun itulah, Pak Kaduk keluar ke Chow Kit menjual impian. Minyak dan majun itu dipamer bersama-sama gambar ghairah wanita dari majalah Playboy, dan gambar lelaki kecewa patah berjuang.
“Bapak-bapak jangan jadi seperti lelaki ini,” demikian kata Pak Kaduk setiap kali memulakan perniagaan. Kata-kata itu seperti magnet, cepat menarik para lelaki yang lalu-lalang. “Kalah sebelum berjuang,” sambil menunjukkan gambar lelaki berkenaan. Para pengunjung mula mengerumuni.
“Kesian wanita ini,” sambil menunjukkan gambar wanita ghairah. “Kecewa kerana hajat tidak kesampaian. Mahukah isteri bapak-bapak jadi seperti wanita ini?” Pak Kaduk menatap wajah para lelaki di hadapannya. Semua diam, menanti kata-kata Pak Kaduk seterusnya.
“Kalau begini, isteri bapak akan cari lelaki lain,” jarinya menunjuk ke langit. “Tiada guna wang berjuta kalau ini (menunjukkan aksi dengan jari) tidak bisa berfungsi. Mahukah?” Sekali lagi Pak Kaduk memerhati wajah para pengunjung di hadapan. Pak Kaduk rasa makin bersemangat.
“Mahukah digelar lelaki dayus, kalah sebelum berjuang dan isteri dikebas orang?” Pak Kaduk menatap satu demi satu wajah di hadapannya.
“Mahukah?” Pak Kaduk mengulangi suara tanpa mengharapkan jawapan.
“Tidak,” tiba-tiba kedengaran satu suara dari celah kerumunan pengunjung. Pak Kaduk mendongak ke arah datang suara itu, mencari wajah pemiliknya.
Seperti biasa Bung Karim keluar dari belakang para kerumunan, berdepan dengan Pak Kaduk.
“Saya ada tiga isteri,” Bung Karim melangkah ke hadapan. “Sejak guna minyak dan majun bapak, saya rasa sangat bertenaga. Isteri tidak pernah merunggut. Sungguh mujarab majun bapak ini,” tanpa berlenggah, Bung Karim terus membeli dua botol minyak nyor dan tiga botol majun. Sebelum lewat, Bung Karim akan berkata, “Minyak dan majun Pak Kaduk membantu saya menjadi wira sejati,” sambil mengangkat ibu jari.
“Ya, lihatlah. Bapak itu pelanggan tetap saya. Apakah bapak-bapak masih ragu akan ubat saya?” Pak Kaduk cuba menyakinkan pelanggan, sebaik Bung Karim berlalu.
“Kalau senjata kita tidak berfungsi, kita akan jadi seperti mayat batu ini. Keras,” lalu Pak Kaduk menunjukkan gambarnya.
Para pengunjung, khususnya lelaki tua rasa tercabar dengan kata-kata Bung Karim. Apalagi kata-kata Bung Karim itu diperhangat pula oleh Pak Kaduk. Lantas, mereka membeli tanpa dolak-dalih.
Enam bulan lamanya Pak Kaduk berniaga, licin dan menguntungkan. Hutangnya juga sudah habis. Tiba-tiba pada suatu petang dia diserbu oleh pihak berkuasa. Mulanya, Pak Kaduk tidak tahu apa-apa. Nasib baik dia mendengar jeritan rakan sepenjaja menyuruh mereka lari kerana pihak berkuasa datang menyerbu perniaga haram.
Terkejut dengan jeritan itu, Pak Kaduk cepat-cepat membungkus minyak dan majunnya. Sewaktu dia beredar terdengar jeritan suara, “Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak! Tangkap dia, Pak!” Dia melihat seseorang sedang menunding jari ke arahnya.
Pak Kaduk terus menggandakan kayuhan kaki, melewati celahan bangunan. Pada satu selekoh, dia terpandang Bung Karim sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki beruniform. Dia berlari menuju dan ingin mendapatkan Bung Karim. Kebetulan Bung Karim berpaling ke arahnya. Tiba-tiba Bung Karim menjerit, “Itu dia, Pak! Itu dia, Pak! Tangkap.”
Terkejut dengan jeritan Bung Karim, Pak Kaduk terus berpaling dan lari tanpa menoleh lagi. Bungkusan minyak dan majun dibuang begitu saja. Dia berlari dan berlari dan berlari dan berlari keluar kota sekuat takutnya tanpa dia tahu ke mana dan di mana tujunya.
Sedar-sedar dia berada di atas katil. Cepat-cepat dia bertanyakan pada lelaki di hadapannya.
Haji Hassan memberitahu bahawa dia terjumpa Pak Kaduk terbaring dalam semak di tepi jalan, sewaktu pulang dari sembahyang Insyak. Dia sendiri mengangkat Pak Kaduk balik dan menyuruh isteri merawat luka-luka di badan. Haji Hassan turut bertanya akan sebab-musabab dia jadi begitu. Dijelaskan oleh Pak Kaduk bahawa dia berasal dari Brengset, telah enam bulan datang ke negara ini. Kini, dia diburu oleh pihak berkuasa kerana dikhianati rakan.
Terkejut Haji Hassan mendengarnya.
Keesokan hari, Haji Hassan memberitahu bahawa dia terpaksa menyerahkan Pak Kaduk kepada pihak berkuasa. Dijelaskan juga bahawa jika pihak berkuasa tahu, mungkin melalui jiran-jiran, dia dan seluruh ahli keluarga akan ditangkap dan didakwa melindungi pendatang. Haji Hassan berharap Pak Kaduk faham kedudukan dan perasaannya.
Pak Kaduk merayu agar Haji Hassan membatalkan niat sucinya itu. Dikatakan bahawa dia ada seorang isteri dan empat orang anak yang perlu dibiaya. Jika dihukum, maka tiada siapa lagi yang membiaya mereka. Katanya, isteri dan empat anaknya itu akan mati kelaparan.
Katanya lagi, “Aku mahu pulang ke Brengset. Ngak mahu lagi hidup di sini,” air matanya mulai menitis. “Aku benci! Aku benci!” jerit Pak Kaduk tiba-tiba.
Namun, Haji Hassan tetap bertegas. Katanya, “Ini tanggungjawab saya kepada negara. Kami terima kedatangan tetamu halal yang ingin mencari rezeki, dan tidak mendatangkan musibah.”
Ketika mereka bercakap-cakap, tiba-tiba pintu rumah diketuk. Ada suara memberi salam dan memanggil nama Haji Hassan. Setelah dibuka, terjonggol Haji Salleh, Ketua Kampung Lada. Kata Haji Salleh, seorang anak buah mengadu ada pendatang di rumah Haji Hassan.
“Betul ke aduan itu?”
Haji Hassan tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia mempersilakan Haji Salleh masuk dan berbincang di dalam. Diceritakan oleh Haji Hassan peristiwa dia terjumpa Pak Kaduk yang pengsan terbaring dalam semak di tepi jalan.
“Saya membawanya pulang dan menyuruh Si Timah merawatnya.”
“Sekarang di mana orang itu?”
Haji Hassan mengajak Haji Salleh ke bilik tamu. Malangnya, Pak Kaduk tidak ada di situ. Haji Hassan dan Haji Salleh mencari di sekitar rumah, tetapi tidak terjumpa. Timah pula tiada di rumah kerana pergi ke pasar.
“Dia sudah lari.”
Sementara itu, Pak Kaduk yang melarikan diri, sampai di rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit (juga pendatang). Melalui bantuan pekerja tersebut dan rakan-rakan mereka, Pak Kaduk berjaya sampai ke sebuah rumah transit berhampiran jeti haram. Di rumah itu terdapat sekitar 20 orang penghuni senegara, lelaki dan perempuan.
Hasil siasatan Pak Kaduk, mereka juga pendatang yang sedang diburu oleh pihak berkuasa tempatan. Ada antaranya terlibat dengan kegiatan pecah rumah, meragut, merompak, menipu, merogol dan membunuh rakyat tempatan. Sepanjang berada di rumah itu, Pak Kaduk berkenalan dan beramah mesra dengan mereka. Masing-masing melahirkan rasa marah terhadap pihak keselamatan kerana memburu mereka.
“Wah, ternyata, kita sudah jadi keluarga besar!” kata salah seorang daripada mereka.
Tiga hari bersembunyi dalam rumah itu, pada suatu malam dalam hujan renyai-renyai, mereka diarah menaiki bot laju. Mereka segera berlepas ke Brengset meredah selat dan pekak malam. Sepanjang dalam perjalanan, mereka berwadah akan bertemu pada tarikh dan tempat ditetapkan.
Ternyata, pada tarikh berkenaan, kesemua 21 orang itu, menepati wadah mereka. Mereka bertemu, bercerita sambil makan-makan. Sempena pertemuan itu, Pak Kaduk mencadangkan agar mereka bersatu di bawah satu organisasi. Cadangan itu dipersetujui.
Kebetulan TV Merpati di restoran tempat mereka bertemu dan makan-makan itu menyiarkan berita tentang Tarian Beliak Mata dalam iklan Tahun Melawat Malaysia. Dikatakan oleh pembaca berita bahawa Tarian Beliak Mata itu kepunyaan negara Brengset dan menuduh Malaysia mencurinya. “Justeru,” seru pembaca berita itu, “Rakyat perlu bangkit menunjukan bantahan.”
Menyahut seruan itu, seorang daripada mereka bangun dan mencadangkan agar organisasi mereka dinamakan Gerakan Demonstrasi Bersama Rakyat (Gedeber). Pak Kaduk dilantik sebagai presiden dan sekali gus sebagai koordinator program. Aktiviti pertama Gedeber ialah mengadakan demonstrasi di depan Kedutaan Malaysia. Pada hari itu juga, mereka membincangkan tarikh, strategi dan segala kelengkapan yang perlu sepanjang demontrasi tersebut.
“Eh, bukankah itu Pak Kaduk,” kata Haji Hassan apabila melihat visual berita di skrin televisyen. Lantas, dia memanggil isteri, mengecam dan memastikannya.
“Yelah, bang,” sokong isterinya.
“Apa yang dia buat tu?”
Haji Hassan mengamati orang-orang dalam visual itu. Masing-masing mengikat kepala, memegang buluh runcing dan berkumpul di tepi jalan, berteriak sambil mengangkat sepanduk bertulis, “Malaysia Curi Tarian Beliak Mata: Ganyang Malaysia.”
“Oooo ...,” kata Haji Hassan. “Kaduk naik junjung” Dia menutup suis tv, dan segera beredar ke masjid kerana mahu menunaikan solat Zuhur.
Pengkalan Chepa, 8 – 12 Oktober 2009.
Siaran: Berita Harian, 31 Oktober 2009
5 ulasan:
Sdr Nassury,
Saya tergelak sendirian.Singkat, tetapi humor, surprise dan satiris. Tambah lagi cerpen mini spt ini . Awas, kalau si Kaduk itu baca dia akan menyeberangi Selat Melaka sekali lagi. Kali ini betul-betul bawa ubat kuat untuk sdr.
Salam
BZ
Sudah lama saya berfikir tentang kekuatan pertahanan negara. Kalau orang asing dari masyarakat buruh dapat masuk dan keluar, dan berlambak-lambak secara terbuka dalam negara kita, malah menjadikan negara kita sebagai transit ke negara lain, dan jeti-jeti haram dapat beroperasi dengan bebas, apakah boleh kita katakan bahawa pertahanan / pihak keselamatan negara kita kuat, selamat, cekap dan entah apa-apa lagi? Cerpen ini sebenarnya bersifat pukul anak sindir menantu. Walaupun saya menjurus kepada kumpulan Bendera, mesej besar ialah kepada penjaga keselamatan negara kita, yang cekap menangkap golongan politik kiri, tetapi tidak cekap menangkap musuh negara.
KPN (sambung) TS Musa Hassan suka buat demontrasi, manakala tentera pula tidur. Keselamatan negara entah ke mana. cakap berderau-derau. jenayah berleluasa. apa nak jadi negara kita?
as-salam sdr..
nampaknya kita kena beli kapalselm banyka lagi atau buat POS dlm laut..apa-apa pun selagi humanware tak betul..cangguh mana ICT mereka boleh masuk juga..kan
(tanya sendiri jawab sendiri)
Kalau tiada halangan, cerpen ini akan disiarkan dalam Berita Harian. Tunggu dan lihat. selamat membaca.
Catat Ulasan