Rabu, 29 Julai 2009

Seminar Kekuasaan Raja

Ada dua pekerjaan luar (bersambungan) yang harus patik laksanakan pada minggu ini. Pertama menghadiri Seminar Kebangsaan Kekuasaan dalam Sastera Melayu Nusantara (SKKdSMN). Kedua, menghadiri Kursus Kemahiran Penyuntingan Bahan Ilmiah (KKPBI).

Seminar (SKKdSMN) diadakan pada 25 – 26 Julai 2009 di USM, membincangkan tentang kuasa dan kekuasaan, tuan dan ketuanan, dan daulat dan kledaulatan raja Melayu. Kandungannya amat penting untuk difahami dan dihayati oleh generasi tua dan generasi muda, dan lebih-lebih lagi para politikus serta bukan Melayu. Oleh sebab itu saya berpendapat, seminar ini patut dilanjutkan bergilir negeri melibatkan pemimpin partai dan pentadbir istana.

Memang agak aneh seminar tentang raja dan kerajaan ini diadakan di negeri tidak beraja. Barangkali ia adalah petanda bahawa kita tak perlu raja dan kerajaan lagi, atau fungsi raja dan kerajaan telah mandur.

Seminar yang mendedahkan peranan raja dan kedaulatannya, bukan sahaja raja sebagai pemerintah, malahan membongkar peranan raja saebagai penyatu kepelbagaian manusia dan penegak ketamadunan Melayu. Hal ini amat miskin diketahui rakyat, apalagi sistem pendidikan kita tidak mesra bangsa dan kebangsaan buminya.

Kita dapati bahawa 90% manuskrip Melayu menyimpan konsep pembinaan negara dan kenegaraannya yang amat baik diketahui dan diteladani. Saya percaya, jika maklumat dalam manuskrip itu diperhalusi dan disebarkan kepada generasi, ia dapat mempercepatkan tumbuhnya rasa kecintaan terhadap bangsa dan negara serta penghayatan terhadap konsep 1 Malaysia.

Malangnya, seminar yang penting dan boleh dijadikan propaganda kerajaan Melayu moden, hanya dihadiri oleh pelajar kesusasteraan, peminat kesusasteraan, sarjana kesusasteraan dan sarjana sejarah sahaja sebagai peserta dan pemakalah.

Tidak ada langsung kelibat golongan politikus, pemimpin kerajaan awam dan kerajaan pembangkang, golongan istana, walaupun mereka sebelum ini mereka berteriak menunjukkan kecintaan pada raja dan institusi kerajaan. Malahan juga, kelibat para pembuat laporan polis terhadap Karpal Sing dan Ir. Mohd Nizar dan menuduh mereka menghina institusi raja, juga jauh panggang daripada api.

Barangkali mereka hanya 'anjing pemburuan' atau 'tiung di gelanggang aji' yang pandai bercakap berteriak, tetapi tidak tahu perkara yang dipercakapkan mahupun diteriakkan. Juga mereka yang mencabut, mencium dan menyarung keris kontotnya, langsung tidak 'membawa' semangat keris sebagai petanda sokongan dan kecintaan terhadap institusi raja dan keRAJAan.

Apakah ketiadaan golongan 'pencinta' istana dan keistanaannya itu menandakan perihal raja dan keRAJAan tidak penting didalami, dihayati, difahami dan disebarkan kepada generasi sebagai benteng mempertahankannya pada masa akan datang? Atau, cukup sekadar berteriak di jalanan dan membuat laporan polis dan kemudian bergambar untuk disiarkan dalam akhbar.

Iktibar daripada ketiadaan para politikus, golongan istana dan 'pencinta' institusi istana itu, pada pandangan saya, menghantar isyarat bahawa institusi raja dan keRAJAan penting dari segi sejarah lampau, tetapi tidak untuk sejarah moden? Atau, penting ditunjukkan melalui teriakan jalanan dan laporan polis sahaja.

Kalau benar sangkaan ini, biarkan mitos dan lagenda yang ada itu berlalu tanpa mencipta mitos dan lagenda baharu.

Memang rakyat tidak tahu tentang kisah raja dan institusi raja moden, melainkan hanya kisah-kisah sejarah lama yang belum tentu benarnya. Demikianlah pandangan patik yang tidak pasti ini, melainkan pihak istana menunjukkan kecintaan mereka terhadap institusi mereka. Berdasarkan laporan akhbar sekitar tahun 2009, melalui krisis politik Perak, patik berpandangan zaman raja bersemayam dan rakyat menjulangnya sudah berlalu. Raja melalui institusi rajanya perlu 'mendedahkan' sejarah keluarga dan kekeluargaan, istana dan keistanaannya untuk dihayati oleh rakyat.

Apabila Sultan Selangor, Sultan Perak, dan Sultan Perlis menyeru agar rakyat menghormati raja dan institusi keRAJAannya, dan dilaporkan oleh akhbar bahawa seruan itu lebih dituju kepada politikus pembangkang sahaja, maka patih menjadi ragu sebab pemerintah persekutuan memperlakukan institusi raja dan keRAJAannya lebih dasyat daripada yang 'diperlakukan' oleh pembangkang. Umpamanya, menarik imuniti atau 'mengizinkan' orang asing dan rakyat menyaman sultan. Atau, melepaskan pihak yang mencaci sultan, sebagaimana sebilangan politikus Terengganu yang memanggil Sultan Terengganu sebagai 'nantang' (binatang).

Yang pasti, patik ingin cepat pulang ke hotel kerana mahu berkemas bagi menunaikan tanggungjawab kedua, menghadiri kursus penyuntingan. Tentunya, semasa berkemas itu, barang-barang yang ada tersimpan dalam bilik hotel (mahupun bilik hidup / minda), tetapi tiada kegunaannya, akan patik sunting dan buang. Barang yang ada dan tidak berguna akan menyemak mata, bag dan tentu sekali akan menyemak dan 'memberatkan' hidup dan kehidupan kita.

Selasa, 21 Julai 2009

Naik Tambang

Saya mengucapkan tahniah kepada pengundi-pengundi BN di Manek Urai. Berselang beberapa hari selepas mengundi, kerajaan BN mengumumkan kenaikan tambang pengangkutan awam. Tentunya, kenaikan itu juga sebagai hadiah kepada pengundi Manek Urai, walaupun ia tidak termaktub dalam janji kempen.

Kenaikan itu pula berdasarkan perbatuan, bukannya pukal.
Saya yakin kenaikan itu telah diambil kira akan implikasi kepada rakyat bawahan dan tidak membebankan rakyat bawahan, termasuk pengundi BN di Manek Urai dan sudah lama tidak dinaikkan. Kali terakhir pada Mei 2005 (pengangkutan awam) dan 2006 (tambang bas sekolah)Lebih yakin lagi, cadangan kenaikan itu adalah paling rendah dibandingkan dengan negara-negara lain. Dan, tambangnya pun lebih rendah juga. Apalagi, kerajaan mengamalkan dasar Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Bukannya 'Bisnes diutamakan Rakyat dipinggirkan.'
Saya pernah naik tuktuk, Ken dan seumpamanya di Indonesia dan Thailand. Tambangnya Rp. 2,000.00 dan B2,000.00 sekali perjalanan ke mana saja. Tidak pernah ada di negara kita, tambang pengangkutan awamnya senilai itu. Misalnya, tambang tambang teksi dari KLIA ke K. Lumpur hanya RM67.40 sahaja. Tak sampai 1, 000.00 pun. Demikian, rendahnya tambang pengangkutan awam di negara kita.

Saya tidak pasti, apakah pengundi Manek Urai merupakan pengguna kenderaan awam atau menggunakan kenderaan sendiri.

Pada saya, kenaikan itu tetap membebankan saya. Saya bergaji kecil dan jujur bekerja. Sering menggunakan pengangkutan awam. Sepanjang saya naik bas atau teksi misalnya, tidak pernah saya 'terjumpa' menteri atau politikus naik bas atau teksi. Mereka tidak pernah naik pengangkutan awam darat, walaupun pengangkutan itu milik mereka. Jadi mereka tidak tahu keperitannya.
Kawan saya memberitahu bahawa harga tambang bas ekspres sehala, harga baharu, dari Johor Bahru ke Kota Bharu ialah sekitar RM100.00 seorang. Bayangkanlah bagi mereka berkeluarga sederhana atau besar yang ingin pulang berhari raya di kampung. Barangkali sebulan gaji perlu diperuntukan untuk tambang sahaja. Walaupun nilainya rendah, pada saya, ia tetapkan membenbankan.

Ahad, 19 Julai 2009

Polis dan Penjenayah

Tengah hari 16 Julai, sebaik aku mahu keluar dari pintu pagar untuk sesi kedua (petang) ke tempat kerja, sebuah kereta Waja berhenti mengejut betul-betul di hadapanku. Nasib baik aku belum pulas minyak motor, kalau tidak aku akan melanggar kereta Waja itu. Dalam hati aku berkata, "Wah, brutalnya orang ini. Siapa mereka? Along atau penculik atau perompak?" Ada tiga orang pemuda dalam kereta itu. Aku diam memerhati dan dalam hati berkata, "Mungkin hari ini aku mendapat bala."
Seorang lelaki keluar menghampiriku dan terus bertanya, "Kimi ada?" Aku tidak faham maksud 'Kimi' terus bertanya, "Apa?" Pertanyaan dan jawapannya terus berulang beberapa kali sehingga aku faham bahawa yang dimaksudkan 'Kimi' itu adalah seseorang yang dicari.
Aku terus menjawab, "Tak ada? Tak ada orang bernama Kimi di sini."
Dia memperkenalkan diri, "Saya polis." sambil mengeluarkan kad kuasa. Aku melihatnya, tetapi dalam hati aku berkata, "Ini mungkin helah nak merompak."
Si Polis itu memberitahu bahawa ada orang pecah rumah di @@@. Tuannya ada kereta Kia Spectra hitam. Aku menjawab, "Ya, kereta Kia Spectra hitam tu saya punya tetapi tiada orang pecah rumah saya."
Dia buat-buat hairan. Aku seratus kali hairan.
Kebetulan jiran berselang beberapa buah rumah berada di depan pintu pagar rumahnya. Saya terus bertanyakan jiran itu. Jiran itu mengiyakan bahawa rumah beliau yang dipecah masuk semalam dan dia yang membuat laporan. Jiran itu mempunyai kereta Kia Sephia warna biji star.
Memang sekitar tempat tinggal aku dan di tempat kerja aku selalu berlaku pecah rumah / pejabat. 90 % jabatan di pejabat aku telah jadi mangsa. Malah, jatan aku sendiri pernah dipecah masuk dan hilang 2 laptop. Ada yang hilang sampai lebih 5 laptop dan aktiviti pecah masuk berlaku setiap bulan, sejak tahun lepas lagi.
Semasa masyarakat heboh PRK Manik Urai, ada dua jabatan di pejabatku dipecah masuk dan hilang LCD serta laptop. Dah banyak harta kerajaan hilang begitu saja. Mereka tahu laptop tidak boleh dibawa balik, mesti tinggal di pejabat. Salah kalau dibawa balik, tetapi tidak salah kalau hilang dicuri di pejabat.
Orang yang disyaki mencuri pernah ditangkap oleh pengawal semasa cuti pertengahan tahun baru-baru ini. orang itu pun mengaku bahawa dia yang mencuri harta-perdak di pejabatku. Namun, orang itu terpaksa dilepaskan dan tidak boleh didakwa sebab tidak ada laptop 'dalam poket seluarnya' semasa ditangkap. Tak ada barang bukti. Dua minggu selepas itu berlaku lagi pecah jabatan dua malam berturut-turut.
Kalau diikutkan teori, tempat aku kerja memang selamat. Almaklumlah, di setiap penjuru pejabatku adalah tempat tinggal polis dan tentera. Di depan pintu masuk ada Rumah Panglima tentera yang berkawal 24 jam. Sebelah kanan pula Mes pegawai polis. Sebelah kiri pula ada Balai Polis Gerakan Am (dulu bekas kem PPH). 1 KM ke depan sebelah kanan ada balai polis daerah. Setengah KM ke depan sebelah kiri pula ada Balai Polis Daerah lagi (baharu operasi - besar dan lengkap). Pendek kata, pejabatku dan jabatanku berada di tengah-tengah penjaga keselamatan. Pejabatku sendiri pun dikawal oleh pengawal keselamatan upahan. Menurut rakan-rakan, pengawal itu hanya jaga pintu masuk sahaja, bukannya kawasan. Maklumlah, gril pintu masuk mahal.
Siapakah pencuri yang licik itu dan ke manakah pergi polis yang ramai itu? Apakah mereka tidak cekap lagi mengawal keselamatan, hingga pencuri di bibir mata pun tak nampak. Ke manakah barang-barang itu dijual hingga tidak dapat dikesan? Sampai kini belum ada jawapan. Dan, sampai bilakah masalah ini akan terus berlaku?
Nak kata polis sekarang tak cekap tak juga. Sebab bulu anu ai yang gugur bertahun lamanya dapat dicari. Bulu anu ai tu lagi kecil berbanding laptop. Entahlah ... sukar (malah tak akan dapat dicari) air hujan yang jatuh ke sungai atau ke laut kerana air hujan itu juga air laut dan air laut itu juga air hujan. Barangkali begitulah pencuri itu dengan polis. Sama-sama cekap.
p/s
Pada hari tulisan ini diterbitkan, satu lagi jabatan di pejabatku dipecah masuk. Tahniah kepada pencuri kerana kehebatan anda tidak dapat dikesan oleh polis.

Selasa, 14 Julai 2009

Siapa Henry Gurney?

Bagi membuktikan kekejam komunis (Chin Peng) dan mendapatkan sokongan rakyat agar Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke tanah airnya, ada ahli sejarah Malaysia mengangkat kematian Henry Gurney sebagai petanda kekejaman komunis. Ada pihak membalasnya dengan cara memperkenalkan sejarah Henry Gurney yang sebenar. Saya terkejut dengan latar belakang dirinya yang tidak pernah saya ketahui. Rupa-rupanya Henri Gurney merupakan orang yang sangat hitam terhadap pejuang, Palestin dan agama Islam sendiri. Kesal dengan sikap 'orang dewasa' kita itu, maka saya perturunkan catatan ini yang disesuaikan daripada maklumat Che Gu Bard, untuk renungan kita agar tidak tertipu dalam kebijakan orang lain.

Siapakah Henry Gurney sehingga sebilangan ahli sejarawan Malaysia, pihak keselamatan dan pemimpin mengagungkannya? Menurut Che Gu Bard, Henry Gurney ialah warga kelahiran British yang membesar dalam keluarga bangsawan yang percaya bahawa bangsa mereka sahaja yang berdaulat. Semua bangsa lain perlu tunduk kepada kekuasaan bangsawan British.

Sebelum bertugas di Malaysia, Henry Gurney merupakan Ketua Pentadbiran Inggeris di Palestin dari tahun 1946 – 1948. Keganasan beliau yang harus kita ingat ialah menjadi antara perancang yang membawa masuk bangsa Yahudi di seluruh dunia berkumpul di Palestin, khususnya yang berfahaman Zionis. Untuk itu, tanah Palestin dirampas untuk dijadikan tempat perlindungan Yahudi daripada kezaliman Eropah, khususnya Hitler. Dari hanya kawasan perlindungan, 'berkat' usaha gigih Henry Gurney dan dengan kerjasama kerajaan British, Yahudi telah berjaya membentuk negara Zionis Israel lakhanatullah di Palestin. Kini, mereka sedang berusaha memperluaskan wilayah kekuasaan dan menghapuskan orang-orang Islam di Palestin dan tanah Arab.

Menghargai kecekapan beliau memperdaya bangsa Arab Palestin hingga berjaya menubuhkan negara Israel, maka Henry Gurney telah dinaikkan pangkat menjadi Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Tanah Melayu pada 13 September 1948.

Perlantikan beliau ke jawatan nombor satu di Tanah Melayu oleh British dengan harapan dapat memperdaya penduduk Tanah Melayu untuk terus mempertahankan sistem kapitalis dan menolak antiimperialis dengan harapan dapat mematahkan gerakan antipenjajah (kemerdekaan) oleh para pembesar, raja, ulama, wartawan dan guru, di Tanah Melayu.

Untuk itu, sejak September 1948, semua pejuang-pejuang kemerdekaan ditangkap, dipenjara dan dibunuh oleh Henry Gurney dengan pelbagai cara. Mereka juga dicop sebagai pengganas kerana menentang kerajaan. Hal ini menyebabkan ramai pejuang kemerdekaan menentang penjajah dilabel sebagai komunis dan pengganas. Ada antara mereka terpaksa melarikan diri ke hutan dan berjuang sebagai gerila. Bagi memutuskan hubungan masyarakat dengan pejuang, kerajaan British memperkenalkan kampung baru (kem tahanan), sekatan jalan raya dan memusnahkan tanaman penduduk kampung.

Dari 1948 – 1951, British bangga dengan Henry Gurney yang berjaya bukan sahaja mengekang tentangan bersenjata malah berjaya memainkan 'psywar' untuk mengheret sama anak tempatan mempertahankan Kerajaan penjajah British dan memerangi pejuang. Ada guru agama yang menanam sentimen antipenjajah ditangkap dan dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas.

Henry Gurney begitu menikmati zaman kegemilangannya di Tanah Melayu. Dia dipuja dan dikawal umpama 'Presiden Tanah Melayu'. Bergerak ke mana–mana dengan kereta mewah berjenama Rolls Royce. Di atasnya berkibar bendera Union Jack (bendera penjajah).

Pada 7 Okotober 1951, semua kemegahan Henry Gurney musnah apabila beliau mati dengan tembakan dalam satu serang hendap oleh pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya. Serangan itu dikatakan diketuai oleh Chin Peng. Isterinya yang turut berada di dalam kereta itu tidak dicederakan.

Barangkali kerana berjaya membunuh Henry Gurney, bekas-bekas tentera begitu marah kepada Chin Ping. Sedang mereka tidak pernah marah kepada Henry Gurney yang membunuh rakyat dan merampas tanah Palestin, mencemar tempat-tempat suci Islam dan membunuh pejuang-pejuang Melayu yang menuntut kemerdekaan. Dan lebih dahsyat lagi, tergamak mereka merai Henry Gurney sebagai hero yang harus diingati sebagaimana usaha mempamerkan papan tanda sebagai mengenang tempat kejadian pembunuhan Henry Gurney. Kata-kata itu sebagaimana di bawah.

Henry Gurney bersama isterinya dan setiausaha peribadi D.J Stapler bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Bukit Fraser untuk urusan rasmi dan berehat. Apabila kereta Rolls Royce yang membawa rombongan Gurney itu dengan kibaran bendera 'Union Jack' oleh Konstable Mohd Din sedang mengambil selekoh S di bt. 56 ½, kira – kira 8 batu dari Bukit Fraser tiba – tiba Rolls Royce menjadi sasaran peluru pengganas komunis.

Kata Che Gu Bard, ayat di atas menggambarkan kita tidak pernah belajar untuk menulis sejarah sendiri. Tulisan penjajah merakam sejarahnya kita salin bulat–bulat. Kita bangga dengan kibaran Union Jack. Kita sedih dengan kematian Henry Gurney. Namun, tidak ada sebaris pun rasa sedih pada nasib yang menimpa Konstabel Mohd Din yang menjadi pemandu Henry Gurney. Malang sungguh, ahli sejarah, pihak berkuasa tempatan dan pihak keselamatan (polis dan tentera) tidak dapat menilai antara sejarah pejuang dengan sejarah penjajah di Malaysia.

Begitu kuat kesan penjajahan terhadap rakyat Malaysia. Walaupun lebih 50 tahun merdeka, ternyata minda segelintir rakyat Malaysia masih terjajah. Apakah kita perlu menghormati mata rantai penjajah ini? Kedua-duanya, Chin Peng dan Henry Gurney, adalah sama-sama penjenayah kepada bangsa dan negara Melayu.

Lu fikirlah sendiri.



Isnin, 13 Julai 2009

Sisir Linggi

Aku menamakan ia sebagai Sisir Linggi sempena nama Kampung Pasir Linggi. Maksud sisir ialah sikat. Selain sisir, ada kalanya masyarakat Kelantan memanggil 'gerat.' Walau bagaimanapun, istilah 'gerat' lebih merujuk kepada gerat untuk mengumpul rumput yang dipotong. Sisir Linggi ini diperbuat daripada buluh dan digunakan oleh orang asli suku Batek di Kampung Lenggi (Linggi) Pos Lebir, Gua Musang, Kelantan.

Wanita Batek di Kampung Pasir Linggi

Setelah rambut disikat, sisir itu akan dipacak pada rambut di bahagian belakang kepada, sebagaimana dipacak pada sanggul oleh kebanyakan wanita.



Sisir Linggi bersama bekas panah beracun


Sisir Linggi bersama panah beracun

Antara Rakan-Rakan di IPGM - Kampus Tuanku Bainun


Mantan KJ Jabatan Pengajian Melayu, Puan Zahariah Zainuddin, gemar memasak dan sedap.

Encik Sabri (kiri) dan En. Shafie (kanan). Kini En. Shafie berkhidmat di IPGM-KSAH

Dari kiri: En. Mohd. Ali, En. Gengataran, En. Rashid Ismail, En. Ismail Abdullah, En. Chin dan En. Mansor Ahmad.

Landak Albino

Saya rakam gambar landak ini pada 26 Jun 2009, hari Jumaat, di bandar Kota Bharu. Ia milik seorang penjual barangan.





Sokong Mansuh PPSMI,

Salam hormat kepada YAB Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. Keputusan YAB Tan Sri memansuhkan PPSMI adalah langkah bijak demi masa depan negara dan orang Melayu, khususnya masyarakat di luar bandar. Salam hormat juga kerana YAB Tan Sri kerana bercakap benar dan bertindak berani di bumi nyata, cuba merealisasikan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, bukannya "Rakyat Diperniagakan Wang Diutamakan."

Telah banyak kajian dibuat oleh tokoh-tokoh, organisasi, NGO dan sebagainya yang mencapai lebih 2/3 memihak agar PPSMI dimansuhkan. Hanya kajian PAGE dan tanggapan Tun Dr. Mahathir, segelintir guru bahasa Inggeris dan bekas YB sahaja yang menyokong tanpa sebab yang jelas.

Saya kesal dengan sikap dan tindakan Datuk Sri Dr. Mahathir terhadap PPSMI. Beliau menjadi doktor tersalah ubat dan PAGE pula merupakan penyokong kebutaan matlamat. Dari segi sejarah, pendaulatan terhadap bahasa Inggeris bermula dari rasa kecewa Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed terhadap duta-duta dan pegawai diplomatik Malaysia yang tidak fasih dan tidak petah bersilat lidah di gelanggang bahasa Inggeris. Hal ini menyebabkan khidmat mereka mengikat tali persahabatan dan 'menjual' Malaysia gagal mencapai matlamat. Kehadiran mereka tidak sampai ke jantung hati masyarakat setempat. Maka tidak hairanlah negara Singapura lebih dikenali daripada Malaysia, walaupun Singapura sebesar jari telunjuk, manakala Malaysia segenggam tangan.

Dalam masa sama, berlaku masalah ketidakupayaan pelajar di sekolah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Guru Bahasa Inggeris gagal meningkatkan keupayaan pelajar menguasai bahasa Inggeris. Anehnya, kerana kegagalan itulah kerajaan memberi imbuhan 10 % kepada mereka, manakala guru yang berjaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam subjeknya mendapat putih mata dan tidak dihargai. Rupa-rupanya, kepincangan dan kemerosotan produktiviti adalah penting untuk meningkatkan sumber ekonomi dan opengiktirafan!

Daripada dua permasalahan itu, MT UMNO tahun 2002 di bawah Presiden Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed, dan kabinet (baca karbinet) Malaysia tahun 2002 di bawah Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed cuba mengatasinya dengan cara menginggeriskan segala pembelajaran dan pemerolehan ilmu Sains dan Matematik rakyatnya.

Barangkali inilah etika doktor-doktor Malaysia (baca doktor pencen) merawat pesakit dengan cara memberi ubat kencing manis kepada pesakit darah tinggi.

Tidak ada sesiapa yang menghalang sesiapa yang ingin mengajar dan meningkatkan bahasa Inggeris kepada sesiapa pun rakyat Malaysia. Malah mereka dialu-alukan mengajar bahasa-bahasa lain yang ada di muka bumi kepada rakyat Malaysia.

Yang dikesalkan ialah mengapa dipilih bidang Sains dan Matematik untuk diinggeriskan. Dua subjek ini, dan bahasa Inggeris, memang sudah terkenal menjadi barah orang Melayu. Melalui PPSMI, kelemahan orang Melayu dalam dua subjek itu ditindih pula dengan kelemahan bahasa Inggeris, menjadikan orang Melayu menghadapi dua kali lemah untuk menguasainya.

Pada tahun 1970-an dan 1980-an, sudah terbongkar bahawa ramai (hampir majoriti) mahasiswa-mahasiswa Melayu yang mengambil bidang Sains (kejuruteraan misalnya) di universiti tertentu di Malaysia gagal menghabiskan pengajiannya. Semuanya agara-gara bahasa Inggeris. Nampak kabinet di bawah pimpinan Datuk Sri Dr. Mahathir mohamed tidak belajar daripada sejarah tersebut menyebabkan kita meragui ketulusan hati mereka untuk menolong orang Melayu. Jika diteruskan, projek PPSMI akan mengulangi sejarah hitam orang Melayu. Justeru, adalah wajar YAB Tan Sri Muhyidin memansuhkannya, dan Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamed dikecam rakyat.

Lagipun, tidak semua pekerjaan yang kita lakukan memerlukan kefasihan berbahasa Inggeris untuk mencapai tujuan. Ramai perniaga di Thailand yang saya temui tidak tahu berbahasa Inggeris, namun urusan perniagaan tetap berjalan lancar dan Thailand merupakan antara negara yang cemerlang industri pelancongannya. Jauh meninggalkan industri perancongan Malaysia walaupun pelbagai galakan dan iklan dilakukan di luar negara.

Kepada penyokong-penyokong PPSMI, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamed, alihkan sokongan itu dengan cara mencari cara meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain kepada para generasi sebagaimana dikehendaki.

Walaupun kita bimbang para generasi muda tidak petah berbahasa Inggeris, anehnya subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tidak ditawarkan kepada pelajar tingkatan enam, sebagaimana berlaku dalam tahun 1980-an. Dua subjek itu kian terhapus. Ada sekolah tidak menawarkan langsung subjek Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (bawah KPM) kepada pelajar tingkatan enam. Namun, nasib bahasa Inggeris lebih baik kerana ia diselamatkan oleh MUET. Hanya nasib Bahasa Melayu yang masih belum terbela.

Hal ini perlu difikirkan juga kalau benar kita menyayangi bangsa dan negara.


Rabu, 8 Julai 2009

Mencapai Hasrat

Yang carik dijahit
Yang koyak ditampal
Yang kurang ditambah
Yang pendek disambung
Yang hak disempurna
Yang batil dijauhi
Yang kabur dijelas
Yang tiada dicari
Yang kotor dicuci
Yang keji dibuang
Yang adil dijulang
Baharulah sempurna
Hasrat dan cita-cita
1 Malaysia.

NASSURY IBRAHIM



Selasa, 7 Julai 2009

Menjadi Bangsa Bijaksana

Wahai diriku, aku berpesan kepadamu. Apabila engkau menatap cermin, sepatutnya yang engkau nampak ialah dirimu, bukan diri orang lain, walau betapa cantik pun orang itu. Engkau tidak sepatutnya menyembunyikan segala garis dan warna dirimu dengan garis dan warna pilihan. Betapa cantik garis dan warna pilihan itu, ia tetap bukan milikmu.

Demikian, kalau engkau mendapati bahasamu tidak sempurna, ia tetap menjadi bahasamu. Dan, betapa cantik dan sempurna pun bahasa Inggeris, ia tetap milik orang lain. Engkau tidak akan sekali-kali bertukar menjadi orang Inggeris. Hitam matamu tidak akan biru. Pun sawo kulitmu tidak akan putih. Adalah menjadi tanggungjawab engkau, wahai diriku, melengkapkan ketidaksempurnaan bahasamu itu. Diwarisi ia oleh anak dan cucumu hingga mereka jadi persis bangsamu. Baharulah benar kata Laksamana Hang Tuah, "Tidak Melayu hilang di dunia" dan engkau digelar bangsa yang bijaksana.
HAPUS PPSMI

Cermin
Cermin tidak pernah berkata bohong
meski ia terbalik atau pecah
pada yang menatapnya seorang pengemis
tua yang mahu melihat wajah hidupnya
atau seorang pemerintah yang mahu
merawat gaya pemerintahannya.
Kumpulan Sajak 'Cermin', Gapri, 1987

Isnin, 6 Julai 2009

IPGM / BPG Bukan Keluarga Mesra Anak

Sejak kecil anakku minat jadi guru. Apalagi dia bermain pondok-pondok, dia berlakon sebagai guru. Aku tentunya rasa bangga. Bersandarkan keputusan SPMnya tahun 2008, aku pun tolong mengisi Borang KPL-SPM bagi pihaknya. Aku mohon kursus kajian sosial sebab dia dari aliran elektrik di SK teknik. Bidang itulah yang dia layak.
Apabila keputusan layak temu duga diumumkan, namanya tidak tersenarai. Ada tiga orang anak pensyarah di jabatanku tidak layak ditemu duga. Yang seorang lagi tak mahu buat rayuan. Merajuk. Satu salinan surat rayuan kami beri kepada pegawai BPG bahagian pengambilan melalui Tuan Pengarah (kebetulan dia datang ke IPGM), satu lagi kami beri kepada orang kuat BPG di tempat lama aku bertugas (dia memaklumkan sudah beri kepada pihak berkenaan) dan satu lagi kami hantar terus ke BPG. Malangnya, rayuan itupun tidak diterima. Terdetik rasa kecewa aku sebagai pensyarah di IPGM. Hatiku berkata, "telusnya BPG hingga anak kakitangan sendiri pun tidak dilayan, sedangkan dari segi akademik, dia layak." Mujur rayuan anak kawanku itu diterima.
Pada 28 Jun, seorang kawan dari salah sebuah IPGM berkunjung ke IPGM aku. Kami berbasa-basi dan rupa-rupanya, nasib anaknya seperti anak aku juga. Rayuannya lagi hebat. Dia merayu melalui Dr Fuad Zakarsi (Timbalan Menteri Pelajaran), melalui Datin Asariah dan juga melalui pengarah IPGMnya sendiri. Malangnya, rayuannya juga gagal. Sekali lagi hati aku berkata, "Wah, hebat BPG! Anak kakitangannya pun tidak dilayan."
Anak kawanku yang seorang itu dipanggil temu duga. Khabarnya ia layak dan markahnya pun tinggi. Anehnya, apabila keputusan keluar, tiada pula nama anaknya tersenarai untuk mendaftar. Sekali lagi dia membuat rayuan. Tak tahulah nasibnya. Pelajar KPL-SPM mula daftar sekitar 13 Julai. Setakat ini dia tiada terima apa-apa makluman.
Barangkali bukan rezeki anak kami. Aku rasa amat kecewa kerana tidak dapat menolong anak sendiri. Khabarnya, di kementerian lain, mereka akan diberi peluang jika akademik anak kakitangannya layak. Beberapa hari lepas, dia dapat tawaran ke Politeknik dan UiTM. Namun, dia menolak kerana mahu menjadi guru. Kini, anakku belajar di tingkatan enam. Dia mahu mencuba melalui KPLI pula.