Ahad, 28 Jun 2009

Laporan Kaji Selidik Penggunaan Bahasa Malaysia di IPT

Maklumat berikut ialah laporan Kaji Selidik Penggunaan Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi (KSPBMIPT) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1989 (13.12.1989). Laporan KSPBMIPT ini berdasarkan pendapat 2320 daripada 2990 orang respoden. Mereka terdiri daripada pelajar seramai 1185 daripada 1700 orang, tenaga pengajar (630 / 710), pentadbir (190 / 250) dan siswazah (323 / 330). IPT terlibat ialah UM, UKM, UPM, USM, UTM, UUM, dan ITM (kini UiTM). Cuplikan aspek dan hasil kajian itu sebagaimana di bawah.

(A) MATLAMAT / TUMPUAN KAJIAN

  • Untuk mengenal pasti kejayaan penggunaan bahasa Malaysia di IPT
  • Untuk menilai mutu penggunaan bahasa Malaysia di kalangan pensyarah, pelajar & pentadbir di IPT
  • Untuk menilai pencapaian penggunaan bahasa Malaysia dalam hubungannya dengan kerjaya siswazah yang lahir hasil daripada pendidikan bahasa Malaysia.
  • Untuk mengenal pasti masalah-masalah penggunaan bahasa Malaysia, di kalangan pelajar, tenaga pengajar dan pentadbir di IPT.

(B) CIRI-CIRI BAHASA MALAYSIA LISAN YANG BAIK

  • Sebutan yang betul
  • Tidak menggunakan bahasa pasar / loghat daerah
  • Tidak bercampur dengan bahasa asing
  • Bahasa indah yang sedap didengar

(C) CIRI-CIRI BAHASA MALAYSIA TULISAN YANG BAIK

  • Ejaan yang betul
  • Nahu yang betul
  • Tidak bercampur dengan istilah asing yang masih belum diterima umum.

(D) SYOR MEMBAIKI TAHAP PENGGUNAAN BAHASA MALAYSIA

  • Pengiatkan usaha-usaha DBP dalam kerja-kerja terjemahan, penggubalan istilah, penerbitan buku, risalah, daftar sebutan dan ejaan
  • Memantapkan pelaksanaan bahasa dengan menggunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi di IPT. Kesalahan-kesalahan bahasa hendaklah dikesan dan tindakan tegas hendaklah diambil.
  • Tanamkan semangat penggunaan bahasa Malaysia melalui pendidikan di Media massa, taklimat, seminar dan kursus.
  • Pertingkatkan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan tenaga pengajar dengan mengadakan kursus-kursus bahasa Malaysia dan seumpamanya,
  • Pengambilan dan kenaikan pangkat pekerja di IPT didasarkan pada kemampuan berbahasa Malaysia.
  • Penghayatan penggunaan bahasa Malaysia di kalangan ahli-ahli politik, pemimpin-pemimpin negara dan pegawai-pegawai atasan.


Selasa, 23 Jun 2009

Perak 2009

(Mengenang BN dan PR)

Badut-badut Sarkas dan seorang gembala
beraksi di gelanggang demokrasi
memburu tiga ekor anjing liar.

16 Jun 2009

Isnin, 22 Jun 2009

Pengkonsepsian dan Pemetaforaan Hati

Maniyamin (1998) memberikan satu lagi penjelasan tentang mengapa hati dikaitkan dengan emosi manusia. Menurut Maniyamin, world view Melayu tentang hati mempunyai kaitan dengan ajaran Islam yang dianuti mereka. Beliau telah merujuk kepada Surah al-A'raf ayat 179 dan al-Baqarah ayat 7 yang kedua-duanya menyebut tentang (quluubun) sebagai sumber akal penaakulan dan tindak-tanduk manusia. Dalam terjemahan ayat ini, sering kali kata hati digunakan sebagai terjemahan untuk (quluubun). Maka berdasarkan terjemahan, hati dilihat sebagai sumber penting untuk memahami perasaan dan tindak-tanduk manusia. Namun, penjelasan Maniyamin ini mungkin tidak begitu tepat. Ini kerana kata asal dalam bahasa Arab, (quluubun) merujuk kepada organ jantung (qalb) yang diterjemahan sebagai heart dalam terjemahan Inggeris tetapi hati dalam terjemahan Melayu. Maka, hujah dan penjelasan bahawa penggunaan organ hati (dan bukan jantung) sebagai yang mengawal tindakan dan kefahaman manusia menjadi titik tolak kepada kepercayaan agama tidaklah begitu kukuh.

IMRAN HO-ABDULLAH dan NORSIMAH MAT AWAL,
“Pengkonsepsian dan Pemetaforaan “Hati” dlm. Jurnal Bahasa, Jld.5 Bil. 4 Disember 2005 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Si Pengait Hukum

Akhbar Berita Harian bertarikh 19 Jun 2009 melaporkan tindakan Si Pengait Hukum (baca pihak pendakwa) mengemukakan pindaan pertuduhan secara tiba-tiba setelah kes berkenaan ditutup. Tindakan itu ditegur okeh hakim yang mendengar perbicaraan kes berkenaan.

Pada pandangan saya, meminda pendakwaan, apa lagi secara tiba-tiba atau setelah beberapa siri pembicaraan berlangsung dan menghampiri penyelesaian, adalah tidak patut dibiarkan berlaku. Kalau berlaku juga, saya fikir, pihak yang didakwa patut mengemukakan dakwaan salah laku atau penghinaan atau mempunyai niat yang tidak baik terhadap Si Pengait Hukum.

Hal pinda meminda terhadap pendakwaan ini begitu ketara berlaku dalam sistem perundangan kita sejak krisis moral kepimpinan politik dalam dekad akhir 1990-an. Ia menjadi antara salah satu sebab nilai perundangan kita tidak dihormati oleh pengamal undang-undang antarabangsa, malahan juga kalangan rakyat sendiri.

Moral daripada tindakan pinda meminda oleh Si Pengait Hukum (guaman negara) itu ialah (a) pihak Si pengait Hukum (dan organisasinya) tidak cekap menangani sesuatu kes, (b) pihak Si Pengait Hukum dan organisasinya tergesa-gesa membuat keputusan / tindakan, (c) membuang masa, tenaga dan wang rakyat, (d) tanda-tanda wujudnya ketidakadilan diamalkan dalam organisasi Si Pengait Hukum (guaman negara).

Lazimnya, sesuatu pendakwaan dibuat setelah pihak Si Pengait Hukum (guaman negara) yakin terhadap laporan siasatan mempunyai kes dan boleh didakwa. Dipercayai adanya kes setelah melaksanakan siasatan rafi.

Namun, dalam hal ini, pihak Si Pengait Hukum dan organisasinya gagal menyiasat dan gagal kenal pasti kes pendakwaan. Anehnya, mengapakah siasatan yang belum masak itu dirumuskan dan dikatakan ada kes untuk dakwaan. Pada pandangan saya, meminda pendakwaan dalam masa kes sedang dibicarakan tidak patut dan pendakwaan asal itu palsu.

Kiranya tindakan pinda meminda pendakwaan terus berlaku, alamat sistem kehakiman dan guaman negara kita sedang merosot. Oh, kalau demikianlah, kita berada dalam rumah kekejaman negara.
SAAT MATAHARI HAMPIR TERBENAM
setelah seharian kali gagal
memetik buah pilihan
si pengait hukum itupun
menukarkan
galah dakwaannya.
21 Jun 2009

Ahad, 21 Jun 2009

Semangat Tol



Ini ialah pondok tol terkini, terdapat di depan stesen kereta api Sentol. Mungkin ia pondok tol untuk parkir kereta di depan stesen tersebut. Mungkin jua ia pondok tol jalan ke stesen berkenaan. Yang menarik untuk direnungi ialah belum pun siap sepenuhnya laluan atau tempat parkir, pondok tol telah siap dibina. Ternyata, semangat mendapatkan duit mengatasi keperluan atau kepentingan lain. Adakah ini bentuk pemikiran kita sekarang?

Selasa, 16 Jun 2009

Menonton Wayang Pacak

Gambar Projektor Wayang Pacak ini aku ambil ketika melawat Hat Yai baru-baru ini
Masa kecil-kecil dulu, salah satu kegemaran aku (dan penduduk kampung) ialah menonton wayang pacak. Van hijau gelap akan datang memaklumkan pada malam nanti ada tayangan gambar dan minta penduduk datang beramai-ramai ke padang sekolah. Beberapa orang pekerja keluar daripada Van memacak kelir putih sebelum berlalu pergi.
Aku tentu sekali melompat-lompat gembira apabila mendengar laungan suara dari van hijau gelap itu (van Jabatan Penerangan). Kami sudah tahu, jika ada van dengan dua pembesar suara di atas bumbungnya, bererti malam itu ada tayangan wayang gambar. Kedatangan van itu amat dinanti-nantikan. Ia memberi peluang kepada kami menonton tv. Lazimnya, tanyangan gambar Melayu. Al-maklumlah, rumah aku (dan rumah orang lain juga) tiada tv.
Pada petang itu, aku akan berhenti main lebih awal, mandi awal, dan pakai baju lawa. Selera bermain dan selera makan petang itu hilang lenyap. Tak usah tunjuk kari ayam aku tidak minat lagi. Seleraku terpacak di kelir putih dan mahu sampai awal. Aku akan berbaring di depan sekali dan mendongak melihat kelir. Syok tidak tergambar rasa.
Yang geramnya, ketika hero sedang membelasah penjahat, tiba-tiba projektor dimatikan. Keluarlah seseorang berceramah tentang bumi hijau, tentang aspirasi kerajaan, tentang usaha kerajaan untuk rakyat dan segala macam. Walaupun membosankan, aku tetap setia menunggu kelir di hidupkan kembali (persis seperti sajak Wayang karya A Latiff Mohiddin).
Aku dan kawan akan berbasikal ke padang sekolah. Jaraknya sekitar 3 kilometer. Basikal aku (dan penduduk kampung juga) tiada lampu dan tiada brek. Pernah satu kali, sehabis menonton, aku kayuh basikal selaju-lajunya meredah gelap malam kerana lapar. Sampai di rumah, ibuku tidak ada. Rupa-rupanya dia pun menonton wayang pacak juga. Aku patah balik ke sekolah.
Pada masa ini, orang mula ramai di jalanan. Dalam berkayuh itu tiba-tiba aku terlihat bebayang basikal di hadapan. Aku tidak dapat mengelak dan terus melanggarnya. Berdebuh kami jatuh. Serta-merta orang itu membeber dan menyumpah aku kerana naik basikal tiada lampu. Pada hal, basikal dia sendiri pun tiada lampu jugak. Aku kenal suara itu. Dia seorang wanita separuh umur dan bermulut murai. Nasib baik aku tidak bersuara. Kalau tidak, tentu dia kenal. Aku cepat-cepat angkat basikal dan lari meninggalkan orang itu dengan sumpah seranahnya.
Bila ibu sampai, dia memberitahu Makcik Munah Pakya berlaga basikal dengan budak dalam gelap. Ibu bertanya adakah budak itu aku. Aku cepat-cepat menafikan.
"Dah tu baju cemar?" soal ibu apabila melihat baju aku.
"Tidur atas padang," jawab aku dan ibu percaya.
Sampai sekarang, tiada seorang pun tahu, budak yang berlaga basikal dengan Makcik Munah itu ialah aku.

Isnin, 15 Jun 2009

Sokong KPLI 18 Bulan

Langkah Kementerian Pelajaran Malaysia mahu memanjangkan tempoh pengajian Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) adalah dialu-alukan. Usaha ini sepatutnya telah lama dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) mereka.

Memang telah dikenal-pasti bahawa kelemahan guru melaksanakan P & P datang daripada kalangan guru lepasan KPLI. Hal ini terjadi disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, pertama, opsyen yang ditawarkan di IPGM tidak sama dengan major / minor malahan kertas yang diambil semasa di universiti. Tinjauan terhadap 20 orang guru pelatih (GP) opsyen Pengajian Cina di IPGM-KTB pada tahun 2007 mendapati major dan minor mereka semasa di universiti ialah dalam bidang akaun, ekonomi, kejuruteraan, perniagaan dan komunikasi. Kali terakhir mereka belajar bahasa Cina semasa di tingkatan lima. Tinjuan terhadap 26 orang GP KPLI (Pemulihan Matematik / Bahasa Melayu) di IPGM-KKB pada tahun 2009 pula mendapati hanya seorang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Linguistik. Yang lain berkelulusan komunikasi, bio-teknologi, perniagaan, sumber manusia, penyiaran dan kejuruteraan. Adalah mustahil guru pelatih (GP) dapat menimba ilmu dalam bidang bahasa Cina, pemulihan Matematik dan pemulihan bahasa Melayu dalam masa singkat, sedangkan mereka akan mengajar subjek berkenaan.

Kedua, masalah cuti. Dalam masa setahun berkursus, GP akan menjalani praktikum dalam semester kedua pengajian, sekitar tiga bulan. Proses P & P berlaku dalam semester pertama pengajian, bermula pertengahan Januari – Mei atau Julai – Oktober, iaitu sekitar empat bulan. Sepanjang semester berkenaan terdapat pelbagai jenis cuti umum dan cuti rasmi IPGM. Jumlah cuti sekitar sebulan. Ini telah memendekkan masa pelaksanaan P & P.

Ketiga, kesibukan pensyarah. Ramai pensyarah IPGM yang menjadi kakitangan tidak rasmi bagi BPG, Kurikulum, Pen dan segala unit / bahagian yang ada di kemnterian. Mereka dipanggil bagi menyelesaikan kerja-kerja atau mesyuarat di pelbagai unit / bahagian, di samping menjalani pelbagai jenis kursus anjuran BPG / KPM dan IPGM sendiri. Ada pensyarah berstatus ‘tough N go’ kerana melaksanakan urusan BIG, ICT, KAP, KIA 2M, projek Rintis, Projek Pensiangan Salinatan, temu duga dan sebagainya. Ada sesetengahnya hanya berada di IPGM selama sehari atau dua hari dalam sebulan.

Keempat, aktiviti rasmi IPGM, BPG dan KPM. Aktiviti-aktiviti rasmi yang bersifat kolektif perlu dihadiri oleh GP dan pensyarah. Ada kalanya aktiviti itu memakan masa sampai seminggu. Misalnya, aktiviti BIG, ISO, mesyuarat, sambutan perayaan / perhimpunan, projek luar, aktiviti Gerko, seminar, sukan dan sebagainya yang menyebabkan kelas terpaksa ditunda.
Berdasarkan empat faktor kekangan di atas, maka saya bersetuju tempoh kursus KPLI selama 18 bulan. Tempoh ini perlu juga diperluaskan ke peringkat universiti, khususnya bagi graduan yang mengikuti kursus Diploma Perguruan.

Ahad, 14 Jun 2009

Surat Terbuka Kepada Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyidin Yassin (1)

Tidak terlewat saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyidin yang berjaya memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sekali gus sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Sebagai rakyat bawahan saya nampak ada sedikit sinaran bukan retorik mahupun pertunjukan keris untuk memartabatkan bahasa Melayu, bangsa Melayu dan negara Melayu di bawah bumbung 1 Malaysia. Semoga sinaran halus itu akan bertambah lebar dengan cahaya cerah dan syahdu.

Saya menulis surat ini sebagai reaksi terhadap permintaan YAB Tan Sri tentang mewajibkan lulus bahasa Inggeris bagi graduan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara ikhlas saya tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan cadangan itu, sebagaimana saya tidak setuju dengan program PPSMI. Saya bimbang, jika cadangan itu dikuatkuasakan akan menyebabkan berlaku keciciran dan membunuh mutiara negara.

Biarlah saya menceritakan sedikit pengalaman peribadi sebagai alasan sebab penolakan tersebut.

Saya berasal dari Kelantan, besar dan bersekolah di Terengganu. Sebagai orang Pantai Timur, kami lemah dalam bahasa Inggeris, walaupun tinggi akhlak. Keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP/PMR) saya mendapat gred 9 bagi subjek Bahasa Inggeris. Gred sama saya peroleh bagi SPM walaupun pada sijil SPM itu tercatat Pangkat Satu. Apabila saya melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan, saya hanya dapat pangkat 'lulus' untuk kertas Bahasa Inggeris. Dan, semasa di Universiti Malaya, saya hanya memperoleh gred D pada setiap semester bagi kertas Bahasa Inggeris.

Namun begitu, bagi kertas lain saya berupaya memperoleh banyak gred B dan gred A. Hasilnya, setelah keputusan dirumuskan, saya layak memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kelas Pertama. Pencapaian cemerlang ini tidak akan saya peroleh jika keputusan kertas bahasa Inggeris saya gred E. Dalam masa sama, ramai mahasiswa yang fasih bercakap bahasa Inggeris sekadar memperoleh ijazah kelas dua, kelas tiga dan am.

Hasilnya, saya dapat berkhidmat sebagai guru dan pensyarah, membimbing anak-anak bangsa. Kini, ramai anak-anak asuhan saya yang berjaya, berjawatan tinggi, berkelulusan tinggi dan bergaji tinggi.

Daripada pengalaman itu, saya sedar bahawa saya sangat lemah dalam subjek Bahasa Inggeris, tetapi pintar dalam subjek lain. Saya mampu berkhidmat kepada negara dan masyarakat dengan baik, tidak pernah menerima surat tunjuk sebab kerana gagal melaksanakan tugasan, dan setiap arahan saya (dalam bahasa Melayu) difahami, walaupun tidak betah bercakap bahasa Inggeris.

Jika sijil SPM saya 'dimatikan' awal-awal lagi kerana gagal subjek Bahasa Inggeris, bererti masa depan saya sudah gelap dan hancur di tangan kerajaan pilihan saya sendiri. Tanpa kelulusan SPM, apakah pekerjaan yang dapat saya lakukan? Syarikat manakah akan ambil saya sebagai pekerja. Atau, saya perlu melanjutkan kerja buruh kasar sebagaimana dilakukan oleh ayah. Tentunya, saya juga bercita-cita besar seperti anda semua. Saya ingin mengubah kemiskinan hidup yang diwarisi. Namun, tanpa kelulusan, apakah pekerjaan yang dapat melarikan diri daripada pelukan kemiskinan? Atau, apakah saya akan jadi penjenayah (perompak, peragut, pencuri atau pengedar dadah) kerana saya juga memerlukan wang.

Hal-hal yang sedemikian itu perlu YAB Tan Sri dan Kementerian Pelajaran fikirkan. Kita tidak tahu di manakah mutiara masa depan negara tersembunyi. Pelajar paling cemerlang dalam SPM tahun 2008, Sdr Mardiah, terdapat dalam cengkeram kemiskinan, tinggal bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, yang menjadi laluan para cerdik-pandai dan pembuat dasar kerajaan. Nasib baik beliau dapat meneruskan pelajaran hingga peringkat SPM dan kita dapat tahu sinar mutiaranya.

Negara kita juga pernah berbangga dengan beberapa orang genius. Dalam usia kanak-kanak mereka dapat menyelesaikan permasalahan subjek orang lebih dewasa daripadanya. Mutiara genius ini juga akhirnya terkubur disebabkan sistem pendidikan kita. Sekarang kita tidak tahu nasib Adi Putra. Adakah mutiara dirinya masih berkilauan, atau sudah terkubur menyusur genius-genius sebelumnya.

Saya amat berharap, Kabinet Malaysia, YAB Tan Sri (sebagai Menteri Pelajaran), Pengarah Pelajaran Malaysia dan kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil kira hal-hal di atas sebelum membuat keputusan. Janganlah anda mencipta mitos bahawa hanya mereka yang lulus bahasa Inggeris akan berjaya, sebagaimana diwar-warkan oleh Dr. Mahathir.

Memang saya sedar kepentingan bahasa Inggeris. Namun, walau sepenting mana sekali pun, ia tidak semestinya berguna untuk semua orang. Dan, tidak semua orang yang gagal menguasai bahasa Inggeris itu tidak berguna, 'dimatikan' sijil SPM miliknya dan menganggap mereka tidak dapat membangunkan negara ini.

Sekian.


Anak Sasterawan Negara Hina Tetamu Majlis Ayahnya

Pada 9 Jun 2009 sekitar jam 12.30 – 1.00 petang bertempat di Dewan seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, tercatat peristiwa bersejarah apabila seorang anak Sasterawan Negara Arena Wati menghina tetamu undangan dalam majlis khusus merai ayahnya bertajuk “Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati.”

Episod yang memalukan itu berlaku dalam sesi kedua semasa soal-jawab terhadap pemakalah A. Halim Ali. Seorang peserta, yang juga tetamu dari Makasar (Sulawesi) yang bangga dengan sumbangan Arena Wati, bertanya tentang perihal tiga hujung yang menjadi falsafah dan amalan orang Bugis di perantauan. Tiga hujung tersebut ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (senjata) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endan Gulingku.

Belum sempat A. Halim Ali menjawab, anak lelaki Arena Wati yang datang bersama ibunya, Puan Halimah, dengan wajah bengis dan tangan baju bersising ke pangkal bahu, memaksa si bertanya, juga keturunan Bugis Makasar, datang ke depan dan bersujud di kaki ibunya, Puan Halimah.

Episod yang saya sangka gimik atau demonstrasi tiga hujung itu benar-benar serius hingga Puan Halimah sendiri terkejut. Dengan wajah bengis, si anak memberi amaran agar si bertanya keluar dewan dan tidak datang lagi. Sikap si anak itu cuba ditenteramkan oleh Dr Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha, dan disaksikan oleh semua peserta seminar.

Terpanggil dengan tingkah biadab anaknya itu, Puan Halimah bangun mententeramkan kehairanan para peserta. Secara ikhlas, beliau meminta maaf daripada penganjur dan pemakalah serta merayu agar para hadirin tidak ikut rasa marah. Jelasnya, perkahwinannya dengan Arena Wati adalah untuk menghubungkan silaturahim melalui jambatan sastera antara dua bangsa yang berdekatan yang sedang menghadapi permasalahan sama ketika itu, iaitu penjajahan.

Sebelum itu, dalam tayangan video, Puan Halimah memberitahu beliau menetapkan empat syarat apabila dilamar oleh Arena Wati. Empat syarat tersebut ialah Arena Wati hendaklah sanggup meninggalkan keluarga dan tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat (warganegara) Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sanggup berbakti kepada Tanah Melayu.

Dalam masa Puan Halimah mententeramkan kehairanan hadirin, si anak bersemuka dengan si bertanya di Bilik VIP. Kini Si bertanya dipaksa pula sujud di kaki si anak. Peristiwa ini juga ditenteramkan oleh Dr. Ibrahim Ghafar dan Prof. Dr. H. Zainuddin Taha.

Akibat tragedi yang memalukan itu, semua tetamu khas dari Sulawesi, yang khabarnya mempunyai pertalian keluarga dengan arena Wati, telah memulaukan majlis pada sesi petang dan hari berikutnya. Khabarnya, sebahagian daripada mereka bertolak ke Kedah bagi mengikuti program Gapena.

Semasa membentangkan makalah pada sesi petang (sesi ketiga), Dr. Nurhayati Rahman memberitahu bahawa kedatangan mereka adalah sebagai tanda bangga masyarakat Makasar / Sulawesi terhadap Arena Wati. Mereka datang merai tokoh kebanggaan, di samping bagi melengkapi kajian etnografi tentang keluarga Arena Wati di Johor. Kerana rasa bangga terhadap Arena Wati, semua yang datang atas usaha dan biaya sendiri.

Saya mendapatkan pandangan tentang peristiwa itu daripada tetamu paling veteran dan selalu berkunjung ke rumah Arena Wati di Johor, Prof. Dr. H. Zainuddin Taha. Katanya, pertanyaan tentang tiga hujung oleh tetamu berkenaan adalah tidak salah, malah pertanyaan itu sebagai tanda mengangkat status Arena Wati yang dibangga-banggakan. Beliau sendiri berasa hairan, terkejut dan tidak tahu dimanakah silap yang menyebabkan si anak naik berang hingga memperlakukan tetamu majlis ayahnya sedemikian hina.

Peristiwa hitam itu ternyata memalukan sasterawan Malaysia, peserta seminar, penganjur dan keluarga Arena Wati sendiri. Kita juga tidak boleh menyalahkan pengerusi majlis mahupun penganjur. Ia bukti manusia adalah kerdil. Arena Wati yang dibangga-banggakan kerana mampu menghasilkan berpuluh-puluh karya (novel, cerpen, esei, sajak) dan berupaya mengingati sejarah diri, keluarga, bangsa (Bugis) dan leluhurnya (Makasar / Sulawesi), serta dengan sumbangan itu berjaya mengorang dan mensarjanakan ramai manusia, ternyata beliau gagal mendidik anaknya itu menjadi seorang orang (rujuk konsep orang dalam buku Konteks Sastera dan Budaya Melayu karangan Maniyamin Ibrahim).

Malah, dalam sesi lain, peserta dan beberapa orang pemakalah mula mempertingkaikan kewajaran Arena Wati diberikan Anugerah Sasterawan Negara sedangkan karya-karyanya tidak menjulang nama Malaysia. Yang dijulangkan dalam karyanya ialah leluhur tanah Sulawesi, Makasar dan Bugisnya. Pada adengan-adengan tertentu, imej Malaysia sering kali dikalahkan berbanding imej leluhurnya. Jika benar dakwaan mereka, mengapakah Malaysia memberi penghargaan terhadap orang yang ‘menghina’ rakyat dan negaranya? Justeru, tidakkah Malaysia juga boleh memberi penghargaan terhadap Chin Peng kerana Chin Peng juga merupakan pejuang menentang penjajahan British di Tanah Melayu?

Atas alasan apa sekali pun, saya fikir, manusia, lebih-lebih lagi beragama Islam, tiada hak memaksa manusia sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini citra Bugis yang dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati?

Bagi pihak sasterawan Malaysia dan rakyat Malaysia, saya memohon maaf kepada si bertanya dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa anda.

Sabtu, 6 Jun 2009

Setahun Sebuah Sajak Mengungkap Autobiografi Penyair

Setahun Sebuah Sajak (SSS) merupakan kumpulan sajak ke-15 karya Leo A.W.S., sekali gus meletakkan nama Leo A.W.S. sebagai penyair kedua terbanyak kumpulan sajak selepas penyair Suhaimi Haji Muhammad.

SSS memuatkan sajak, sketsa dan esei. Daripada 41 buah sajak, 33 buah karya Leo A.W.S. dan lapan buah pula dihasilkan oleh para penyair, mengungkapkan rasa hati mereka terhadap Leo A.W.S.

Berdasarkan kumpulan sajak SSS dan kumpulan sajak sebelumnya, saya dapati Leo A.W.S. merupakan satu-satunya penyair Malaysia yang popular dalam kalangan pembaca, dan sekali gus menjadi bahan persajakan mereka. Sehingga kini, tiga kumpulan sajaknya turut memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan khusus tentang Leo, baik oleh penyair terkenal tanah air mahupun penyair generasi baharu.

Sebagaimana judul, SSS menghimpunkan satu sajak setahun, bermula tahun 1973 - 2005, sebagai mewakili sekian sajak yang dihasilkan dalam tahun berkenaan. Menurut Leo, pilihan sajak sebagai wakil tahun berkenaan sebagai menggambarkan pengalaman peribadi penyair, baik semasa di kampung mahupun ketika di perantauan. Sekali gus 33 buah sajak dalam SSS yang disusun secara kronologi merupakan catatan autobiografi dan pemikiran penyair. Misalnya, sajak Simpang Tiga Ke Debak, Sarawak menceritakan pengalaman di Sarawak, Puisi Haji mengungkapkan pemikirannya setelah menunaikan ibadat haji, Malam Bulan Iraq meluahkan rasa marah terhadap pencerobohan Amerika di Iraq. Sebagai contoh, dalam sajak Bersama gugurnya Bunga Durian, Leo menceritakan latar kampung, keluarga dan pekerjaan mereka.

Pun musim ini
di sawah menguning
saja menanti ayah kembali
sayang ibu tidak bersama
kan menghidu wap
manis beras baru
dan ikan puyu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Leo A.W.S. sangat akrab dengan alam kampung. Membaca sajak-sajaknya saya rasa seakan-akan kembali ke kampung, bermain dan bermesra dengan alamnya. Saya yakin, demikian juga dirasai oleh pembaca lain hingga mereka mengungkapkan sajak khusus buat Leo A.W.S, baik menceritakan pengalaman bersama Leo mahupun memuji tindakan dan pemikiran Leo.

Selain Nahmar Jamil, perhatikan petikan sajak yang dihasilkan oleh RM @ (Rahimah Muda) dan Abdul Razak @ Rezeki Othman di bawah ini.

Kubaca puisimu kepada Che Azizah yang bersahaja
nanar jauh dari puisi-puisi abstrak kegemaranku
tak ramai penyair berani bereksperimentasi sepertimu


(RM @ Rahimah Muda, “Menyalami Bicaramu
Tentang Simile Che Azizah)

Puisi-puisi cinta Leo
sekalipun jadam perkasihan
tetap dihirupnya manis

(Abdul Razak @ Rezeki Othman, “Puisi-Puisi
Perkasihan Leo – Zah & Leo – Zuriat”)


Selain sajak, keistimewaan SSS kerana turut diwarnai sketsa dan gambar. Terdapat enam sketsa dihasilkan oleh Rossem dan 11 gambar peribadi penyair. Kesimpulannya, membaca SSS kita seakan-akan membaca biodata dan pemikiran Leo A.W.S itu sendiri. Sekian

Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Genre Kritikan

Sekitar pukul 9 – 10 pagi, 27 Julai 2008, saya menerima sms daripada Shamsuddin Othman, mengucapkan tahniah kerana saya memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sesi 2004/2005. Asal kritikan itu sebuah kertas kerja yang membicarakan Baha Zain, disiarkan oleh Dewan Sastera tahun 2004. Saya membalas meminta beliau dengar betul-betul maklumat diterima dan daripada siapa. Beliau membalas agar saya membeli akhbar Berita Minggu.

Apabila menatap nama saya sebagai pemenang HSPM, hati saya rasa gembira, terkejut dan sedih. Gembira kerana saya memenangi HSPM yang dianggap berprestaj, selepas Anugerah Sasterawan negara. Memang saya bercita-cita untuk memenanginya selepas kawan-kawan penulis telah memenanginya. Kemenangan Shamsudin Othman, Sahrulnizam, Sukri Abdullah misalnya, memberi kesan psikologi kepada saya. Malah, Shamsuddin Othman sendiri pernah menyindir, apakah saya tidak mahu memenangi HSPM apabila membaca sajak-sajak saya berkaitan 'kata bapak.' Kini saya bangga diri sendiri kerana biografinya tercatat HSPM.

Rasa terkejut pula kerana saya memenangi HSPM kategori kritikan. Menulis puisi merupakan genre pertama saya ceburi dan sepanjang hayat kreatif. Telah banyak puisi saya hasil. Malah, saya sudah ada sekitar empat kumpulan sajak: Cermin (1987), Menimba Laut (1996), Di Rumah Wiramal (2003), Peta Perjalanan (2006) dan Elipsis (2008). manakala kumpulan sajak Gelodak Rasa, Dongeng Bapak, Ruang Kota, Sajak Mini Kata masih dalam bentuk manuskrip. Atas alasan usia persajakan dan komitmen terhadap penciptaan sajak adalah wajar saya berangan-angan memenangi HSPM dalam kategori sajak.

Kritikan merupakan genre terakhir saya ceburi. Saya memasuki genre ini dengan serba kekurangan. Kurang tahu teori, kurang tahu teknik menulis, kurang ilmu kritikan, lemah penguasaan bahasa Melayu dan lebih-lebih lagi bahasa Inggeris, kurang pembacaan bahan global, kurang pendedahan dan sebagainya. Saya menceburinya dengan rasa keberanian hati: KALAU TIDAK DICUBA, BILA LAGI MAHU MENCUBANYA.
Esei / kritikan saya juga sukar mendapat tempat siaran. Hanya belas ehsan kawan-kawan. Zaman Zaen Kasturi jadi editor Dewan Sastera tersiar satu esei dan dua kritikan. Selama Rozninah Aziz mengemudi Dewan sastera hanya satu itulah yang tersiar. Beberapa kali saya menghantar esei / kritikan selepas kritikan itu, tetapi, oleh sebab saya masih setahun jagung, terlewat makan garam, dan ubun-ubun masih lembut, saya akui esei / kritikan saya masih banyak lemah. Namun, saya optimis bahawa keberanian mencuba akan dapat mematangkannya. Dan, alhamdulillah, setakat ini buku esei kritikan saya yang diterbitkan ialah Citra Takmilah, Gaya Bahasa Kiasan, dan Konteks Sastera dan Budaya Melayu. Bakal menyusur buku Penyair dan Kepenyairan: Suatu Apresiasi.

Apabila A. Rahim Abdullah menawarkan agar saya mengulas sajak-sajak siaran Berita Minggu (sekitar awal 1990-an), pegangan itulah mendorong saya mencubanya. Ruangan Telaah Puisi dalam akhbar Berita Minggu menjadi medan saya mengasah minda. Ditambah pula dengan hasrat mahu meramai pengkritik dalam genre yang kurang diceburi ini. Visi saya mahu mahu menasionalkan karya dan karyawan marginal. Oleh itu, sehingga kini, saya telah membicarakan sajak-sajak penyair Mokhtar Taib, Leo A.W.S, M. Said Muharam, Imlan Adabi, Hilmi Rindu, Abdullah Ngah, Zahari Hasib, di samping A. Samad Said, Kemala, Amir Hamzah, dan Baha Zain. Kemenangan HSPM itu sangat mahal pada saya, dan merangsangkan.

Rasa sedih kerana genre kritikan tidak mempunyai ruang dan peluang yang luas kepada pengkritik memasarkan hasil kritikannya. Ruang penampungan sangat terhad. Akhbar tidak lagi berminat menyiar kritikan. Manakala, majalah Dewan Sastera, satu-satunya majalah yang masih menyiar kritikan dimonololi oleh pengkritik veteran dan mereka yang berstatus 'doktor falsafah.' Sering pula nama yang itu-itu juga. Malah, ruangan kritikannya juga tidak menentu, sekejap ada sekejap tiada.
Kekurangan ruangan penampungan hasil kritikan turut menjadi faktor kemiskinan para pengkritik dan hasil kritikan. Justeru, saya berharap: Alangkah baiknya jik ada banyak ruang dan peluang menampun hasil kritikan. Kekurangan ruang dan peluang itu amat merugikan sastera Malaysia. Memang ia amat merugikan. Namun, saya tidak menyalahi akhbar atau majalah kerana tidak dapat menyediakan ruang dan peluang kerana konsep mereka ialah berniaga dan untung.

Saya fikir, rasa sedih saya ini turut dirasai oleh semua pengkritik generasi muda.

Jumaat, 5 Jun 2009

YANG JAUH DAN DEKAT: Mengungkap Konsep Penduaan

Antara tema puisi-puisi Hilmi Rindu dalam kumpulan Yang Jauh dan Dekat (YJdD) ialah tema ketuhanan. Tema ini bukan baharu kerana dalam kumpulan puisi pertama beliau, Memetik Gerimis, juga kaya tema ketuhanan. Hal ini sesuai dengan latar masyarakat tempat Hilmi bersosial, latar pendidikan tempat Hilmi mengasah pemikiran, dan latar kerja tempat Hilmi mencari rezeki. Semua latarnya diwarnai cahaya keagamaan.
Puisi terbaik Hilmi, ‘Songkok dan Kasut,’ juga mengungkapkan ketuhanan: Yang murah tidak bererti lemah / hina, dan yang mahal tidak bererti kuat / mulia. Konsep penduaan merupakan antara gaya perpuisian Hilmi. Beliau gemar mengandingkan imej. Imej-imej itu pula bergerak ke arah yang Satu.
Konsep penduaan dalam puisi Hilmi Rindu bukan mutlak. Ia menggambarkan konsep banyak, dan penganding pada yang Satu. Sebaliknya, satu membawa konsep mutlak yang merujuk kepada Tuhan. Hal ini dapat diperhatikan pada puisi berjudul ‘Satu.’
Berjuta wajah pucat dan hening
berjuta wajah basah dan dingin
semua mengharap kepada yang Satu

Konsep penduaannya: pucat dan hening, basah dan dingin. Kedua-dua imejan bergabung dalam satu hasrat dan berharap pada satu kuasa, iaitu kuasa ketuhanan.
Hal demikian juga terdapat dalam puisi ‘Yang Jauh dan Dekat.’ Kita sering tersilau pada yang jauh dan lupa pada yang dekat. Puisi ini menempelak sikap kita yang gemar mengkritik orang berbanding mengkritik diri sendiri. Kata Leo Tostoy, ramai manusia bercita-cita mengubah dunia, tetapi tidak ramai yang berusaha mengubah diri sendiri. Dalam peribahasa Melayu tercatat, “kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuh mata, tidak nampak.” Hilmi mencatatkan
Kita sering renungkan yang jauh
dan lupa yang dekat
sedang yang jauh adalah kelip
Dipadankan dengan realiti kehidupan, kita sering terbabas kerana mengejar sesuatu di luar keupayaan diri. Misalnya, mengejar keduniaan hingga terlupa bekalan akhirat.
Dalam puisi ‘Sedetik Demi Sedetik,’ Hilmi meracit keinginan dengan cara, “kususun makna keinginan.” Hilmi memberi tip mencapai keinginan dengan cara menyusunnya. Susunan itu mesti berdasarkan kriteria tertentu. Misalnya, dari senang ke susah, dari dekat ke jauh atau dari kecil ke besar. Strategi ini berdasarkan kemampuan manusia dan ciri biologinya. Kita boleh mengatur keinginan dan mencapai keinginan setelah kita memahami hakikat kehidupan dan rahmat-Nya.
Puisi terakhir, ‘Orang-Orang yang Sabar dan Berjaya Itu,’ terdiri daripada, “orang yang melupakan nikmat seketika,” orang yang “menipiskan nafsu,” orang yang mengikat kejap pancaindera dan menyukat rasa nista, orang yang “mengkesampingkan mimpi-mimpi kosong,” dan orang yang “mencari pintu sinar.” Inilah antara strategi mencapai keinginan.
Imej keagamaan terakam secara tidak langsung. Judulnya mengingatkan kita pada surah A-Nahl: 126 – 127, Al-Ahzab: 35, dan Ar-Ra’d: 22 yang menyatakan bahawa kesabaran bakal mengundang kejayaan.
Demikian selayang pandang puisi Hilmi Rindu dalam YJdD. Tema ketuhanan terungkap secara langsung (contohnya, puisi ‘Satu’) dan tidak langsung (contohnya, puisi ‘Orang-Orang yang Sabar dan Berjaya Itu’). Semua imej yang dipuisikan adalah sebagai material untuk mencapai yang Satu, dan sekali gus bagi mencapaikan keinginannya. SEKIAN.
NASSURY IBRAHIM